Home » Akademik » Cintai Bahasa Kita (Page 2)

DIFTONG DAN VOKAL RANGKAP

Oleh Munsyi Dewan

DIFTONG ialah gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. Hal ini dikatakan demikian kerana bunyi diftong terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya kepada suatu vokal lain. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. Diftong dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem.

Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis diftong, iaitu ai, au dan oi. Perlu diingat bahawa dalam proses pengeluaran bunyi bahasa, lidah merupakan alat artikulasi (pertuturan) yang paling aktif lagi penting. Untuk menghasilkan bunyi diftong ai, misalnya, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan diftong au, dan oi. Kedudukan lidah pada keadaan membunyikan vokal yang pertama, lalu dengan pantasnya lidah digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang kedua pula.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

AKU, KITA, KAMI

Oleh Munsyi Dewan

HARI ini, ada segelintir anak-anak membahasakan dirinya dengan kata ganti diri aku. Ada juga orang kebanyakan menggunakan saya apabila bercakap dengan golongan diraja. Demikian juga, halnya banyak orang menggunakan kata ganti diri kita untuk konteks kami ketika berbahasa.

Sehubungan dengan itu, ruangan ini, pada kali ini, akan membincangkan penggunaan kata ganti diri orang pertama. Ada tiga jenis kata ganti diri dalam bahasa Melayu, iaitu kata ganti diri pertama, kedua dan ketiga, misalnya saya, aku, patik, kami, kita (diri pertama), awak, engkau, kau (diri kedua), dan beliau, ia, dia, mereka (diri ketiga).

Penggunaan kata ganti diri ini berkait rapat dengan faktor sosial. Tiga perkara yang harus diingat dalam konteks penggunaan kata ganti diri ini ialah pertama, faktor status, iaitu orang biasa dengan golongan istana. Yang kedua ialah faktor umur, pangkat dan kekeluargaan; dan yang ketiga, faktor situasi, iaitu formal atau tidak formal.

Dalam bahasa Melayu, kata ganti diri orang pertama bagi orang kebanyakan ialah saya dan aku. Saya ialah bentuk halus atau hormat, sementara aku ialah bentuk kasar. Apabila orang kebanyakan berhubung dengan golongan diraja, dirinya dirujuk sebagai patik, dan golongan diraja dirujuk sebagai tuanku, tunku, tengku dan lain-lain. Golongan diraja pula merujuk dirinya sebagai beta. Namun demikian, pada masa ini, ada golongan diraja (selain raja memerintah) menggunakan kata ganti diri saya sahaja.

Selain itu, saya digunakan dalam situasi rasmi dan formal. Saya juga digunakan oleh orang yang lebih muda kepada orang yang lebih tua, oleh orang yang rendah pangkatnya kepada orang yang lebih tinggi pangkatnya, oleh orang yang hubungan kekeluargaan lebih rendah, misalnya anak kepada ibu bapa dan saudara mara yang lebih tua. Orang yang lebih tua boleh menggunakan aku. Kendatipun begitu, bentuk saya boleh digunakan bagi menggambarkan budi bahasa yang tinggi.

—-

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

ANGKA DUA

Oleh Munsyi Dewan

DALAM sistem ejaan Rumi sebelum 1972, terdapat penggunaan lambang yang bukan berupa huruf daripada sistem abjad. Lambang tersebut ialah angka dua (2) sebagai tanda ganda.

Dalam sistem ejaan Rumi lama itu, angka dua (2) digunakan bagi penulisan kata ulang (kata ganda) semu dan kata ulang jamak, manakala tanda sempang (-) pula digunakan bagi penulisan jenis kata ulang yang lain. Dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang mula dikuatkuasakan penggunaannya pada tahun 1972, penggunaan angka dua dimansuhkan. Semua kata ulang semu dan kata ulang jamak menggunakan tanda sempang sepenuhnya.

Walaupun cara penulisan ini dilihat tidak ekonomis, itulah ketetapan yang dibuat demi kesempurnaan dan keselarasan ejaan bahasa Melayu. Misalnya, sebelum penguatkuasaan pemansuhan angka dua dalam ejaan, angka dua digunakan dalam penulisan kata ulang jamak daripada kata dasar seperti daun2, pulau2, rakit2; kata ulang jamak daripada kata terbitan seperti bantuan2, jawatan2, petugas2; dan kata ulang daripada kata ganda semu seperti anai2, kupu2, rama2 dan kanak2.

Kini, semua ejaan kata tersebut itu dieja (ditulis) sepenuhnya dengan menggunakan tanda sempang (-). Perkataan daun2 menjadi daun-daun, pulau2 menjadi pulau-pulau, dan rakit2 menjadi rakit-rakit. Kata ulang jamak daripada kata terbitan seperti bantuan2 ditulis sepenuhnya menjadi bantuan-bantuan, jawatan2 menjadi jawatan-jawatan dan petugas2 menjadi petugas-petugas. Demikian jua halnya dengan kata ganda semu anai2, kupu2, rama2, dan kanak2 berubah ejaannya menjadi anai-anai, kupu-kupu, rama-rama dan kanak-kanak.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Tanda Sempang dan Tanda Pisah

oleh MUNSYI DEWAN

TANDA baca amat penting dalam penulisan. Ketiadaan tanda baca atau penggunaan tanda baca yang tidak tepat akan menjejaskan kelancaran gagasan dan fakta dalam karangan, malahan hal ini memungkinkan wujud kekeliruan memahami maklumat  yang tersirat dalam karangan pelajar. Pada kali ini, akan dihuraikan penggunaan tanda sempang dan tanda pisah.

Tanda Sempang ( – )

Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan kata ganda, yakni memisahkan pengulangan kata. Contohnya:

i. buku-buku

ii. tali-temali

iii. adik-beradik

iv. mundar-mandir

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Penggunaan Tanda Soal dan Tanda Seru

Oleh Munsyi Dewan

Tanda baca amat penting dalam penulisan. Ketiadaan tanda baca, atau penggunaan tanda baca yang tidak tepat, akan menjejaskan kelancaran gagasan dan fakta dalam karangan. Hal ini memungkinkan wujud kekeliruan memahami maklumat yang tersirat dalam karangan pelajar.

Kali ini, kita akan membincangkan penggunaan tanda soal, dan tanda seru.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.