Home » Saintifik

Dapatkah Muzik Menyembuhkan Penyakit?

Oleh Ismail Restu

 SEJARAH awal perkembangan muzik di Eropah bermula pada tahun 1930-an. Peranan muzik bukan sedikit kerana muzik turut berperanan dalam penyembuhan penyakit. Hal ini dikesan apabila doktor dan jururawat di Eropah menyedari betapa pesakit memerlukan sesuatu yang seni daripada alunan suci itu, maka seorang pakar muzik mula  dijemput ke rumah sakit.

Sebuah tempat khas disediakan, iaitu di ruang kosong dengan persekitaran yang sunyi. Program yang lebih tersusun direncanakan dengan objektif utama untuk mencegah keletihan dan rasa jemu pesakit. Hal ini mencakup peranan muzik itu sendiri sebagai ubat mujarab dalam penyembuhan penyakit. Tidak ada paksaan bagi pesakit untuk datang ke ruang tersebut. Namun begitu, tarikan alunan yang gemersik benar-benar memaut hati mereka.

Pada mulanya, para doktor hanya membenarkan mereka yang berpenyakit paru-paru untuk mendengar petikan gitar yang dimainkan oleh orang tua yang memang pandai bermain gitar. Bagaikan ada selingan keramat dibawa oleh pemuzik tua tersebut, semua pesakit ingin datang. Ada yang datang dengan berselimut untuk mendengar petikan gitarnya, kecuali mereka yang tidak dapat meninggalkan katil mereka!

Tulisan Christine Hendrick Duchaine menemukan muzik sebagai kekuatan penyembuhan (kuratif) muzik (Music in Education, terbitan UNESCO) bahawa pendidikan kesihatan berdasarkan muzik dikatakan dapat membantu mental beristirahat. Muzik menjadi pendorong kepada keaktifan intelektual sehingga dapat membuka pandangan baharu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2017)

Vozrozhdeniye Pulau Maut Antraks

Oleh Nor Azida Ishak

DI ceruk Asia Tengah dan terletak 3500 kilometer dari Moscow, terdapat sebuah pulau kecil bernama Vozrozhdeniye yang sunyi dan tidak berpenghuni. Pulau ini bersambung dengan Lautan Aral yang membahagikan Kazakhstan dan Uzbekistan. Dahulunya, Vozrozhdeniye merupakan sebahagian daripada Karakalpakstan, republik yang mempunyai hak autonomi dan menyertai Uzbekistan pada tahun 1936. Rekod sejarah mengenai Vozrozhdeniye menyatakan bahawa pulau ini ditemukan pada tahun 1848 apabila Leftenan A.I. Butakov daripada Tentera Laut Imperial Rusia dan Karl Ernst von Baer daripada Persatuan Geografi Rusia sedang menjalani ekspedisi peninjauan. Mereka menamai pulau di Laut Aral itu bersempena dengan nama czar yang emmerintah pada masa itu, Nikolay I. Selepas berlakunya Revolusi Rusia pada tahun 1917, parti Bolshevik menukarkan nama Pulau Nikolay kepada Vozrozhdeniye (disebut “vohz-rohz-den-ee-yeh”) bagi melambangkan maksud “kelahiran semula”.

Kedudukan Vozrozhdeniye yang terpencil ini menarik minat institut perubatan teknikal di bawah naungan tentera RKKA (Tentera Merah Pekerja dan Petani), Institut Sanitarno-Tekhnichesky (SKI) untuk memilikinya. Pada tahun 1936, hak milik pulau itu berjaya dijual dan dipindahkan kepada STI yang mahu menjadikannya sebagai tapak uji kaji bagi penyelidikan dan pembangunan senjata biologi. Pada tahun yang sama juga, pengarah STI, Ivan Velikanov, mengarahkan agar dibina perkampungan asas yang terdiri daripada berek, rumah, dermaga, dan medan lapangan ujian bagi memulakan eksperimen terhadap Francisella tularensis, sejenis bakteria yang dapat memberikan jangkitan penyakit pneumonia dan berkesan membawa maut kepada manusia dalam tempoh yang singkat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Bangunan daripada Tulang Manusia

Oleh Nor Azida Ishak

BERANIKAH anda memasuki bangunan yang sepenuhnya dihiasi tulang serta tengkorak manusia? Sungguhpun kedengaran mengerikan, dari abad ke-14 hingga abad ke-16, terdapat banyak bangunan yang dibina sepenuhnya dengan menggunakan tulang manusia. Seni bina bangunan yang menggunakan tulang manusia popular pada masa itu kerana penghasilan strukturnya yang kukuh, corak simetri yang menarik, dan kelainan dalam pembinaan yang mampu dihasilkan.

