Home » Libur dan Rekreasi

Pulau Pinang Syurga Makanan dan Idaman Percutian Keluarga

Oleh Nur Faidah Mohamad Arif

Pulau Pinang seindah namanya dan juga kepelbagaian makanan yang terdapat di negeri ini. Negeri yang bersih dan penuh bersejarah ini sering menggamit hati dan sanubari pelancong. Penulis juga tidak ketinggalan menjejakkan kaki di negeri yang turut mendapat jolokan “syurga makanan” suatu ketika dahulu kerana variasi menu dan keenakan rasanya yang tiada tolok bandingnya dengan tempat lain. Selain makanannya yang sedap, terdapat banyak tempat menarik di Pulau Pinang yang boleh dikunjungi sama ada bersama-sama keluarga tersayang ataupun rakan.

Pulau Pinang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia bersempadan dengan Kedah di utara dan timur, dan Perak di selatan. Georgetown ditubuhkan oleh British pada tahun 1786, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi pelancongan yang berkembang maju. Berdasarkan pengalaman dan kunjungan rakan penulis terdahulu, negeri ini sentiasa menjadi tumpuan dan buah mulut pengunjung, termasuk pelancong dari luar negara. Dari tempat yang indah untuk mengabadikan kenangan bersama-sama keluarga, terus kepada makanan yang penuh bercita rasa tinggi, namun boleh didapati dengan harga yang berpatutan, dan rakyatnya yang begitu peramah dan bersopan santun dalam tingkah lakunya menyebabkan negeri ini menjadi tumpuan pelancong.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Trilogi Jepun : Antara Cinta, Magis dan Budaya

Oleh   Dhesegaan Bala Krishnan

Penulis diasak perasaan teruja bercampur gemuruh sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun. Kunjungan ke Negeri Matahari Terbit ini pada Mac 2015 merupakan kali pertama penulis melangkah ke sebuah negara asing. Penulis mendapat peluang ini kerana terpilih untuk mewakili Universiti Malaya dalam program Trans-ASEAN Global Educational Agenda (TAG) Student Forum.

Program selama lapan hari ini berlangsung di Universiti Tsukuba, Jepun. Peserta dari tujuh buah negara ASEAN bersama-sama Jepun, Perancis dan Amerika Syarikat terlibat dalam program ini. Dua orang peserta terpilih mewakili Malaysia, iaitu penulis ini dan saudari Khairunnisa Asul Kahar dari UKM.

Di lapangan terbang, penulis ini disambut oleh wakil pelajar dari Universiti Tsukuba dan penyelaras program, Gwen Anuevo. Dari situ, penulis ini menaiki bas ke Universiti Tsukuba. Perjalanan memakan masa hampir dua jam setengah. Suhu di bawah paras dua darjah Celsius menggigilkan badan. Setelah tiba di Universiti Tsukuba, penulis ini bersuai kenal dengan peserta lain dan beberapa orang pelajar universiti ini.

Bandar Tsukuba terletak di selatan wilayah Ibaraki. Bandar ini bandar penyelidikan sains dan teknologi. Universiti Tsukuba ialah universiti penyelidikan dan telah mencapai pelbagai kejayaan, seperti dalam bidang genetik tumbuhan. Menurut QS University Rankings: Asia 2016 , Universiti Tsukuba menduduki tempat ke-34 .

Bandar Tsukuba mendapat namanya daripada Gunung Tsukuba. Gunung setinggi 877 meter ini sangat terkenal kerana mempunyai dua puncak. Dua puncak Tsukuba dipercayai melambangkan sepasang kekasih. Menurut mitos tempatan, suatu ketika dahulu, dewa kayangan meminta kebenaran Gunung Fuji untuk bermalam di pergunungannya. Gunung Fuji dengan angkuhnya menolak permintaan tersebut. Sebaliknya, Gunung Tsukuba mempelawa dewa tersebut untuk bermalam di pergunungannya. Sebagai balasan , dewa tersebut merestui Tsukuba dengan seorang kekasih, manakala Fuji dibiarkan kesepian .

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2017)

Menikmati Keindahan Kota Bandung

Oleh Abdul Halim Abdullah

KUNJUNGAN penulis ke kota Bandung pada kali ini merupakan kunjungan kedua bagi penulis. Ketika kali pertama berkunjung pada tahun 2012, penulis tidak berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke tempat menarik di kota ini disebabkan oleh jadual persidangan antarabangsa yang padat. Pada kali ini, penulis sengaja memanjangkan tempoh lawatan ke sana walaupun tujuan utama penulis sekali lagi untuk membentangkan kertas kerja persidangan anjuran salah sebuah universiti di sana. Alasannya, bukan selalu dapat berkunjung ke negara orang. Oleh itu, kesempatan dan peluang yang ada perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya.

