Home » Libur dan Rekreasi (Page 2)

Madrid, Sepanyol

Oleh Pamella Lanyau

Penulis baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-21 ketika tiba di Madrid dari Berlin bersama-sama tiga rakan yang lain; Atiqa, Shakila dan Ilani. Sejurus tiba di lapangan terbang Madrid-Barajas, penulis terus mencari tren untuk bergerak ke pusat bandar. Pagi itu, tren sarat dengan penumpang sehingga tiada tempat untuk penulis dan rakan melabuhkan punggung. Penulis berpisah dan mencari ruang kosong untuk berdiri dan menyandar beg. Lenguh badan menggalas beg galas dari terminal 1, terminal ketibaan penulis,ke terminal 4,hab pengangkutan awam yang menghubungkan lapangan terbang ke pusat bandar.

Sepanjang perjalanan 40 minit tanpa henti ke stesen metro berdekatan hotel penginapan, penulis hanya berdiam diri. Masih lesu dan tidak cukup tidur kerana telah berada di lapangan terbang sejak pukul 4.00 pagi. Kopi yang diberi percuma ketika di Berlin tidka berjaya untuk menyegarkan mata. Sewaktu berdiri tersebut, penulis mencuri pandang ke luar tingkap tren dan melihat cahaya matahari akhirnya terlepas juga kerana hujan tidak berhenti sepanjang penulis berada di Berlin.

Penulis tersenyum lebar setelah selamat sampai ke destinasi. Penumpang mengimbas tiket metro seorang demi seorang untuk keluar dari stesen. Tiba-tiba salah seorang rakan menjerit memanggil nama penulis di sebelah dalam mesin pengimbas tiket automatik. Dengan serta-merta, penulis menoleh ke belakang dan melihat riak cemas beliau. Muka beliau pucat sambil tangan menyeluk ke dalam beg silangnya mencari dompet. Penulis dapat merasakan adrenalin mengalir deras menyebabkan jantung penulis berdegup kencang. Penulis dan rakan yang lain membantu beliau mengosongkan beg silangnya, beg galas dan segala jenis poket pad abaju sejuknya dengan harapan menjumpai dompet beliau yang mengandungi tiket metro tersebut. Hampa.

—-

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

 

Wanita Islam Wellington

Oleh Mawar Safei

MENYAMBUNG kisah perjalanan melihat anak-anak di Wellington, menginap bersama masyarakat setempat khusus di daerah perbukitan Johnsonville, mengizinkan penulis mengenali Muslimah negara ini dengan lebih akrab. Penulis menginap di rumah seorang warga asal Singapura, Hayati Osman, ibu tunggal dengan dua orang anak lelakinya. Suaminya, warga Britain meninggal dunia tahun lalu. Kebetulan minggu pertama penulis di rumahnya, dan berkelapangan daripada menghadiri kuliah di kampus Victoria  University of  Wellington, diadakan majlis taklim di rumah Hayati. Hari Rabu menjelang pukul 10 pagi, seorang demi seorang ahli kumpulan taklim mengetuk pintu dengan membawa pinggan juadah di tangan masing-masing. Ada yang membawa salad, kari ikan, sambal tumis telur lengkap dengan puding dan kek; sedang Hayati sendiri menyediakan rendang ayam. Suasana di luar rumah berkabus kadangkala tebal dibawa angin dingin. Namun begitu, semua yang masuk ke ruang tamu rumah di perbukitan ini, membawa seribu kehangatan persaudaraan Islam. Hal ini sangat dapat penulis rasakan.

Lebih kurang 15 orang Muslimah yang hadir majoritinya bangsa Melayu Malaysia dan Singapura, ada juga dari Cambodia dan Fiji. Majlis dimulakan dengan bacaan surah ar-Rahman dan al-Waqiah oleh setiap ahli. Semasa bacaan, masing-masing akan memperbetulkan sebutan atau hukum tajwid. Kazidah Moh. Shah, warga asal Tanjung Karang, Selangor, selaku ketua kumpulan tadarus, menyambung kuliah tentang sirah Rasulullah. Penulis melihat mereka yang hadir dengan pakaian tebal menahan kesejukan musim luruh, masih dapat menumpukan perhatian terhadap kisah Rasulullah dan penulis dapat rasakan betapa mereka rindu akan Nabi Muhammad.

Pengalaman bertemu Muslimah Wellington yang lebih merentas batas bangsa adalah di Masjid Kilbirnie pada Ahad pertama penulis di bumi Kiwi. Sebaik tiba di masjid, penulis ke ruang mengaji al-Quran anak-anak  yang dikendalikan secara sukarela oleh Muslimah sendiri. Sekilas penglihatan penulis di ruang khas Muslimah, terdapat pelbagai warganegara dan warna kulit. Penulis sempat mengenali beberapa orang pelajar universiti tempatan dari Malaysia dan Indonesia. Di sebuah penjuru lain ada deretan gerai jualan pakaian, perhiasan wanita dan makanan ringan. Menurut Hayati, kami akan pulang sebaik-baik menikmati jamuan ringan dan solat zohor secara berjemaah.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015).

 

SANTIAGO, CHILE

Oleh Pamela Lanyau

PENGEMBARAAN di benua Amerika Selatan bermula di Santiago de Chile selepas lebih 48 jam perjalanan. Kegembiraan dapat memijakkan kaki di benua ini tidak dapat dibendung lagi ketika kapal terbang menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez.

Ini merupakan kali pertama penulis memijakkan kaki di benua yang penuh diversiti ini walaupun keputusan untuk terbang ke sini dilakukan dalam masa kurang 36 jam sahaja. Setelah lebih kurang empat bulan menyimpan hasrat, dengan bantuan kakak kepada teman rapat adik, penulis dapat menyelesaikan hal tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Santiago, Chile. Tiket dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur pula diusaikan enam jam sebelum penerbangan dengan penuh debaran.

Hairannya, tanpa persediaan rapi, langsung tidak timbul rasa gerun untuk menikmati apa-apa yang terdapat di Santiago. Namun begitu, buku Lonely Planet dibelek setiap hari untuk mendapatkan maklumat penting. Banyak orang berpendapat bahawa ibu negara Chile ini hanyalah seperti sebuah tempat persinggahan sebelum para pelawat meneruskan perjalanan ke destinasi yang lebih eksotik seperti Rapa Nui (juga dikenali sebagai Easter Island) atau sebelum memulakan pendakian di Andes. Penulis pula memilih untuk berpendapat sebaliknya. Santiago, walaupun diapit kehebatan kejadian semula jadi seperti padang pasir terkering di dunia yang terletak di bahagian utaranya dan glasier di sebelah selatan, tetap memiliki keunikan tersendiri.

Penulis memilih untuk menginap di Plaza de Armas, tempat kelahiran kota tersebut pada tahun 1541. Arca pengasasnya diletakkan di tengah-tengah dataran dan masih setia memerhati pergerakan manusia melalui kuda beliau dan pemandangan dari balkoni bilik dataran tersebut. Hari pertama penulis di situ, cuaca sejuk dan berkabus mengaburkan penglihatan.

Kehadiran di Chile kali ini telah penulis janjikan pada seorang kenalan Elias yang dikenali semasa menghadiri seminar di Paris pada musim panas yang lalu. Pada hari kedua, penulis berjumpa dengan anak jati Santiago tersebut yang merupakan penuntut tahun akhir ijazah pertama di sebuah universiti tempatan. Beliau juga sedang bekerja secara sambilan di sebuah organisasi bukan kerajaan yang memelihara kelangsungan adat dan budaya masyarakat asli dan golongan minoriti termasuklah Mapuche, dan Quechua.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

EPIC 2015 DI UITM TERENGGANU KAMPUS BUKIT BESI

Oleh Abd Razak Hj Abu Kassim dan Wan Zuhaila Wan Abd Rahman

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Terengganu telah menganjurkan An Educational Project of Innovation Competition (EPIC) 2015 baru-baru ini. EPIC merupakan pertandingan inovasi dalam kalangan pelajar yang bertemakan “Innovation by Youngsters!” Pertandingan ini bertujuan mengetengahkan hasil inovasi pelajar IPT dan sekolah dari seluruh negeri pantai timur, di samping mengenal pasti hasil inovasi yang boleh dikomersialkan. Penganjuran kali ini diadakan di UiTM, Kampus Rekreasi Bukit Besi sekali gus mempromosikan kampus baharu tersebut kepada umum.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

MINGGU KEUSAHAWANAN EKSTRAVAGANZA EKSPRESI SERANTAU

Oleh Muhammad Mustaqim

PERAK- Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Zon Utara telah menganjurkan program Keusahawanan Ekstravaganza Ekspresi Serantau 2015 baru-baru ini. Program ini dikelola oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), IPG Kampus Tuanku Bainun yang diketuai oleh Noh Mohd. Hassan. Minggu Keusahawanan Ekstravaganza Ekspresi Serantau 2015 ini berlangsung selama tiga hari dan dirasmikan oleh Tuan Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainun, Dr. Sazali Yusof.

“Program seperti ini perlulah diteruskan pada tahun-tahun seterusnya kerana mampu memberikan impak yang positif kepada guru-guru pelatih dan orang ramai,” kata Muhd. Fitri Saat, selaku Pengarah Projek Minggu Keusahawanan ketika ditemu bual selepas majlis perasmian program ini.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

CANAL CRUISE, MADAME TUSSAUD DAN WINDMILL DI KOTA AMSTERDAM

Oleh Mohamad Zuber bin Ismail

KETERUJAAN untuk menjelajah benua Eropah begitu membuak-buak. Memandangkan penulis sudah berada di Frankfurt, lantas penulis membuat keputusan untuk ke negara jirannya, iaitu Amsterdam. Perancangan dari Frankfurt ke Amsterdam berlaku pada saat-saat akhir apabila seorang sahabat dari Malaysia berkunjung ke Jerman. Haupbanhof Frankfurt merupakan perhentian bas utama yang akan dituju penulis untuk ke Amsterdam menggunakan pengangkutan bas kerana lebih murah berbanding kereta api laju. Jika dibandingkan terminal bas di Frankfurt, terminal bas di negara kita nampak lebih tersusun dan sistematik.

Tepat pukul 12.45 tengah hari, penulis bersama-sama rakan bertolak dari Terminal Utama Haupbanhof ke Amsterdam dengan menaiki Fernbus. Pemandu bas memaklumkan bahawa perjalanan dijangka mengambil masa lebih kurang lima jam untuk tiba ke destinasi. Yang menariknya bas dikendalikan oleh seorang pemandu wanita. Nampak tegas dan berprinsip orangnya. Sewaktu berada di dalam bas, penulis mengambil peluang untuk berbual-bual di samping melihat pemandangan di sekeliling. Pelbagai ragam dan gelagat manusia dapat diperhatikan. Selepas 30 minit perjalanan, bas yang dinaiki mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti di pinggir jalan. Penulis terpaksa bertanyakan penumpang lain apa-apa yang berlaku. Komunikasi tidak sukar di sini kerana rata-rata penduduk Jerman boleh berbahasa Inggeris. Walaupun pada peringkat awal, penulis difahamkan mereka agak kurang fasih atau tidak mahu berbahasa Inggeris kerana lebih mengagungkan bahasa ibunda mereka tetapi ternyata sangkaan ini meleset sama sekali.

Hampir sejam penulis tersadai di tepi jalan di pinggir Frankfurt. Sejurus kemudian, penulis dimaklumkan bahawa bas tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan. Penulis dikehendaki kembali semula ke stesen bas utama. Penulis terpaksa berjalan kaki berpatah balik semula ke terminal dengan ditemani seoranag lelaki warga China yang bertugas di Jerman dan seorang pelajar wanita dari universiti di sana sambil berbual-bual kosong. Agak memenatkan. Namun begitu, keadaan cuaca yang agak sejuk sekurang-kurangnya dapat meredakan dan menenangkan perasaan yang berkecamuk ketika itu.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

TRANSFORMASI MINDA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR 2015

Oleh Azlna Ahmad

MELAKA – Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama pihak Bahagian Mahasiswa dan Belia Biro Tatanegara telah mengadakana Program Transformasi Minda Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti bertempat di Kem Bina Negara, Alor Gajah Melaka. Program ini merupakan salah satu usaha Jawatankuasa Penyelaras, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Smenanjung Malaysia untuk membentuk JPP yang lebih berketerampilam dan bersemangat jati diri bagi tahun 2015 khasnya agar dapat mendukung perkara yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

FESTIVAL KEBITARAAN DAN KEBUDAYAAN SKK PERINGKAT KEBANGSAAN

Oleh Siti Nur Hidayah Abdullah

KUCHING – Baru-baru ni berlangsung Festival Kebitaraan dan Kebudayaan SKK Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kolej DPAH Abdillah dan SMK (A) Tun Ahmad Zaidi. SKK ialah jenama yang diberikan kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya dari aspek pengurusan sekolah dan prestasi murid. Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah merupakan SKK Fasa 2 dan SMK (A) Tun Ahmad Zaidi diiktiraf SKK Fasa 8.

Antara objektif festival yang bertemakan “Warisan Budaya Kecemerlangan Bangsa” ini ialah memberikan peluang kepada SKK untuk mempamerkan kebitaraan sekolah, menghayati dan menghargai warisan budaya pelbagai kaum, mempromosikan warisan budaya dan meningkatkan penguasaan bahasa bagi memacu kecemerlangan dan perpaduan kaum.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

EKSPLORASI KEMASYARAKATAN ANTARABANGSA HURES

Oleh Madihah Mat Rani

MELAKA – Program Eksplorasi Kemasyarakatan Antarabangsa HURES: Kemboja… Kami Datang merupakan satu program pengantarabangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Sumber Manusia atau Human Resource Society (HURES) UiTM (Melaka), Kampus Bandar Raya. Perancangan dan persediaan bagi program ini telah bermula sejak bulan Ogos 2014.

Pada tahun sebelumnya, persatuan ini mengadakan program pengantarabangsaan ke Bandung dengan kerjasama universiti tempatan di sana. Namun kali ini, persatuan ini memilih Phnom Penh, Kemboja sebagai destinasi dengan membawa satu tujuan murni, iaitu untuk membantu warga Islam di Kemboja bagi persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Bantuan dihulurkan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

GREECE DAN SEJARAH KEILMUAN

Oleh Siti Raba’ah Hamzah

SEDARI zaman persekolahan, kembara ke negara Greece yang jauh beribu-ribu batu menjadi impian penulis kerana Greece merupakan negara bersejarah yang penuh dengan perkembangan dan perdebatan tentang asal usul ilmu falsafah di dunia.

Greece terletak di sebelah selatan Eropah Barat dan menjadi lokasi pertemuan antara Benua Eropah, Asia dan Afrika. Greece mempunyai keluasan 131 000 kilometer persegi dan terdiri daripada lebih 6000 buah pulau. Greece menjadi tumpuan jutaan pelancong pada setiap tahun kerana keindahan dan keunikan pulaunya yang terletak dalam lingkaran Lautan Ionian dan Aegean.

Penulis menaiki penerbangan Qatar Airways kerana Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tidak menyediakan penerbangan terus ke Athens, ibu negeri Greece. Penerbangan ini mengambil masa tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk singgah (transit) di Doha dan meneruskan perjalanan lima jam setengah lagi untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens-Venezelos.

Athens ialah ibu negeri Greece dan merupakan bandar terbesar dengan jumlah penduduk sekitar tiga juta orang. Athens mendapat gelaran sebagai ibu negara bagi Benua Eropah sejak tahun 1834. Athens bermula dengan sejarah sistem pemerintahan rakyat, diikuti dengan sistem monarki beraja dan seterusnya sistem demokrasi. Pada masa ini, ekonomi Greece sedang dipulihkan akibat rasuah yang memuncak pada tahun 2012. Greece mula menggunakan mata wang Euro pada tahun 2002.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)