Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Cerpen daripada Siswa

PERENUNGAN DALAM CERPEN

Oleh Mawar Safei

CERPEN kali ini oleh Fauzan Zain berjudul “Dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur”. Kisah bermula dengan watak Dia yang mendapat berita kemenangan dalam penulisan yang disertai. Khabar itu membawa Dia mengimbas kembali pengalaman yang dilalui dalam penghasilan karya berkenaan; pembikinan dan penyertaannya dalam bengkel penulisan. Di hujung imbas kembali itu, dinyatakan antara lain latar Dia berada sekarang adalah dalam satu perhimpunan ahli pengakap.

Kemudian plot beralih terhadap perjalanan Dia ke Kuala Lumpur. Berdasarkan judul cerpen, dimaklumi bahawa watak Dia berada di Kuala Lipis. Ya, latar ini seperti merujuk judul cerpen “Dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur”. Latar juga dibayangkan mewakili keseluruhan cerpen, bertepatan dengan judul yang berperanan sebagai wakil cerita, bayangan cerita, tumpuan cerita atau rumusan cerita. Beberapa latar lain dibawakan Fauzan Zain seperti kisah teman yang menghantarnya ke hentian bas dan kelewatan mereka. Sering pula latar begini menjadi tanda tanya. Misalnya adakah latar Dia mengejutkan kawannya, Piq, daripada tidur diterima sebagai satu babak yang signifikan, ada makna yang khas.

Mengikut rentak gerak masa, penulis seterusnya memberitahu ketibaan Dia di Kuala Lumpur. Masih membawakan nada lama, penulis mewarnakan Dia sebagai watak orang muda yang pertama kali sampai di bandar raya Kuala Lumpur dengan tanggapan yang skeptikal dan penuh curiga. Dia malah sangat berhati-hati terhadap sekitarnya dengan membawa pisau lipat sebagai alat keselamatan dan perlindungan diri. Dia juga cemas. Lakaran tentang watak Dia, lebih banyak dilakukan penulis menerusi kebimbangannya. Dia tidak mahu tidur, takut kesiangan untuk acara yang harus dihadirinya (penyampaian hadiah).

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Beberapa Dimensi Pengkaryaan

Oleh Mawar Safei

MEMBACA cerpen bulan kedua ini, “Diari Dian” menemukan kita dengan beberapa perihal menukangi sesebuah cerpen. Diari yang menunjangi cerpen ini sebagai judul, diandaikan menguasai seluruh perjalanan cerpen hasil garapan Nur Izzati Che Ramli.

Begitulah sewajarnya peranan judul. Hal ini kelihatan benar apabila watak utamanya, Azhar, kanak-kanak berusia 10 tahun (daripada pernyataan penulis bahawa Azhar mendaftar dalam darjah empat di Sekolah Rendah Lembah Bintang), merupakan anak kepada Dian. Azhar membaca catatan harian arwah ibunya. Dian meninggal dunia sewaktu terlibat dalam “banjir kuning” di Kelantan ketika menyelidik spesies kelip-kelip. Walau bagaimanapun penulis tidaklah menggunakan teknik penulisan diari yang klise.

Kelip-kelip membawa kisah yang panjang dalam cerpen “Diari Dian.” Kelip-kelip yang membina cerpen ini sebenarnya. Garapannya melibatkan banyak pihak dari pelbagai watak iaitu Azhar, Dian, Cikgu Suria, Tok Su dan pekerja penebang pokok-pokok bakau untuk tujuan rancangan pembinaan sebuah resort mewah.

Cerpen ini dimulakan dengan latar Azhar yang menghalang pekerja menebang pokok-pokok berembang di kawasan paya. Azhar berdiam lama di atas pokok berembang sebagai tanda memprotes.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

 

Makna Kejayaan dan Persahabatan

Oleh Mawar Safei

PANCINGAN awal cerpen “Sejambak Harapan buat Sahabat” adalah apabila penulisnya, Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid memilih penceritaannya dari sudut pandang orang kedua iaitu Kamu. Watak ini bergerak aktif dan menggerakkan plot cerpen. Watak ini juga berperanan sebagai suara naratif cerpen. Perlakuan ini berbunyi seperti penulis berhubung dengan pembaca. Jarang-jarang sudut pandang begini menjadi kesukaan penulis terutama penulis muda. Mengapakah? Hal ini berlaku kerana dikatakan sukar menukanginya cerpen yang sebegini. Penulis harus menguasai wilayah pemikiran watak dan mengetahui dengan jelas batasan yang tidak harus dilangkauinya. Pasti hal sebegini lebih banyak pertimbangannya berbanding sudut pandang pertama. Atau mungkin penulis muda seperti Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid yang mahukan cabaran dalam kerja kreatif begini. Syabas.

