Home » Libur dan Rekreasi » Rakaman Pengembara (Page 2)

Wanita Islam Wellington

Oleh Mawar Safei

MENYAMBUNG kisah perjalanan melihat anak-anak di Wellington, menginap bersama masyarakat setempat khusus di daerah perbukitan Johnsonville, mengizinkan penulis mengenali Muslimah negara ini dengan lebih akrab. Penulis menginap di rumah seorang warga asal Singapura, Hayati Osman, ibu tunggal dengan dua orang anak lelakinya. Suaminya, warga Britain meninggal dunia tahun lalu. Kebetulan minggu pertama penulis di rumahnya, dan berkelapangan daripada menghadiri kuliah di kampus Victoria  University of  Wellington, diadakan majlis taklim di rumah Hayati. Hari Rabu menjelang pukul 10 pagi, seorang demi seorang ahli kumpulan taklim mengetuk pintu dengan membawa pinggan juadah di tangan masing-masing. Ada yang membawa salad, kari ikan, sambal tumis telur lengkap dengan puding dan kek; sedang Hayati sendiri menyediakan rendang ayam. Suasana di luar rumah berkabus kadangkala tebal dibawa angin dingin. Namun begitu, semua yang masuk ke ruang tamu rumah di perbukitan ini, membawa seribu kehangatan persaudaraan Islam. Hal ini sangat dapat penulis rasakan.

Lebih kurang 15 orang Muslimah yang hadir majoritinya bangsa Melayu Malaysia dan Singapura, ada juga dari Cambodia dan Fiji. Majlis dimulakan dengan bacaan surah ar-Rahman dan al-Waqiah oleh setiap ahli. Semasa bacaan, masing-masing akan memperbetulkan sebutan atau hukum tajwid. Kazidah Moh. Shah, warga asal Tanjung Karang, Selangor, selaku ketua kumpulan tadarus, menyambung kuliah tentang sirah Rasulullah. Penulis melihat mereka yang hadir dengan pakaian tebal menahan kesejukan musim luruh, masih dapat menumpukan perhatian terhadap kisah Rasulullah dan penulis dapat rasakan betapa mereka rindu akan Nabi Muhammad.

Pengalaman bertemu Muslimah Wellington yang lebih merentas batas bangsa adalah di Masjid Kilbirnie pada Ahad pertama penulis di bumi Kiwi. Sebaik tiba di masjid, penulis ke ruang mengaji al-Quran anak-anak  yang dikendalikan secara sukarela oleh Muslimah sendiri. Sekilas penglihatan penulis di ruang khas Muslimah, terdapat pelbagai warganegara dan warna kulit. Penulis sempat mengenali beberapa orang pelajar universiti tempatan dari Malaysia dan Indonesia. Di sebuah penjuru lain ada deretan gerai jualan pakaian, perhiasan wanita dan makanan ringan. Menurut Hayati, kami akan pulang sebaik-baik menikmati jamuan ringan dan solat zohor secara berjemaah.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015).

 

SANTIAGO, CHILE

Oleh Pamela Lanyau

PENGEMBARAAN di benua Amerika Selatan bermula di Santiago de Chile selepas lebih 48 jam perjalanan. Kegembiraan dapat memijakkan kaki di benua ini tidak dapat dibendung lagi ketika kapal terbang menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez.

Ini merupakan kali pertama penulis memijakkan kaki di benua yang penuh diversiti ini walaupun keputusan untuk terbang ke sini dilakukan dalam masa kurang 36 jam sahaja. Setelah lebih kurang empat bulan menyimpan hasrat, dengan bantuan kakak kepada teman rapat adik, penulis dapat menyelesaikan hal tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Santiago, Chile. Tiket dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur pula diusaikan enam jam sebelum penerbangan dengan penuh debaran.

