Home » Akademik » Cetusan Pendapat (Page 2)

DICUBIT PAHA KANAN, PAHA KIRI TERASA

Oleh Farah Alia Suraya Azman, Muar, Johor.

SAHABAT mempunyai pelbagai istilah, antaranya rakan, teman dan kawan. Sahabat ialah insan yang selalu berdampingan dengan kita. Kehidupan seolah-olah tidak lengkap jika tidak mempunyai sahabat. Tidak kira tua atau muda pasti mempunyai sahabat yang istimewa. Jika sahabat tersebut kurang berdampingan dengan kita, sahabat juga boleh dipanggil teman jarak jauh iaitu, hanya berkomunikasi melalui media sosial sahaja.

Sejarah terdahulu jelas menyaksikan nilai persahabatan sejati pada zaman Rasulullah. Kehadiran Islam memberi sinar baharu kepada dua kaum yang bermusuhan iaitu, Auz dan Khazrat. Akhlak Rasulullah menyentuh hati kedua-dua kaum ini hingga terjalin ikatan persahabatan seperti saudara kandung antara mereka demi sama-sama menegakkan syiar Islam di bumi Madinah.

Islam amat menggalakkan kita berdampingan dengan sahabat yang berkeperibadian baik. Sahabat yang baik adalah cerminan diri kita, begitulah sebaliknya. Antara akhlak mulia seorang sahabat yang perlu ada ialah dia amat mencintai agama melebihi segala-galanya. Selain itu, dia juga sering beramal seperti bersedekah, berpuasa, berjemaah di masjid, mengaji dan suka membuat kebajikan. Dia akan membawa kita ke ajlan lurus dan melarang kita melakukan maksiat.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat

KEMUDAHAN INTERNET DISALAHGUNAKAN

Oleh Hamka Suhaimi, Kluang, Johor

INTERNET ialah rangkaian sistem antarabangsa yang digunakan oleh masyarakat zaman sekarang untuk berhubung seperti menggunakan facebook, twiter dan lain-lain. Dengan adanya internet, kita boleh berhubung dengan rakan-rakan kita yang berada di luar negara dan dapat mencari kenalan baru melaluinya. Selain itu, internet juga digunakan untuk menjual barangan secara dalam talian. Kita boleh mengiklankan produk sehingga ke pasaran antarabangsa. Seterusnya, kita boleh mencari pelbagai maklumat dan informasi terkini dengan lebih cepat dan tepat. Contohnya, mencari maklumat mengenai sejarah negara kita.

Namun, kemudahan tersebut telah disalahgunakan oleh segelintir remaja zaman sekarang. Mereka menggunakan internet untuk perkara yang tidak bermanfaat seperti menonton video yang tidak elok dan merosakkan akhlak. Selain itu, mereka menggunakan kepakaran dalam bidang IT untuk menggodam kemudahan di internet seperti facebook. Mereka juga melakukan jenayah siber yang akhirnya menyusahkan orang lain.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

 

Posted in: Cetusan Pendapat

SEKOLAH HARMONI

Oleh Nur Syaza Atiqa Md Sulaiman, SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Johor.

SETIAP warga sekolah mahukan sekolah yang harmoni. Suasana sekolah yang harmoni dapat membantu pelajar dalam pelbagai aspek. Sekolah yang harmoni bersuasana aman, damai dan tenteram sesuai dijadikan latar tempat kepada sesebuah sesi pembelajaran. “Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal”. Semua orang semestinya mahukan suasana sekolah seperti ini. Terdapat beberapa ciri penting untuk mewujudkan sekolah harmoni.

Suasana pembelajaran yang kondusif adalah antara ciri sekolah harmoni. Kondusif di sini membawa erti persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran. Persekitaran yang selesa dan tenang dapat menjamin keselamatan sekolah. Suasana sekolah juga haruslah bersih bagi mengelakkan pelbagai risiko penyakit. Guru dan murid juga perlulah sentiasa bekerjasama mewujudkan keceriaan sekolah, bak kata pepatah “bagaimana acuan begitulah kuihnya”.

Selain itu, pelajar yang berdisiplin juga dapat melahirkan suasana sekolah harmoni. Pelajar yang berdisiplin ialah pelajar yang mematuhi peraturan yang ditetapkan, menepati masa, menjaga sahsiah dan sentiasa aktif dalam akademik serta kokurikulum. Seterusnya, fokus dalam pelajaran dan sentiasa berketerampilan khas. Pelajar seperti ini dapat membantu mengurangkan kes disiplin di sekolah. Hal ini sesuai dengan peribahasa, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” yang juga membawa maksud mendidik anak biarlah dari kecil ataupun boleh dimaksudkan di sini berdisiplin biarlah dari awal. Dengan ini, berdisiplin dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Sekolah gemilang melahirkan pelajar yang cemerlang.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat

TEKNOLOGI TELEKOMUNIKASI

Oleh V. Tamil Arrasu, SMK Dato’ Jaafar, Johor Bahru, Johor.

PADA hari ini, teknologi telekomunikasi berkembang pesat di dalam jagat tanpa sempadan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa teknologi komunikasi merupakan urat nadi yang menguasai marcapada.

