Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara

Kembara Aidiladha di Bumi Kemboja

Oleh Nor Amirah Ibrahim

Kenangan dan pengalaman tidak boleh dipisahkan daripada ingatan manusia, walaupun kadang-kadang sukar untuk digambarkan. Rentetan kejayaan diri ini bersama-sama rakan seperjuangan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam misi kembara di negara minoriti Muslim, Kemboja, maka terhasillah penceritaan dan pengalaman ini. Semoga memberi manfaat kepada semua yang membacanya. Bermula perjalanan saya dan kawan-kawan seperjuangan di USIM dalam misi Kembara Adha Bumi Kemboja 2017 pada bulan Ogos 2017, sebagai destinasi untuk program Global Islamic Students Outreach (GISO). Kembara ini disertai oleh 77 orang pelajar USIM, bersama-sama Pusat Pembangunan Kemahiran Ihsaniah, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia dan wakil daripada akhbar Utusan Malaysia.

Tepat pukul 11.30 malam kami bertolak dari USIM bersama-sama kelengkapan barangan, makanan, sumbangan pakaian dan bantuan kepada saudara Muslim di Kemboja. Kembara pada kali ini menggunakan bas sebagai pengangkutan utama kerana bertepatan dengan nama program iaitu Kembara Adha Bumi Kemboja. Pada keesokannya, kami sampai ke sempadan Thailand melalui Padang Besar, Perlis. Kesempatan berada di negara orang dimanfaatkan dengan melihat pembangunan ekonomi Thailand yang pesat, yang tidak jauh bandingnya dengan Malaysia. Sistem pengangkutan jalan raya dan perubahan waktu sejam lebih awal terasa kekok untuk saya dan rakan-rakan membiasakan diri.

Kami selamat tiba di sempadan Kemboja setelah mengharungi perjalanan selama dua hari. Setibanya kami di sana, pihak urus setia dari Kemboja telah menyediakan pengangkutan khas untuk kami bergerak ke destinasi kami, Kampung Khla Kham Chke. Telatah kanak-kanak yang mahu ke sekolah dipimpin oleh ibu bapa mereka mencuit hati kami sementara menunggu bas bergerak. Para penjual pula, sibuk menguruskan kedai dan memberikan layanan baik kepada pelanggan mereka.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 10 2018)

BALI – PULAU TERAPI MINDA

Oleh Muhammad Rafiq Abdul Rahman

Indonesia sememangnya terkenal sebagai sebuah Negara ASEAN yang memiliki banyak kepulauan. Pulau-pulaunya pula mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negaranya untuk mengunjunginya. Pada kali ini, penulis membawa para pembaca ke lokasi percutian ïdaman’yang kebiasaannya dikunjungi oleh pasangan kekasih ataupun tempat pilihan utama untuk berbulan madu. Lokasinya juga diiktiraf sebagai pusat pelancongan terbaik dan tercantik di dunia oleh Persatuan Pelancongan Dunia.

Bali merupakan sebuah pulau antara ribuan pulau yang popular di Indonesia. Tidak harian jika anda ke pulau ini, pelbagai bangsa, agama dan budaya akan ditemukan. Bali ialah kabupaten atau daerah yang dihuni hampir 90 peratus penduduk yang beragama Hindu. Hanya kurang 10 peratus penduduknya yang beragama Islam dan Buddha.

Situasi ini menyebabkan pelancong lebih banyak melihat kuil-kuil Hindu di jalanan, dalam bangunan, rumah mahupun di kawasan pelancongan utama. Hal ini juga cukup mudah bagi sesiapa sahaja untuk melihat dan memahami ritual yang dilakukan oleh penganut agama Hindu, tidak kira di dalam rumah, di luar rumah mahupun di tepi jalan raya. Permulaan “jejak Bali” penulis ini agak janggal kerana dikelilingi oleh bangsa beragama Hindu dan melihat ritual agama tersebut secara dekat. Namun begitu, itulah yang dikatakan para ulama, sekiranya kita rajin mengembara, maka luaslah pengalaman dapat ditimba dan ilmu baharu dapat dipelajari.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali merupakan laluan udara yang membolehkan pelancong sampai di pulau yang indah ini. Ukiran klasik yang menerapkan unsur agama Hindu jelas terpancar dalam setiap ukiran di lapangan yang agak sederhana saiznya. Wapaupun tidak standing Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, namun lapangan ini boleh dikatakan tidak lekang dengan kebanjiran pengunjung. Yang menariknya, nama lapangan terbang ini diambil bersempena memperingati seorang pejuang bangsa yang berasal dari Bali.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 9 2018)

Kembara Ilmu di London

Oleh Siti Rabaáh Hamzah

Kunjungan ke kota London pada musim luruh baru-baru ini mencipta sejarah bagi diri saya dan kumpulan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana dapat mengunjungi dua buah universiti tertua di eropah, iaitu Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Kembara selama dua minggu ini sangat mengesankan jiwa kami. Selepas sehari menjejakkan kaki di London, kami memulakan kembara ilmu dengan mengunjungi Universiti Oxford. Universiti ini terletak lebih kurang 90 kilometre di uatara London dan di tengah-tengah bandar Oxford. Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1096 ini merupakan universiti tertua di Eropah dan mempunyai 38 buah kolej serta 22 ribu orang pelajar. Oxford University Press pula merupakan penerbit yang terbesar di dunia dan terkenal dengan bahan penerbitan tentang hasil penyelidikan dalam bidang pendidikan dan bahasa Inggeris.

Dalam kembara ini, kami berpeluang menghadiri forum Muslim in Britain yang dikendalikan oleh Oxford Center for Islamic Studies. Dalam forum ini, kami dimaklumkan bahawa semakin banyak belia Inggeris yang berminat untuk mempelajari agama Islam sebagai cara hidup. Selesai menghadiri forum, kami mengunjungi kompleks bangunan Center for Islamic Studies yang baharu. Di bangunan ini, terdapat dewan kuliah, dewan makan, perpustakaan, bilik pensyarah, dan bilik penginapan pelajar pascasiswazah. Kami mengakhiri kembara di Universiti Oxford dengan berjalan menyususri beberapa buah fakulti, antaranya termasuklah Said Business School, Oxford University Press, Perpustakaan Bordelian, kedai buku dan kedai barangan cenderamata.

Kembara ilmu ini diteruskan dengan lawatan ke Universiti Cambridge yang terletak lebih kurang 80 kilometre di utara London. Universiti ini merupakan universiti kedua tertua selepas Universiti Oxford, yang mempunyai sejumlah hampir 25 ribu orang pelajar dan 10 peratus daripadanya ialah pelajar dari luar United Kingdom. Selain Universiti Oxford, Universiti Cambridge juga salah satu universiti penyelidikan yang terkemuka di dunia. Namun begitu, Universiti Cambridge menghasilkan lebih banyak jurnal yang berkualiti berbanding dengan Universiti Oxford. Pengajaran dan pembelajaran di Universiti Cambridge mengutamakan kaedah penyeliaan, berbanding Universiti Oxford yang mengamalkan kuliah dan tutorial.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 8 2018)

PAMUKKALE: KOTA YANG BERCERITA

Oleh Ade Irma Suryani Che’ Leh

Perjalanan dari Bursa ke Pamukkale mengambil masa sekitar enam jam. Daerah itu terletak di tenggara Turki. Seusai bersarapan, penulis ini dan teman-teman bertolak meninggalkan kota itu agar sampai ke destinasi tepat seperti yang dijadualkan. Memandangkan masa perjalanan agak panjang, dapatlah kami melelapkan mata seketika untuk menghilangkan kebosanan. Dalam perjalanan, kami berhenti di beberapa buah tempat untuk bersolat dan makan tengah hari. Sewaktu singgah di hentian rehat dan rawat, kami dihidangkan dengan hidangan kebab dan salad yang sangat lazat dan menyelerakan.

Sementara ketika singgah untuk bersolat pula, penulis ini dan teman-teman sempat berbual mesra dengan anak-anak penduduk tempatan yang kebetulan berada di situ. Biarpun menggunakan bahasa ayam dan itik, namun kami tetap gembira dengan keramahan mereka.  Malah, anak-anak itu seronok kala kami menghulurkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih kerana sudi bergambar.

Seharian berkelana, masing-masing sudah keletihan. Akhirnya, kami sampai di daerah Pamukkale. Cuaca masih cerah walaupun hari sudah hampir senja. Oleh itu, sempatlah kami melihat dari jauh keindahan “bukit kapas” yang juga merupakan sebuah tapak tamadun dunia. Kami meneruskan perjalanan ke hotel untuk berehat dan bermalam di sana. Sementara menunggu daftar masuk, penulis ini sempat berfoto di lobi hotel yang berkonsepkan Mediterranean. Pada malam itu, kebanyakan daripada kami mengambil peluang berehat. Sebahagiannya mengunjungi spa atau jakuzi yang disediakan percuma untuk pengunjung. Penulis ini pula lebih selesa melayani telefon untuk memaklumkan perkembangan terkini keadaan keluarga dan teman-teman di Malaysia.

Keesokan harinya, kami menjengah ke tapak tamadun dunia yang jarak masa perjalanannya sekitar 10 hingga 15 minit sahaja dari hotel penginapan. Tapak tamadun dunia ini terletak di lembah Sungai Menderes, iaitu antara Pamukkale dan Denizli. Seusai urusan pembelian tiket yang dibeli dengan harga 20TL (Turki Lira), kami menapak ke kawasan berkenaan. Perjalanan dari pintu masuk ke “bukit kapas” itu mengambil masa hampir setengah jam, melalui kota peninggalan tapak tamadun Hierapolis yang terkenal suatu masa dahulu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 7 2018)

TUNISIA: MEDITERRANEAN DI BENUA AFRIKA

Oleh Siti Raba’ah Hamzah

Keunikan dan keistimewaan Tunisia ialah kedudukannya di kawasan cuaca Mediterranean. Tunisia terletak di utara benua Afrika, bersebelahan dengan Algeria di barat, Libya di selatan, dan berhadapan Laut Mediterranean di utara. Lebih satu per tiga daripada negara ini terletak di Gurun Sahara. Kedudukan ini memberikan keunikan berganda kepada industri pelancongan Tunisia, apalagi dengan percampuran budaya Rom, Arab dan Uthmaniah Turki yang mempamerkan pembangunan pelbagai budaya di negara ini. Penduduk Tunisa berjumlah 11 juta orang.

Keputusan mengembara ke Tunisia ialah keputusan yang tepat dan menguntungkan kerana kita bukan sekadar menikmati keindahan semula jadi yang menarik, malahan dapat merasai cuaca Mediterranean yang menyamankan. Setelah hampir lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur dan singgah sebentar di Jeddah, kami meneruskan perjalanan ke Tunis, ibu negara Tunisia.

Tunisia mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1956. Sehingga kini, Tunisia masih bergelut untuk meningkatkan ekonomi negara dengan hasil pertanian, terutamanya buah kurma. Tunisia juga terkenal dengan pengeluaran tekstil yang bermutu tinggi yang dieksport ke Negara Kesatuan Eropah. Tumpuan utama Tunisia kini ialah pembangunan infrastruktur dan bidang pendidikan.

Lima buah universiti yang terbaik dalam senarai universiti terbaik di benua Afrika terletak di Tunis. Antaranya termasuklah Universiti Tunis, Universiti Carthage, dan Universiti Tunis El-Manar. Rakyat Tunisia menggunakan bahasa Arab, bahasa Perancis, dan bahasa Berber dalam pertuturan harian mereka. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris ialah bahasa komunikasi utama mereka dengan pelancong asing.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 4 2018)

PENGEMBARAAN CENDEKIAWAN DI ACEH

Oleh Ku Siti Aminah Ku Mat

Pada bulan Januari 2017, kaki ini berpijak jua di tanah yang terkenal dengan nama serambi Mekah. Nama itu diberikan kerana begitu banyak ulama dan pejuang kemerdekaan yang tumbuh di tanah ini. Tanah ini jugalah yang merupakan antara pusat perdagangan dunia yang amat penting pada suatu ketika dahulu, di samping Melaka.

Tatkala matahari terbit di ufuk timur, waktu itulah kami berlima tiba di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Aceh. Perjalanan hanya memakan masa selama satu jam. Baru sahaja tiba di balai ketibaan, kami disambut mesra oleh senyuman pemuda penuh budi pekerti, Fauzan. Dia pemandu kami ketika di Banda Aceh. Sebelum itu, kami meluangkan masa di Pulau Sabang yang dahulu dikatakan berpisah dari daratan Aceh kerana gempa bumi beribu-ribu tahun yang lalu.

Dengan menaiki feri di jeti Ulee Lheue selama dua jam, kami tiba jua di jeti Balohan, Sabang. Usai mendaftarkan penginapan di Hotel Freedies Pantai Sumurtigadan, tanpa berehat, kami dengan penuh teruja langsung menuju ke Benteng Jepang Anoi Itam dengan membonceng skuter. Benteng itu letaknya di tebing laut yang agak tinggi. Namun begitu, hal itu tidak menjdai pematah semangat untuk kami terus mendaki anak tangga sehingga benteng.

 Dari puncak benteng, kami dapat melihat laut yang luas berhamparan. Bongkah batu berwarna hitam turut mengukuhkan tebing tersebut. Di situ juga, terdapat meriam lama yang merupakan peninggalan penjajah Jepun. Kami terlalu asyik dibuai keindahan persekitaran kawasan sejarah tersebut sehingga tidak sedar bahawa siang hampir melabuhkan tirai. Namun demikian, kerana perasaan ingin tahu yang menebal, Lea Ofeaa Mohd Shamsuddin sempat mengajak saya masuk ke dalam kubu kecil di dalam benteng Jepun dengan hanya bersuluhkan lampu telefon pintar. Kamilangsung memberanikan diri menapak perlahan-lahan di dalam benteng sempit dan gelap. Dalam ruangan inilah, penjajah dengan ketakutan menyorokkan diri daripada tikaman rencong pejuang aceh.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2017)

Permata Kota Bursa

Oleh   Ade Irma Suryani Che’ Leh

Percutian penulis kali ini sangat istimewa kerana dapat melihat tinggalan kerajaan Uthmaniyah yang terkenal. Selebihnya penulis ini mahu menjejaki negara kelahiran Said Nursi Badiozaman, ulama Turki yang amat penulis ini kagumi. Biarpun tidak berkesempatan menziarahi daerah kelahiran tokoh tersohor itu, peluang menziarahi masjid lama seakan-akan mendekatkan penulis ini kepada perjuangannya.

          Destinasi pertama ialah Masjid Ulucami (cami, sebutannya jamek) atau Great Mosque, terletak di kota Bursa. Sekali pandang masjid ini tidak ubah seperti bangunan tua lain yang terdapat di merata Turki. Pun begitu, tanggapan itu berubah setelah melangkah masuk. Sebaik-baik sahaja melewati pintu utama, penulis ini bagaikan terpukau. “Subhanallah, cantiknya.” Terpacul ucapan kagum kala melihat keindahan kaligrafi khat pada setiap sudut, ruang, dinding dan tiang masjid itu. Lampu candelier klasik yang bergantungan menyimbah cahaya, diserikan dengan permaidani yang melatari seluruh ruang, melengkapkan rasa kagum yang mendalam. Penulis ini pasti bahawa sesiapa pun yang berkunjung ke sini mempunyai perasaan yang sama. Menurut cerita, kaligrafi itu diukir oleh pengukir yang mahir dalam seni tersebut sewaktu zaman Uthmaniyah. Ada pihak yang menyatakan bahawa terdapat 12 ribu kaligrafi khat di seluruh masjid berkenaan.

          Kemudian, pandangan penulis beralih kepada air pancur yang terletak di ruang tengah. Sekali lagi hal ini mengundang rasa teruja di hati ini. Keindahan seni bina dan hiasan dalamannya benar-benar memukau. Pancuran air ini bukan sahaja digunakan sebagai tempat berwuduk, bahkan berfungsi sebagai penyejuk ruang, terutama pada musim panas. Menurut cerita daripada masyarakat tempatan, tanah tempat air pancur itu pemberian seorang wanita Yahudi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Wisata di Kota Palembang

 

Oleh   Khairul Akmaliah Adham

Baru-baru ini, penulis berkunjung ke Palembang, sebuah kota nan indah, baik warganya mahupun suasananya, untuk menghadiri persidangan antarabangsa di Hotel Swarna Dwipa, anjuran Universitas Sriwajaya. Penulis ini ingin berkongsi pengalaman berada di Palembang yang terletak dalam provinsi Sumatera Selatan yang merupakan kota kelima terbesar di Indonesia dan kedua terbesar di Sumatera selepas Medan. Penulis telah pun membuat penyelidikan mengenai  tempat wisata yang menarik di sekitar kota itu.

          Pada malam sebelumnya, penulis ini memesan perkhidmatan pemandu persiaran menerusi hotel penginapan. Usai sarapan tepat jam 7.30 pagi, Pak Min, pemandu persiaran yang menjalankan perkhidmatan usaha sama dengan pihak hotel, telah menunggu di hadapan hotel. Penulis ini begitu teruja untuk berkunjung ke tempat menarik sekitar kota ini. Penulis ini bertolak ke kampus Universitas Sriwajaya, iaitu universiti negeri yang mempunyai lebih kurang 33 ribu orang mahasiswa dalam pelbagai jurusan, termasuk perubatan, undang-undang dan ekonomi. Ketika memasuki pintu utama universiti di kampus Bukit Besar, penulis ini terkesima dengan suasana dingin pagi yang teramat sibuk dengan aktiviti perjalanan mahasiswa keluar masuk, kebanyakannya menaiki dan membonceng  motosikal. Biarpun nampak sibuk dan kadangkala terdengar bunyi hon, suasana perjalanan begitu aman dengan masing-masing saling bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain ketika berada di jalan raya. Rata-rata pemandu kereta atau motosikal mengehadkan had laju dan tidak terburu-buru untuk sampai di destinasi masing-masing, bagaikan terdapat unspoken rule di jalan raya yang menjamin perjalanan selamat untuk semua penuntut dan warganya.       

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Pulau Pinang Syurga Makanan dan Idaman Percutian Keluarga

Oleh Nur Faidah Mohamad Arif

Pulau Pinang seindah namanya dan juga kepelbagaian makanan yang terdapat di negeri ini. Negeri yang bersih dan penuh bersejarah ini sering menggamit hati dan sanubari pelancong. Penulis juga tidak ketinggalan menjejakkan kaki di negeri yang turut mendapat jolokan “syurga makanan” suatu ketika dahulu kerana variasi menu dan keenakan rasanya yang tiada tolok bandingnya dengan tempat lain. Selain makanannya yang sedap, terdapat banyak tempat menarik di Pulau Pinang yang boleh dikunjungi sama ada bersama-sama keluarga tersayang ataupun rakan.

Pulau Pinang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia bersempadan dengan Kedah di utara dan timur, dan Perak di selatan. Georgetown ditubuhkan oleh British pada tahun 1786, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi pelancongan yang berkembang maju. Berdasarkan pengalaman dan kunjungan rakan penulis terdahulu, negeri ini sentiasa menjadi tumpuan dan buah mulut pengunjung, termasuk pelancong dari luar negara. Dari tempat yang indah untuk mengabadikan kenangan bersama-sama keluarga, terus kepada makanan yang penuh bercita rasa tinggi, namun boleh didapati dengan harga yang berpatutan, dan rakyatnya yang begitu peramah dan bersopan santun dalam tingkah lakunya menyebabkan negeri ini menjadi tumpuan pelancong.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Trilogi Jepun : Antara Cinta, Magis dan Budaya

Oleh   Dhesegaan Bala Krishnan

Penulis diasak perasaan teruja bercampur gemuruh sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun. Kunjungan ke Negeri Matahari Terbit ini pada Mac 2015 merupakan kali pertama penulis melangkah ke sebuah negara asing. Penulis mendapat peluang ini kerana terpilih untuk mewakili Universiti Malaya dalam program Trans-ASEAN Global Educational Agenda (TAG) Student Forum.

Program selama lapan hari ini berlangsung di Universiti Tsukuba, Jepun. Peserta dari tujuh buah negara ASEAN bersama-sama Jepun, Perancis dan Amerika Syarikat terlibat dalam program ini. Dua orang peserta terpilih mewakili Malaysia, iaitu penulis ini dan saudari Khairunnisa Asul Kahar dari UKM.

Di lapangan terbang, penulis ini disambut oleh wakil pelajar dari Universiti Tsukuba dan penyelaras program, Gwen Anuevo. Dari situ, penulis ini menaiki bas ke Universiti Tsukuba. Perjalanan memakan masa hampir dua jam setengah. Suhu di bawah paras dua darjah Celsius menggigilkan badan. Setelah tiba di Universiti Tsukuba, penulis ini bersuai kenal dengan peserta lain dan beberapa orang pelajar universiti ini.

Bandar Tsukuba terletak di selatan wilayah Ibaraki. Bandar ini bandar penyelidikan sains dan teknologi. Universiti Tsukuba ialah universiti penyelidikan dan telah mencapai pelbagai kejayaan, seperti dalam bidang genetik tumbuhan. Menurut QS University Rankings: Asia 2016 , Universiti Tsukuba menduduki tempat ke-34 .

Bandar Tsukuba mendapat namanya daripada Gunung Tsukuba. Gunung setinggi 877 meter ini sangat terkenal kerana mempunyai dua puncak. Dua puncak Tsukuba dipercayai melambangkan sepasang kekasih. Menurut mitos tempatan, suatu ketika dahulu, dewa kayangan meminta kebenaran Gunung Fuji untuk bermalam di pergunungannya. Gunung Fuji dengan angkuhnya menolak permintaan tersebut. Sebaliknya, Gunung Tsukuba mempelawa dewa tersebut untuk bermalam di pergunungannya. Sebagai balasan , dewa tersebut merestui Tsukuba dengan seorang kekasih, manakala Fuji dibiarkan kesepian .

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2017)