Hairannya, tanpa persediaan rapi, langsung tidak timbul rasa gerun untuk menikmati apa-apa yang terdapat di Santiago. Namun begitu, buku Lonely Planet dibelek setiap hari untuk mendapatkan maklumat penting. Banyak orang berpendapat bahawa ibu negara Chile ini hanyalah seperti sebuah tempat persinggahan sebelum para pelawat meneruskan perjalanan ke destinasi yang lebih eksotik seperti Rapa Nui (juga dikenali sebagai Easter Island) atau sebelum memulakan pendakian di Andes. Penulis pula memilih untuk berpendapat sebaliknya. Santiago, walaupun diapit kehebatan kejadian semula jadi seperti padang pasir terkering di dunia yang terletak di bahagian utaranya dan glasier di sebelah selatan, tetap memiliki keunikan tersendiri.

Penulis memilih untuk menginap di Plaza de Armas, tempat kelahiran kota tersebut pada tahun 1541. Arca pengasasnya diletakkan di tengah-tengah dataran dan masih setia memerhati pergerakan manusia melalui kuda beliau dan pemandangan dari balkoni bilik dataran tersebut. Hari pertama penulis di situ, cuaca sejuk dan berkabus mengaburkan penglihatan.

Kehadiran di Chile kali ini telah penulis janjikan pada seorang kenalan Elias yang dikenali semasa menghadiri seminar di Paris pada musim panas yang lalu. Pada hari kedua, penulis berjumpa dengan anak jati Santiago tersebut yang merupakan penuntut tahun akhir ijazah pertama di sebuah universiti tempatan. Beliau juga sedang bekerja secara sambilan di sebuah organisasi bukan kerajaan yang memelihara kelangsungan adat dan budaya masyarakat asli dan golongan minoriti termasuklah Mapuche, dan Quechua.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

CANAL CRUISE, MADAME TUSSAUD DAN WINDMILL DI KOTA AMSTERDAM

Oleh Mohamad Zuber bin Ismail

KETERUJAAN untuk menjelajah benua Eropah begitu membuak-buak. Memandangkan penulis sudah berada di Frankfurt, lantas penulis membuat keputusan untuk ke negara jirannya, iaitu Amsterdam. Perancangan dari Frankfurt ke Amsterdam berlaku pada saat-saat akhir apabila seorang sahabat dari Malaysia berkunjung ke Jerman. Haupbanhof Frankfurt merupakan perhentian bas utama yang akan dituju penulis untuk ke Amsterdam menggunakan pengangkutan bas kerana lebih murah berbanding kereta api laju. Jika dibandingkan terminal bas di Frankfurt, terminal bas di negara kita nampak lebih tersusun dan sistematik.

Tepat pukul 12.45 tengah hari, penulis bersama-sama rakan bertolak dari Terminal Utama Haupbanhof ke Amsterdam dengan menaiki Fernbus. Pemandu bas memaklumkan bahawa perjalanan dijangka mengambil masa lebih kurang lima jam untuk tiba ke destinasi. Yang menariknya bas dikendalikan oleh seorang pemandu wanita. Nampak tegas dan berprinsip orangnya. Sewaktu berada di dalam bas, penulis mengambil peluang untuk berbual-bual di samping melihat pemandangan di sekeliling. Pelbagai ragam dan gelagat manusia dapat diperhatikan. Selepas 30 minit perjalanan, bas yang dinaiki mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti di pinggir jalan. Penulis terpaksa bertanyakan penumpang lain apa-apa yang berlaku. Komunikasi tidak sukar di sini kerana rata-rata penduduk Jerman boleh berbahasa Inggeris. Walaupun pada peringkat awal, penulis difahamkan mereka agak kurang fasih atau tidak mahu berbahasa Inggeris kerana lebih mengagungkan bahasa ibunda mereka tetapi ternyata sangkaan ini meleset sama sekali.

Hampir sejam penulis tersadai di tepi jalan di pinggir Frankfurt. Sejurus kemudian, penulis dimaklumkan bahawa bas tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan. Penulis dikehendaki kembali semula ke stesen bas utama. Penulis terpaksa berjalan kaki berpatah balik semula ke terminal dengan ditemani seoranag lelaki warga China yang bertugas di Jerman dan seorang pelajar wanita dari universiti di sana sambil berbual-bual kosong. Agak memenatkan. Namun begitu, keadaan cuaca yang agak sejuk sekurang-kurangnya dapat meredakan dan menenangkan perasaan yang berkecamuk ketika itu.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

GREECE DAN SEJARAH KEILMUAN

Oleh Siti Raba’ah Hamzah

SEDARI zaman persekolahan, kembara ke negara Greece yang jauh beribu-ribu batu menjadi impian penulis kerana Greece merupakan negara bersejarah yang penuh dengan perkembangan dan perdebatan tentang asal usul ilmu falsafah di dunia.

Greece terletak di sebelah selatan Eropah Barat dan menjadi lokasi pertemuan antara Benua Eropah, Asia dan Afrika. Greece mempunyai keluasan 131 000 kilometer persegi dan terdiri daripada lebih 6000 buah pulau. Greece menjadi tumpuan jutaan pelancong pada setiap tahun kerana keindahan dan keunikan pulaunya yang terletak dalam lingkaran Lautan Ionian dan Aegean.

Penulis menaiki penerbangan Qatar Airways kerana Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tidak menyediakan penerbangan terus ke Athens, ibu negeri Greece. Penerbangan ini mengambil masa tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk singgah (transit) di Doha dan meneruskan perjalanan lima jam setengah lagi untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens-Venezelos.

Athens ialah ibu negeri Greece dan merupakan bandar terbesar dengan jumlah penduduk sekitar tiga juta orang. Athens mendapat gelaran sebagai ibu negara bagi Benua Eropah sejak tahun 1834. Athens bermula dengan sejarah sistem pemerintahan rakyat, diikuti dengan sistem monarki beraja dan seterusnya sistem demokrasi. Pada masa ini, ekonomi Greece sedang dipulihkan akibat rasuah yang memuncak pada tahun 2012. Greece mula menggunakan mata wang Euro pada tahun 2002.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

PASIR HITAM GUNUNG BROMO

OLEH ABDUL RAZAK HUSIN

Langkah kembara tetap diteruskan dengan penerbangan AK 362 Air Asia ke Surabaya, Jawa Timur, walaupun kerisauan tetap membalut tangkai hati. Tiket yang ditempah hampir setahun itu tidak akan dilepaskan walaupun ketika itu, Air Asia Indonesia dengan penerbangan QZ 8501, baru sahaja berduka apabila pesawat tersebut terhempas pada penghujung bulan Disember lalu.

Pesawat berlepas pada pukul 6.30 petang waktu tempatan dan tiba di Bandara Juanda pada pukul 10.00 malam waktu Surabaya. Perjalanan memakan masa selama dua jam setengah selamat mendarat di Surabaya. Kami enam orang peserta lawatan mengambil keputusan untuk meneruskan destinasi utama kami ke Gunung Bromo selepas selesai menunaikan solat di sebuah masjid berdekatan dengan lapangan terbang.

Kami mengambil keputusan mengambil teksi dari lapangan terbang dengan bayaran sebanyak Rp1 juta 130 ribu untuk pergi dan balik. Jarak dari Surabaya ke Gunung Bromo sekitar tiga hingga empat jam perjalanan. Usah ditanya tentang jarak dalam kilometer dari Surabaya kerana pemandu teksi yang lebih selesa dipanggil Pak Priman, seorang bekas tentera, hanya menjangka ketibaan kami di terminal sekitar tiga jam perjalanan. Dengan hanya beralaskan roti buku kerana restoran atau kedai makan telah ditutup oleh sebab sudah agak lewat, perjalanan pada malam ini tetap diteruskan juga.

Semasa dalam perjalanan, kami melalui kawasan banjir lumpur Sidoarjo. Pelihatan kami terbatas kerana kegelapan malam yang semakin pekat. Menurut Pak Priman, sebanyak 16 buah kampung telah ditenggelami oleh banjir lumpur pada tanggal 26 Mei 2006. Semburan selama beberapa bulan menyebabkan kawasan kampung berkenaan ditenggelami lumpur.

Pada sebelah siang, dapat dilihat letusan lumpur daripada permukaan tersebut. Perjalanan pada waktu malam agak perlahan kerana keadaan jalan raya yang agak sempit ditambah pula deretan lori sepanjang perjalanan. Sesekali mata saya terlelap kerana terlalu mengantuk, namun terjaga juga apabila teksi berhenti seketika untuk berehat.

Kami keluar dari teksi untuk mencari keselesaan yang semakin hilang. Di tempat rehat tersebut, kelihatan beberapa buah bas ekspres juga berhenti untuk mengisi minyak. Menurut Pak Priman, bas tersebut akan meneruskan perjalanan ke Bali. Setelah berehat hampir sejam sambil menghirup secawan kopi panas bersama-sama beberapa keping biskut yang dibeli di sebuah kedai 24 jam, kami meneruskan perjalanan semula.

“Lagi berapa lama perjalanannya, pak?” tanya saya. Jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Malam semakin pekat dan sesekali semilir menampar pipi memberikan sedikit keselesaan.

“Sejam lebih lagi, sampai di terminal. Nanti kereta akan membelok ke kanan dan kita akan memulakan pendakian ke Gunung Bromo,” jelasnya lagi. Ada sedikit rasa selesa kerana destinasi semakin hampir. Saya sudah membayangkan keindahan Gunung Bromo dan menyaksikan matahari terbit sudah seperti berada di hadapan mata.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Jun 2015.

KOREA: RUPA JEPUN, BUDAYA CHINA

Oleh SITI RABA’AH HAMZAH

Hampir seminggu berada di Korea, namun kami masih belum puas menikmati keindahan dan kemajuan Korea. Tarikan utama Korea ialah tempat penggambaran drama Korea, seperti Pulau Nami, Pulau Jeju, Abai Village dan Daepo Wharf. Di samping itu, tempat mesti dilawati di Korea ialah Kyeongbokgong Palace, National Folk Museum, The Blue House, Cheongyecheon Stream, Namsan Park, Namsan Hanok Village, Masjid Utama Seoul dan Itaewon Shopping Street.

Penduduk Korea seramai 50 juta orang dan 15 juta orang daripadanya tinggal di bandar Seoul. Seoul merupakan bandar moden yang megah dengan reka bentuk bangunan terkini. Penduduknya sentiasa mengikuti peredaran zaman. Kelihatan golongan muda sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan barangan jenama seperti Prada, Louis Vuitton dan Burberry. Kebetulan pula, semasa lawatan kami, Seoul sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 2014.

Menurut pemandu pelancong, May, yang berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang politik, rakyat Korea berpegang teguh pada budaya Timur dan mengamalkan tradisi adat China. Mereka mempunyai pertalian keluarga dengan negara China, malah kebanyakan kaum keluarga generasi pertama mereka masih tinggal di China.

Budaya kerja rakyat Korea pula dipengaruhi budaya kerja orang Jepun. Pengalaman perit dijajah oleh Jepun selama lebih daripada 35 tahun meninggalkan kesan yang positif dalam budaya kerja mereka. Contohnya, kemajuan automobil di Korea dalam tempoh 30 tahun berjaya menguasai pasaran automobil Asia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

HAY-ON-WYE: KAMPUNG BUKU PERTAMA DUNIA

Oleh NISAH HARON

Antara tujuan utama penulis ke United Kingdom baru-baru ini termasuklah untuk melihat sendiri cara seni sastera diraikan di Tanah Inggeris. Lokasi pertama yang dijejaki ialah sebuah pekan kecil bernama Hay-on-Wye. Pekan ini terletak dalam daerah Powys, Wales, dan betul-betul bersebelahan dengan Herefordshire, England. Hay-on-Wye ialah pekan tumpuan para bibliofil (ulat buku) sedunia.

Penggunaan kenderaan awam di negara ini merupakan pilihan yang memudahkan, selain menjimatkan kos. Penulis menggunakan kereta api London Midland dari Birmingham New Street terus ke Hereford, iaitu stesen yang paling hampir dengan pekan ini. Perjalanan lebih kurang 70 batu dari Birmingham ke Hereford yang memakan masa sekitar satu setengah jam itu, langsung tidak membosankan penulis. Apatah lagi jalan menuju Hay-on-Wye menempuh pedesaan atau perkampungan Inggeris yang terkenal dengan kotej dan pemandangan alam semula jadi yang memukau pandangan.

Jika anda datang dari London, lokasi ini terletak kira-kira 250 batu dari ibu kota United Kingdom itu. Untuk terus ke Hay-on-Wye, ada bas khusus – Stagecoach No. 39 – yang menjadi pengangkutan ulang-alik dari Stesen Kereta Api Hereford ke pekan itu. Perjalanannya tidak sampai satu jam dengan jarak 21 batu.

Yang menarik pada singgahan kali ini ialah berlangsungnya Festival Hay pada 26 Mei hingga 5 Jun 2011. Festival Hay ialah festival kesusasteraan yang diadakan pada setiap tahun di beberapa buah lokasi di dunia seperti Belfast, Istanbul, Budapest, Kerala, dan banyak tempat lagi termasuklah Hay-on-Wye.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

KEAJAIBAN KAWAH PUTIH DAN AIR PANAS TWA CIMANGGU

Oleh NORDIN SAAD

Kawah Putih merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang terletak di Bandung, Indonesia. Kawah seluas kira-kira 20 kilometer persegi ini mengandungi air berwarna putih kehijauan yang sentiasa panas yang berpunca daripada sejenis bahan kimia, iaitu sulfur atau belerang. Kewujudan bahan berwarna kuning kehijauan ini menyebabkan sekitar kawasan ini berbau belerang sehingga pengunjung yang tidak tahan dengan bau tersebut terpaksa memakai topeng. Sekitar kawasan ini, khususnya di tepi kawah, bertaburan bahan yang digunakan untuk membuat bahan letupan.

Perjalanan dari Bandung ke pintu masuk kawasan ini mengambil masa kira-kira satu setengah jam. Para pengunjung disediakan kenderaan khas untuk meneruskan perjalanan sejauh 5.6 kilometer lagi ke kawasan kawah yang terletak kira-kira 2000 meter dari paras laut. Bayaran sebanyak RP50,000 (RM17.00) dikenakan setiap orang. Perjalanan melalui jalan yang dikelilingi pelbagai jenis tumbuhan hutan melalui jalan yang curam dan berliku-liku ini terasa begitu nyaman dengan suhunya di bawah 16 darjah Celsius.

Kawah Putih ini berasal dari Gunung Patuha yang dijumpai masyarakat asli daerah ini, iaitu Cidiwey. Gunung Patuha pula dikatakan berasal dari Gunung Sepah atau “Pak Tua” dan pernah meletus pada sekitar abad ke-10 yang menyebabkan terjadinya kawah. Gunung ini meletus kali kedua sekitar abad ke-12.

Kawah yang kelihatan seperti tasik ini ditemukan oleh Dr. Franz Wilhelm Junghunh, orang Belanda berketurunan Jerman pada 1837. Pada zaman penjajahan Belanda, kawah ini dikenali sebagai Zwayel Ontgining dan pada zaman Jepun disebut “Yokoya Cidiwey”. Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, kawasan sekitar kawah ini mempunyai pelbagai leluhur, seperti Eyang Jaga Satru, Eyang Rangsa Sadana, Eyang Camat dan Eyang Ngabai. Selain itu, dipercayai di kawasan ini muncul sekali-sekala kumpulan domba berbulu putih atau domba lukutan, iaitu sejenis jelmaan leluhur.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012