Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Puisi

Suara Hati Menukil Puisi Dedikasi

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

KITA tahu bahawa puisi ialah pengucapan suara hati yang santun dan menyentuh perasaan. Namun begitu, penghasilannya bukanlah semata-mata menurut emosi. Falsafah dan pendidikan kental teradun kemas dalam puisi dedikasi. Mengapa? Jawapannya mudah. Puisi dedikasi menghargai seseorang atau sesuatu. Oleh itu, pastilah nukilannya yang terindah dan terbaik serta benar-benar menggambarkan keikhlasan dan kesungguhan.

Puisi pada bulan ini membiaskan dedikasi yang ketara, walaupun hanya sebuah yang mengungkapkan kata “dedikasi”.

Sajak “Bahasa Merentas Masa” menyuarakan hasrat anak muda kepada golongan yang seangkatan dengannya. Penulis mencatatkan sejarah kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca sepelosok dunia. Malangnya, bahasa bertuhankan sekularisme sehingga teralpa nasib bangsa.

Oleh sebab itu, penulis menyeru, mari kita tegakkan bangsa, tegakkan bahasa ibunda kita walau bahasa merentas masa jangan biarkan tersadung di tengah kata.

Puisi ini didedikasikan kepada semua anak pascamerdeka, yang dianggap oleh penulis sebagai “perwira bangsa”. Selain itu, sesiapa pun yang cinta akan bahasa Melayu pasti akan turut terkesan kerana seruannya itu mengenai semua agar memelihara keutuhan bahasa kita. Bersempena dengan perayaan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos ini, sajak ini amat sesuai dihayati dan diperjuangkan oleh semua.

Dari segi gubahan, penulis perlu berani mengolah ayat dan bait yang lebih mantap dan padat. Elakkan penggunaan kata yang sama, seperti kata “peragut” pada bait keempat.

Sajak dedikasi untuk ahli keluarga, “Lelaki”, sangat memikat. Bentuknya susunan juga berlainan, seolaolah menggambarkan “rahsia” dan liku kehidupan “lelaki” yang banyak berjasa dalam hidupnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

 

Posted in: Ulasan Puisi

Memetik Faedah, Menitip Ibrah

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

UNTUK menghasilkan sesebuah sajak, penulis perlu bijak memetik isi yang relevan, diolah rapi dengan menggunakan bahasa yang mantap dan santun. Karya ini kemudian disemak dari semua aspek agar memberikan manfaat kepada masyarakat. Dalam konteks ini, sajak yang berfaedah biarlah yang memberikan ibrah. Ibrah mengajak manusia merenung dan berfikir tentang sesuatu yang dapat dimanfaatkan.

Sajak pada kali ini merakamkan pelbagai rencam kehidupan. Penulis turut memilih idea/isi yang ditimba daripada realiti dan juga imaginasi masing-masing. Hal ini amat biasa. Yang patut ditekankan ialah pilihan kita itu mestilah digilap sehingga bercahaya dan bermakna. Pembaca memperoleh kepuasan kerana tersisip ilmu dan kemahiran.

Sajak “Memburu Cerlang Kerdipan Bintang” amat ringkas, namun mantap dan membekas ingatan dan harapan. Inti pati hal perjuangan yang mendepani pelbagai keadaan sukar disoroti dengan gaya bahasa yang santun dan bertenaga. Kita perhatikan gaya penulis mengungkapkan kesukaran yang dihadapinya:

Kutiti dingin embun

menyeberangi lebar tasik malam

menyuntikkan getir

dalam suam selimut tidur

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

Memahami, Menghargai, Berempati

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

SETIAP ungkapan yang terucap atau tercatat mestilah terolah daripada pertimbangan yang wajar, iaitu pemahaman akan sesuatu yang berlaku di seputar seseorang. Pemahaman tersebut menjurus kepada penzahiran penghargaan dan empati.

Puisi bulan ini jelas menggambarkan keprihatinan dan kecaknaan penulis akan isu yang dipilih. Isu keagamaan, pendidikan, kemanusiaan, dan alam sekitar disorot dengan terperincinya serta disimpulkan dengan jitu.

Sajak “Ghairah Anak Muda” melukiskan rasa simpati dan empati penulis remaja akan nasib rakannya yang masih leka dan alpa. Penulis berasa amat khuatir apabila remaja ghairah mengejar hal keduniaan. Penggunaan enam ayat tanya dalam sajak ini menarik. Sekali gus hal ini memberikan isyarat bahawa kes ini dianggap serius oleh penulisnya.

Mengapakah kehidupanmu ghairah ke sana ke mari?

Apakah yang kaukejarkan dalam hidupmu?

Siapakah lebih hebat?

Siapakah yang lebih berkuasa?

Apakah yang engkau puja-puja dalam dunia ini?

Apakah engkau menganggap sesuatu yang engkau miliki kekal lama?