Penulis tiba di kota Bandung, yang juga merupakan ibu kota Provinsi Jawa Barat, pada sebelah petang. Penulis sengaja menginap di hotel berdekatan dengan Pasar Baru yang merupakan syurga membeli-belah di kota Bandung untuk kemudahan membelikan barangan tempahan teman di Malaysia. Setelah masuk ke dalam bilik hotel, penulis berjalan kaki menuju ke masjid terbesar di kota Bandung iaitu Masjid Raya Bandung. Masjid yang dahulunya pernah dikenali sebagai Masjid Agung Bandung hanya terletak kira-kira 600 meter dari tempat penginapan penulis. Sepanjang berjalan kaki, penulis melihat kesesakan lalu lintas di bandar tersebut yang merupakan bandar raya ketiga terpadat di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya. Kedai makan bergerak yang menjual  pelbagai makanan tradisi Indonesia termasuklah bakso, dan sup memenuhi ruang tepi jalan turut menambahkan lagi kesesakan jalan raya. Begitu juga dengan pengamen (penghibur jalanan) yang memenuhi kiri dan kanan jalan.

Setibanya di Masjid Raya Bandung, penulis kagum dengan keindahan masjid yang boleh memuatkan 12 ribu hingga 14 ribu jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini mempunyai menara berkembar yang boleh dinaiki pengunjung untuk melihat pemandangan kota Bandung. Bagaimanapun, penulis tidak berkesempatan untuk menaiki menara tersebut kerana menara tersebut hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad. Di hadapan masjid tersebut terdapat taman yang ditanam rumput sintetik uantuk pengunjung berkumpul. Setelah menziarahi masjid, dalam perjalanan balik ke tempat penginapan, penulis singgah di Pasar Baru Bandung. Tidak keterlaluan sekiranya penulis katakan bahawa pasar baru ini merupakan tempat utama yang wajib dikunjungi oleh setiap pengunjung ke kota Bandung. Tidak sah rasanya kalau ke Bandung jika tidak ke Pasar Baru Bandung. Kedudukannya juga amat strategik iaitu di tengah-tengah kota raya dan boleh ke sana menggunakan pelbagai jenis pengangkutan termasuklah bas, teksi dan angkut. Lapan tingkat pasar ini memuatkan ribuan kedai yang menjual pellbagai jenis barangan terutamanya tekstil. Penulis hanya “mencuci mata” pada hari pertama dan sesekali mencuba untuk tawar-menawar dengan peniaga di situ. Penulis teringat satu panduan yang diberikan oleh teman yang pernah berkunjung ke situ sebelum ini iaitu, sekiranya kita hendak membeli …

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Bosnia Herzegovina Bangun Kembali

Oleh Siti Raba’ah Hamzah

BOSNIA terletak bersebelahan dengan Serbia di timur, Montenegro di selatan, dan Croatia di barat dan utara. Bosnia merupakan sebahagian daripada negara Balkan. Semua negara dalam Balkan hanya dikenali selepas Bosnia terlibat dalam perang saudara dengan Croatia dan Serbia dari tahun 1990 hingga 1995. Seluruh dunia menyaksikan kekejaman, permusuhan, dan kesengsaraan penduduk Balkan, terutamanya penduduk Bosnia, kerana perebutan kawasan oleh sebahagian besar pemimpin.

Sejarah negara Bosnia Herzegovina bermula selepas presiden Yugoslavia, Tito, dengan sistem komunisnya menghadapi konflik ekonomi dan etnik serta tuntutan penduduknya untuk bebas mentadbir negara masing-masing pada tahun 1991. Yugoslavia terbahagi kepada Serbia, Croatia, Slovenia, Macedonia, Montenegro dan Bosnia Herzegovina. Bosnia Herzegovina terdiri daripada Bosnia di bahagian utara dan Herzegovina di bahagian selatan. Keluasan negara ini kira-kira 26 000 km persegi. Bentuk muka buminya bergunung-ganang dengan kemuncaknya dilitupi salji pada setiap musim sejuk.

