Home » Akademik

Bahasa Pembenar

Oleh Munsyi Dewan

BENARKAH wujud bahasa pembenar dalam bahasa Melayu? Benar, bahasa pembenar memang wujud dalam bahasa Melayu. Bahasa pembenar ialah bahasa yang binaan ayatnya mengandungi kata pembenar, seperti ya, betul dan benar. Oleh sebab binaan ayatnya mengandungi kata pembenar, maka dinamailah bahasa ini bahasa pembenar.

Dalam bahasa Melayu, kata pembenar tergolong dalam golongan kata tugas. Kata tugas bahasa Melayu bersifat pelbagai jenis atau heterogen, iaitu tidak boleh menjadi unsur inti bagi frasa endosentrik, seperti frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif. Kata tugas hadir dalam ayat, klausa, atau frasa untuk mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu, sama ada sebagai penghubung, penentu, penguat, penegas ataupun pembenar.

Kata pembenar ialah perkataan yang mengesahkan sesuatu penyataan. Penggunaan kata pembenar dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1. Ya, itulah orangnya yang menegur saya tadi.

2. Benar, dialah yang berkata begitu.

3. Betul, tanyalah dia.

Ayat yang dapat dibina berdasarkan kata tersebut berbentuk ayat penyata.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Ayat Pasif Bantuan?

Oleh Muhammed Salehudin Aman, Munsyi Dewan

BENARKAH ada ayat pasif bantuan? Sebelum kita berbicara tentang ayat pasif bantuan, moleklah kiranya difahami pengertian ayat pasif itu sendiri. Secara mudah, ayat pasif membawa pengertian bahawa apabila frasa nama (FN) yang menjadi subjek dalam sesuatu ayat menjadi penderita kerana dikenai oleh kesan kata kerja pasif, maka ayat yang demikian itu disebut ayat pasif. Oleh itu, apabila hal ini berlaku, kita melihat bahawa dalam binaan ayat pasif, yang ditekankan atau diutamakan ialah objeknya. Hal ini berbeza daripada bentuk ragam ayat aktif, yakni lawan kepada bentuk ayat pasif.

Perbezaan yang ketara antara kedua-dua ayat ini terletak pada perkara yang ditekankan atau difokuskan dalam ayat. Ayat aktif menekankan pelaku kata kerja, sedangkan ayat pasif sebaliknya. Telitilah perbezaaan kedua-dua bentuk ayat ini.

1. (a) Zaqwan memandu kereta itu.

     (b) Kereta itu dipandu oleh Zaqwan.

2. (a) Kamu perlu menghormati orang tua itu.

     (b) Orang tua itu perlu kamu hormati.

3. (a) Polis telah menangkap pencuri itu malam tadi.

     (b) Pencuri itu telah kena tangkap oleh polis malam tadi.

Ayat 1(a), 2(a), dan 3(a) ialah ayat aktif. Ayat ini menekankan pelaku (Zaqwan, kamu, polis); maka pelaku berada di hadapan ayat sebagai subjek. Ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) pula tidak mengutamakan pelaku kerana yang lebih ditekankan ialah objeknya (kereta itu, orang tua itu, pencuri itu). Pelaku dalam ayat aktif kini berada di bahagian belakang ayat, iaitu menjadi unsur dalam bahagian predikat pula. Objek dalam ayat aktif menjadi subjek yang baharu, sekali gus menjadi penderita yang dikenai kesan kata kerja pasif. Itulah sebabnya bentuk ayat ini dikatakan ayat pasif.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

KAMUS DEWAN – Perihal Ekor

Oleh Munsyi Dewan

EKOR ialah bahagian belakang binatang yang biasanya menganjur keluar dari tulang punggung dan dapat digerak-gerakkan. Dalam bahasa Melayu Brunei, ekor disebut sebagai ikung.

Ekor digunakan sebagai kata penjodoh bilangan untuk binatang dan manusia serta benda halus. Misalnya, dua ekor halipan dan beberapa ekor semut merah untuk binatang. Dalam konteks rujukan kepada manusia, penjodoh bilangan ekor terpakai dalam bahasa basahan yang merujuk anak. Misalnya, “Anak empat ekor itu siapa yang menjaganya?” Benda halus (alam ghaib) atau yang mempunyai sifat jahat, seperti syaitan, jin, hantu, dan raksasa, juga menggunakan penjodoh bilangan ekor untuk menyatakan bilangannya. Misalnya, Rawana membunuh dua ekor raksasa.

Sesuatu benda yang rupanya atau keadaannya seperti bentuk ekor disebut ekor, seperti ekor layang-layang. Kalau sebuah pesawat udara, bahagian yang dibelakang sekali dinamai ekor pesawat atau ekor rakitan. Dalam barisan anggota tentera, bahagian yang dibelakang sekali dinamai ekor juga.

Perkataan ekor juga digunakan dalam bahasa kiasan. Ada dua bentuk atau keadaan ekor digunakan sebagai bahasa kiasan ini. Pertama, menamakan hal tanggungan. Misal ayatnya “Dia terpaksa bekerja keras kerana ekornya banyak” ; yang bermaksud orang (anak) dalam tanggungannya banyak.

Yang satu lagi sebagai kiasan untuk menggambarkan akibat daripada sesuatu kejadian atau keadaan sebelumnya. Maksud ini tergambar dalam ayat “Perkara itu merupakan ekor daripada peristiwa semalam” dan ayat “Tindakan yang buruk seperti itu pasti ada ekornya nanti”.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

Awalan Se-: Maksud Satu dan Sama (Bahagian 1)

Oleh Munsyi Dewan

SE- ialah satu imbuhan bahasa Melayu. Imbuhan se- merupakan awalan pembentuk kata terbitan bahasa Melayu. Apabila diimbuhkan dengan kata adjektif, maka kata terbitan yang terhasil ialah kata terbitan golongan adjektif. Contohnya, se- + baik = sebaik. Kata adjektif sebaik membawa maksud sama baik dengan (sesuatu). Ayat (1) yang berikut ini menunjukkan maksud tersebut:

Perangai Nurul sebaik abang sulungnya.

(bererti perangai Nurul sama baik dengan kebaikan perangai abang sulungnya).

Beberapa contoh yang lain ialah segemuk (sama gemuk dengan sesuatu), sekuat (sama kuat dengan sesuatu), selembut (sama lembut dengan sesuatu), dan secomel (sama comel dengan sesuatu).

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

 

KAMUS DEWAN: Barah, Jarah, Garah dan Karah

Oleh Munsyi Dewan

BARAH ialah terjemahan perkataan bahasa Inggeris cancer. Ejaan cancer telah disesuaikan menurut susuk ejaan dalam bahasa Melayu menjadi kanser. Hari ini istilah kanser lebih dominan penggunaannya berbanding barah.

Barah merujuk satu keadaan sel yang membesar secara luar kawalan. Dalam pengertian yang mudah, barah ialah bisul besar bernanah yang merupakan satu ketumbuhan berbahaya pada kulit atau pada tisu dalam tubuh. Barah payudara, barah hati, barah usus, dan barah otak adalah antara beberapa nama barah yang menyerang manusia. Penghidap barah yang tegar berisiko tinggi tidak berjaya dirawati.

Kata nama jarah bermaksud barang, harta dan lain-lain yang dirampas, terutama rampasan dalam peperangan. Peribahasa Melayu berbunyi “duduk meraut ranjau, berdiri mengintai jarah” bermaksud dalam setiap pekerjaan harus diingat faedah akan diri sendiri. Maksudnya, setiap pekerjaan yang dilakukan harus difikirkan ada juga hasil pulangannya untuk diri sendiri.

Pada suatu masa dahulu, orang Melayu sangat sensitif jika seseorang itu digelar penjarah. Walaupun penjarah itu ertinya perampas, bagi orang Melayu, pengertian penjarah lebih hebat daripada sekadar perbuatan merampas. Bagi orang Melayu, penjarah itu ialah manusia yang paling jahat, ganas yang kerja merompak secara kasar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

AWALAN SE-: KONSEP MASA

Oleh Mohamad Salehudin Aman

DALAM tulisan yang terdahulu telah dihuraikan awalan se- yang membawa maksud sama, dan maksud satu. Dalam tulisan kali ini, akan saya bicarakan maksud awalan se- yang lain pula.

Awalan se-, apabila digabungkan dengan Kata Nama (KN) abstrak tertentu, akan membawa maksud tempoh, yakni lama masa atau waktu. Jelaslah bahawa kata terbitan berawalan se- yang terhasil merujuk satu tempoh masa tertentu, yakni yang menandakan atau yang berkaitan dengan sifat masa atau waktu.

Contohnya perkataan sedetik bererti satu detik, yakni menunjukkan tempoh yang singkat, dan setahun (satu tahun) bagi menunjukkan waktu yang lama, yakni 12 bulan kiraan tahun masihi. Antara contoh lain termasuklah sehari (lama masa 24 jam), sebulan (lama tempoh 30 hari), seminggu (tujuh hari), sedekad (selama sepuluh tahun), seabad (tempoh 100 tahun), sealaf (lama masa 1000 tahun), sezaman (tempoh atau jangka masa tertentu), dan semusim (satu masa yang tetap setiap tahun mengikut perubahan iklim). Contoh penggunaan beberapa perkataan tersebut dalam ayat adalah seperti yang berikut:

        1. “Kerja tak sampai sehari, mahu gaji penuh,” rungut mandur sendirian.

         2. Sealaf bermakna satu milenium, iaitu seribu tahun.

         3. “Sezaman ialah satu zaman; zaman-berzaman bermakna dari suatu zaman ke suatu zaman,” kata cikgu sejarah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

ANTARA KATA TRANSITIF DENGAN TAK TRANSITIF

Oleh Muhammed Salehudin Aman, Munsyi Dewan

DALAM bahasa Melayu terdapat dua jenis kata kerja, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Yang dikatakan kata kerja transitif ialah kata kerja yang memerlukan objek atau penyambut hadir selepasnya. Misalnya, kata kerja menulis. Kata kerja ini mesti diikuti oleh objek, misalnya surat. Ayat “Kakak sedang menulis”, misalnya, salah dalam bahasa Melayu. Ayat yang betul ialah “Kakak sedang menulis surat”.

Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek sesudahnya, misalnya kata kerja duduk, terbang, dan naik. Contoh dalam ayat:

1. Burung helang itu terbang.

2. Murid tadika sedang duduk.

3. Para pelajar semua naik.

Ayat ini boleh diperluas, iaitu dengan memasukkan frasa sendi nama yang berfungsi sebagai unsur keterangan.

Misalnya, ke awan yang mengikuti kata kerja tak transitif terbang dalam ayat 4, di atas kerusi yang mengikuti kata kerja tak transitif duduk dalam ayat 5, dan ke tingkat satu bangunan sekolah dalam ayat 6.

4. Burung helang itu terbang ke awan.

5. Murid tadika sedang duduk di atas kerusi.

6. Para pelajar semua naik ke tingkat satu bangunan sekolah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

 

Masyarakat Penyayang Membentuk Negara Sejahtera

Oleh Hamka Suhaimi

SETIAP insan mengimpikan keamanan. Kehidupan yang aman tanpa peperangan, penindasan dan kekejaman. Namun begitu, keamanan tidak akan datang jika manusia bersikap khianat, mementingkan diri sendiri dan menzalimi orang lain.

Masyarakat penyayang ialah kumpulan manusia yang hidup bersama-sama dan mengasihi antara satu dengan yang lain. Masyarakat penyayang penting dalam membentuk negara yang aman dan sejahtera. Lebih penting lagi, sifat penyayang dan kasih sayang ini akan membantu Malaysia menjadi negara maju secara holistik sejajar cabaran ketujuh Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang.

Kesejahteraan sesebuah masyarakat dapat dibentuk dengan lebih mudah dan berkesan melalui suasana yang sarat dengan nilai insani dan kekeluargaan. Asasnya ialah saling menyayangi.

Masyarakat penyayang dapat diwujudkan secara bersama-sama oelh semua individu dalam sesebuah komuniti. Cara paling mudah dan tidka memerlukan masa yang lama ialah dengan merancakkan lagi aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, saling menunjukkan sikap penyayang termasuklah tolong-menolong, baik hati dan mengambil tahu supaya boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Ancaman Budaya Hedonisme

Oleh Amirah Syazwani

SETIAP manusia yang bernyawa berkeinginan untuk berseronok dan berhibur. Keinginan sebegini tidak salah kerana itu merupakan fitrah manusia. Yang salahnya ialah apabila menjadikan budaya hedonisme sebagai tunjang atau prinsip dalam kehidupan. Budaya ini jika menular dan tidak ditangani dengan baik bukan sahaja boleh melunturkan semangat jati diri dan nilai murni seseorang bahkan boleh memesongkan pegangan agama individu tersebut.

Di Malaysia, budaya ini dibawa masuk oleh Barat yang berselindung di sebalik istilah pemodenan, kemajuan dan pembangunan. Budaya hedonisme ini menjadikan golongan muda yang merupakan bakal pelapis generasi masa hadapan negara sebagai sasaran. Hal ini dikatakan demikian kerana sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baharu menyebabkan golongan muda mudah menerima unsur negatif yang dibawa oleh media massa.

Globalisasi yang melanda dunia ini menjadikan komunikasi semakin mengembang dan dunia semakin mengecil kerana segala-galanya mudah dicapai. Globalisasi juga mempercepatkan pemindahan nilai dan cara berfikir. Kesempatan inilah digunakan sebaik-baiknya oleh Barat untuk memindahkan budaya dan cara hidup mereka termasuklah budaya hedonisme.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Memesrai Alam Sekitar

Oleh Tee Yi Ting

DALAM era globalisasi dan modenisasi ini, masalah pencemaran alam semakin serius di negara kita. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan untuk megatasi masalah ini daripada terus berlaku. Namun begitu, pelbagai inisiatif yang dijalankan ini tidak membawa impak yang besar sekali gus, malah masalah pencemaran terus menular. Oleh itu, satu wahana yang konkrit dan pragmatik perlu disusun dan digagaskan untk merungkai permasalahan yang kelihatan semakin serius ini.

Ibu bapa perlu memainkan peranan yang dominan dalam menerapkan cara hidup mesra alam dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menyalurkan pengetahuan tentang cara hidup mesra alam kepada ahli keluarga mereka. Dalam hal ini, ibu bapa dapat mengajar anak supaya tidak menggunakan beg plastik semasa membuat pembelian sebaliknya memasukkan barangan yang dibeli ke dalam beg kitar semula.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak supaya tidak melakukan tindakan yang mencemarkan alam sekitar termasuklah membuang sampah ke dalam sungai dan melakukan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik di hadapan anak supaya mereka menjadi individu yang mencintai suasana mesra alam pada masa hadapan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)