Secara keseluruhannya, masih ada ruang untuk memantapkan sajak ini. Pengisian makna yang dikupas cantik dan akan menjadi lebih jelas apabila ungkapannya dipadatkan dan dipuitiskan. Namun begitu, pengakhiran setiap bait menyimpulkan nasihat. Hal sebegini amatlah baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

MENAJAMKAN MATA PENA

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

Puisi yang terpilih untuk bulan ini menyerlahkan kepelbagaian pengalaman yang dihimpun sepanjang kehidupan. Pengalaman tersebut mematangkan penulis sehingga menampakkan gaya dan cara yang mantap untuk menangani ujian dan dugaan yang melanda.

Dari segi isi, setiap puisi berjaya memetik kisah yang relevan untuk dijadikan iktibar untuk diri dan khalayak pembaca.

Penggunaan kata, ungkapan, dan ayat terasa puitis serta menampakkan hasil yang berkualiti.

Sajak “Langkah Perjuangan”, walaupun pendek tetapi padat dan menarik. Penulis dengan bijaksana mengungkapkan pelbagai halangan yang telah ditempuh, namun masih tidak berputus asa untuk meneruskan perjuangan.

Baris pertama rangkap tiga, Siapalah aku lelaki kerdil? sedikit mengganggu emosi pembaca. Hal ini sedemikian kerana penulis mengaku kekerdilannya dirinya sedangkan pembaca telah mengiktiraf kegigihannya untuk meneruskan perjuangan.

Baris ini akan lebih berfungsi apabila ayat tersebut ditukar menjadi, Akulah lelaki bersemangat… .

Sajak “Masih Adakah Ruang” pula menitipkan hal kegagalan meneruskan ikatan persahabatan. Namun, dengan semangat waja, penulis ini juga tetap yakin akan hasratnya untuk memperbaiki persahabatan tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

IKTIBAR DARIPADA KEJADIAN SEPUTAR

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

APABILA diamat-amati, kehidupan merupakan perjuangan. Manusia berjuang untuk memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Perjuangan pula ada pasang surutnya, bak laut yang ada ketikanya bergelora, ada ketikanya hanya berombak kecil.

Perjuangan penulis muda pada bulan ini adalah untuk menimba ilham daripada lambang alam. Oleh itu laut, cakerawala, langit, banjir, serta manusia dan mimpinya dijadikan citra untuk iktibar. Kecaknaan ini mempamerkan kematangan penulis dalam menyaring bahan yang terbaik kepada pembaca.

Sajak “Air Laut Biru” membangkitkan semangat berdaya juang yang tinggi. Bagi penulis, laut biru itulah yang mendewasakan dirinya menjadi insan yang tabah. Bentuk sajak akan menjadi lebih kemas selaras dengan temanya yang mantap, andainya ayat yang digunakan lebih ringkas dan mudah. Belajar dan berlatihlah mengungkapkan sesuatu dengan ayat yang padat dan puitis. Contoh:

aku dibesarkan untuk mengenal erti kehidupan

tempat permainan bermula dari kecil hingga dewasa

tempat bermain badai, berhujan dan berpanas

setiap hari

di laut biru ini tenang dan damai jiwa bertapak

menjadi:

membesar mengenal erti kehidupan

bermain badai, berpanas, berhujan

setiap hari;

di jiwa bertapak damai dan tenang.

Dari segi bentuk, seperti sajak pertama, sajak “Aku dan Cakerawala” masih dapat dipuitiskan sehingga menjadi padat. Sajak ini mengungkapkan kekerdilan manusia apabila dibandingkan dengan kuasa Pencipta Yang Agung. Namun begitu, penulis sedar bahawa bermula daripada membina impian untuk menguasai ilmu tentang alam cakerawala, dia yakin cita-citanya akan berhasil suatu hari nanti.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

 

Posted in: Ulasan Puisi

Realiti Memantulkan Keinsafan Diri

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

DI sekitar kita amat banyak petunjuk yang diwujudkan oleh Allah untuk dijadikan iktibar. Pengalaman ini turut memantulkan iktibar kepada para penulis muda. Melalui bahasa yang mudah dan bersahaja, mereka mengetengahkan keinsafan yang dapat diteladani oleh semua. Sajak “Dunia Itu” mengungkapkan pancaroba akibat perbuatan manusia.

      dunia yang penuh dengan puja manusia

      tetapi setiap kali aku ingin melangkah lebih jauh

      terhalang

      terhimpit

      Penulis menampakkan kematangannya dengan ungkapan

      Lihat dalam hati, mengalun doa buat-Mu, Allah

(Ulasan puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

Membenih Pemikiran Mengimbangi Perasaan

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

Alhamdulillah, seorang daripada penulis muda yang kreatif dan beriltizam tinggi baru-baru ini mencipta sejarah sastera tanah air. Muzaf Ahmad yang sering berkarya di sini, terpilih sebagai seorang daripada lima orang pemenang utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. Kumpulan puisi beliau “Jaulah Sampai Syurga” memperoleh RM10,000.00.

