Home » Jati Diri (Page 2)

Jaringan Kawan Yang Perlu Dinilai

Oleh Mohd Khairul Riza Tuan Mohd. Yusop

MANUSIA ialah makhluk yang memerlukan orang lain untuk hidup. Manusia tidak dapat hidup sendirian. Kalaupun boleh, kehidupannya menjadi tidak sempurna. Manusia memerlukan keluarga, masyarakat, dan manusia lain untuk menjadi pelengkap kehidupannya. Antara manusia lain yang menjadi pelengkap kehidupan manusia termasuklah kawan ataupun rakan. Dalam jaringan sosial, istilah friend digunakan. Istilah dalam bahasa Inggeris itu mungkin lebih tepat digunakan kerana dalam bahasa Melayu, istilah sahabat, kawan, rakan, dan kenalan tentunya mempunyai maksud yang sedikit berbeza.

Dahulu agak sukar kita mahu berkawan dengan orang lain. Kita perlu mengenal orang tersebut. Daripada kenal itu, barulah persahabatan terjalin. Sekarang, dalam dunia Facebook, Twitter, WhatApps, Instagram, Telegram dan bermacam-macam lagi medium komunikasi, tanpa kita mengenalnya dengan lebih mendalam, kita sudah boleh membina hubungan sebagai kawan. Dunia jaringan sosial membuatkan kita berkawan dengan sesiapa sahaja yang menerima kita sebagai kawan tanpa sempadan geografi. Kita boleh berkawan dengan selebriti atau tokoh terkenal tanpa kita berhadapan dengannya terlebih dahulu. Maknanya, berkawan menjadi semakin mudah tanpa dihalang oleh tembok darjat, kekayaan dan status.

Mudahnya berkawan pada era tanpa sempadan ini tentunya mempunyai posisi positif dan negatif. Sebagai manusia yang diberi akal, kita tentu mampu membuat keputusan untuk lebih mengambil sifat positif berbanding dengan negatif. Daripada sifat positifnya, berkawan dalam jaringan sosial ini mendekatkan kita dengan seluruh manusia di dunia ini tanpa mengira batasan. Kita di Malaysia mampu membina hubungan kawan dengan individu lain di Rusia, misalnya. Tentunya hal ini sudah berbeza daripada konsep membina hubungan kawan pada suatu ketika dahulu yang kebanyakannya terjalin dengan orang yang berada di sekitar kita sahaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Bakat dan Potensi Penulisan Harus Diasah

Oleh Shasha Shakierah

BIDANG penulisan bukanlah cabang seni yang dikejar oleh golongan remaja pada hari ini. Penglibatan diri dalam seni penulisan pula jauh berbeza daripada seni yang lain. Bergelar penulis tidaklah menjadikan seseorang tersohor dalam sekelip mata. Penulis tersohor yang sedia ada juga mengambil masa bertahun-tahun untuk menempatkan nama mereka dalam dunia penulisan. Golongan penulis yang cekal, beriltizam, dan serius sahaja yang akan kekal sebagai penulis. Sesiapa sahaja boleh menulis, tetapi tidak semua orang mampu menajamkan pemikiran untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Seseorang penulis bebas berkarya dan menulis untuk meluahkan buah fikir dan gejolak perasaan, mencatat pengalaman, menyampaikan berita atau menggambarkan daya imaginasi serta kreativiti yang tersendiri. Tidak ada had umur untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan. Seseorang tidak memerlukan sijil kelayakan untuk bergelar penulis. Penulis harus membuktikan kemampuan melalui rasa tanggungjawab menyampaikan mesej atau maklumat dengan tepatnya.

Bagi menghasilkan karya yang bermutu, penulis perlu banyak membaca dan mengutip ilmu melalui pengalaman sendiri atau orang lain. Komunikasi yang berkesan dapat meningkatkan pengetahuan dan menyelami pengalaman orang lain untuk diubah dalam bentuk penulisan. Ada masanya penulis juga perlu berimaginasi untuk menambahkan perisa dalam karya. Ilmu melalui hasil penulisan akan terus mengalir dan diwarisi sepanjang hayat. Sesuatu karya yang dihadamkan dan dicerna dapat mendewasakan pemikiran, memperkasakan ragam bahasa, serta memperkemas struktur naratif.

