Home » Nukilan Kreatif » Cerpen untuk Siswa

PUSARAN MEMORI PILU

Oleh   Bahtiar Omar

 Berita sedih mangsa lemas melalui televisyen itu membuatkannya terpaku sehingga biskut yang dikunyah masih berkumpul di rongga mulut. Dia menelannya perlahan-lahan, namun terasa berketul-ketul melalui kerongkong yang seakan-akan tersumbat. Dia terbatuk kerananya. Ayah yang berada di situ hanya memerhatikan Rizar terkesima tidak keruan. Anaknya itu dilihatnya sedih memendam perasaan. Keadaan itu difahami oleh Haji Kamarul.

 “Riz sudah bersiap untuk temu ramah esok?”

 “Dah, ayah. Esok Riz pergi dengan Faiz, Syamer dan Cikgu Shiqin.”

 “Baguslah, ayah berdoa semoga Riz berjaya. Jangan lupa membawa alat perakam suara itu.”

          Haji Kamarul menyambung bacaan buku di tangannya. Pada masa yang sama, dia turut menumpang dengar berita daripada televisyen di hadapannya, lagipun berita itu boleh diketahui kembali melalui talian internet daripada telefon bimbitnya. Dia juga duduk berehat sebelum menyambung talaqi al-Quran bersama-sama seorang ustaz yang datang ke rumah sebanyak dua kali seminggu. Ibu pula sibuk di dapur.

          Rizar meminta izin untuk masuk ke dalam biliknya. Di dalam bilik itu, dia melihat beberapa gambar dan maklumat daripada keratan akhbar yang disusun di bawah cermin meja. Dia menelitinya. Air matanya bergenang, teringat akan saat cemas yang pernah dihadapi. Ingatannya tentang peristiwa itu masih kukuh. Kehilangan teman rapat masih terasa. Iktibar kejadian menyemarakkan iltizam anak remaja ini membaiki diri.

***

(rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

SEPUCUK SURAT DARIPADA ANA

Oleh   Wadiassofi Jaafar

 Jamilah berasa gembira. Persahabatan yang terjalin antara dia dengan sahabatnya, Ana Balqis, menjadi saat manis yang sukar untuk dilupakan. Walaupun terpaksa berpisah kerana menuntut ilmu, Jamilah tetap mengingati sahabatnya itu.

          Sejak melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Ana Balqis terpaksa berpisah daripada Jamilah. Demi cita-cita, Ana Balqis terpaksa melupakan persahabatan yang terjalin itu buat sementara.

          Saat bersama-sama ketika menuntut ilmu sewaktu di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim menjadi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh Jamilah. Walaupun ketika itu Jamilah berada dalam tingkatan empat dan Ana Balqis dalam tingkatan lima, keakraban mereka jelas terpancar pada wajah masing-masing.

          Jamilah tinggal sekampung dengan Ana Balqis. Keakraban mereka mendapat pujian daripada keluarga masing-masing. Jamilah begitu merindui persahabatan yang sudah lama terjalin antara mereka.

          Jamilah tidak mahu jalinan persahabatan yang terbina itu hancur di pertengahan jalan. Seboleh-bolehnya Jamilah mahu landasan perhubungan antara mereka terus mekar mewangi di persada persahabatan yang kekal abadi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Cengal Pasir

Oleh Hashim Latiff

SELEPAS hujan berhenti, Ngah mengambil serawan tali sebesar ibu jari kaki orang dewasa dan sebilah kapak bermata tajam. Dia hendak ke hilir kampung. Dia hendak mengambil upah menebang pokok cengal pasir yang berusia hampir 50 tahun itu. Pokok itu berumbi sebesar tiga pemeluk orang dewasa dan tinggi melangit melepasi kampung. Warga petani dan nelayan menjadikan pokok itu sebagai penanda kampung. Kalau mereka tidak tahu akan jalan untuk pulang ke kampung, mereka akan mencari pokok cengal pasir itu. Pokok itu kepunyaan Ayah Nik. Pada peringkat permulaan, Ayah Nik meminta Abang Jidin menebang pokok itu. Namun begitu, Abang Jidin sibuk. Dia ke kampung Alur Pak Ronik. Dia hendak menebang pokok kuin di sana. Kemudian Ayah Nik bertemu dengan Pak Teh Mail. Pak Teh Mail juga tidak ada masa. Dia sudah berjanji dengan Tuk Ketua Hassan hendak ke Tak Bai, menziarahi warisnya yang sakit di sana. Akhirnya dia meminta pertolongan daripada Ngah.

Ngah tidak ada masalah untuk menjalankan kerja sedemikian. Cukup mudah. Namun begitu, jika tidak ada pengalaman dan keberanian, kerja yang senang menjadi payah dan sukar, apalagi apabila ditugaskan untuk mengerat batang kelapa tanpa menumbangkan pokok itu. Namun demikian, bagi Ngah, semua itu sudah menjadi asam garam buatnya. Tidak ada keresahan atau ketakutan merimbun di dalam dirinya untuk menjalankan kerja mencari seraup rezeki yang halal. Peluhnya yang jatuh bertaburan di dada bumi ialah kerajinannya. Urat yang timbul di lengannya ketika mengerat kayu atau batang kelapa ialah keikhlasan dan ketulusan hatinya. Apa-apa yang dilakukan bukan untuk dirinya, tetapi buat adiknya yang masih di alam pengajian.

“Baik engkau cari kerja lain, Ngah. Inikan kerja bahaya. Sudah banyak yang maut dibidas serpihan kayu sewaktu membuat kerja menebang pokok ini!” resah nada suara Umar ketika mereka bertemu di hujung sawah.

“Nak cari kerja apa lagi? Nak suruh aku jadi kuli panjat bukit kandar getah?” Ngah membalas kata-kata Umar. Dia masih mengasah mata kapak. “Tapi…” Umar gantung pertanyaan di situ. “Umar, adik aku sedang belajar di pusat pengajian tinggi. Dia memerlukan wang belanja. Rebah bangun, aku kena bantu dia!” tekad Ngah.

“Dengan mempertaruhkan nyawa engkau?” tanya Umar. Ngah mengangguk. Dia berhenti mengasah mata kapak. Dia merenung jauh ke hadapan. Dia tidak merungut meskipun sudah menjadi yatim piatu pada usia remaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Cerita Sara Leong

Oleh Malim Ghozali PK

BAGAN itu kini dirundung kesepian-laksana pusara tua yang sudah tidak dipedulikan lagi. Bagan itu telah wujud sejak lama. Mungkin seratus tahun atau lebih. Mengikut cerita nenek Sara Leong, di bagan itulah leluhur mereka mendarat setelah berminggu-minggu membelah Laut China Selatan, berjuang dengan ombak dan ribut. Banyak juga yang kecundang di tengah lautan, apabila kapal mereka karam dipukul taufan atau menjadi mangsa lanun di Selat Siam.

Kenangan itu bermain-main di benaknya. Dia terbayangkan betapa hampir setiap petang selepas waktu sekolah, Abang Tamrin akan bersama-sama Sara di jeti bagan. Kadang-kadang Sara menemani Abang Tamrin memancing sembilang. Pada masa-masa yang lain, mereka menelaah kerja sekolah di bawah pokok jambu laut. Hanya ada sebatang pokok jambu laut di jeti itu. Daunnya cukup lebat dan memberikan teduhan yang lumayan. Pada musim berbunga, banyak burung kelicap berterbangan dari ranting ke ranting.

Sudah lama dia tidak kembali ke bagan. Sebenarnya tiada lagi urusan yang menyebabkan dia harus kembali ke situ. Ayah dan ibunya sudah lama pergi. Rumah pusaka juga sudah dijual. Di atas tapaknya kini terdiri sebuah stesen minyak. Hampir semua sepupunya sudah berpindah ke bandar lain. Ada juga yang tinggal di luar negara.

Kenanganlah yang membawanya semula ke bagan setelah sekian lama meninggalkannya. Dia ingin menyegarkan semula kenangan lama di wilayah itu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Kancil, X-trail dan Sebuah Bengkel

Oleh Abang Median Abang Said

LANGIT berat pada petang itu akhirnya runtuh menghunjamkan bilah gerimis di atas jalan. Bandar raya Kuching kebasahan. Angin petang pasti kuat di luar. Dahan kecil bergoyang dipuput angin. Nasib baik tidak disertai guruh yang memekik seperti selalu. Awan hitam yang membuntingkan hujan sudah menjadi rutin pula biarpun sudah bulan Februari. Situasi yang seolah-olah musim tengkujuh. Semuanya berebut-rebut melahirkan hujan.

Kereta pula berhimpit-himpitan ingin keluar daripada kesesakan. Semua itu lumrah selepas pukul lima petang. Trafik merangkak dari segenap penjuru. Kereta berlumba-lumba melampiaskan ketidaksabaran pemandunya yang ingin emnamatkan seksaan batin di garisan penamat, iaitu di pintu pagar rumah. Kereta besar menjerit menunjukkan kesombongan pemamndunya. Semuanya menjadikan penumbang kepada tekanan darah penghuni kota. Aku tenang memandu. dalam usiaku yang kian mencecah usia persaraan, ketenangan sentiasa menemaniku. Aku menolak tombol gear tanpa rasa kalut. Aku tidak pula pernah rasa kerdil biarpun setiap hari aku hanya memamandu kereta Kancil lama yang berkuasa 660 cc sahaja. Biarpun anak dan isteriku sering berleter menyuruh aku membeli kereta baharu, aku tidak menghiraukan rengekan mereka itu. Persis budak hingusan. Biarlah. Aku senang dan tenang dengan tidak menanggung hutang.

Sewaktu kereta Kancil kelabuku melalui jalan kereta api, tiba-tiba keretaku bergerak tersengguk-sengguk. Enjin kereta pula mengeluarkan bunyi yang agak kasar. Jarum suhu kereta juga mencanak naik. Pergerakan yang tersengguk-sengguk, lalu akhirnya berhenti terus. Bahagian bonet enjin juga kelihatan mengeluarkan asap. Semua kereta menjerit dengan bunyi hon yang panjang. Pedal minyak sengaja ditekan untuk menunjukkan protes pada keretaku yang menghalang laluan mereka. Menderum kereta mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

 

Bukan Kupinta Bulan di Awan

Oleh Sara Salwana

JEJAKKU berasa kaku di sini. Di tempat yang belum pernah aku duduki sepanjang hayatku walau aku darah dagingnya. Seingat aku, tidak pernah secalit pun aku merasakan kasihnya, apatah lagi untuk menikmati dakap lembutnya. Untuk memijak istananya yang indah ini aku seperti bermimpi. Dia dan daerah ini tidak pernah pun memandikan aku dengan kasih sayang. Walau aku anaknya. Sekalipun aku tidak pernah mencerna alam kanak-kanakku di sini. Apa-apa lagi untuk mengusap pagiku dengan embun di hujung daun, menyedut sinar suria di kaki langit, serta mendengar alun kicau sang unggas. Untuk menyumbat kerongkongku dengan isi bumi yang ada di sini pun amat mustahil. Aku hanya berpeluang menikmati semua ini ketika bersama-sama nenek dan ibu sahaja. Ternyata, daerah ini pengasingan buat diriku dari alam realiti hidup yang pernah kutempuhi selama ini.

Aku masih ingat, waktu itu di rumah Mak Lang, ibu saudaraku, sedang diadakan majlis kenduri arwah. Berbagai-bagai juadah enak disediakan. Ayam masak merah, dalca, ikan panggang dan air asam, semuanya cukup menyelerakan tekakku. Anganku apabila siap sedia juadah ini dihidangkan, aku akan makan sepuas-puasnya.

Tetapi lelaki yang menggelarkan dirinya ayahku tiba-tiba datang. Memaksa aku mengikutnya, sedang waktu itu selera makanku membuak-buak. Alasanku tidak dipedulikannya. Dia lebih suka memaksaku.

Dek kerana pujukan Mak Teh aku memaksakan diri membolosi tembok yang tidak ingin kumasuki ini. Kesabaran hatiku bagai ditujah mata lembing, terus koyak rabak. Dahulu telah kututup pintu hatiku untuk mendakap manja tubuh sasa itu. Apa-apa lagi menyebut kalimah “ayah” yang sering dipinta aku menyebutnya setiap kali dia datang berkunjung ke rumah Mak Lang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

 

CENDAWAN SISIR

Oleh Hashim Latiff

DEMI ibu yang disayangi dan pelajaran yang mesti diteruskan, Hilman meneruskan hasratnya untuk ke Bukit Tiga Beradik. Dia hendak mencari cendawan sisir. Biarpun harga cendawan itu ketika ini tidaklah semahal harga barangan yang lain, dia tetap mencarinya. Dia hendak menjual cendawan tradisional itu dipasar pagi, berdekatan dengan Sungai Kuala Jambu.

Hasil jualan itu akan digunakan untuk mengubati sakit ibu. Ibu cedera ketika turun daripada teres selepas memunggah susu getah. Kaki ibu tiba-tiba sahaja terpijak tunggul senduduk yang tajam. Ibu tidak tahu macam mana kejadian itu oleh terjadi. Seingat ibu, kawasan itu tidak ada tunggul. Jalan itu sudah biasa dilalui oleh ibu. Sebagai akibatnya, kaki ibu bengkak dan bernanah. Hilman telah membawa ibu ke klinik kesihatan. Alhamdulillah, nampaknya sudah ada perubahan di kaki ibu. Untuk sehari dua ini, Hilmanlah yang mencari sumber pendapatan untuk menyara insan yang berhati mulia itu. Kata Ustaz Dasuki, memuliakan ibu bapa menyamai pahala haji dan umrah. Memuliakan ibu bapa juga menghasilkan kenikmatan syurga. Allahuakbar. Hilman mengidamkan semua itu.

Biarlah hari ini dia bersusah demi ibu yang melahirkannya. Dia tahu, kesusahan dan kepayahan itu akan berakhir juga pada suatu hari nanti. Ketika ibu sedang bertarung dengan kesakitan, biarlah dia yang mencari sedikit rezeki. Ayah sudah lama pergi selepas cedera teruk saat bertarung dengan Pak Belang di hutan Bukit Kecupu. Semua itu ujian. Hilman tahu. Ujian itu sering kali berlaku terhadap apa-apa yang disayangi. Allah memberinya seutas ujian dan dia mesti melepasi ujian itu dengan apa-apa cara sekalipun demi ibu dan dirinya.

“Engkau nak cari cendawan sisir di situ?” Ada kebimbangan dalam diri Aqim.

“Kenapa?” Hilman merenung ke muka Aqim.

“Ngah Muin kata di kawasan itu ada ular tedung selar besar!” Aqim meyampaikan apa-apa yang didengarinya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

RUMAH UNTUK DERMOCHELYS

Oleh Muzaf Ahmad

SEKIRANYA tiada  yang mahu bersahabat dengannya, dia rela bersahabat dengan ikan, ketam, penyu, sotong dan udang. Dia membesar sebagai budak kampung di pinggir laut. Kehidupannya dengan laut tidak dapat dipisahkan. Dia suka akan kedamaian dan ketenangan kehidupan di situ. Pasir pantai yang memutih, air laut yang jernih dengan debur ombak yang sering memanggil mesra, juga bayu yang bertiupan.

Menginjak usia remaja, dia mendapat tawaran untuk mengambil jurusan kejuruteraan dan perubatan. Namun begitu, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran di Akademi Laut Malaysia. Dia bercita-cita tinggi mahu berkhidmat dengan laut dan hidupan di dalamnya. Kini, dia bergelar kelasi.

Tidak banyak orang yang berminat untuk bekerja sebagai kelasi. Mereka menganggap pekerjaan tersebut membosankan dan tidak mendatangkan sebarang pulangan. Mereka tidak sanggup bekerja di tengah laut. Pada hakikatnya, bekerja di atas kapal dan berlayar selama berminggu-minggu menuntut kesabaran yang cukup tinggi.

Johari sememangnya merupakan calon yang benar-benar layak. Dia tidak pernah mabuk laut ketika berlayar. Mungkin minatnya yang begitu mendalam serta kehidupannya di pinggir laut sejak kecil menjadi rahsianya.

Johari tidak mengharapkan bahawa dengan jawatannya sebagai kelasi, dia dihargai masyarakat setempat. Dia hanya mahu mengajak masyarakat sama-sama menghargai nikmat keindahan alam sekitar yang dikurniakan oleh Tuhan.