Sesungguhnya, kejayaan ini berupaya menggugah kreativiti serta mencabar semangat berdaya saing penulis muda yang lain.

Sajak-sajak untuk bulan pertama 2016 ini menampilkan mutu dan kreativiti yang memberangsangkan. Penulis bijak menyaring episod yang dekat dengan diri mereka, namun terbaik untuk menitipkan manfaat kepada pembaca.

Pengalaman peribadi diolah dalam puisi yang seni memang menggelodak perasaan, namun tetap berimbang.

Sajak “Dari Kota ke Desa” mentafsirkan kehidupan ini kian penuh dengan kerakusan. Di kota hingga ke desa manusia mementingkan keduniaan.

Kesimpulannya, penulis menitipkan fikiran waras agar kita tidak berputus harap malah tetap optimis. Katanya;

Berdoalah agar tumbuh subur

benih-benih kesedaran

biar rendang membuahi telunjuk

santapan akhir zaman.

(Rencana dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

Wadah Perjuangan Prinsip

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

KITA amati kembali makna dua perkara ini. Pertama makna puisi yang merujuk karangan yang indah, ditulis menggunakan kata yang indah, bermaksud indah serta memberi kebaikan kepada pembaca.

Kedua makna prinsip. Prinsip dengan kata mudah “ialah nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang”. Saranan untuk membuat kebaikan atau berusaha untuk berubah, antara perjuangan yang dititipkan oleh penulis.

Sebagai wadah yang memberi manfaat, sajak kerap menyalurkan prinsip penulisnya. Tujuannya adalah untuk membimbing serta menyuntikkan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pembaca.

Selaras dengan itu, amat tepat apabila penulis memperjuangkan prinsipnya untuk diteladani oleh penikmat sastera.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Ulasan Puisi

Kembara Bahasa 2013

Salam.

Mari sertai konvoi Kembara Bahasa 2013 pada 9-12 Oktober 2013 yang diadakan secara serentak di seluruh negara.

Konvoi ini akan membawa peserta ke pelbagai lokasi untuk mengendalikan aktiviti bahasa, persuratan, kebudayaan dan kemasyarakatan bersama-sama masyarakat umum.

Bayaran tol, minyak kereta, penginapan, air mineral, insurans berkelompok, cenderamata, elaun harian dan sijil penyertaan disediakan.

Hantar borang penyertaan menerusi faks, 03-2148 4208 atau e-mel, sitizubaidah@dbp.gov.my
Maklumat lanjut, hubungi 03-21482261 / 017-3915560.

Muat turun borang penyertaan

Posted in: Ulasan Puisi

LONTARKAN CONTOH TELADAN

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

Saya pernah memetik definisi puisi Pendeta Za’ba yang amat mantap dan mudah difahami, “Puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.”

Pada kali ini, seiring dengan definisi tersebut, saya sertakan definisi puisi oleh Coleridge, yang berbunyi, “Kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.”

Sekilas, gabungan kedua-dua definisi ini ialah sajak yang kita cipta mengemukakan fikiran yang cantik dalam gaya bahasa yang juga cantik. Namun demikian, kata-kata yang kita pilih mestilah disusun dengan cara yang terbaik juga. Semuanya kita lakukan dengan cara “yang terbaik” agar khalayak mudah faham, mendapat iktibar serta tidak berlaku salah tafsir.

Sajak pertama “Mendakap Nikmat” mengungkapkan perasaan insaf penulis sajak yang selama ini tidak mensyukuri nikmat pemberian-Nya. Oleh itu, pada rangkap akhir, penulisnya berdoa agar dilimpahi dan diredai Allah. Idea sajak ini cantik dan turut menggamit dan mempengaruhi khalayak agar sama-sama berasa insaf akan kekurangan dan kelemahan selama ini. Sayangnya, kelima-lima rangkap sajak ini terasa agak lewah dari segi pemilihan dan penyusunan kata. Lewah di sini bermaksud mewah, malah ada yang tidak diperlukan.

Perhatikan baris kedua dan ketiga dalam rangkap pertama. Kata “renung” sudah bermaksud “menjamah penglihatanku”.

Kurenung dada langit

Menjamah penglihatanku

Dari segi susunan baris pula, “kurasa semakin dekat dengan-Nya” amat molek jika dijadikan sebagai baris akhir yang menyimpulkan keseluruhan rangkap pertama. Baris ini, sekali gus, menjadi inti dan falsafah sajak ini. Apabila dimurnikan rangkap pertama menjadi,

Kala

kurenung dada langit

keindahan waktu fajar

semakin mengembangkan sayapnya

menakluki suasana alam

kulihat sang burung pipit

terbang riang menghiasai langit biru

betapa indahnya, masya-Allah

kurasa semakin dekat dengan-Nya

___

Ulasan ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012.



Posted in: Ulasan Puisi