Home » Jati Diri » Islam dan Anda

HIASI DIRI DENGAN SIKAP MALU

Oleh LOKMAN ISMAIL

Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi. Pelakunya tidak ada perasaan malu melakukan perbuatan yang secara terang-terang menyalahi hukum agama dan undang-undang negara. Apabila hilang perasaan malu, maka berleluasalah kemungkaran.

Sifat malu satu cabang iman. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmizi bermaksud, “Malu itu sebahagian daripada iman.”

Oleh itu, perasaan malu menjadi perisai diri untuk mengelak daripada melakukan perbuatan dosa kerana mendatangkan aib kepada diri sendiri.

Seseorang yang mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memalukan akan mendapat balasan kebaikan. Tindakan itu dapat mengelakkan diri daripada menanggung malu sesama manusia dan ketika mengadap Allah pada hari pengadilan.

Ironinya, ada orang bermegah-megah melakukan perbuatan dosa dan berasa berat untuk melakukan kebaikan. Dosa dan kejahatan yang sudah sebati dalam diri menyebabkan seseorang itu tidak mempunyai perasaan malu lagi.

Sikap berhati-hati dan keimanan yang tinggi dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memalukan. Bagi orang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielakkan.

Muslim yang mempunyai perasaan malu tidak tertarik dengan tipu daya kehidupan. Dia lebih memikirkan kesan malu yang bakal ditanggung dan pembalasan daripada Allah. Setiap kesalahan dan dosa akan diperlihatkan di akhirat nanti, biarpun perkara yang dapat disembunyikan di dunia.

Sesiapa yang melakukan perbuatan sesuka hati tanpa perasaan malu, berasakan dirinya berkuasa dan tidak perlu mengambil kisah tentang orang di sekelilingnya. Kejahatan dan dosa yang dilakukan dianggap satu kemegahan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Islam dan Anda

REMAJA HARUS PEKA AKAN TANGGUNGJAWAB

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

Ramai orang mengatakan bahawa kehidupan yang kita lalui sekarang terlalu rumit dan banyak halangan serta cabaran yang perlu ditempuhi. Namun demikian, hal ini bukanlah halangan yang tidak membolehkan kita bergerak dan membina kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Banyak perkara sudah tidak lagi diambil berat. Inilah yang berlaku dalam kalangan remaja dan belia. Keadaan yang berlaku mungkin disebabkan oleh kurangnya rasa yakin diri dan pegangan yang sudah lari daripada norma pembinaan akhlak yang dibentuk oleh ajaran al-Quran dan sunah Baginda Rasulullah SAW.

Lantaran kelalaian, tidak mahu belajar serta tidak menghayati al-Quran dan sunah, maka terjadilah banyak perkara yang akhirnya menyebabkan kita sebagai penonton, bingung dan celaru. Dengan hal yang demikian, timbul persoalan, adakah trend generasi masa kini menjadi trend pada masa akan datang?

Tindakan mencelup rambut, cara berpakaian yang mendedahkan aurat, pergaulan yang semakin tidak terbatas, gejala dadah, dan sebagainya, sudah semakin berleluasa serta mewarnai kehidupan remaja dan belia pada masa kini. Mereka sudah tidak serta segan-silu lagi mencelup rambut dengan pelbagai warna dan bergerak bebas di tengah-tengah kelompok masyarakat sekeliling.

Kita semakin dicelarukan lagi dengan pengaruh luar yang sudah menjadi “pakaian” generasi muda kita. Oleh hal yang demikian, pelbagai cara dan usaha perlu terus digembleng supaya perubahan yang berlaku di sekeliling kita ini, tidak dilihat sebagai perubahan yang mewujudkan kesan sampingan yang negatif. Perubahan yang berlaku perlu disaring dan disesuaikan dengan keadaan dan iklim yang kita lalui.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Islam dan Anda

JENAYAH MEROSAKKAN MODAL INSAN

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

Kerajaan, melalui pasukan keselamatan melancarkan perang habis-habisan tanpa kompromi terhadap penjenayah dan pengganas sama seperti memerangi komunis pada masa dahulu. Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi dengan apa-apa jua cara bagi melenyapkan ancaman mereka yang boleh menjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.

Orang yang melakukan jenayah sebenarnya bolehlah dianggap hanya berjasad manusia, tetapi jiwa dan perasaannya tidak lebih daripada ganasnya seekor binatang liar. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang hatinya Kami lalaikan daripada mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan.”

(Surah al-Kahfi: 28)

Penjenayah dan jenayah memang kejam. Selepas tercetusnya sesuatu kes jenayah, lahir pula perasaan marah, iri hati dan dendam kesumat. Saling menasihati dan mengingati supaya tidak tergelincir dari landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab tersebut bergantung pula pada keupayaan diri seseorang apabila berada dalam kelompok manusia yang tertentu dan mengikut tahap keilmuan yang dimiliki seseorang. Firman Allah SWT bermaksud:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan soleh dan nasihat-menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.”

(Surah al-Asr: 1-3)

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Islam dan Anda

Berakhlak Mulia Ketika Berada di Jalan Raya



oleh Nazri Hussein

MUSLIM yang benar-benar berakhlak mulia bukan sahaja ketika berinteraksi sesama ahli  masyarakat tetapi semasa menggunakan kenderaan di jalan raya. Islam amat menekankan tingkah laku dan adab yang baik semasa menunggang motosikal atau memandu kereta. Kes kemalangan jalan raya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun. Hal ini sewajarnya dapat ditangani jika masyarakat lebih berhemah serta bertanggungjawab menunaikan amanah terhadap pengguna lain di tengah kesibukan jalan raya.

Kita sedia maklum, tidak semua kemalangan jalan raya berpunca daripada keadaan jalan raya atau kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik. Aspek lain, seperti kecuaian manusia, leka kerana terlalu mengikut hawa nafsu, tidak bertanggungjawab, kurang didikan agama serta tidak sabar menghadapi situasi yang genting, dikenal pasti menjadi penyumbang besar peningkatan statistik kemalangan maut di  jalan raya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Islam dan Anda

Amalan Bersyukur

<p>Oleh Amirul Ridzuan

Sesekali apalah salahnya untuk kita meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT yang sentiasa memberikan nikmat. Mungkin bagi sesetengah daripada kita agak berat untuk melafazkan Alhamdulillah, “Segala puji bagi Allah SWT”.

“ … sekiranya kalian menghitung nikmat-nikmat Allah SWT,

nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya …”

(Surah Ibrahim, ayat 34)

Kadangkala kita tidak sedar dengan semua nikmat dan rahmat yang dianugerahkan oleh-Nya. Terlalu banyak yang Allah SWT kurniakan hingga kita tidak sedar dengan pelbagai nikmat yang Allah SWT limpahkan, malahan setiap udara yang kita sedut juga merupakan nikmat. Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang mampu menghitung segenap nikmat dan pemberian Allah SWT kepada kita. Namun berapa banyakkah di antara kita yang bersyukur?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Islam dan Anda