Home » Uncategorized

MANDI MENINGKATKAN SISTEM IMUNISASI BADAN

Oleh Salleh Hashim

Seorang lelaki dari Iran bernama Amou Haji tidak pernah mandi selama 60 tahun. Amou Haji berusia 80 tahun tinggal di sebuah gua di desa Dejgah, di wilayah selatan Iran. Dalam bahasa Parsi, “Amou” biasa digunakan anak-anak dan wanita untuk menunjukkan rasa sayang. Bukan hanya tidak pernah mandi, gaya hidup Amou sehari-hari juga boleh dikatakan aneh untuk kebanyakan orang. Dia menggunakan kotoran haiwan sebagai pengganti tembakau rokoknya dan tidak kekok memakan bangkai, khususnya landak. Demikian dilaporkan harian Tehran Times, Khamis (16/1/2014). Mengapakah Amou tidak pernah mandi? Menurut keyakinannya, mandi dan menjadi bersih akan membawa penyakit kepada tubuhnya. Suatu ketika sekumpulan pemuda setempat cuba memandikannya, namun Amou melarikan diri. Amou memiliki beberapa buah tempat tinggal, iaitu sebuah gua yang juga berfungsi sebagai sebuah makam. Tempat tinggal keduanya merupakan sebuah gubuk yang dibangunkan oleh mereka yang bersimpati kepada Amou. Meski tidak mandi, Amou sesekali terlihat merapikan janggut dan jambangnya. Dia juga memiliki sebuah cermin sisi kereta untuk keperluan ini. Keunikan Amou yang 60 tahun tidak mandi ini mengalahkan rekod tidak mandi yang sebelumnya dipegang seorang lelaki India, Kailash Singh. Lelaki berusia 66 tahun itu mengaku tidak mandi selama 38 tahun.

Apakah kepentingan mandi kepada tubuh? Bagaimanakah mandi membantu remaja membesar dengan baik? Mandi bermaksud mencuci (membasuh)) tubuh dengan air. Jika seseorang dipenuhi peluh disebut mandi peluh. Dalam bidang keagamaan pula mandi bermaksud menyiram dengan air suci (menurut ajaran agama Kristian), manakala memandikan jasad seseorang yang telah meninggal oleh mereka yangmasih hidup dalam aturan hidup umat Islam dikenali sebagai mandi jenazah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016).

Posted in: Uncategorized

Tulis Azam Tahun Baharu dengan Jelas

Oleh Osman Affan

SYUKUR, tahun baharu bermula lagi. Apabila tahun baharu sudah bermula, topik paling hnagat yang sering diperkatakan ialah berkenaan azam tahun baharu. Bagaimana dengan anda? Sudah ada azam tahun baharu yang jelas? Jika azam tahun baharu sudah ada, soalan paling besar yang perlu anda fikirkan ialah bagaimana untuk benar-benar mencapainya tahun ini?

Kali ini kita akan melihat konsep azam tahun baharu daripada satu sudut yang sedikit berbeza. Mari kita lihat dan fikirkan tentang rahsia dalam menjadikan azam tahun baharu sebagai satu realiti. Maksudnya, jika anda merupakan seorang pelajar yang berazam untuk mendapat gred A dalam semua subjek pada tahun ini, apakah rahsia mencapai azam yang perlu anda tahu? Apakah yang perlu anda lakukan agar harapan ini benar-benar menjadi kenyataan?

Baiklah. Banyak buku psikologi dan rahsia kejayaan membincangkan mengenai rahsia dan perkara penting yang perlu dilakukan agar kita mampu menjadikan azam kita satu realiti. Di sini, dikongsi satu rahsia terbesar daripada perkara tersebut.

 Rahsia terbesar dalam mencapai azam tahun baharu ialah apa-apa sahaja azam yang mahu dicapai mestilah sangat jelas. Kebanyakan azam yang dimiliki oleh pelajar mahupun orang dewasa selalunya kurang jelas dan sukar dipastikan apakah maksud sebenar azam tahun baharu tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Uncategorized

PANDUAN DI DEWAN PEPERIKSAAN

Oleh Zulfazlan Jumrah

PEPERIKSAAN sentiasa menjadi detik yang paling mendebarkan dalam kehidupan seseorang. Apa tidaknya, peperiksaan selalunya dikaitkan dengan hala tuju hidup seseorang itu setelah slip keputusan peperiksaaan berada dalam genggaman. Dalam era pendidikan moden, meskipun slip peperiksaan bukan lagi menjadi penanda aras kejayaan dalam hidup seseorang itu, namun begitu dalam sistem pendidikan nasional di Malaysia yang mempunyai beberapa jenis peperiksaan “besar” seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Malaysian Universiti English Test (MUET), keputusan yang cemerlang tetap menjadi sasaran yang sentiasa didambakan.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Uncategorized

FUNGSI TEKANAN PERASAAN

Oleh Osman Affan

TEKANAN perasaan atau stres merupakan satu perkara yang sangat umum dan biasa dialami oleh pelajar menjelang peperiksaan. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Antara faktor punca tekanan perasaan yang biasa dikenal pasti termasuklah rasa letih akibat terlalu banyak fakta yang perlu dipelajari dan dihafal, harapan guru dan ibu bapa yang menggunung tinggi, dan kegagalan menguasai topik dan kemahiran yang penting.