Cerpen ini berawal dengan bersyukurnya watak Kamu terpilih dalam kalangan 10 orang penulis muda yang dibawa ke Eropah untuk tujuan berkarya. Sejak mula lagi watak Kamu sudah berkonflik apabila tarikh akhir kembalinya ke tanah air melangkaui beberapa jam jadual pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2013; sedangkan itulah hari yang sekian bulan dinanti penuh harapan. Namun begitu, menarik juga harapan Kamu bukanlah untuk memperoleh keputusan peperiksaan. Yang lebih penting baginya adalah untuk bertemu dengan teman yang dirindukannya….

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

KEMATANGAN DALAM CERPEN

Oleh Mawar Safei

MENUJU penghujung tahun 2015, kita sudah membaca sekian banyak cerpen yang dihasilkan remaja ataupun mereka yang dianggap barisan penulis muda. Syabas kerana dapat meneruskan tradisi merakam penaakulan dalam penulisan. Mudah-mudahan penulisan kita lebih matang dan mengujakan sama ada sisi persoalan yang diajukan mahupun sorotan teknik gubahan. Ayuh, kali ini kita menekuni cerpen “Kembali” oleh Ariff Mustaffa Hamzah.

“Kembali” membawakan khalayak mengenali watak “Aku” yang mengalami suasana yang dianggapnya “halusinasi” apabila dia ditimpa musibah iaitu kehilangan kerja dan ditinggalkan kekasih. Ya, persoalan yang mungkin singgah dalam kehidupan watak dewasa. Penulis menggambarkan secara kreatif “kembalinya” watak ke pelbagai ruang waktu dan latar. Ia dilakukan penulis menerusi beberapa penggalan cerita. Ia bermula dalam penggalan I sebaik Aku turun daripada bas dan ada bunyi nyaring dari atas kepalanya.

Menerusi penggalan II dan IV membawa Aku ke ruang bertemu dengan Jessica, kekasih yang meninggalkannya, sebelum menceritakana suasana di tempat kerja dalam penggalan III yang dianggap sebagai sebuah penjara. Penggalan V yang pendek, menyatakan bahawa Aku terus dibawa kembali ke masa lalu. Aku kemudiannya menduduki lagi zaman mahasiswa dalam penggalan VI dengan kisah pensyarah yang paling dibencinya. Begitu Aku lalu memasuki ruang remaja yang banyak terkait dengan akhlak yang tidak baik dalam penggalan VII. Bagaimana kemudian didapati pertelingkahan diri yang dialami Aku akibat sikap ibu bapanya yang tidak ada persefahaman dalam penggalan IX. Kesemua penggalan ini mewakili kesuraman hidup yang dijalani Aku dan ia ternyata tidak banyak yang berpihak kepada Aku. Sehingga ada kenyataan yang menyalahi ketauhidan apabila Aku berasa Tuhan tidak pernah adil kepadanya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

PENYUNTINGAN DALAM PENGHASILAN CERPEN

Oleh Mawar Safei

SETIAP kali membincangkan isu pengulangan atau kelewahan dalam penulisan cerpen, pengalaman Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, selalu dibawakan sebagai contoh terbaik. Kecenderungannya mengulang-ulang perkataan, ayat atau frasa, dianggap sebagai gaya bahasa, gaya penyampaian malah akhirnya diterima sebagai idiosinkrasi Shahnon Ahmad.

Namun begitu, membaca cerpen yang dihasilkan penulis muda dengan banyaknya pengulangan, dilihat sebagai hasil kerja yang kurang dirapikan. Membaca cerpen kali ini berjudul “Patih dalam Lumpur” oleh Ramilah Rahim, menemukan banyak pengulangan dan pengulangan. Hal ini dipercayai akibat daripada kurangnya ruang yang diberikan kepada cerpen ini untuk diperhalusi dengan lebih teliti.