 Kembara penulis bermula di Sarajevo. Menurut Mallek, pemandu pelancong yang juga mangsa peperangan itu, perang saudara menyaksikan banyak rakyat terbunuh. Mallek juga kehilangan sebahagian besar daripada daripada kaum keluarganya. Penulis berpeluang menelusuri Terowong Dobrinja yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang Sarajevo. Terowong ini menjadi laluan rahsia penduduk Bosnia sewaktu peperangan untuk menyelamatkan diri serta mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain dari kawasan bebas perang di utara Sarajevo.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

Seoul, Korea Selatan

Oleh Pamella Lanyau

ENJIN pesawat Airbus A320-300 milik Air Asia D7506 dimatikan di hangar pintu 109 Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada pukul lapan pagi setelah lebih enam jam menujah awan dalam kepekatan malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Di dalam kapal terbang yang sarat dengan penumpang, pramugari mengedarkan dua jenis borang yang perlu diisi untuk diserahkan semasa ketibaan. Setelah setengah jam menunggu giliran dalam barisan untuk proses imigresen di Terminal 3, akhirnya penulis bersemuka dengan pegawai imigresen tanpa senyuman, bertanyakan soalan ringkas, mengambil cap jari elektronik, dan merekodkan gambar secara digital. Tanpa melengahkan proses, buku merah biometrik bertanda jata negara Malaysia dicap memberikan kebenaran untuk melawat Korea Selatan selama 90 hari tanpa visa. Sejujurnya, situasi begitu sentiasa menambah rasa teruja ketika berada di negara asing. Kerisauan, sekiranya tidak dibenarkan masuk atas apa-apa sahaja alasan pihak berkuasa, bertukar lega kerana menurut pengalaman, apa-apa sahaja boleh berlaku di pintu masuk negara asing.

Kaunter maklumat di lapangan terbang merupakan perpustakaan yang dilengkapi segala perkara yang harus diketahui tentang sesebuah negara. Fungsinya memberikan maklumat, menjawab pertanyaan pelawat yang hilang arah, dan jika bernasib baik, di situlah tersusun risalah pelbagai institusi yang ingin mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Bagi penulis, pelan bandar dan peta merupakan sesuatu yang wajib diambil di akunter tersebut kerana setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri melalui petua yang diselitkan. Dua lagi majalah percuma penulis ambil untuk dijadikan sebagai bahan bacaan semasa dalam perjalanan ke pusat bandar.

Terdapat pelbagai pilihan untuk ke pusat bandar Seoul dari Lapangan Terbang Incheon. Sebagai contohnya, AREX, tren ekspres yang seangkatan dengan ERL Express jika di Kuala Lumpur, yang terpantas antara semua kemudahan awam, sudah pasti juga yang termahal. Penulis memilih untuk menaiki bas kerana perkhidmatan pengangkutan termurah untuk ke tempat penginapan di  Myeongdong.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa 2016)

Tamadun Islam Cordoba dan Granada di Sepanyol

Oleh Siti Raba’ah binti Hamzah

TAMADUN Islam di Sepanyol mencatat sejarah dalam rentetan perkembangan agama Islam dan sering menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia. Catatan sejarah ini telah menggamit penulis dan keluarga berkunjung ke Sepanyol selama lebih 10 hari bagi menyaksikan sendiri kesan peninggalan Islam di bumi ini.

Kegemilangan Islam di Sepanyol bermula pada sekitar tahun 711 hingga 1021 Masihi. Sepanyol terletak bersempadan dengan Maghribi di selatan, Portugal di kiri dan Perancis di utara. Sepanyol mempunyai jumlah penduduk hampir dua kali ganda berbanding dengan penduduk Malaysia.

Penulis bertolak ke Sepanyol dengan menggunakan penerbangan Qatar Air selama lebih 14 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madrid melalui Doha. Madrid mempunyai penduduk lebih kurang 3 juta orang dan merupakan ibu negara Sepanyol. Sepanyol masih mengekalkan sistem beraja di samping kuasa eksekutif lain dalam pentadbiran negara. Berbelanja di Sepanyol menggunakan mata wang Euro yang mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia. Secawan minuman coklat panas berharga 3 hingga 4 Euro atau RM16.00.

Seawal pagi pada hari pertama menjejakkan kaki di Sepanyol, penulis mengunjungi stadium bola sepak Real Madrid atau lebih dikenali sebagai Santiago Bernabeu!” Stadium ini dapat memuatkan 80,000 penonton pada satu masa dan menjadi stadium tumpuan peminat bola sepak dunia. Teringat penulis pada awal tahun 2015, apabila adik penulis yang sedang belajar di salah sebuah universiti tempatan membuat sangkutan belajar di Universiti Surrey, London telah mengirim gambar “kejutan” stadium ini kepada penulis sekeluarga, dan pada hari ini penulis dapat berada di stadium ini!

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

 

RAUMA-PEKAN LAMA YANG TERPELIHARA

Oleh Muzaf Ahmad

RAUMA, atau lebih popular dengan jolokan nama Old Rauma, merupakan pekan lama yang terletak di antara dua buah bandar, iaitu Turku dengan Pori, bahagian pantai barat Finland. Rauma yang terletak di Teluk Bothia merupakan kawaan pelabuhan tertua di Finland, satu daripada empat buah negara Scandinavia. Tiga buah negara lain ialah Norway, Denmark dan Sweden.

Penulis menjelajah Rauma dari Pori. Perjalanan menaiki bas mengambil masa lebih kurang satu jam. Oleh sebab sistem bas ekspresnya menepati jadual perjalanan, penulis tidak menghadapi masalah untuk meluangkan waktu seharian di Rauma.

Keunikan sistem pengangkutan di Finland ialah golongan pelajar berdaftar akan mendapat diskaun yang cukup banyak sehingga 50 peratus untuk tiket bas ekspres.

Penulis meneroka Rauma dengan berjalan kaki tanpa bertemankan peta. Sebenarnya penulis sudah serba sedikit mengkaji perihal Rauma di internet sebelum memulakan pengembaraan. Tiada masalah bagi penulis sebagai anak muda untuk mengembara di pekan kecil seperti Rauma dengan hanya berjalan kaki.

Rauma popular dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara. Bandar ini merupakan bandar tertua di Finland. Tarikan utama Rauma ialah Old Rauma, pekan kecil yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia. Rupa-rupanya tapak warisan dunia ini terletak berhampiran dengan stesen bas. Hal ini memudahkan perjalanan pelancong untuk menikmati keindahan warisan tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

GODAAN INDONESIA DI JAKARTA

Oleh Pamella Lanyau

IMPIAN untuk berkunjung ke Jakarta sudah lama penulis pasangkan di dada dan minda. Cuma sehingga awal Disember lalu, barulah rencana tersebut menjadi nyata.

Walau kedudukan geografinya sangat dekat dengan Malaysia dan hanya dipisahkan oleh lautan, penulis terlebih dahulu memilih untuk mengikut arus destinasi pilihan kebanyakan anak muda, iaitu ke Bali dan kemudiannya ke Yogyakarta untuk memenuhi impian menatap kehebatan seni bina penganut agama Buddha dan kesan “rakus” letupan Gunung Merapi. Penulis juga dibayangi perkongsian rakan dan bacaan dalam internet tentang betapa mereka yang telah melawat Jakarta itu kurang gemar akan pengalaman perjalanan mereka di sini.

Namun begitu, penulis nekad, kerana terlalu asyik dengan iklan “Wonderful Indonesia” belakangan ini, penulis sudah tidak dapat menidakkan kemahuan yang membara untuk berkelana di metropolitan bawah pimpinan Pak Joko Widodo, Presiden Indonesia berkarisma. Majalah Fortune yang beribu pejabat di Amerika Syarikat menyenaraikan beliau sebagai seorang daripada 50 orang “Pemimpin Ulung Dunia” pada tahun 2014. Memang berkesan teknik mereka mempromosikan keunikan Jakarta. Sesuatu yang tidak sia-sia langsung, apatah lagi tiket penerbangan dari Kuala Lumpur, penulis usaikan beberapa hari sebelum bertolak, manakala tempat tinggal penulis diuruskan pada malam sebelumnya.

Sehingga tiba di ibu negara Indonesia itu, penulis tidak mempunyai banyak masa untuk membaca tulisan tentangnya. Penulis datang tanpa meletakkan sebarang harapan dan dengan minda terbuka. Namun begitu, penulis sudah mempunyai satu senarai panjang tentang jenis makanan yang ingin dicuba di sana.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Madrid, Sepanyol

Oleh Pamella Lanyau

Penulis baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-21 ketika tiba di Madrid dari Berlin bersama-sama tiga rakan yang lain; Atiqa, Shakila dan Ilani. Sejurus tiba di lapangan terbang Madrid-Barajas, penulis terus mencari tren untuk bergerak ke pusat bandar. Pagi itu, tren sarat dengan penumpang sehingga tiada tempat untuk penulis dan rakan melabuhkan punggung. Penulis berpisah dan mencari ruang kosong untuk berdiri dan menyandar beg. Lenguh badan menggalas beg galas dari terminal 1, terminal ketibaan penulis,ke terminal 4,hab pengangkutan awam yang menghubungkan lapangan terbang ke pusat bandar.

Sepanjang perjalanan 40 minit tanpa henti ke stesen metro berdekatan hotel penginapan, penulis hanya berdiam diri. Masih lesu dan tidak cukup tidur kerana telah berada di lapangan terbang sejak pukul 4.00 pagi. Kopi yang diberi percuma ketika di Berlin tidka berjaya untuk menyegarkan mata. Sewaktu berdiri tersebut, penulis mencuri pandang ke luar tingkap tren dan melihat cahaya matahari akhirnya terlepas juga kerana hujan tidak berhenti sepanjang penulis berada di Berlin.

Penulis tersenyum lebar setelah selamat sampai ke destinasi. Penumpang mengimbas tiket metro seorang demi seorang untuk keluar dari stesen. Tiba-tiba salah seorang rakan menjerit memanggil nama penulis di sebelah dalam mesin pengimbas tiket automatik. Dengan serta-merta, penulis menoleh ke belakang dan melihat riak cemas beliau. Muka beliau pucat sambil tangan menyeluk ke dalam beg silangnya mencari dompet. Penulis dapat merasakan adrenalin mengalir deras menyebabkan jantung penulis berdegup kencang. Penulis dan rakan yang lain membantu beliau mengosongkan beg silangnya, beg galas dan segala jenis poket pad abaju sejuknya dengan harapan menjumpai dompet beliau yang mengandungi tiket metro tersebut. Hampa.

—-

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

 

Wanita Islam Wellington

Oleh Mawar Safei

MENYAMBUNG kisah perjalanan melihat anak-anak di Wellington, menginap bersama masyarakat setempat khusus di daerah perbukitan Johnsonville, mengizinkan penulis mengenali Muslimah negara ini dengan lebih akrab. Penulis menginap di rumah seorang warga asal Singapura, Hayati Osman, ibu tunggal dengan dua orang anak lelakinya. Suaminya, warga Britain meninggal dunia tahun lalu. Kebetulan minggu pertama penulis di rumahnya, dan berkelapangan daripada menghadiri kuliah di kampus Victoria  University of  Wellington, diadakan majlis taklim di rumah Hayati. Hari Rabu menjelang pukul 10 pagi, seorang demi seorang ahli kumpulan taklim mengetuk pintu dengan membawa pinggan juadah di tangan masing-masing. Ada yang membawa salad, kari ikan, sambal tumis telur lengkap dengan puding dan kek; sedang Hayati sendiri menyediakan rendang ayam. Suasana di luar rumah berkabus kadangkala tebal dibawa angin dingin. Namun begitu, semua yang masuk ke ruang tamu rumah di perbukitan ini, membawa seribu kehangatan persaudaraan Islam. Hal ini sangat dapat penulis rasakan.

Lebih kurang 15 orang Muslimah yang hadir majoritinya bangsa Melayu Malaysia dan Singapura, ada juga dari Cambodia dan Fiji. Majlis dimulakan dengan bacaan surah ar-Rahman dan al-Waqiah oleh setiap ahli. Semasa bacaan, masing-masing akan memperbetulkan sebutan atau hukum tajwid. Kazidah Moh. Shah, warga asal Tanjung Karang, Selangor, selaku ketua kumpulan tadarus, menyambung kuliah tentang sirah Rasulullah. Penulis melihat mereka yang hadir dengan pakaian tebal menahan kesejukan musim luruh, masih dapat menumpukan perhatian terhadap kisah Rasulullah dan penulis dapat rasakan betapa mereka rindu akan Nabi Muhammad.

Pengalaman bertemu Muslimah Wellington yang lebih merentas batas bangsa adalah di Masjid Kilbirnie pada Ahad pertama penulis di bumi Kiwi. Sebaik tiba di masjid, penulis ke ruang mengaji al-Quran anak-anak  yang dikendalikan secara sukarela oleh Muslimah sendiri. Sekilas penglihatan penulis di ruang khas Muslimah, terdapat pelbagai warganegara dan warna kulit. Penulis sempat mengenali beberapa orang pelajar universiti tempatan dari Malaysia dan Indonesia. Di sebuah penjuru lain ada deretan gerai jualan pakaian, perhiasan wanita dan makanan ringan. Menurut Hayati, kami akan pulang sebaik-baik menikmati jamuan ringan dan solat zohor secara berjemaah.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015).