Tekanan perasaan pula mempunyai kesan yang berbeza bagi pelajar yang berbeza. Maksudnya, ada pelajar yang berasa semakin bersemangat untuk berusaha dengan lebih kuat apabila perasaannya tertekan menjelang peperiksaan. Sebaliknya, ada juga pelajar yang menjadi lemah semangat, berputus asa dan ada juga kes pelajar hilang kewarasan berfikir apabila terlalu kuat dihimpit oleh tekanan perasaan. Persoalannya, adakah tekanan perasaan ini sesuatu yang buruk? Apakah sebenarnya fungsi tekanan perasaan kepada manusia?

Tekanan perasaan selalunya dipandang dari sudut yang negatif. Pelajar memandang tekanan perasaan sebagai sesuatu yang melemahkan mereka dan menghalang kebolehan mereka untuk lebih berjaya dalam bidang pelajaran. Sebenarnya, kebanyakan pelajar tidak sedar, tekanan perasaan boleh dipandang dari sudut yang positif. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Tekanan perasaan sebenarnya ialah sejenis isyarat dalam minda anda. Bayangkan isyarat jalan raya yang biasa anda lihat. Katakan anda sedang menunggang motosikal dan sampai di simpang yang ada lampu isyarat. Apabila lampu isyarat menunjukkan warna merah, anda perlu berhenti. Masalahnya, anda mahu cepat dan jika boleh, anda langsung tidak mahu berhenti. Apakah perasaan anda apabila terpaksa berhenti jika lampu isyarat bertukar merah? Adakah timbul sedikit rasa tertekan?

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Uncategorized

MEMBUKTIKAN KEBANGGAAN TERHADAP NEGARA

Oleh Michelle Toi Tze Ching, SMK Datin Onn Jaafar, Perak.

Malaysia oh tanah airku         

Tanah tempat tumpah darahku

Negeri elok amat kucinta

Yang kupuja sepanjang masa

DEMIKIANLAH sebuah pelahiran seni yang memaparkan imej Malaysia negara yang tercinta. Malaysia sebuah negara yang cukup harmoni sama ada dari aspek landskapnya, hasil mahsulnya mahupun kemajuannya dalam segala bidang. Oleh hal yang demikian, sebagai warganegara yang tinggi nilai patriotiknya amat wajar sekali setiap individu itu melahirkan perasaan bangga terhadap tanah airnya yang tercinta.

Akar tunjang utama untuk mempertahankan kedaulatan sesebuah negara adalah dengan lahirnya sifat taat setia dan nilai patriotik yang tinggi. Yang di-Pertuan Agong ialah payung negara manakala para pemimpin ialah sumber inspirasi yang memajukan negara. Menjunjung kedaulatan pemerintah dan menghormati pemimpin perlu menjadi obligasi mutlak setiap rakyat. Tingkah laku tersebut antara lain menjunjung tinggi perundangan negara, taat kepada arahan pemimpin dan tidak mendatangkan sebarang sikap yang boleh memudaratkan keselamatan negara. Sebagai rakyat, kita perlu menanamkan azam untuk membantu memakmurkan negara. Sejarah memaparkan betapa banyak empayar silam tersungkur kerana kegagalan dalam menguruskan negara dengan baik.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Uncategorized

REMAJA PERLU MENYERTAI PERSATUAN

Oleh Lokman Ismail

GOLONGAN remaja sering mendapat perhatian ramai. Banyak kes yang dicetuskan oleh remaja, sehingga mereka dipandang serong akibat perbuatan yang tidak bermoral dan bertentangan dengan inspirasi negara dan menyalahi hukum agama. Namun begitu, situasi negatif ini tidak patut disalahkan kepada remaja sepenuhnya kerana apa-apa yang berlaku itu secara tidak langsung menggambarkan kegagalan pemerintah, masyarakat dan ibu bapa.

Usia remaja dianggap sebagai tempoh terbaik untuk mencari sesuatu yang berharga sebagai persiapan menghadapi alam dewasa. Antara perkara penting yang perlu diperoleh semasa usia remaja ialah mencari ilmu dan pengalaman. Kedua-dua perkara ini ialah harta yang memberi kebaikan dan keuntungan sepanjang masa. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap negara pada masa hadapan.

Biarpun ilmu dan pengalaman boleh dicari pada bila-bila masa, sesuai dengan keperluan semasa, hakikatnya apa-apa yang berlaku pada masa hadapan mempunyai banyak kaitan dengan apa-apa yang diperoleh sejak usia remaja. Proses pembentukan identiti mengambil masa yang panjang sesuai dengan pengalaman yang dilalui. Kejayaan bukan dicapai dalam tempoh masa yang singkat.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Uncategorized

Kembara Bahasa 2013

Salam.

Mari sertai konvoi Kembara Bahasa 2013 pada 9-12 Oktober 2013 yang diadakan secara serentak di seluruh negara.

Konvoi ini akan membawa peserta ke pelbagai lokasi untuk mengendalikan aktiviti bahasa, persuratan, kebudayaan dan kemasyarakatan bersama-sama masyarakat umum.

Bayaran tol, minyak kereta, penginapan, air mineral, insurans berkelompok, cenderamata, elaun harian dan sijil penyertaan disediakan.

Hantar borang penyertaan menerusi faks, 03-2148 4208 atau e-mel, sitizubaidah@dbp.gov.my
Maklumat lanjut, hubungi 03-21482261 / 017-3915560.

Muat turun borang penyertaan