Perenggan pertama cerpen ini sejak awal menunjukkan banyaknya pengulangan kata “rumput”. Begitu juga dengan pengulangan “aku” atau “ku” yang bertimpa-timpa dalam cerpen ini. Misalnya, Aku merintih, badanku sangat sarat dengan lumpur paya, sementara itu temanku meninggalkan aku sendirian dalam paya itu.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

BOLA SEPAK DAN CERPEN

Oleh MAWAR SAFEI

Cerpen kali ini tentang sukan bola sepak. Hal ini sangat jelas berdasarkan judulnya, iaitu “Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah”. Penulisnya, Fathul Khair Mohd. Dahlan, cuba melihat bola sebagai perlambangan makna kehidupan yang sering berubah rupa, sama ada bahagia dan resah; berada di atas atau di bawah. Ya, rata-rata pembaca faham maksud “bersegi lima”, bukan sfera yang pentagon (sfera ialah sfera), tetapi corak yang membentuknya itulah yang bersegi lima. Perumpamaan kehidupan itu juga dilihat oleh penulis seperti roda, perlambangan yang lumrah.

Penulis menggunakan beberapa subjudul dalam cerpen ini, bermula dengan “Sfera Bersegi Lima”. Dalam bahagian ini, dicatatkan sejarah bola sepak, iaitu “masyarakat pembina piramid yang memainkannya dengan menggunakan buntilan kain linen.” Kemudian, dicatatkan sejarahnya di Yunani dengan nama episcuro; di China dengan nama tsu chu. Sejarah bola sepak tiba di negara “kami” (watak pencerita dalam cerpen ini) dilihat sebagai antara simbol penyatuan rakyat.

Dalam subjudul kedua, “Ranjau Berliku”, Fathul meneruskan rentetan sejarah bola sepak kami, pasukan Harimau, yang banyak mencipta kegemilangan untuk sekian zaman. Namun begitu, hingga suatu ketika semakin kehilangan banyak nama. “Pasukan kami tiba di titik kejatuhan.”

Bertemu dengan pasukan Indonesia, penulis membawakan imej geroda yang sangat “mewakili” di bawah subjudul “Harimau dan Garuda”. Yang menarik dalam pemerian kisah panjang sejarah bola sepak di rantau ini pula, penulis membawa perlambangan yang dramatik. Misalnya, tentang pasukan Indonesia,

Garuda tidak mahu tewas. Mendepangkan sayap seluas bumantara. Menggelintar mencari mangsa yang boleh dirobek isi perut sebagai santapan perut yang sudah sekian lama bergelojak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

PEMBERITAHUAN DALAM CERPEN

Oleh MAWAR SAFEI

Tidak jarang-jarang pembaca diberitahu dalam sesebuah cerpen; diberitahu secara langsung. Hasilnya, sering juga dirasakan bahawa “pemberitahuan” secara langsung itu seperti mengasak-asak masuk melalui mata dan terus ke kepala. Hal ini menjadikan pembacaan tidak lancar dan menjauhi proses yang sangat alami, yang seharusnya dilalui dengan aman. Pengalaman yang sama ketika membaca cerpen kali ini, “Duri-duri dalam Kehidupan” oleh Suliana Ruhazit.

Cerpen ini mengangkat kisah sengsara ibu yang menyara anak-anaknya apabila ditinggalkan suami yang dipenjarakan. Hasmah, diberitahu oleh pengarang berusia 37 tahun, bekerja di sebuah warung yang terletak 500 meter dari rumahnya. Hasmah bekerja untuk membesarkan lapan orang anaknya, iaitu Safri, Salina, Salleh, Zarul, Zakri, Zarina, Zafwan dan Zaidin.

Teknik memberitahu sangat ketara apabila pengarang secara kronologis menderetkan gerak cerita cerpen ini bermula dengan Hasmah tercicir pinggan ketika bekerja di warung Mak Senah. Pembaca dimaklumkan pemilik warung tersebut berusia 41 tahun. Kemudian, Hasmah menjemput anak-anaknya dari Sekolah Kebangsaan Kampung Sireh. Waktu inilah pembaca diberitahu bahawa anak-anaknya Zarul, Zakri dan Zarian masing-masing berusia 11 tahun, lapan tahun dan lima tahun.

