Home » Jati Diri » Perlembagaanku

Darurat dan Kesannya kepada Perlembagaan

Oleh ABDUL AZIZ BARI

Dalam pengertian biasa, darurat ialah keadaan luar biasa yang mengizinkan hal yang dilarang dalam keadaan biasa atau normal. Dari sisi undang-undang, termasuk juga dari sisi hukum Islam, itulah juga konsep dan pengertian darurat.

Dari segi prinsip, kuasa atau keharusan yang berpunca daripada darurat adalah bertentangan dengan inti sari dan tuntutan perlembagaan. Hal ini demikian kerana perlembagaan menekankan dan menuntut kuasa yang terhad, manakala darurat mengizinkan kuasa yang tidak terbatas. Hal ini termasuklah menggantung perlembagaan itu sendiri.

Pertentangan itu dengan sendirinya menekankan bahawa darurat merupakan sesuatu yang bersifat sementara, iaitu berfungsi menangani keadaan yang kritikal dan tidak terkawal oleh undang-undang biasa. Tegasnya, perlembagaan mengizinkan kuasa darurat atas alasan untuk menyelamatkan demokrasi dan bukan sebaliknya.

Kuasa darurat terkandung di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 150. Di bawah peruntukan ini, kuasa mengisytiharkan darurat diletakkan di tangan Yang di-Pertuan Agong. Sama ada kuasa ini boleh digunakan melalui budi bicara baginda sendiri atau atas nasihat kerajaan, merupakan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Meskipun begitu, dalam keadaan biasa kuasa darurat itu difahami dalam konteks baginda bertindak atas nasihat kerajaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Perlembagaanku

Perkhidmatan Awam

Oleh ABDUL AZIZ BARI

Dalam konteks doktrin pengasingan kuasa, perkhidmatan awam merupakan sebahagian daripada eksekutif atau kerajaan yang memerintah. Walau bagaimanapun, perkhidmatan awam bukanlah milik kerajaan yang memerintah yang pada praktisnya dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memerintah. Peranan perkhidmatan awam adalah untuk melaksanakan dasar dan program kerajaan yang memerintah, yang secara umumnya merupakan pernyataan dasar dan ideologi politik mereka.

Perkhidmatan awam terdiri daripada pelbagai cabang dan agensi yang membentuk kementerian dan jabatan kerajaan, termasuklah angkatan tentera, pasukan polis, guru, doktor, ahli bomba, dan seumpamanya. Jika kita lihat komposisi perkhidmatan awam ini agak jelas bahawa kerja rutin mereka adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat; baik yang menyokong kerajaan yang memerintah atau sebaliknya.

Seperti yang dinyatakan di atas, perkhidmatan awam merupakan sebahagian daripada kerajaan. Apakah bentuk hubungan antara kedua-duanya? Seperti yang termaklum, kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan perintah kerajaan selagi masih berada dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang.

Meskipun demikian, kakitangan awam tidak semestinya perlu setia kepada kerajaan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak perlu menganut ideologi dan keutamaan parti yang memerintah. Kakitangan awam hanya perlu setia kepada negara yang lambangnya ialah raja. Walau apa-apa pun, perlu ditegaskan bahawa kedudukan dan peranan kakitangan awam berbeza daripada badan kehakiman. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, hakim perlu bebas dalam menjalankan tugas mereka, baik daripada pengaruh dan campur tangan Parlimen mahupun kerajaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Perlembagaanku

Hak Asasi dalam Perlembagaan

Oleh ABDUL AZIZ BARI

Salah satu bahagian Perlembagaan Persekutuan yang penting dan sering menjadi topik perbualan khalayak ialah kebebasan asasi. Meskipun tidak disebut jelas oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan asasi merujuk hak asasi manusia.

Bahagian kedua dalam Perlembagaan Persekutuan (perlembagaan dibahagikan kepada 16 bahagian) menghimpunkan peruntukan yang mengkanunkan pelbagai hak, baik yang berbentuk hak individu mahupun yang berbentuk hak kumpulan atau komuniti. Bermula dengan Perkara 5 yang mengkanunkan hak yang berkisar di bawah kebebasan individu, bahagian ini berakhir dengan hak terhadap harta yang diletakkan di bawah Perkara 13.

Sebahagian daripada hak asasi dilindungi dengan cara membuat larangan. Perkara ini jelas dalam konteks Perkara 6 yang melarang perhambaan dan kerja paksa. Begitu juga dengan perbicaraan dua kali dan undang-undang jenayah berkuat kuasa kebelakangan yang terkandung di bawah Perkara 7. Dengan itu, tidak ada orang yang boleh dibicarakan dua kali. Ertinya, apabila seseorang yang dituduh telah dibebaskan atas sesuatu tuduhan, individu tersebut tidak boleh dibicarakan sekali lagi atas kesalahan yang sama. Undang-undang jenayah kuat kuasa kebelakangan pula dilarang supaya tidak ada orang yang didakwa atas sesuatu yang bukan kesalahan jenayah sewaktu kesalahan tersebut dilakukan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Perlembagaanku

Badan Kehakiman

Oleh Abdul Aziz Bari

Badan kehakiman memainkan peranan penting dalam memastikan tujuan dan isi kandungan perlembagaan dapat hidup dan berkembang. Seperti yang termaktub dalam doktrin pengasingan kuasa, peranan mahkamah ialah mentafsirkan undang-undang. Hal ini dilakukan dalam pelbagai cara dan konteks, iaitu dari penyelesaian konflik hinggalah mentafsirkan peruntukan perlembagaan.

Konflik boleh berlaku antara kerajaan dengan rakyat, atau antara rakyat. Dalam sebuah negara persekutuan, seperti Malaysia, konflik boleh berlaku antara kerajaan. Dalam proses menyelesaikan konflik ini mahkamah memberikan tafsiran kepada undang-undang yang secara automatik menentukan hak dan liabiliti pihak yang bertikai. Keputusan mahkamah juga menjadi sebahagian daripada undang-undang, meskipun taraf undang-undang tersebut lebih rendah berbanding dengan perlembagaan dan undang-undang bertulis yang dibuat oleh parlimen.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Perlembagaanku