Untuk menjadi penulis, seseorang perlu memperbanyak bacaan dan dapatan bahasa dalam pelbagai aspek kehidupan. Karya yang unik dan berbeza daripada orang lain pastinya menjadi pilihan pembaca. Kepuasan yang diperoleh bagi penulis adalah apabila karyanya dihargai dan dijadikan sumber rujukan. Penulis perlu bijak menggunakan bahasa dalam karya yang dihasilkan. Bahasa yang baik dapat mengukuhkan keindahan karya seseorang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Ibnu Al-Bassal Pakar Agronomi

Oleh Irfan AS

ILMUWAN Islam yang dikenali sebagai Ibnu Al-Bassal berasal dari Toledo, Andalusia, Sepanyol. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Ibrahim Ibnu A-Bassal, yang mengabdikan dirinya dalam bidang agronomi. Sepanjang abad kelima dan keenam Masihi, banyak pusat kesusasteraan pertanian Arab didirikan dan disebarkan di Barat. Antaranya, di Toledo, Seville, Cordoba dan Amerika. Pada ketika itu, lahirnya banyak pakar ilmu dalam bidang pertanian, termasuklah Ibnu Al-Bassal.

Ibnu Al-Bassal sangat mencintai bidang agronomi dan botani. Beliau membawa ilmu penting yang diperoleh daripada hasil kajian dan penelitiannya dalam bidang tersebut untuk didokumentasikan. Beliau sering ke Mesir dan negara Timur yang lain untuk menimba ilmu. Beliau bertuah kerana segala keperluan harian dan kos perjalanan untuk membuat kajian dalam bidang agronomi ditaja sepenuhnya oleh Khalifah al-Ma’mun.

Beliau menghadiahi khalifah hasil karya terkenalnya, iaitu Diwan al-Filaha, sebuah buku tebal tentang kepakarannya dalam bidang agronomi. Buku tersebut mempunyai 16 bab dan diberi tajuk Kitab al-Kasd Wal Bayan, yang bermaksud ringkasan dan penjelasan. Pada abad pertengahan, buku tersebut diterjemahkan dalam bahasa Castilia dan diterbitkan semula pada tahun 1955 dengan kata pengantarnya dalam bahasa Castilia moden.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

Tidak Cukup Masa

Oleh Osman Affan

DALAM dunia motivasi dan teknik belajar berkesan, antara teknik belajar yang popular dan selalu dicari oleh banyak orang termasuklah teknik pengurusan masa berkesan. Sejak sekolah rendah hingga peringkat pengajian tinggi, pelajar sentiasa mendengar perihal kepentingan mengurus masa dengan baik dan berkesan.

Namun begitu, percaya atau tidak, walaupun topik ini sentiasa hangat dibincangkan dalam kalangan guru dan pelajar, tidak banyak orang sebenarnya yang tahu akan apa-apa yang terkandung dalam teknik pengurusan masa berkesan.

Satu perkara yang menarik, apabila penulis mengembara ke seluruh Malaysia dan bertemu dengan pelajar pada peringkat sekolah rendah hingga universiti, kebanyakan pelajar hanya mengaitkan teknik pengurusan masa dengan teknik membuat jadual harian. Maksudnya, jika ditanya kepada pelajar, “apakah yang mereka tahu tentang teknik pengurusan masa?”, mereka akan memberikan jawapan yang berkaitan dengan teknik membuat jadual harian.

Benar, jawapan itu tidak salah. Teknik membuat jadual harian merupakan sebahagian daripada teknik pengurusan masa yang berkesan. Namun begitu, pelajar sepatutnya mengetahui bahawa teknik pengurusan masa jauh lebih besar daripada teknik membuat jadual harian sahaja. Oleh itu, pada kali ini, mari kita membincangkan salah satu topik yang penting dalam teknik pengurusan masa. Topik ini merupakan aktiviti yang perlu diberi keutamaan.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Membudayakan Sukan dalam Masyarakat

Oleh Lokman Ismail

BERSUKAN, bersenam, atau beriadah merupakan keperluan setiap individu. Aktiviti sukan melahirkan individu yang sihat, harmoni, dan berinteraksi antara satu sama lain. Bersukan juga merupakan aktiviti masa senggang yang berfaedah.

Aktiviti bersukan bukan sekadar untuk menyertai pertandingan. Sesiapa sahaja perlu bersukan untuk kesihatan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa aktiviti bersukan ditingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Memang menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang memenangi pingat atau anugerah pada peringkat antarabangsa.

Sejarah pertandingan sukan bermula sejak tamadun Yunani dan Greek beribu-ribu tahun yang lau, melibatkan sukan olahraga, berkuda dan permainan lain. Pertandingan sukan diadakan sebagai cara mengukur atau menentukan keperwiraan dan kecemerlangan hidup rakyat. Individu yang berjaya akan mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada masyarakat.

Kini terdapat beribu-ribu jenis permainan di seluruh dunia yang melibatkan pelbagai konsep, bentuk dan tujuan. Jenis sukan akan bertambah apabila permainan atau aktiviti baharu yang dimulakan oleh individu atau kumpulan tertentu mendapat perhatian banyak pihak.

Untuk menggalakkan lebih banyak individu dan pasukan menyertainya, maka permainan itu dijadikan sebagai sebahgian daripada acara yang dipertandingkan dalam acara sukan pada peringkat tempatan, negara, dan seterusnya antarabangsa.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Ibn Taymiyyah: Ilmuwan Tasawuf dan Perintis Sejarah Neoijtihad

Oleh   Khairol Anuar Harith Fadzillah

 Nama sebenar Ibn Taymiyyah ialah Taqi al-Din Ahmad bin Taymiyah. Dilahirkan di Harran pada hari Isnin 10 Rabiulawal tahun 661 Hijrah bersamaan dengan 22 Januari tahun 1263 Masihi. Beliau meninggal dunia di Damsyik pada 20 Zulkaedah tahun 728 Hijrah bersamaan dengan 26 September tahun 1328 Masihi (Mahayudin Hj. Yahaya, 2001: 401). Kejayaan Ibn Taymiyyah seiring dengan dorongan datuknya dan ayahnya. Penghijrahan keluarga Taymiyyah dari Harran ke Damsyik pada tahun 667 Hijrah demi menyelamatkan kitab kepunyaan mereka biarpun perjalanan mereka hampir bertembung dengan tentera Mongol. Kedudukan Ibn Taymiyyah terkenal sebagai ilmuwan dan tokoh mujtahid Islam dalam kalangan anak-anak Abd al-Halim dan Siti al-Mun’im. Pengorbanan adik-beradik Ibn Taymiyyah dilakukan ketika Ibn Taymiyyah dipenjarakan di Mesir (Ibn Kathir, al-Bidayah Jilid 14).

Menurut Ibn Kathir, Ibn Taymiyyah mendalami hadis, tafsir al-Quran, usul fiqh, faraid, hisab, algebra, ilmu kalam, dan falsafah. Beliau tidak meminati sukan, tidak berkahwin seumur hidup, sederhana dalam berpakaian dan makan minum, dan kuat beribadat menjadikan Ibn Taymiyyah berjaya dalam pelajaran. Ibn Taymiyyah amat mencintai ilmu pengetahuan demi menyampaikan kebenaran Islam, selain berpengalaman mengajar di madrasah dan mengajar ketika dipenjarakan di Mesir dari tahun 705 Hijrah hingga tahun 708 Hijrah. Ibn Taymiyyah membela kebenaran al-Quran dan Sunah. Pengalaman Ibn Taymiyyah sebagai hafiz yang mengajar tafsir al-Quran tanpa menggunakan kitab tafsir dan banyak menghafaz hadis Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa warisan ilmu Rasulullah SAW ialah ilmu yang sebenar. Tafsir al-Quran dan hadis Rasulullah SAW diajarkan oleh Ibn Taymiyyah ketika berada dalam penjara di Mesir (Al-Bidayah Jilid 14).

Karya terkenal Ibn Taymiyyah tentang riwayat hidup dan sumbangan Ibn Taymiyyah dalam pelbagai ilmu sebagai bahan kajian menurut Umar Rida Kahhalah dalam Mu’jam al-Muallifin ialah Al Fatawa al-Kubra: Lima Jilid, Al-Siyasah al-Syar’iyah Fi Islah al-Ra’iwa Wa al-Ra’iyah, Al-Jawab al-Sahih Liman Baddala Din al-Masih, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyah Fi Anqd Kalam al-Syi’ah al-Qadariyah, dan Qawaid al-Tafsir (Muqaddimah al-Tafsir). Menurut Muhammad Bahjah Al-Baltar, karya Ibn Taymiyyah ialah Al-Muwafaqah Baina al-Ma’qul Wa al-Manqul, Ithbat al-Ma’ad, Thubut al-Nubuyyat “Aqla Wa Naqla, Al-Rad ‘ala al-Hululiyah Wa al-Ittihadiyah (Hayat Shaikhal-Islam Ibn Taimiyyah Cetakan Kedua, 1972: 9).

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Mengelakkan Pengangguran Graduan

Oleh Firdhaus Hassan

TUJUAN utama melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi adalah untuk mendapatkan pekerjaan. Pekerjaan yang baik membolehkan graduan memperoleh gaji yang tinggi bagi memenuhi keperluan dan kehendak yang tidak terhad dalam kehidupan. Apabila menyusuri suasana ekonomi negara terkini dengan peningkatan kos hidup yang mendadak, isu pengangguran dalam kalangan graduan menjadi masalah yang patut diselesaikan dengan kaedah yang bijaksana.

Berdasarkan Laporan Kajian Penilaian Program Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA): Keberkesanan dan Kerelevanan dari Aspek Permintaan dan Penawaran (2013), terdapat program yang ditawarkan di IPTA yang berpotensi tinggi bagi kebolehpasaran pada masa hadapan. Hal ini bermakna program berkenaan mempunyai prospek kerjaya yang tinggi dengan keperluan tenaga kerja yang banyak. Program ini termasuklah Pengajian Islam, Bahasa Inggeris, Seni Reka Grafik, Seni Muzik, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Perakaunan, Pelancongan, Pendidikan Jasmani dan Sukan serta Teknologi Vokasional.

Program tersebut telah pun ditawarkan di kebanyakan universiti yang merujuk hasil dapatan kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pelajar yang bijak akan sensitif terhadap perubahan pola penawaran program oleh IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang membolehkan mereka mengetahui bidang kerjaya dengan permintaan tinggi dalam pasaran kerja. Kajian pasaran yang dilaksanakan oleh mana-mana institusi menghasilkan dapatan yang sahih demi kepentingan masa hadapan. Begitu juga dengan sebarang dasar yang dibuat oleh kerajaan akan bersandarkan hasil dapatan daripada pelbagai kajian sebelum diimplementasikan kepada masyarakat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Posted in: Remaja Cemerlang

Cap Mohor Warisan Keagungan Dunia

Oleh Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

APABILA memperkatakan cap mohor, pasti kebanyakan kita mengaitkannya dengan institusi raja. Dalam dunia Melayu, cap juga disebut sebagai meterai, tera atau mohor. Mohor itu sendiri membawa dua maksud yang tersendiri. Yang pertama, alat atau matriks atau terap yang diperbuat daripada bahan keras, seperti gangsa atau keluli, untuk meninggalkan kesan pada bahan lembut, seperti kertas atau lilin, dan kesan ini serupa dengan kebalikan citra yang terukir pada matriks. Yang kedua, kesan yang ditinggalkan apabila citra ukiran tadi ditekan pada kertas atau bahan lembut atau lilin.