Tidak dapat disangkal bahawa teknologi telekomunikasi yang berkembang pesat didorong oleh ledakan teknologi maklumat. Jagat tidak lagi dibatasi oleh sempadan negara dan batas waktu kerana kita boleh menghubungi sesiapa sahaja di mana-mana mahupun pada bila-bila masa di pelosok jagat ini. Lantaran itu, dengan adanya kemudahan internet, kita dapat berhubung antara satu sama lain meskipun berada di hujung jagat melalui e-mel mahupun telefon.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat

MODAL INSAN BERTARAF DUNIA

Oleh Lai Cu Yen

PEMUDA harapan bangsa, pemudi tiang negara, inilah ungkapan yang sering terngiang-ngiang di corong radio dan telinga kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja merupakan generasi wawasan yang akan menerajui pucuk pimpinan negara dan membantu tanah air mengharungi segala pancaroba untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan bertamadun tinggi serta merealisasikan Wawasan 2020.

Modal insan yang berkualiti mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi dan luas. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan sering menegaskan kepentingan amalan membaca dan menuntut ilmu. Jadi, tidak hairanlah slogan seperti “membaca jambatan ilmu” dan “ilmu pelita hati” sering berkumandnag di corong radio dan terpapar pada media cetak.

Modal insan yang berkualiti mestilah menepati ciri individu yang berpengetahuan luas. Hal ini telah menjelaskan bahawa pengetahuan yang tinggi telah menjadi identiti yang kukuh kepada modal insan yang bertaraf dunia. Ilmu diibaratkan pelita hidup yang mampu membantu kita bersaing dalam pasaran global. Ilmu juga mendorong kita menuju ke arah kemajuan.

Modal insan bertaraf dunia juga sewajarnya memiliki keperibadian yang mulia. Remaja perlu mengamalkan nilai murni, berbudi bahasa, berintegriti, beretika, dan beriltizam tinggi. Remaja yang mempunyai modal insan yang tinggi juga akan menepati masa, mematuhi peraturan, bersifat sabar, selalu menjaga kesihatan mental dan fizikal dan aspek lain.

Modal insan yang berkualiti tinggi juga memiliki ketahanan fizikal dan mental. Ketahanan fizikal dan mental merupakan asas untuk memiliki badan yang sihat dan kuat serta fikiran yang sihat dan positif. Sebagai contoh, modal insan yang sihat mampu menyelesaikan masalah dengan pantas dan cekap kerana mempunyai minda yang berwaspada.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

Posted in: Cetusan Pendapat

MALAYSIA TUMPUAN PELANCONG

Oleh Sofea Suhaimi, SMK Bandar T6, Kuala Lumpur.

MALAYSIA kaya dengan pelbagai keunikan. Keunikan ini dilihat mampu menarik pelancong luar untuk bertandang ke negara kita. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk mengekalkan keunikan Malaysia di mata dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana sektor pelancongan merupakan sumber utama yang boleh menambah pendapatan negara.

Faktor utama yang mendorong kemasukan pelancong luar ke negara kita ialah kemudahan pengangkutan yang tersedia. Antara kemudahan pengangkutan yang terdapat di negara kita termasuklah teksi, bas, kereta api, LRT, beca dan kereta kuda. Bagi sesetengah negara luar yang berkembang pesat, negara mereka sudah tidak lagi mempunyai kenderaan tradisional seperti beca dan kereta kuda. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong berlumba-lumba untuk melawat Malaysia kerana mahu merasakan sendiri pengalaman menaiki kereta kuda.

Bentuk muka bumi yang sesuai untuk aktiviti pelancongan juga merupakan faktor yang mampu menarik pelancong untuk melawat negara kita. Malaysia mempunyai pelbagai jenis bentuk muka bumi yang menarik termasuklah tanah tinggi, tanah pamah, pinggiran pantai dan dataran. Kawasan tanah tinggi berpotensi dijadikan sebagai kawasan penanaman tumbuhan berhawa sejuk termasuklah yang dilakukan di Cameron Highlands, Pahang. Selain itu, terdapat juga kawasan yang dijadikan sebagai pusat peranginan dan hiburan seperti di Bukit Fraser dan Genting Highlands. Kawasan tanah pamah pula sesuai didirikan taman tema yang menjadi tarikan pelancong termasuklah Taman Tema Legoland yang telah menarik minat pelancong luar terutama dari Singapura.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat

PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Oleh Mohd. Adam Fazery, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

DALAM era globalisasi ini, pencemaran alam sekitar bukanlah isu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat. Pencemaran alam sekitar bukan sahaja dirasai oleh negara penrindustrian bahkan turut dirasai di seantero dunia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “pencemaran” bererti perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah-sarap dan sebagainya.

Pencemaran alam sekitar dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis, antaranya termasuklah pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah, pencemaran cahaya dan pencemaran bunyi.

Antara penyumbang kepada pencemaran alam sekitar ialah sikap sesetengah individu yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Segelintir individu mencemarkan alam sekitar dengan perbuatan membuang sampah sesuka hati. Contohnya membuang sampah semasa di jalan raya. Perbuatan seperti ini menyebabkan timbulnya rasa tidak selesa kepada pengguna yang lain dan menjejaskan kelestarian alam.

Selain itu, kenderaan bermotor turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kenderaan bermotor termasuklah motosikal, kereta, lori dan jentera sudah tentu menggunakan bahan bakar seperti petrol dan diesel untuk berfungsi. Secara tidak langsung, kenderaan ini membebaskan gas yang berbahaya ke ruang atmosfera bumi.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat