Home » Nukilan Kreatif » Cerpen untuk Siswa (Page 2)

Din

Oleh Wan Nor Aziemah Wan Azman 

“PERNAH Dr. Orkid bertanya di mana dunia Din sebelum ini? Ketika kita tidak muncul di hadapannya.” Dia mengambil secawan teh lemon, hanya sekadar merapatkan cawan pada bibir tanpa deria bunyi. Barangkali wanita intelek dan gah ini merasa keletihan setelah usai tugas di Sintok. Dia yang menjanjikan untuk bertemu Din secara zahir sewaktu di dalam pesawat tempoh hari. Pandangannya yang sayu itu jelas kelihatan apabila asyik memerhatikan kelakuan Din sejak dari awal.

          “Jangan direnung Din sebegitu. Bimbang jika dia menggusarkan keadaan. Lebih baik berlaku riang supaya Din tidak merasa pelik.” Aku membetulkan kolar baju Din sambil mengusik pandangannya yang memandang sepi ke arah jalan. Sengaja aku membawa Din keluar dari rumah supaya dia tidak gerun melihat orang ramai yang berkunjung. Sudah lima hari rumah cengal Nek Cha tidak henti menerima kedatangan manusia. Siang dan malam sentiasa ada.

          “Usia Din seperti saya. Waktu dunia saya dan dia berputar. Saya sedang merasa zon keselesaan dan kesempurnaan tetapi tidak pada diri Din. Dia menjalani dunianya sendiri tanpa keluhan dari bibir. Saya melihat dia tenang dengan perwatakan dirinya seperti sedang bersyukur dan menerima takdir. Tetapi insan seperti Din ini lebih beruntung kehadirannya.” Aku sekadar tersenyum mendengar jawapan Dr. Orkid yang leka merenung Din tanpa beralih. Hamburan manik jernih kelihatan pada celahan matanya. Din sekadar mengerling ke atas, kanan dan kiri. Sesekali dia sengaja mengambil sekeping biskut di piring, kemudian diletakkan di atas meja yang tidak beralas. Diambilnya kembali dan dicelupkan ke dalam cawan milo panas. Membiarkan biskut itu terendam lama dan terapung kembang.

                                                           ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Tetamu Tuan Putin

Oleh Alias Ismail

SATU

SUKAR untuk aku katakan bahawa sekarang aku betul-betul berada di persimpangan fikiran. Kenapakah aku berkeadaan sedemikian? Begini kisahnya; aku tidak pasti ada atau tidak orang mahu percaya akan kata-kataku. Sebenarnya, ketika catatan persoalan ini kupahatkan dalam sebuah diari nipis yang kusam, aku baru sahaja beberapa minit habis berkomunikasi dua pasang bola mata dengan seorang lelaki kacak tinggi lampai, berkulit cerah, dan berambut sederhana pendek perang keemasan.

Kata lelaki berbibir nipis itu, dia merentas benua dan menyelak tabir bahasa ke sini semata-mata mahu menemuiku atas gesaan ketuanya – Tuan Putin. Aku tergamam sejurus. Beberapa perkara melintasi fikiran. Dalam ketergamamamku, dia melantunkan pertanyaan yang lebih kurang begini bunyinya “Tahu siapa Tuan Putin?”

Sudah tentulah aku hanya mampu membungkam dengan mata tidak berkelip. Kerana aku diam sahaja, dia meneruskan bicaranya. Kata lelaki itu, Tuan Putin ialah Vladimir Putin. Aku terus diam. Pelanjutan katanya menyebabkan mulutku terkunci. Aku memandang langit fajar sambil melihat bulan pucat yang tersangkut di dahan awan.

