Home » Fokus

Remaja aset pembangunan cemerlang negara

Oleh   Aminudin Mansor

Secara umumnya, tenaga dan peranan remaja sangat penting dalam pembangunan sosial, budaya, politik, sukan dan ekonomi negara. Remaja yang kuat mental dan fizikalnya akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

          Asas pembentukan remaja bermula daripada pendidikan di sekolah rendah dan menengah. Melalui ilmu dan penguasaan kemahiran tinggi, murid akan memacu kecemerlangan dalam ilmu pengetahuan dan menguasai pelbagai kemahiran. Kalangan remaja juga perlu mendapat pendidikan dan tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa, guru dan ahli masyarakat agar tidak terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang boleh menghancurkan masa depan generasi muda.

          Remaja merupakan aset pembangunan negara pada masa akan datang. Merekalah pelapis kepada kepemimpinan hari ini yang akan menerajui negara ke arah negara maju. Oleh itu, persiapan ke arah kecemerlangan ilmu, akhlak dan pelbagai ilmu pengetahuan perlu dilakukan bermula dari sekarang.

          Dalam hal ini, murid yang akan menjadi remaja dan generasi muda yang berperanan untuk mencari ilmu pengetahuan agar dapat melahirkan manusia yang berilmu pengetahuan serta menjadi modal insan yang berkualiti kepada negara. Seterusnya, mereka menjadi remaja cemerlang dan menjadi tenaga kerja yang produktif, kreatif, dan berwawasan dalam pelbagai sektor. Negara juga tidak perlu mengimport tenaga profesional dari negara luar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Posted in: Fokus

TN50: Menakhodai Aspirasi Anak Muda

Oleh   Zulfazlan Jumrah

 Hanya berbaki tiga tahun lagi, negara kita akan menginjak ke tahun 2020, tahun Wawasan 2020 mencapai matlamatnya setelah melalui pelbagai proses pembinaan dan pengaplikasian bertitik tolak daripada gagasan yang cukup murni. Secara umumnya, Wawasan 2020 diperkenalkan pada tahun 1991 sebagai kesinambungan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990.

Apabila menghayati kronologi cita-cita murni ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tidak mahu kita menoleh ke belakang lagi. Beliau mahu dasar cita-cita murni ini mempunyai kesinambungan yang jelas tentang hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun akan datang. Yang lebih menarik, mekanisme pelaksanaan aspirasi ini datangnya daripada suara pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya anak muda yang akan menakhodai aspirasi negara pada masa hadapan.

Tanpa berlengah, Perdana Menteri memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menuntun cita-cita murni ini. TN50 ialah satu daripada usaha untuk membentuk masa hadapan Malaysia dari tahun 2020 hingga 2050. Daripada negara maju, kita harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam pelbagai bidang, mencakupi aspek pembangunan dan penciptaan subbidang ekonomi, menyejahterakan kehidupan rakyat, dan membudayakan amalan inovasi. TN50 dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2017 – hal yang sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan benar-benar serius dan mahu bersiap siaga untuk melaksanakan gagasan besar ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Posted in: Fokus

Menjanakan dan Membudayakan Pemikiran Kreatif Remaja

Oleh   Azhar Salleh

Mengapakah bangsa Yunani begitu terkenal di seluruh dunia? Tidak akan ada sesiapa pun yang dapat menafikan atau menyangkal hakikat bahawa bangsa tersebut telah melahirkan ribuan ahli fikir, seperti Plato, Aristotle dan Socrates, yang sekali gus menghasilkan karya agung dan besar. Untuk mencapai tahap ketamadunan dan kemajuan yang tinggi, kemahiran berfikir amat fundamental dan vital. Dalam ketamadunan Islam, telah banyak pemikir yang lahir, seperti Ibnu Sina, al-Khwarizmi, al-Biruni, Ibnu Khaldun dan Ibnu Taimiyyah.

Kelahiran dan kecemerlangan mereka bertitik tolak daripada keupayaan untuk melahirkan idea dan pandangan sarwa yang jauh melangkaui pemikiran orang biasa. Kemampuan mereka untuk menterjemahkan pemikiran yang kritis, analitis, dan kreatif telah mencapai tahap luar biasa dalam usaha untuk membangunkan minda manusia kepada tahap yang tertinggi dan cerlang. Pelbagai disiplin pengetahuan diteroka dan digali untuk menyediakan masyarakat pada hari ini dengan ilmu yang merangkumi seluruh sistem kehidupan yang holistik. Yang menariknya, kebanyakan daripada pemikir besar ini mencipta fenomena hebat ketika usia mereka masih remaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Posted in: Fokus

Kemahiran Berfikir Secara Kreatif

Oleh   Zulfazlan Jumrah

KEUNIKAN manusia terletak pada keinginan mereka untuk mengetahui sesuatu. Sifat inkuiri ini menjadikan manusia sebagai makhluk Tuhan yang istimewa berbanding dengan makhluk yang lain. Manusia juga mempunyai keupayaan intelek yang membolehkan kita berfikir dengan akal yang waras untuk membuat sebarang tindakan dalam kehidupan kita. Keupayaan intelek perlu dipupuk untuk meningkatkan kualiti berfikir seseorang.

          Proses berfikir boleh dianggap seperti mekanisme cara otak beroperasi. Kita berfikir dengan cara mencari hubung kait antara satu fakta dengan fakta yang lain supaya fakta yang baharu dapat dipercayai berdasarkan fakta yang sedia ada. Perkara ini menjadikan kita lebih fokus bagi merencanakan idea baharu untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik berdasarkan pilihan yang sudah semestinya sangat terbatas. Perkara ini boleh dianggap sebagai kemahiran kendiri yang tidak mampu dilaksanakan oleh semua orang kerana proses ini menuntut usaha yang bukan sedikit. Seseorang itu perlu berfikir di luar konteks kebiasaan, melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza, dan seboleh-bolehnya bersedia untuk menghadapi pelbagai bentuk kemungkinan yang menyusul. Inilah yang dinamai kemahiran berfikir secara kreatif.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Posted in: Fokus

Sukan Bukan Sekadar Riadah

Oleh   Alias Ismail

APABILA sebahagian daripada ahli masyarakat, sama ada pelajar, belia, ibu bapa, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, ataupun orang awam, ditanya tentang prospek bidang sukan di negara ini, rata-rata mereka memberikan jawapan yang cukup meyakinkan. Yang amat menggembirakan penulis, mereka percaya bahawa pada masa ini, sukan tidak lagi boleh dilihat sebagai kegiatan riadah sebagaimana yang berlaku pada tahun 1970-an dan 1980-an.

          Dengan perkataan yang lain, mereka percaya bahawa bidang sukan mampu menjanakan pulangan yang lumayan. Hal itu dapat dicapai sekiranya sukan diceburi secara serius. Impian itu bukanlah perkara yang tidak mampu direalisasikan, sebagaimana yang dibuktikan empat orang atlet paralimpik negara yang pulang dari Rio de Janeiro dengan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Posted in: Fokus

Sukan Wahana Perpaduan Kaum

 

Oleh   Samat Buang

Sukan merupakan saluran yang paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Aktiviti sukan sudah dilihat sebati dalam kalangan rakyat negara ini sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat, iaitu memberikan kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara diwakili. Bagi mencapai matlamat itu, soal perbezaan keturunan tidak langsung diambil kira kerana masing-masing mahu memastikan pasukan yang diwakili mencapai kejayaan. Tidak kira dalam apa-apa jua sukan, kerjasama dan hubungan akrab akan lahir apabila pemain daripada semua kaum dan etnik bertungkus-lumus dan bekerjasama menyahut cabaran sebagai satu pasukan. Walau bagaimanapun bukan setakat dalam kalangan atlet, peminat setia mana-mana sukan turut memberikan sokongan padu tanpa mengira bangsa. Dengan kata lain, sukan mampu menjadi wahana dan wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Posted in: Fokus

Pengurusan Kewangan Remaja

Oleh   Noraziah Mohd Amin

Sebelum manusia mula mengenal wang dan nilainya, aktiviti ekonomi masyarakat terdahulu dilakukan dengan menggunakan sistem barter, iaitu sistem pertukaran barang. Setelah wang diperkenalkan, manusia mula melakukan urusan jual beli dengan berpandukan konsep harga dan nilai wang bagi melaksanakan pertukaran hak milik sesuatu barang itu daripada penjual kepada pembeli. Pada masa ini, kehidupan manusia dipermudah dengan adanya objek yang dicipta daripada kertas atau logam yang digelar “wang” dan tidak mustahil juga wang dapat menjadikan masyarakat begitu sengsara sehingga ada yang dikategorikan sebagai muflis. Remaja, sebagai golongan yang baru berjinak-jinak untuk belajar mengurus perbelanjaan sendiri, harus mengambil langkah yang bijak dan pengendalian kewangan yang cekap dapat menjanjikan pelbagai kebaikan kepada mereka.

          Berita Harian (6 Disember 2016), dalam laporannya yang bertajuk “Kadar Muflis Golongan Muda di Malaysia Merisaukan”, memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tahir, yang menyebut bahawa terdapat sebanyak 1157 kes kebankrapan yang melibatkan golongan di bawah umur 25 tahun yang direkodkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Azaddin menyatakan bahawa faktor utama yang menjadikan mereka muflis ialah ketidakcekapan mengurus kewangan sendiri yang didorong oleh kegagalan perancangan kewangan yang baik dan kurangnya pendidikan mengenai hal ini. Menurut Azaddin juga, kajian yang dijalankan oleh Asian Institute of Finance (AIF) mendapati bahawa remaja memiliki tahap pendidikan kewangan yang rendah kerana hanya 28 peratus daripada golongan ini yang berasa yakin untuk mengendalikan pengurusan kewangan selain 58 peratus yang mendakwa bahawa mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang sederhana. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa maklumat yang tepat tentang pengurusan kewangan yang berkesan yang dimiliki oleh remaja dapat membimbing mereka untuk tidak melakukan aktiviti kewangan yang berisiko untuk menjadikan mereka berstatus “muflis” yang boleh mendatangkan banyak masalah pada kemudian hari.

***

(rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Fokus

Kewangan Remaja: Berbelanja atau Menyimpan?

Oleh   Noor Azam Abdul Rahman

Berbelanja atau menyimpan? Dua perkara ini perlu diberi perhatian oleh setiap remaja apabila berbincang tentang kewangan. Pada usia semuda remaja ini, perkara yang menyentuh soal kewangan merupakan perkara yang mencabar. Pada peringkat ini, pengurusan kewangan bagi remaja berkisar pada perkara yang berkaitan dengan kehendak melebihi daripada keperluan. Hal ini berlaku kerana pada kebiasaannya, keperluan remaja telah pun disediakan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Sumber pendapatan remaja juga masih terhad, sama ada daripada wang perbelanjaan yang disediakan oleh ibu bapa atau penjaga ataupun daripada sumber biasiswa atau pinjaman pendidikan, jika mereka yang masih di bangku persekolahan atau di pusat pengajian tinggi.

          Selain itu, terdapat juga remaja yang telah pun terlibat dalam sektor pekerjaan seawal usia belasan tahun, iaitu setelah tamat sahaja persekolahan. Golongan ini mampu menjanakan pendapatan mereka secara sendiri, namun kebijaksanaan dalam pengurusan kewangan sendiri ini lebih berisiko daripada remaja yang lain. Oleh itu, pengetahuan yang baik tentang ilmu pengurusan kewangan perlu dipelajari.

          Pengurusan kewangan dalam konteks remaja dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan sumber pendapatan masing-masing. Pembahagian ini penting kerana setiap remaja mempunyai cara serta kecenderungan yang berbeza ketika membuat keputusan, sama ada berbelanja ataupun menyimpan hasil pendapatan mereka itu. Kecenderungan ketika membuat keputusan tentang kewangan remaja ini bergantung pada kedudukan remaja pada masa tersebut, sama ada sebagai pelajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi ataupun pekerja atau penganggur, dan mungkin juga sebagai anak yang berehat sahaja di rumah ibu bapa. Perbezaan ini mempengaruhi cara remaja tersebut membuat keputusan tentang kewangan mereka.

          Bagi remaja yang masih di bangku persekolahan dan di institusi pengajian tinggi (IPT), misalnya, sumber pendapatan mereka sangat terhad. Sumber utamanya daripada wang saku yang disediakan oleh ibu bapa atau penjaga; mungkin juga biasiswa yang disediakan oleh kerajaan atau institusi tertentu. Keperluan remaja ini, pada kebiasaannya, telah disediakan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Hal ini bermaksud  beban perbelanjaan daripada hasil pendapatan bagi kumpulan remaja yang masih belajar ini lebih sederhana berbanding dengan kawan mereka yang bekerja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Fokus

Rakan Sebaya Cerminan kepada Remaja untuk Mendepani Gejala Sosial

Oleh  Azhar Salleh

Apabila memperkatakan atau menghuraikan permasalahan sosial dalam kalangan remaja, salah satu isu yang pasti akan menjadi agenda perbincangan ialah peranan atau faktor rakan sebaya yang memberikan dampak atau natijah yang sangat kuat, sama ada sebagai faktor pendorong ke arah berlakunya masalah sosial ataupun sebagai elemen penting dalam usaha untuk membendungnya. Rakan sebaya dapat diertikan sebagai sekumpulan orang yang berada dalam lingkungan umur yang sama atau hampir sebaya antara satu dengan yang lain. Menurut Klausmerier, dalam soal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejujuran dan kemesraan, remaja dipengaruhi oleh pendapat rakan sebaya yang memperlihatkan pengaruh yang lebih tinggi berbanding dengan ibu bapa atau keluarga.

Daripada pengertian ini, dapatlah disimpulkan bahawa pengaruh rakan sebaya terlalu dominan dalam pembentukan sahsiah dan keperibadian remaja pada hari ini sehingga mengatasi keupayaan ibu bapa untuk membina identiti dan akhlak anak mereka. Senario ini sudah pasti menimbulkan pergeseran dan konflik yang memungkinkan isu ini seolah-olah tiada kesudahan dan titik noktahnya.

Pengaruh daripada rakan sebaya telah menyebabkan remaja beralih arah daripada menjadikan ibu bapa sebagai suri teladan kepada rakan mereka yang dijadikan sandaran atau petunjuk ke arah tingkah laku atau perbuatan yang dilakukan. Remaja didapati lebih berkecenderungan untuk menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan atau model untuk membina keperibadian mereka. Sekiranya mereka bergaul dengan kumpulan rakan yang positif dalam semua aspek kehidupan, maka tidak mustahillah mereka akan memiliki mentaliti dan tingkah laku yang positif juga kerana pengaruh rakan yang baik itu telah meresap dalam jiwa mereka. Namun demikian, yang dibimbangkan pada hari ini ialah pengaruh negatif yang lebih mendominasi persekitaran dan seluruh kehidupan remaja yang menyebabkan timbulnya masalah kebejatan sosial yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat dan negara dalam usaha kita untuk mewariskan kepemimpinan nusa yang berkualiti dan dinamik kepada remaja pada masa akan datang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Posted in: Fokus

Rakan Sebaya sebagai Agen Kawalan Sosial Remaja

Oleh   Zulfazlan Jumrah

RAKAN sebaya boleh didefinisikan sebagai sekumpulan kanak-kanak, remaja, orang dewasa, atau warga tua yang hampir sama dari segi umur, pendidikan atau kelas sosial, dan minat. Kita sedia maklum bahawa biasanya kelompok ini lebih gemar menghabiskan masa bersama-sama sahabat yang mempunyai julat umur yang sebaya dengan mereka.

Untuk remaja, rakan sebaya terdiri daripada sekumpulan besar rakan mereka yang hampir sama umur, kelas, jiran atau rakan sekerja. Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan remaja. Remaja lazimnya menggunakan rakan sebaya sebagai panduan apabila menilai dirinya sendiri dari segi tingkah laku, personaliti, kemahiran serta kebolehan. Peranan rakan sebaya menjadi lanjutan kepada proses sosialisasi dalam keluarga. Kumpulan rakan sebaya dapat berfungsi sebagai penggantian jika perhubungan dengan ibu bapa tidak baik atau tegang. Pada kebiasaannya, sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar terhadap pelajar. Segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebayanya.

Menurut Quek Miow Leng, rakan sebaya turut berperanan dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Rakan sebaya ini dapat mempengaruhi emosi remaja apabila mereka berada dalam sekelompok rakan sepermainan mereka. Rakan sebaya dalam kalangan remaja amat besar pengaruhnya sehingga semua sikap rakan sebaya mereka diikuti. Pelbagai persepsi masyarakat bahawa rakan sebaya hanya kuat pengaruh dalam hal negatif sahaja. Sejujurnya rakan sebaya boleh sahaja mempengaruhi rakan lain secara positif. Rakan sebaya yang memiliki sikap positif secara semula jadi dapat mempengaruhi rakannya yang lain agar membuat perkara yang positif atau perbuatan yang tidak sumbang pada mata masyarakat. Rakan sebaya harus memainkan peranan secara seimbang. Hal ini dikatakan demikian kerana pada usia remaja sebegini, jati diri dan pegangan hidup remaja mudah rapuh dek hempasan badai hidup yang bergelora.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017)

Posted in: Fokus