Lamunannya meretak, lalu pecah. Tiba-tiba angin bertiup kuat dan ombak meninggi. Bot sederhana besar yang dipandunya terumbang-ambing sedikit. Seketika kemudian, laut tenang kembali. Beberapa ekor ikan lumba-lumba yang bermain keriangan menarik perhatiannya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

 

 

Kalendar Merah dan Si Penenun Cinta

Oleh Mohd Helmi Ahmad

TIBA tahun monyet nanti, aku datang melamar engkau. Jangan pula masa itu engkau menolak atau lari.” Mengenangkan kata-kata Goh Leng itu ada berasa lucunya. Lelaki Cina kacukan Bidayuh, Sarawak itu selalu menyakatku. Jadi kata-katanya itu kuanggapkan sekadar gurauannya sahaja. Memang dalam kalendar Qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan, antaranya tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir. Lelaki yang pelat berbahasa Melayu itu sungguh yakin akan melamarku sebagai isterinya.

Namun, peristiwa itu sudah lama berlalu. Maafkan aku, Goh Leng, aku bukannya sengaja menghilangkan diri apatah lagi menjauhkan diri daripada engkau, tetapi aku terpaksa lakukannya demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Kita tidak mungkin dapat disatukan. Perbezaannya melebihi persamaan yang bakal menyisih persengketaan antara kita.

“Kenapa engkau bawa balik perempuan Melayu ni?” Aku yang baru sahaja hendak melabuhkan punggung di sofa, tersentak. Kata-kata daripada papa Goh Leng itu tercampak ke ruang tamu. Mataku mengiringi pergerakan turun papa Goh Leng dari tangga yang menghubungkan tingkat atas dan bawah. Tangga kayu itu nampak antik.

“Saya nak memperkenalkan kepada papa dan mama.” Perempuan yang berkaca mata tebal itu mengiringi papa Goh Leng. Jadi, mama yang dirujuk oleh Goh Leng itu barangkali perempuan itu. Lantas aku berkira-kira hendak bangun menuju ke arah mama Goh Leng untuk bersalaman. Bukankah budaya Melayu itu selalu berjabat salam untuk mengeratkan silaturahim?

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Din

Oleh Wan Nor Aziemah Wan Azman 

“PERNAH Dr. Orkid bertanya di mana dunia Din sebelum ini? Ketika kita tidak muncul di hadapannya.” Dia mengambil secawan teh lemon, hanya sekadar merapatkan cawan pada bibir tanpa deria bunyi. Barangkali wanita intelek dan gah ini merasa keletihan setelah usai tugas di Sintok. Dia yang menjanjikan untuk bertemu Din secara zahir sewaktu di dalam pesawat tempoh hari. Pandangannya yang sayu itu jelas kelihatan apabila asyik memerhatikan kelakuan Din sejak dari awal.

          “Jangan direnung Din sebegitu. Bimbang jika dia menggusarkan keadaan. Lebih baik berlaku riang supaya Din tidak merasa pelik.” Aku membetulkan kolar baju Din sambil mengusik pandangannya yang memandang sepi ke arah jalan. Sengaja aku membawa Din keluar dari rumah supaya dia tidak gerun melihat orang ramai yang berkunjung. Sudah lima hari rumah cengal Nek Cha tidak henti menerima kedatangan manusia. Siang dan malam sentiasa ada.

          “Usia Din seperti saya. Waktu dunia saya dan dia berputar. Saya sedang merasa zon keselesaan dan kesempurnaan tetapi tidak pada diri Din. Dia menjalani dunianya sendiri tanpa keluhan dari bibir. Saya melihat dia tenang dengan perwatakan dirinya seperti sedang bersyukur dan menerima takdir. Tetapi insan seperti Din ini lebih beruntung kehadirannya.” Aku sekadar tersenyum mendengar jawapan Dr. Orkid yang leka merenung Din tanpa beralih. Hamburan manik jernih kelihatan pada celahan matanya. Din sekadar mengerling ke atas, kanan dan kiri. Sesekali dia sengaja mengambil sekeping biskut di piring, kemudian diletakkan di atas meja yang tidak beralas. Diambilnya kembali dan dicelupkan ke dalam cawan milo panas. Membiarkan biskut itu terendam lama dan terapung kembang.

                                                           ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)