Gerak plot tiba di Tabika Kemas Kubur Kuda, saat Hasmah menjemput anaknya yang berumur empat tahun. Kemudian, pengarang meneruskan latar peristiwa Hasmah tiba di rumah; pembaca sekali lagi diberitahu bahawa anak bongsunya, Zaidin, berusia setahun, dijaga oleh Salina. Beberapa baris contoh berkenaan sangat menunjukkan plot sangat disusun oleh pengarang dari satu titik ke satu titik latar kejadian dalam cerpennya. Kelihatan, pengarang tidak melakukan saringan. Hampir semua pergerakan watak dijadikan sebagai wajah cerita.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

BEBERAPA PEMBAIKAN DALAM CERPEN

Oleh MAWAR SAFEI

Antara baris catatan penulis sebelum ini termasuklah menjalani proses penghasilan cerpen dapat mendidik peribadi kita menjadi seorang yang teliti dan hati-hati. Penulis membayangkan ibarat kita memasuki lorong dalam sebuah hutan. Daripada segala jenis tumbuhan daripada pokok, dahan, ranting, daun dan bunga; daripada suara serangga, burung dan larian anak sungai, kita diasuh menjadi pemerhati, pendengar dan hampir kita gunakan setiap dimensi deria yang ada. Selesai menelusuri lorong itu, kita diminta menceritakan segala yang dialami; pasti kita akan teliti dan hati-hati untuk mengulanginya kembali. Begitu juga yang didepani sewaktu menghasilkan karya kreatif seperti cerpen. Ilham yang diperoleh tidak akan terus diturunkan dalam plot cerita, sebaliknya dicatat, dilakar atau disusun sebaik-baiknya dengan mempertimbangkan mauduk yang hendak dikirim di samping peralatan sastera yang membangunkan karya.

Penulis mahu membincangkan lagi sikap teliti dan hati-hati yang harus ada dalam diri Luqman menerusi cerpen yang dipilih kali ini, iaitu Pengertian oleh Luqman Ariff Lahmai. Izinkan penulis memulakannya dengan memberikan gambaran keseluruhan cerpen ini yang memaparkan watak utamanya, remaja yang dilukiskan alim, iaitu Razali (Ali). Watak banyak memenuhi masa di surau kampung; dari dinihari sehingga tengah malam. Waktunya dipenuhi dengan solat, kuliah agama, membaca al-Quran dan berzikir, dan dia tidak bekerja.

Tumpuan yang hanya pada ehwal ibadah khusus itu mendapat teguran daripada ibunya. Razali ternyata tidak dapat menerima teguran itu. Luqman menampilkan dua watak lain yang turut menegur sikap Razali, iaitu teman baiknya, Zuhairi, dan seorang lelaki yang menegurnya di jalan (penulis mengagak lelaki ini ialah Farez). Namun, Luqman memilih penyelesaian yang mudah di hujung cerita, Razali akhirnya mahu bekerja.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Suara dari Jiwa

Oleh Mawar Safei

Kita dipertemukan dengan Ramadan lalu dalam cerpen “Fitrah Berbeza” oleh Khadijah Khalilah Abdul Rashid. Cerpen ini mengambil latar sebuah rumah anak yatim yang dinamakan al- Tawfiq. Khadijah menampilkan dua watak remaja, iaitu Atiq dan Bukhari, antara yang menduduki al-Tawfik. Cerpen ini dimulakan dengan episod bulan Ramadan yang istimewa, iaitu bangun sahur, iftar dan tarawih. Menerusi slot tazkirah solat tarawih, Khadijah memanfaatkannya untuk mengajukan subjek cerpen ini, iaitu kembali kepada fitrah. Maka, di sinilah letak tautan antara isi cerita dengan judul cerpen. Namun membaca cerpen ini hingga sudah, penulis berpendapat jika mahu dinamakan judul ini dengan “Fitrah” sahaja, sudah memadai. Yang perlu dilengkapkan lagi ialah falsafah fitrah yang berkaitan dengan dua watak yang ditampilkan Khadijah, iaitu Atiq dan Bukhari.

“Fitrah” juga sangat berbetulan dengan latar masa yang dipilih Khadijah, iaitu bulan Ramadan dan menjelang Syawal. Inilah masa yang sangat bererti untuk proses kembali membaca diri dan melakukan introspeksi. Sepanjang Ramadan merupakan ruang menjalani kerja pembersihan atau penyucian diri daripada kekhilafan yang sekian banyak dilakukan sama ada sedar atau sebaliknya. Kemunculan Syawal merupakan saat bagi meraikan kemenangan kerana berjaya menjalani Ramadan. Maka, hal tersebut diingati sebagai Aidilfitri, iaitu kepulangan manusia kepada fitrah asalnya yang suci.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.