Sejarah membuktikan bahawa cap mohor digunakan beribu-ribu tahun dahulu, iaitu sejak zaman sebelum Islam. Cap mohor digunakan dengan tujuan sebagai pengenalan kepada pemilikan sesuatu perintah, arahan, warkah atau surat. Cap mohor merupakan satu daripada cara pengesahan yang dilakukan oleh pembesar dan orang kenamaan dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tandatangan. Dalam dunia pramoden Melayu, tidak semua golongan pemerintah boleh membaca, oleh itu menandatangani surat bukanlah tradisi Melayu. Oleh yang demikian, seseorang yang dipercayai akan diminta untuk menulis surat tersebut dan pemerintah akan mengecap cap mohor sebagai tanda pengesahan dan pemilikan kepada surat tersebut.

Dalam sejarah Islam, cap mohor digunakan sejak zaman Rasulullah SAW. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor. Oleh itu, Rasulullah SAW telah menggunakan satu cap mohor yang mempunyai ukiran perkataan “Muhammad Rasulullah” pada surat baginda.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Posted in: Arkib Negara

Biarlah Mereka Berkata Apa-Apa Sahaja

Oleh Osman Affan

“Biarlah mereka mengumpat, biarlah mereka mengeji. Asalkan saya sentiasa ingat tujuan saya berada di sini.” ~ Osman Affan~

SECARA umumnya, penulis dapati bahawa pelajar yang ditemui sangat takut jika dikutuk, disindir, atau diejek oleh kawan mereka. Sebagai contoh, semasa seminar, jika penulis meminta pelajar secara sukarela untuk berdiri dan membaca contoh jawapan, kebanyakan pelajar hanya duduk dan berdiam diri. Yang agak menyedihkan ialah pelajar ini sebenarnya mempunyai jawapan yang sangat baik dan menarik.

Mengapakah hal ini berlaku? Mudah sahaja. Kebanyakan pelajar yang penulis temui, pelajar Melayu terutamanya, sangat takut jika diejek atau disindir oleh kawan mereka. Mereka mempunyai perasaan bimbang jika bangun dan memberikan jawapan, ada kemungkinan jawapan mereka tidak bagus dan akan diketawakan oleh kawan sekelas yang lain.

Mereka juga bimbang jika bangun dan memberikan jawapan, kawan akan mengejek kerana kelihatan seperti mahu “menunjuk pandai” dalam seminar. Bagi mengelakkan diri daripada diejek dan dimalukan, mereka lebih rela berdiam diri walaupun sangat pandai, berbakat, dan mempunyai jawapan yang sangat baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Azam Melakukan Kebaikan

Oleh Lokman

YUSOF Qaradhawi berkata: “Mensia-siakan waktu, walaupun hanya sedetik, sama halnya dengan mensia-siakan kehidupan. Bagi seseorang Muslim, sedetik sahaja dia tidak dapat memanfaatkan waktunya, maka akan kehilangan sebahagian daripada kehidupannya.”

Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap individu meningkatkan usaha dan nilai kehidupan setiap masa, sehari demi sehari, dan setahun demi setahun sehinggalah meninggal dunia. Setiap detik kehidupan memerlukan hijrah atau perubahan ke arah kebaikan yang tiada hentinya.

 Masa untuk berubah tidak kira waktu. Setiap perkara buruk perlu digantikan oleh kebaikan dengan segera. Mana yang baik dikekalkan atau ditambahkan lagi. Inilah yang dimaksudkan hijrah perlu dilakukan sepanjang masa. Jika kita bertangguh, maka akan ada kebaikan yang dicapai berkurangan jumlahnya berbanding dengan yang sepatutnya atau keburukan akan terus berlaku sehingga menambahkan lagi kerugian.

Namun begitu, kita tentu lebih teruja untuk melakukan perubahan setiap kali angka tahun berubah. Mungkin perubahan itu melibatkan sesuatu azam yang lebih besar dan khusus. Perkara ini tidak salah sekiranya untuk tujuan kebaikan. Tindakan menjadikan sambutan tahun baharu atau awal tahun sebagai pencetus semangat memang digalakkan.

Sesungguhnya, kita harus menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baharu yang memerlukan semangat, iltizam, dan cita-cita untuk menghadapinya. Hanya orang yang tabah dapat menghadapi setiap cabaran hidup dengan baiknya. Hidup ialah perlumbaan untuk merebut peluang yang ada yang akan dimenangi oleh individu yang pantas dan bijak merebutnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang