Home » Nukilan Kreatif » Ulasan Puisi (Page 2)

LONTARKAN CONTOH TELADAN

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

“Sesiapa yang memberikan contoh teladan, maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang-orang yang mencontohi perbuatannya hingga kiamat.” Demikian sabda Rasulullah SAW (daripada Jarir r.a. daripada ayahandanya.)

Dengan kata mudah, sebagai penulis kita amatlah dituntut agar mengungkapkan kebaikan supaya tersebar sinar cahaya untuk dimanfaatkan oleh semua. Sekali gus, kebaikan juga akan terserlah dalam diri kita untuk dikongsi oleh khalayak. Allah turut berjanji segala kebaikan, walau sepatah kata, akan mendapat ganjaran yang besar.

Kelapan-lapan buah sajak yang terpilih untuk keluaran kali ini, alhamdulillah menyeru agar khalayak pembaca terangsang untuk melakukan kebaikan. Tahniah kepada lapan orang penyajak muda yang berbakat.

Sajak ”Di Sini”, “Pastiku Mampu”, “Seorang Merdeka” dan “Berbakti Berbudi” tepu dengan unsur positif dan optimis. Sementara itu, sajak “Mempertaruhkan Nasib”, “Puing-puing Cinta”, “Apakah Ertinya” dan “Aku” masih menyisipkan sinar perjuangan, meskipun diulit rasa ketidakpastian.

Pemaparan idea dan amanat dalam semua sajak agak sederhana. Penyajak menggunakan kosa kata dan diksi yang biasa dan tidaklah bombastik. Hal ini sedemikian mungkin kerana penyajak muda ini lebih berhati-hati dalam menggarap idea. Pengalaman baharu meneroka bidang penulisan dilakukan dengan cara berhemah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Ulasan Puisi

SEDERHANA DALAM MEMUKAU

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

Mahaya Mohd. Yassin mantan pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar dan kini Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Beliau juga merupakan penyair mapan tanah air yang kerap memenangi anugerah dan hadiah sastera.

Lapan buah sajak yang menyerikan halaman Puisi Siswa kali ini menggambarkan perkembangan normal diri penyajak muda. Mereka mempunyai visi dan misi, menikmati kemajuan terkini serta dilanda perasaan cinta.

Sajak “Harapan” dan “Turapan Harapanmembawa hasrat yang amat besar. Sebagai remaja, kedua-dua penyajak ini amat prihatin akan hal persekitaran yang menuntut penglibatan mereka. Dalam “Harapan”, penyajak terasa amat bersimpati akan nasib seseorang.

budak kecil…

bekas luka masih berdarah…

masih memegang cawan usang

meraih simpati

Usaha budak yang diherdik dan dicederakan itu amat mulia. Harapannya, dengan wang sedekah yang akan diperoleh, dapatlah digunakan untuk mengubati penyakit ibunya. Keseluruhan sajak ini mudah, padat dan menarik. Kata-kata yang biasa, tetapi tepat penggunaannya, memang memukau. Sikap optimis budak kecil pun meyakinkan. Kata penyajak sering kali dan terukir senyuman waja berjaya meraih simpati pembaca. Meskipun dalam kesukaran, dia tetap tersenyum. Itulah tanda keikhlasan budak tersebut.

Apabila diamati, rangkap pertama terasa tidak perlu. Citra yang terungkap dalam rangkap ini tidak seimbang dan berkesinambungan dengan hal yang terdapat dalam ketiga-tiga rangkap yang seterusnya. Mungkin penyajak mahu menggambarkan harapan pengemis kecil yang disandarkannya kepada ihsan orang ramai. Namun, kata kilat, menghalilintar, titis air dan membasahi bumi terasa berlebih-lebihan atau berat berbanding dengan citra lain dalam keseluruhan sajak.

Posted in: Ulasan Puisi

Menyunting Kelainan, Mengimbang Perasaan

oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

DALAM keluaran terakhir tahun ini, kita berpeluang menatap lapan buah sajak yang dihasilkan oleh pelajar pilihan yang menyertai Program Perkampungan Penyajak Muda Peringkat Negeri Sembilan 2011. Program yang melibatkan 106 calon dari 102 buah sekolah menengah itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap, Johol, Negeri Sembilan, pada 23 hingga 25 September yang lalu.
Kelapan-lapan kuntum sajak ini menyimpulkan keprihatinan penyajak muda terhadap persekitaran yang mewarnai kehidupan mereka. Sebagai perakam peristiwa dan cita rasa, penyajak turut mengemukakan kelainan dengan gaya yang tersendiri.
Sajak “Hidup” yang mengisahkan perjuangan untuk mencapai kejayaan memang biasa. Namun, sajak mudah ini memetik sebuah peribahasa Cina sebagai pengenalan yang cantik. Cara ini jarang-jarang dilakukan oleh penyajak muda yang lain.
Halia tua pedas rasanya bermaksud semakin dewasa seseorang itu, semakin banyak ilmu, pengalaman dan jasanya. Pengenalan ini seperti mengingatkan kita bahawa mereka yang seperti ini mestilah diutamakan dan dihargai. Sajak ini terasa amat istimewa kerana penyajaknya turut melakarkan dialog warga emas yang memerlukan perhatian. Tanpa disertai tanda baca pengikat kata, rangkap kedua sesungguhnya menggambarkan rayuan tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Ulasan Puisi

Anafora Mempesona dan Bermakna

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

“Puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.” Demikian definisi puisi oleh Pendeta Za’ba yang amat mantap dan mudah difahami.

Penulis tidak jemu-jemu mengutarakan pendapat Za’ba ini, malahan penulis benar-benar berharap para penyajak muda dapat menghafaz, mengamati serta menggarap puisi berdasarkan pendapat yang jitu ini. Ungkapan, “melafazkan fikiran yang cantik”, “melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa”, dan “dengan gambaran yang cantik perkara yang dikatakan bertambah menarik”, patut dijadikan panduan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Ulasan Puisi