Home » Jati Diri » Arkib Negara

Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS)

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

Pernahkah anda mendengar atau menonton rancangan “Hari Ini Dalam Sejarah”? Tahukah anda bahawa rancangan“Hari Ini Dalam Sejarah” telah bersiaran sejak tahun 1979 di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM)? Rancangan “Hari Ini Dalam Sejarah” juga dikenali dengan singkatan “HIDS”. Rancangan hebat ini julung kali diterbitkan melalui pandangan sejarawan negara yang menjadi wadah untuk mendidik dan menjadikan masyarakat celik sejarah, seterusnya menghargainya. Selain  memberikan maklumat kepada orang ramai tentang sejarah tanah air, program ini juga bertujuan untuk membawa kesedaran terhadap kepentingan sejarah dalam kehidupan masyarakat. Arkib Negara bersama-sama RTM bertanggungjawab untuk menerbitkan rancangan yang menyingkap kembali segala peristiwa bersejarah tanah air melalui rancangan ini.

          Rancangan HIDS lahir daripada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sejarah Malaysia pada 23 Julai 1979. RTM mengemukakan permintaan Menteri Penerangan, Dato’ Mohamad Rahmat, supaya Persatuan Sejarah Malaysia bersama-sama RTM menerbitkan rancangan yang mengandungi peristiwa sejarah tanah air untuk disiarkan melalui TV Malaysia. Jawatankuasa ini bersetuju menyerahkan perkara ini kepada kajian Arkib Negara melalui satu projek perintis. Berikutan itu, Arkib Negara menyediakan memorandum mengenai rancangan tersebut yang mencadangkan supaya rancangan ini disiarkan pada setiap hari mengenai peristiwa bersejarah yang berlaku pada hari berkenaan.

          Pada 19 September 1979, jawatankuasa kecil dilantik yang dianggotai oleh wakil RTM, Muzium Negara, Filem Negara, Jabatan Penerangan, dan Lembaga Peperiksaan bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar dan berkesan. Jawatankuasa kecil ini juga memberikan kerjasama kepada Arkib Negara yang menjalankan peranan untuk mencari peristiwa sejarah yang dipilih dan menyediakan skrip, Filem Negara dan Jabatan Penerangan untuk mendapatkan ilustrasi, dan RTM pula menyediakan kerja merakamkan dan menerbitkan rancangan ini. Walau bagaimanapun, kini kerjasama bagi menghasilkan dan meneruskan rancangan HIDS ini dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Arkib Negara dan RTM.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Arkib Negara

Batu Road Kuala Lumpur

Oleh   Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

 Sejarah kewujudan dan pembinaan Batu Road atau Jalan Batu bermula pada akhir abad ke-19. Nama Batu Road diambil daripada nama sebuah kawasan “batu” yang terdapat perkampungan, gua batu kapur dan lombong bijih timah. Dalam tahun 1930-an, paya, sawah padi, dan ladang kelapa sekitar Batu Road telah dibangunkan dan menjadi pusat pembangunan komersial yang menjadikan jalan tersebut yang paling sibuk di bandar ketika itu.

Sejarah membuktikan bahawa pemilik hartanah dan peniaga di sekitar kawasan Batu Road terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, seperti Melayu, India (Muslim, Sikh dan Hindu), Sri Lanka, Cina dan British. Setiap kaum memperdagangkan barangan dan perkhidmatan seperti kedai jahit, restoran, barangan runcit, hotel dan panggung wayang.

          Melalui pembinaan Batu Road inilah, bangunan batu dan jalan raya berbatu dibina. Ada pendapat yang menyatakan bahawa pemandangan dari Batu Road menampakkan Gua Batu (Batu Caves) yang terletak di utara dengan jelasnya. Pendapat mengenai “batu” ini menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi yang dikaitkan dengan nama jalan ini.

Pada ketika itu, Batu Road bermula dari persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja yang berdekatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hingga persimpangan bulatan Jalan Pahang dan Jalan Ipoh. Batu Road juga terkenal sebagai pusat tumpuan orang ramai membeli-belah kerana terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai perkhidmatan dan barangan keperluan yang datang dari dalam dan luar negara. Pada awalnya, kedai ini dibina oleh orang Inggeris, melalui Jabatan Kerja Raya, dan tauke Cina. Kepelbagaian barangan jualan di Batu Road ini menarik banyak pengunjung dan pembeli.

          Pada awalnya, Batu Road dan sekitar kawasannya (Kuala Lumpur) hanya terdiri daripada rumah kedai yang dibina daripada kayu dan berbumbung atap. Bermula pada tahun 1880-an, bangunan ini dibina dengan menggunakan simen dan batu. Batu Road dan sekitar kawasannya mula menampakkan pertambahan dengan aktiviti pembangunan dari masa ke masa melalui pembinaan banyak rumah kediaman dan kedai. Berikutan itu, kemudahan, seperti tempat pejalan kaki (jalan kaki lima), mula dibina dengan lebih teratur dan berbumbung di sepanjang deretan kedai di Batu Road.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Posted in: Arkib Negara

Sekolah Tuanku Abdul Rahman Perintis Kecemerlangan Pewaris Bangsa

Oleh Nurzulianan Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

JIKA diteliti sejarah pendidikan negara sebelum kemerdekaan, pendidikan pada masa itu lebih tertumpu pada golongan atasan dan bangsawan. Banyak kanak-kanak yang tidak bersekolah walaupun mereka menginginkannya. Sukatan pelajaran juga mengikut sukatan dan sistem pelajaran negara penjajah; pelajar diajar mengenai sejarah negara penjajah, manakala sejarah dan pejuang tanah air diputarbelitkan dan diketepikan.

Namun begitu, kini negara kita mampu berdiri sendiri dengan sukatan pelajaran yang semakin berkembang dan sesuai untuk setiap peringkat umur. Sejarah dan perjuangan tokoh negara dapat dibuktikan dan dibahaskan dengan bangganya. Semua ini berkat kegigihan dan perjuangan tanpa mengenal lelah daripada pemimpin terdahulu.

Malay Secondary School

Tahukah anda bahawa Sekolah Tuanku Abdul Rahman, atau juga dikenali sebagai STAR, ialah sekolah yang terawal di Tanah Melayu? Nama asal sekolah ini ialah Malay Secondary School, atau juga dikenali sebagai Sekolah Melayu, Ipoh. Pada awal penubuhannya, sekolah ini ditempatkan di bangunan sementara P.A.A. di Baeza Avenue, Ipoh, yang terdiri daripada lima buah bangunan lama yang pernah didiami oleh pasukan Askar Melayu sebagai tempat pentadbiran, tempat tinggal dan tempat simpanan barang. Asas penubuhan sekolah ini didasarkan pada cadangan yang dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 (Laporan Razak). Pada 1 November 1956, Pejabat Kehutanan Kuala Lumpur telah diminta untuk membantu mendirikan 12 buah bilik darjah (tingkatan) yang baharu dan enam bilik mandi, serta memperbesar bahagian dapur. Semua bangunan ini diperbuat daripada papan dan siap dibina pada 18 Januari 1957. Kawasan sekolah seluas empat ekar ini juga dipagar dengan pagar dawai berduri.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Posted in: Arkib Negara

Konfrontasi Indonesia-Malaysia

Oleh Jafalizan Md. Jali dan Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

ARTIKEL “ganyang Malaysia” dalam Dewan Siswa September 2016 merungkaikan punca tercetusnya konfrontasi atau perbalahan antara Malaysia dengan Indonesia, bermula daripada penubuhan gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Perbalahan yang semakin meruncing antara Malaysia dengan Indonesia menyebabkan beberapa peristiwa serangan dan pencerobohan yang dikecam oleh Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Peristiwa Indonesia menceroboh dan menyerang Malaysia bermula pada 17 Ogos 1964, apabila Indonesia menceroboh Tanah Melayu dengan mendaratkan tenteranya di Pontian, Johor (Pantai Kukup, Pontian Besar dan Benut), yang melibatkan dua pasukan, iaitu pasukan biasa (21 orang) dan pasukan payung terjun (55 orang). Pendaratan kedua dilakukan pada 2 September 1964 di Labis, Johor. Walau bagaimanapun, cubaan pencerobohan dan kekacauan yang dibentuk oleh kumpulan ini berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia dan penduduk tempatan sehingga berjaya memberkas pegawai kumpulan payung terjun, Lt. Muda Soetikno, dan menembak mati beberapa orang anggota tersebut, termasuklah Sarjan Major Suparmin. Pencerobohan ini bertujuan untuk menghancurkan Malaysia berdasarkan kenyataan Presiden Soekarno yang berikrar untuk mengganyang Malaysia habis-habisan.

Malaysia berasa terkesan dengan pencerobohan tersebut dan meragui pencerobohan lain yang akan dilancarkan oleh Indonesia. Hal ini menyebabkan Malaysia dengan sokongan Britain bertindak melaporkan isu pencerobohan itu kepada Majlis Keselamatan PBB. Tambahan pula, Indonesia pada ketika itu mendapat bantuan daripada Soviet Union (USSR) dan Revolutionary Command Council (RCC) dalam melaksanakan pencerobohan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Posted in: Arkib Negara

Cap Mohor Warisan Keagungan Dunia

Oleh Nurzuliana Kamaruzaman, Arkib Negara Malaysia

APABILA memperkatakan cap mohor, pasti kebanyakan kita mengaitkannya dengan institusi raja. Dalam dunia Melayu, cap juga disebut sebagai meterai, tera atau mohor. Mohor itu sendiri membawa dua maksud yang tersendiri. Yang pertama, alat atau matriks atau terap yang diperbuat daripada bahan keras, seperti gangsa atau keluli, untuk meninggalkan kesan pada bahan lembut, seperti kertas atau lilin, dan kesan ini serupa dengan kebalikan citra yang terukir pada matriks. Yang kedua, kesan yang ditinggalkan apabila citra ukiran tadi ditekan pada kertas atau bahan lembut atau lilin.

Sejarah membuktikan bahawa cap mohor digunakan beribu-ribu tahun dahulu, iaitu sejak zaman sebelum Islam. Cap mohor digunakan dengan tujuan sebagai pengenalan kepada pemilikan sesuatu perintah, arahan, warkah atau surat. Cap mohor merupakan satu daripada cara pengesahan yang dilakukan oleh pembesar dan orang kenamaan dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tandatangan. Dalam dunia pramoden Melayu, tidak semua golongan pemerintah boleh membaca, oleh itu menandatangani surat bukanlah tradisi Melayu. Oleh yang demikian, seseorang yang dipercayai akan diminta untuk menulis surat tersebut dan pemerintah akan mengecap cap mohor sebagai tanda pengesahan dan pemilikan kepada surat tersebut.

Dalam sejarah Islam, cap mohor digunakan sejak zaman Rasulullah SAW. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor. Oleh itu, Rasulullah SAW telah menggunakan satu cap mohor yang mempunyai ukiran perkataan “Muhammad Rasulullah” pada surat baginda.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Posted in: Arkib Negara

Manuskrip Melayu Lambang Peradaban Bangsa

Oleh Aliza Minai Rajab, Arkib Negara Malaysia

MANUSKRIP Melayu merupakan khazanah warisan intelek yang diwarisi sejak zaman silam hasil kedatangan Islam ke Nusantara. Dari abad ke-14 hingga abad ke-20, terdapat banyak karya tulisan tangan yang dihasilkan, teruatamnya dalam tulisan jawi. Sebelum wujudnya sistem tulisan, masyarakat Melayu tradisional menggunakan tradisi lisan untuk mengembangkan dan menyampaikan cerita atau pemikiran mereka. Perkembangan bahasa Melayu dalam penulisan amat terbatas kerana bahasa Sanskrit dan Jawa kuno mendominasi bidang persuratan ketika itu. Selepas kedatangan Islam, timbul kesedaran tentang pentingnya ilmu penulisan dan pengetahuan dalam kehidupan.

Tulisan jawi mula berkembang selepas penyebaran Islam yang dibawa oleh pedagang dari tanah Arab, Parsi dan India. Naskhah yang ditulis menggunakan tulisan tangan, sama ada  dengan tulisan rumi berbahasa Melayu ataupun jawi, mula mendapat tempat dan dikenali sebagai manuskrip. Terdapat beberapa definisi yang menerangkan makna manuskrip Melayu. Antaranya termasuklah yang diambil daripada perbincangan mengenai manuskrip Melayu pada 10 Oktober 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang mendefinisikan manuskrip Melayu sebagai apa-apa tulisan jawi atau rumi berbahasa Melayu yang ditulis dengan tangan di atas bahan termasuklah kertas, kulit, buluh, gading, kayu atau kain dengan kandungan dan jangka waktu yang tidak terbatas. Definisi daripada Kamus Dewan memberikan maknanya sebagai naskhah tulisan tangan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

 

 

Posted in: Arkib Negara

Rahsia Ejaan Jawi

Oleh Aliza Minai Rajab, Arkib Negara Malaysia

TULISAN Jawi telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu di kepulauan Melayu. Perkembangannya berhubung kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan ini diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan. Tulisan Jawi ditulis dari kanan ke kiri. Tinggalan tulisan Jawi purba yang terawal ditemukan pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M (702 H) dan juga Syair Bidasari tulisan sekitar 1300 – 1399M di Sumatera. Sementara penggunaan terawal abjad  Rumi untuk bahasa Melayu pula datang pada akhir abad ke-19.

Tulisan Jawi berkembang pesat sejajar dengan penyebaran Islam. Orang Melayu memandang tinggi tulisan Jawi sebagai gerbang kepada pemahaman Islam dan kitab suci al-Quran. Penggunaan tulisan Jawi merupakan faktor utama yang memangkinkan kebangkitan bahasa Melayu di samping penyebaran agama ISlam. Tulisan Jawi digunakan secara meluas di negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani, dan Acheh seawal abad ke-15, untuk surat-menyurat diraja, titah perintah, puisi dan kaedah perhubungan utama sesama saudagar di pelabuhan Melaka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Arkib Negara

TUMBANGNYA PERGERAKAN BERSENJATA PARTI KOMUNIS MALAYA

Oleh Aliza Minai Rajab, Arkib Negara Malaysia

GERAKAN komunis mula dikesan di Tanah Melayu pada sekitar awal tahun 1920-an. Pergerakan komuniss menjadi lebih rancak dan tersusun dengan pembentukan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 20 April 1930 yang bermatlamatkan penubuhan kerajaan komunis di Tanah Melayu.

Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 memberi peluang kepada PKM untuk memperkuat organisasinya. PKM bekerjasama dengan British untuk mementang Jepun melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Disember 1940. Selepas Jepun menyerah kalah, PKM mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila MPAJA bagi merealisasikan matlamat penubuhannya.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1949 merupakan detik bermulanya kekalahan PKM kerana mereka dipinggirkan oleh British. Maka PKM menimbulkan beberapa siri kekacauan, keganasan, dan kekerasan yang membawa pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak. Insiden ini telah meletakkan Tanah Melayu di bawah undang-undang darurat yang diisytiharkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Edward Gent, pad atahun 1948. PKM dan beberapa buah parti berhaluan kiri yang lain telah diharamkan mulai 23 Julai 1948.

Pengisytiharan undang-undang darurat telah memberikan beberapa kuasa khas kepada kerajaan dalam pelbagai aspek untuk mengatasi dan menyelesaikan gerakan bersenjata komunis. Kuasa yang luas ini termasuklah membolehkan kerajaan menjalankan penangkapan dan pemeriksaan tanpa waran, penahanan tanpa perbicaraan, pengawalan pergerakan pendudukan, dan pengawalan pengedaran makanan.

Pesuruhjaya Tinggi British, Jeneral Sir Gerald Templer, telah melaksanakan pelbagai strategi, termasuklah memindahkan kaum Cina yang tinggal di pinggiran kampung ke petempatan baharu bagi menyekat bantuan diberikan kepada PKM. Kerajaan turut memperkenalkan kawasan hitam dan putih serta mengambil langkah menambah kekuatan pasukan keselamatan, menguatkuasakan peraturan pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan, serta menubuhkan pasukan pengawal kampung dalam usaha melumpuhkan kekuatan PKM.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Posted in: Arkib Negara

JALAN KERETA API DI TANAH MELAYU

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim, Arkib Negara Malaysia

PERKEMBANGAN sosial telah lama berlaku di Tanah Melayu, seiring dengan perkembangan politik dan ekonomi dunia. Perkembangan ini termasuklah masyarakat, infrastruktur, pengangkutan dan hubungan kaum. Perkembangan ini semakin meluas apabila adanya campur tangan British di Tanah Melayu, sejak tahun 1874, yang bukan sahaja membawa perubahan dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga aspek sosial.

Sebelum British meluaskan kuasanya di Tanah Melayu, sistem pengangkutan sedia ada sangat mundur berbanding dengan keadaan selepas campur tangan British yang membawa perubahan sistem pengangkutan yang ketara. Hal ini dikatakan demikian kerana British telah memperkenalkan cara membina jalan raya dan kereta api, seperti yang telah dilakukan di Barat.

Pada abad ke-19, Semenanjung Tanah Melayu merupakan kawasan pengeluar bijih timah yang utama. Perusahaan bijih timah terus berkembang pesat semasa pemerintahan British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jika dilihat aspek pengeluaran, usaha British menyediakan perkhidmatan bantuan, termasuklah pengangkutan dan perhubungan, telah menambahkan pengeluaran. Perkembangan ekonomi di kawasan pedalaman menyebabkan cara pengangkutan tradisi tidak lagi memainkan peranan yang penting, yang mampu memberikan kepuasan kepada penduduk tempatan, sebaliknya hanya menjaga kepentingan ekonomi British.

Sebelum campur tangan British, sungai memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi, sosial, dan politik di Tanah Melayu. Sungai menjadi jalan perdagangan utama bagi pengangkutan barangan berat dan jarak jauh. Pengangkutan laut pula menjadi jalan perhubungan di antara negeri atau tempat di kawasan pantai. Sungai merupakan cara yang praktikal untuk menerobos jaluran paya ke kawasan pedalaman.

Pada masa tersebut, pengangkutan darat tidak dimajukan dengan baiknya atas beberapa sebab. Antaranya termasuklah alam sekitar yang berpaya dan berair yang melambatkan pergerakan di darat; hutan tebal yang sukar ditembusi; dan pembawa barang, seperti gajah dan manusia, yang melalui jalan tersebut tidak mampu membawa muatan barang yang banyak. Perubahan daripada bentuk pengangkutan asal ini bermula dengan tertubuhnya pemerintahan British. Pada masa yang sama, sungai merupakan laluan yang dapat digunakan untuk tiba di kawasan longgokan bijih timah. Sungai digunakan sebagai laluan untuk mengangkut bijih yang dihasilkan dari pedalaman ke pantai sebelum dieksport. Usaha perlombongan yang berterusan ini telah mewujudkan pengangkutan baharu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Arkib Negara

Pengenalan Kapal Wap dan Pas Haji Semasa

Oleh   Fauziah Abdullah, Arkib Negara Malaysia

SEMASA era pemerintahan kolonial British, kita dapat melihat bahawa usaha yang aktif telah digerakkan oleh British untuk membantu orang-orang Melayu pada masa dahulu untuk mengerjakan haji dengan lebih selesa. Usaha ini merupakan kesan daripada kecaman dan rungutan orang-orang Melayu dan juga pegawai British di Jeddah yang telah memaksa British bertindak bagi menjaga kewibawaan British.

British juga berusaha untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang bagi memberi keselesaan kepada orang Melayu ketika menunaikan haji berikutan keadaan orang Melayu yang terpaksa berdepan dengan masalah seperti kemudahan kapal dan juga kesukaran ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan haji.

Pengenalan kapal wap kepada orang Melayu untuk kemudahan mengerjakan haji pada tahun 1860 dianggap langkah yang baik untuk memastikan tempoh pelayaran haji ke Mekah mengambil masa yang lebih singkat berbanding menggunakan kapal layar pada tahun-tahun sebelumnya. Penggunaan kapal wap dapat memendekkan masa iaitu hanya tiga hingga empat minggu sahaja untuk belayar menuju ke Mekah berbanding dengan kapal layar yang mengambil masa tiga hingga empat bulan. Kemudahan  ini telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan orang Melayu untuk menunaikan haji.

Masalah masih timbul walaupun penggunaan kapal wap dijadikan pengangkutan utama. Sekitar tahun 1860 hingga 1909 memperlihatkan penumpang kapal wap ini masih lagi berasak dan penuh di dalam kapal. Keselesaan dan juga bekalan makanan yang tidak mencukupi, selain tahap kesihatan penumpang juga menjadi masalah bagi penumpang kapal haji. Keadaan ini telah mendorong pihak British untuk campur tangan dalam hal urusan haji orang Melayu. Isu kematian yang ramai dan juga sikap tamak pengurus kapal yang membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan telah diberi perhatian serius oleh pentadbiran British untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam membantu memudahkan orang Melayu mengerjakan haji dengan lebih selesa.

 Antara isu yang hangat diperkatakan ialah kes kematian jemaah haji seramai 83 orang dalam sebuah pelayaran kapal yang membawa seramai 520 orang bakal haji. Tindakan yang tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa untuk menghukum pihak yang bersalah pada masa itu. Hal ini telah mendorong British membincangkan isu ini melalui surat-surat yang dihantar dari Singapura ke Benggal pada tahun 1849 untuk membincangkan soal ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Arkib Negara