Kini, perihal siapa pemilik nama Vladimir Putin menjadi fokus fikiran. Aku tahu siapa orang itu. Vladimir Putin suatu nama besar pada mata dunia. Beliau berkuasa; lebih tepat lagi “sang penguasa!” Kerana beliau orang hebatlah, maka kini aku berada pada persimpangan fikiran. Ini faktanya – aku dikunjungi wakil Tuan Putin pagi tadi dalam beberapa tempoh yang tidak terjangka dan kami baru selesai berkomunikasi.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

PEMAIN PALING DIBENCI

Oleh Muhammad Hafizuddin Salleh

MEREKA dipulaukan. Dia, isteri dan anak-anak serta seluruh keturunannya telah menjadi bahan sumpah seranah dalam sukan bola sepak. Semua kerana perbuatan yang pada mulanya nampak baik dan berniat suci mahu mempertahankan maruah negara, akan tetapi telah menjadi sebab mereka anak-beranak diharamkan menyarung but bola dan bermain di padang.

“Bola sepak Kehilangan Permata.”

“Tiada Lagi Siaran Langsung Liga Sepanyol.”

“Jualan Tiket Piala Dunia Merosot.”

“Penaja Mula Angkat Kaki.”

Dia mencabut satu demi satu helaian berita surat khabar yang ditampal penunjuk perasaan di rumahnya dua hari lepas. Baru hari ini dia berani keluar rumah setelah himpunan orang ramai sudah bersurai. Kelihatan halaman rumah penuh dengan sampah sarap, plastik makanan ringan, dan cebisan mercun, bersepah-sepah hingga ke tempat letak kereta.

Tangannya terketar-ketar mengambil jersi bernombor 17 dengan nama Hasyim yang sudah bergumpal dan hampir terbakar di atas lantai. Hanya bendera Malaysia sahaja yang masih jelas pada jersi itu. Nama dan nombor yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kebanggaan, sudah tidak kelihatan kerana kesan terbakar. Dengan tangannya itu juga dia menggosok-gosok bahagian nama dan nombor itu agar kelihatan lebih elok sedikit, lalu dipanggil isterinya.

“Mah, mari ke sini sekejap tolong saya.”

“Ya bang sekejap, saya datang ni.”

“Ada apa bang?”

“Bawa masuk ke dalam. Tolong cucikan bersih-bersih.” Hasyim menghulurkan baju itu kepada Hasyimah. Ada manik-manik jernih yang meniti di tepi matanya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

WAKAF ISTIQAMAH

Oleh Husna Nazri

WAKAF kayu itu sudah sekian lama tersergam di situ. Di kawasan pencil yang memisahkan antara sebuah tanah perkuburan dengan jalan raya utama yang menghubungkan kampung pendalaman ini dengan pekan terdekat. Ciri-ciri binaannya yang berbentuk tradisional pada kelarai dinding serta sutuh perabung menunjukkan wakaf ini sudah sekian lama wujud di sini. Barangkali sudah menjangkau puluhan atau ratusan tahun lamanya. Panggilan “wakaf” pada binaan klasik ini memberikan konotasi makna yang cukup tersirat kepada kariah penduduk yang memberikan pengertian bahawa di situlah tempat berhenti atau ruang merehatkan diri selepas seharian berpenat lelah menjalankan urusan kehidupan.

Menurut nenek moyang kami, sejarah pernah menceritakan bahawa di sekitar wakaf inilah tempat para pejuang Melayu zaman silam berkumpul bagi mengatur strategi menentang musuh kolonial yang pernah menjajah tanah air ini. Di sinilah juga diceritakan orang tentang kebangkitan semangat peribumi penduduk unuk bersatu melawan penjajah yang ingin menguasai kawasan di sebelah timur negeri.

Apabila tanah perkuburan mulai wujud di sebelah wakaf ini pada tahun-tahun terakhir ini, orang kampung menjadikan binaan ini sebagai tempat rehat selepas upacara pengebumian waris yang meninggal dunia.

Kewujudan replika untuk rehat itu seumpama penghubung kepada dua nilai antara dunia zahir dengan alam batin, iaitu antara ruang maujud di bumi nyata dengan sisi rohani yang ghaib dan tersembunyi. Beristirahat di pangkin kayu hadapan wakaf purba itu seperti berada di antara dua persimpangan, iaitu duniawi dan ukhrawi. Pangkin itu bagaikan sebuah jeti di birai kuala yang  menanti sesiapa segara yang tidak terjangkau oleh pandangan mata jasmani.

Sesetengah penduduk menggelari wakaf kayu ini dengan panggilan “wakaf istiqamah” atau “wakf iktikaf”, manakala kalangan anak muda pula mudah meluncurkan lidah dengan menggelarnya “wakaf musafir”. Wakaf berbentuk lama itu bukan sekadar tempat persinggahan kariah penduduk berhimpun tatkala majlis kematian berlangsung di tanah perkuburan tetapi fungsinya lebih dariapda itu. Di bahagian dalam wakaf itu, buku agama dan fiksyen tersusun di atas dua rak almari, manakala di sebelah tepinya pula sebuah telaga lama masih berfungsi menyantuni penduduk yang ingin menikmati dingin air perigi yang jernih berkaca, yang disalurkan melalui mata air di bawah dasar tanah paling bawah. Paling menakjubkan, di tengah-tengah wakaf tertegak tiang kayu utuh yang diukir dengan kalimah ayat suci al-Quran yang tersusun agam. Ada yang menggelar tiang ini dengan panggilan rukun keimanan atau pancang syahadah kerana tertera jelas ukiran kalimah tauhid  yang mengagungkan Allah dan Rasulullah.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

 

ABNORMAL SEORANG GURU

Oleh Shahkang

LEMBARAN laporan makmal merangkap salah satu komponen kerja khusus tingkatan empat itu sudah berlainan  rupa. Contengan dakwat merah ada di mana-mana sahaja ruangan kosong.

Cikgu Shaheer tidak berganjak kedudukan dari meja di bilik guru sekian lama. Dia setia menyemak satu per satu laporan makmal pelajar. Dia menghela nafas panjang berulang kali. Setiap kali nada kecewa itu muncul, tangannya lebih galak mencoret sesuatu.

“Tapi Cikgu Shamsiah tak pernah pun buat begini!” Nama  guru asal subjek Fizik yang kini sedang cuti bersalin mengisi kotak perbualan. Danial, pelajar Tingkatan 4 Musytari melancarkan protes atas markah rendah diperoleh untuk laporan makmal berkenaan. Hukum Newton Kedua. Hanya 30. Markah atas pagar antara lulus dan gagal.

Cikgu Shaheer merengkuh salah satu buku rujukan yang disusun menegak, menyelak pantas seraya menyoal. “Kenapa setiap ayat laporan kamu sama dengan halaman 21 buku rujukan ini. Boleh terangkan kepada saya?”

Muka Danial merah padam bersama-sama seribu kerutan di dahi. Mulut bagai diikat dawai kokot. Rasa gelisah dan amarah bertembung lantas membuncahkan konflik terhebat dalam diri.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Setitis Budi Semarak Kasih

Oleh MOHD. HELMI AHMAD

Rumah itu ada dua bilik. Ruang tamu yang kecil serta bilik air. Hazwani dan rakannya menjadi penyewa sementara di rumah itu. Sambil-sambil itu, mereka bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan. Katanya, untuk mencari pengalaman dan duit poket sementara menunggu keputusan peperiksaan akhir diumumkan.

Di ruang tamu yang kecil itulah Hazwani mundar-mandir. Dia sendiri tidak pasti tentang apa-apa yang ada dalam fikirannya. Fikirannya menjadi sesempit ruang itu. Yang pasti, perkara itu sangat merunsingkan mindanya. Tidak tahan berdiri Hazwani melabuhkan punggung di kerusi kayu yang ditempatkan di tepi dinding berteman sebuah meja kecil. Dia menongkat dagu di atas meja. Dia membiarkan perasaannya menerawang jauh ke kampung halaman.

“Wani … ayah akan berusaha untuk mendapatkan wang supaya kaudapat sampai ke universiti juga.”

“Perbelanjaannya tinggi ayah.”

“Dah katanya peringkat tertinggi, semestinya belanjanya pun tinggi,” Seloroh Pak Leman. Dia tidak berasakan bebanan yang besar untuk menghantar Hazwani ke universiti. Walhal dia juga tahu belanja untuk memasuki universiti agak tinggi. Apabila ditolak, ditambah, didarab, pendapatannya masih belum mampu menyara keluarga, inikan pula hendak menghantar Hazwani ke universiti. Pak Leman sedar itu semua.

Hazwani masih menanti sisa senyuman ayahnya itu tamat sebelum dia menyambung bicara.

“Ayah perlukan wang untuk perbelanjaan rumah. Adik-adik ramai lagi yang bersekolah.” Dua hujah itu diharap mampu mematikan hasrat ayahnya untuk menghantarnya ke universiti. Benar, masuk universiti merupakan cita-citanya, tetapi bukan sekarang. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.

‘Bodohlah aku kata orang sekiranya menolak tawaran itu; menolak tuah. Peluang hanya datang sekali,’ bisiknya.

“Tangan, kaki ayah ini masih kuat, sihat. Syukur kepada Allah SWT kerana hingga hari ini Dia meminjamkan kudrat ini kepada ayah,” sambung Pak Leman seraya menadah kedua-dua belah tangannya seperti orang sedang berdoa. Matanya turut memandang atap nipah yang bocor sana sini. Tatkala hujan lebat, dapatlah mereka dilihat “pesta” menadah besin.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Ratapan Sang Pungguk Sepi

Oleh S. FATIMAH SAID

Salam buat pusaramu, teman!” Tubuh alam kupijak perlahan. Terasa sesak meresap dari urat-urat kaki hingga ubun kepala oleh ketangguhan rasa yang ditelan sepanjang zaman. Berasap! Akan tetapi suci batu nisanmu sempat aku usap dengan sejuta keinsafan dari nurani.

“Kenapa kaudatang?”

‘Kerana aku sahabatmu yang paling setia.’ Suara hatiku berbicara sendiri. Terasa rohnya berkeliaran dalam minda ghaibku. Mata hitamku terkatup rapat. Serapat-rapatnya. Namun, tidak mata hatiku.

“Sahabat?” suara dari alam itu berdengung di gegendang telingaku dengan keras. Senada dengan marah yang dipendam seabad lamanya. Sesekali berdesing, mengganggu lorong sempit di telinga untuk mendengar laung azan zohor itu.

“Ya,” ringkas jawapanku. Sungguh, kiranya manusia kampung ini lalu di kawasan ini, pasti mereka tidak teragak-agak untuk mengikat tanganku bersilang tubuh, kemudian menyumbatku di gudang keramat bersama-sama mereka yang diragut akal oleh-Nya.

Sungguh! Namun, aku tidak layak ke gudang itu. Tuhan tahu siapa aku.

“Mana janjimu, kiranya engkau sahabat yang paling

melayang jauh di laut fatamorgana. Aku masih kaku. Lima jari kakiku masih kukuh terpasak di tanah yang ditumbuhi rumput tidak bermisi. Melentuk ke mana sahaja, andai angin bertiup. Tidak pernah membantah hingga aku selalu berkata, rumput ialah makhluk yang paling tenang dan sabar, tetapi misi hidupnya entah.

“Maafkan aku kerana tidak menepatinya.” Sedayanya aku menahan ego untuk tidak membenarkan setitis pun air mata mencium dada tanah di sisi pusaranya.

“Kau munafik!”

“Tidak! Jangan kautuduh aku begitu. Aku ada sebab untuk tidak menunaikan janji itu!”

“Kenapa? Kenapa? Tetapi engkau sudah berjanji bahawa apabila bulan mengambang, engkau akan tunaikannya. Kautahu, aku sudah lama derita? Kautahu, bukan?” aku mendengar suara itu tinggi menahan esak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Tuk Ayah

Oleh NAZRI HUSSEIN

BUKIT tinggi itu terlalu banyak berbakti kepada penduduk kampung serta rakyat negara ini. Disebabkan bukit tinggi yang menjadi pasak bumi dengan beberapa gua kecil yang sedikit terlindung itulah menjadikan kampung ini satu-satunya kawasan yang gagal ditawan oleh tentera Jepun ketika menakluki tanah Melayu beberapa dekad dahulu. Di sinilah, ratusan anak muda Melayu dan gerila Cina bersatu mengekang asakan serangan tentera Jepun yang bersenjatakan rifel dan peluru.

Di sinilah juga Tuk Ayah dan perwira-perwira kampung bangkit membalas serangan tentera Jepun dengan peluru timah dari muncung senapang patah yang dicuri dari depoh senjata tentera British. Masih Tuk Ayah ingat lagi, berpuluh-puluh hari mereka bertahan dengan bersembunyi di pintu-pintu gua di celah lereng bukit melakukan serangan gerila hingga berpuluh-puluh nyawa tentera Jepun terbunuh dek keberanian anak-anak muda yang bersemangat waja dan tidak takut mati. Akibatnya,tentera Jepun yang gagah berani itu terpaksa berundur penuh ketakutan melihat kekuatan pemuda-pemuda Melayu dan Cina bersatu menentang mereka.

Tuk Ayah tidak akan lupa di puncak bukit kebanggaan itulah juga, anak-anak muda berkumpul sambil berlatih bermain senjata menentang penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Di situlah perwira-perwira negara berkampung di bawah arahan Tuk Ku Paloh dan Lebai Sareh menyerang dan membunuh puluhan rekrut tentera British dengan keris, pedang dan tombak.

Keberanian dan kegigihan mereka sebagai pejuang negara tidak sedikit pun terhapus daripada ingatan Tuk Ayah walaupun ketika itu usia Tuk Ayah masih kanak-kanak lagi. Paling berbekas di hati Tuk Ayah tatkala mengenangkan di puncak Bukit Merah itulah juga jasad ayahandanya, Panglima Ngah Seman, berkubur ditembak oleh tentera British dalam satu serangan nekad pada awal subuh. Nisan dan pusara ayahanda tercintanya di tengah-tengah puncak hingga kini masih Tuk Ayah kunjungi setiap kali pagi Jumaat sambil membaca Yassin dan doa. Di situlah juga, puluhan lagi pusara pemuda kampung yang berjuang menentang penjajahan kuasa-kuasa luar disemadikan buat selama-lamanya. Bagi Tuk Ayah, Bukit Merah adalah satu-satunya warisan sejarah yang masih tinggal di kampung itu untuk diceritakan kepada generasi baharu tentang perjuangan bangsa menentang penindasan dan kezaliman kolonial.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Amukan

Oleh WAHBA

Haiwan-haiwan itu datang lagi. Entah dari mana mereka muncul, tiada siapa tahu. Kali ini lebih ganas dan agresif. Mereka yang menduga haiwan-haiwan itu telah pergi jauh

dari hutan itu, rupa-rupanya tidak tepat. Mereka tertipu. Haiwan-haiwan itu, gajah dan beruang menolak dan meruntuhkan rumah-rumah kongsi. Dua buah rumah kongsi panjang yang dibina di pinggir bukit itu musnah. Berserakan bumbung, kayu-kayu lantai dan dinding. Pinggan mangkuk dan pakaian pun berselerak di tanah dipijak gajah-gajah dan beruang. Peralatan kecil dan besar bertaburan di tanah.

Lori-lori angkut selut dan pokok-pokok diterbalikkan oleh gajah-gajah yang mengamuk itu. Ada lori terbalik dengan tayar ke atas. Ada lori jatuh mengiring. Ada jentolak terhumban ke cerun bukit. Ada jentera pengaut terpelanting patah riuk. Semuanya tunggang langgang. Kali ini haiwan-haiwan itu lebih agresif.

Pekerja yang datang pagi itu amat terkejut. Rumah kongsibranap. Peralatan untuk bekerja tunggang terbalik. Mereka nampak kesan tapak kaki haiwan. Ada tapak kaki gajah, ada tapak kaki beruang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.