Sebuah bangunan terkenal yang terbentuk daripada tulang manusia ialah Capela dos Ossos (Chapel of Bones) yang terletak di Portugal. Bangunan ini merupakan sebahagian daripada gereja Igreja de Sao Francisco di pekan Evora, sebuah kota lama peninggalan Portugis yang terletak 140 kilometer dari Lisbon. Di Capela dos Ossos, terdapat lebih daripada 5000 tulang yang terbenam di dalam simennya, bermula dari bahagian lantai sehingga seluruh siling. Tengkorak manusia pula memenuhi ruang bumbung dan kebanyakan bahagian dindingnya. Dekorasinya yang aneh dibina mengikut gaya Goth yang menjadi popular dan berleluasa di Eropah dari pertengahan abad ke-12 sehingga abad seterusnya.

Pada keseluruhannya, gereja itu berukuran 18.7 meter panjang dan 11 meter lebar. Bumbungnya dibina daripada bata berwarna putih dan dihiasi corak yang bermotif kematian. Gerbang bulat pada rangka tingkapnya turut dihiasi tengkorak manusia di sekelilingnya. Pada pintu masuk gereja ini, terdapat inskripsi atau ungkapan yang ditulis dalam bahasa Portugis pada permukaan dinding yang bermaksud “kami, tulang di sini sedang menanti tulang anda”.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Hutan Merah Paling Menakutkan Di Dunia

Oleh Nor Azida Ishak

HUTAN Merah (Red Forest), atau dahulunya dikenali dengan nama Hutan Wormwood (Wormwood Forest), terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan loji jana kuasa nuklear Chernobyl, berhampiran dengan bandar Pripyat di Ukraine. Hutan ini mendapat jolokan hutan paling menakutkan di dunia bukan kerana hutan ini diduduki makhluk ganas atau haiwan aneh, tetapi disebabkan menjadi tempat paling berbahaya di dunia.

Nama Hutan Wormwood telah ditukar menjadi Hutan Merah kerana warna pokoknya bertukar kepada merah selepas menerima kesan sinar radiasi yang tinggi dari loji jana kuasa Chernobyl. Pada 26 April 1986, berlakunya bencana nuklear di Chernobyl dan dianggap sebagai kemalangan terburuk dalam sejarah loji nuklear. Bencana berlaku selepas dua ledakan dahsyat empat unit reaktor penjana elektrik tenaga nuklear yang melepaskan 2000 tan bahan radioaktif berbahaya ke udara.

Letusan ini bertebaran menghujani kawasan sekitar dan menyebabkan kebakaran di seluruh kota selama 10 hari. Udara di situ berputar-putar membawa gumpalan isotop radioaktif yang setara dengan 20 bom atom Hisroshima yang dilepaskan oleh Amerika ketika Perang Dunia Kedua. Kebocoran radiasi kerana kesilapan pengendali loji yang melanggar peraturan dan pengaturan operasi akhirnya telah memusnahkan tanaman dan menyebabkan mutasi pada haiwan, serta penyakit barah tiroid kepada kanak-kanak. Sejak 1986 hingga 2000, sebanyak 350 ribu orang penduduk di kawasan terjejas di Ukraine, Belarus, dan Rusia terpaksa dipindahkan. Angka kematian kerana kemalangan tersebut dianggarkan mencecah hampir sejuta orang.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

Air Terjun Devil’s Kettle

Oleh Nor Azida Ishak

DI negeri Minnesota, Amerika Syarikat, berdekatan dengan sempadan Kanada dan Tasik Superior, terletaknya sebuah taman yang digelar Judge C.R. Magney State Park. Taman rekreasi terkenal itu diberi nama sedemikian kerana menghargai usaha gigih seorang insan yang banyak bertanggungjawab mendirikan taman dan kawasan rekreasi cantik di situ. Taman Judge C.R. Magney ini mempunyai hutan yang berkeluasan 4600 ekar di sepanjang bahagian utara Tasik Superior, manakala sungai yang mengalir di bahagian selatan tasik ialah Sungai Brule.

Sungai Brule mempunyai beberapa siri air terjun yang berketinggian sehingga 800 kaki. Salah satu air terjun yang sangat dikenali ialah Devil’s Kettle yang terletak lebih kurang 2.4 kilometer dari Tasik Superior. Pada puncak air terjun Devil’s Kettle, aliran air sungainya akan terbahagi kepada dua disebabkan oleh kedudukan batu jenis rhyolite (batuan gunung berapi bijian halus yang serupa dengan granit tetapi terbentuk daripada lahar). Separuh bahagian timur sungai itu mengalir dan jatuh ke dalam sebuah kolam yang terletak 50 kaki di bawahnya. Aliran air terjun itu akan terus mengalir ke bahagian selatan melalui Sungai Brule dan kemudian ke Tasik Superior.

Yang menarik pada Devil’s Kettle ini ialah di bahagian baratnya. Di situ air sungainya akan mengalir menuruni 10 kaki ke dalam pothole (lubang periuk) dan seterusnya akan hilang tanpa dapat dikesan. Misteri geologi ini menjadi tanda tanya kepada para pelawat dan saintis yang mengkaji fenomenanya.

Dalam istilah geologi, pothole merupakan lubang atau rongga di dasar sungai yang menyerupai satu lekukan berbentuk mangkuk bersisi curam pada mendapan hanyut glasier, tidak mempunyai saliran permukaan, dan biasanya mengandungi tasik atau paya. Istilah kettle juga sering digunakan untuk kawasan air terjun, yang airnya mencurah-curah bersama-sama pasir dan batuan yang dibawa akan menyebabkan lekukan pada batuan di bawah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

 

Muzium Kematian

Oleh Nor Azida Ishak

TAHUKAH anda bahawa di kawasan Sungai Chao Phraya di Bangkok, Thailand, terdapat sebuah bangunan yang digelar oleh penduduk tempatan sebagai “Muzium Kematian”? Bangunan yang dimaksudkan itu ialah MUzium Perubatan Siriraj, juga dikenali sebagai Hospital Siriraj. Hospital ini merupakan hospital tertua di Thailand dan ditubuhkan pada tahun 1889 oleh Raja Chulalongkorn dari Dinasti Chakri.

Pada abad ke-19, di bawah pemerintahan Raja Chulalongkorn, Thailand dilanda wabak taun, iaitu penyakit berjangkit yang menyebabkan penghidapnya mengalami cirit-birit dan muntah yang serius. Bagi mengelakkan wabak ini merebak sehingga menyebabkan lebih banyak kematian, baginda mengarahkan supaya 48 buah hospital sementara ditubuhkan di 48 buah daerah. Setelah wabak taun berjaya dikawal, kesemua hospital sementara itu ditutup peringkat demi peringkat.

Kerana melihat betapa pentingnya mendirikan sebuah hospital untuk kemudahan rakyat, baginda segera melantik jawatankuasa khusus pada 22 Mac 1886 untuk membantu usaha merealisasikan impian itu. Tapak pembinaannya ialah di Istana Kromphrarajawangboworn Sathanpimuk (Wang Lang).

Namun begitu, proses persediaan berjalan dengan perlahannya atas pelbagai sebab. Yang lebih menyedihkan, anakanda baginda Siriraj Kakutabhundu menemui ajal pada 31 Mei 1887 kerana diserang penyakit disenteri (berak berdarah) sebelum sempat hospital itu disiapkan. Kejadian ini telah mendatangkan kedukaan kepada baginda, tetapi pada masa yang sama, menguatkan semangat baginda lagi untuk menyiapkan hospital itu. Bagi memudahkan proses pembinaan, baginda mendermakan kesemua wang yang terdapat dalam tabung amanah milik puteranya, berserta wang daripada tabung peribadi baginda sendiri.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Ecorche Spesimen Anatomi Seni Tanpa Kulit

Oleh Ishak Ismail

JIKA anda berpeluang melawati Perancis, jangan lepaskan peluang untuk melawati Muzium Fragonard yang terletak di dalam Ecole Nationale Veterinaire de Maisons-Alfort. Ditubuhkan pada 1766, Muzium Fragonard merupakan muzium tertua di Perancis dan kini menempatkan bahan anatomi purba berbentuk aneh dan pelik. Satu daripada koleksi bahan pameran yang paling menarik di muzium ini ialah ecorche, atau lebih dikenali sebagai figura tubuh manusia yang ditayangkan tanpa kulit untuk memaparkan kesenian otot, sendi, rangka, dan bentuk tulang manusia dengan lebih terperinci.

Hasil kerja ecorche yang paling cantik dan popular menggunakan tubuh manusia sebenar dilakukan oleh Honore Fragonard, pakar perubatan dan ahli anatomi Perancis pada akhir tahun 1760-an. Dilahirkan di bandar Grasse, Fragonard memiliki kepandaian luar biasa sehingga dilantik oleh Louis XV menjadi pengarah sekolah veterinar pertama di dunia, Ecole Royale Veterinaire, pada umur 33 tahun.

Fragonard sangat meminati bidang anatomi dan teratologi (kajian tentang perkembangan embrio yang tidak normal dan kecacatan kongenital), sendi dan tulang haiwan, serta kajian patologi.

Di Ecole, Fragonard menumpukan perhatian kepada usaha mengkaji dan meningkatkan kemahirannya mencipta ecorche. Beliau memulakan koleksi ecorchenya dengan mengawet pelbagai jenis haiwan yang telah ditanggalkan setiap inci kulitnya, sebelum dibedah dengan telitinya. Haiwan itu kemudiannya dimodelkan mengikut gaya tertentu, menunjukkan seakan-akan masih hidup, dan kemudian dipacakkan untuk penelitian lebih lanjut. Ketika rakan sejawatannya merujuk dan mencipta model anatomi tiruan daripada bahan lilin, seramik dan campuran plaster, Fragonard menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menghasilkan ecorche yang sempurna dengan menggunakan tubuh manusia dan haiwan yang sebenar.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

 

Gen Mutasi Mengurangkan Tidur

Oleh Nor Azida Ishak

MANUSIA selalunya tidak berupaya menahan kesan mengantuk yang menimpanya sebagai akibat kekurangan tidur. Apabila tubuh hanya mendapat separuh daripada jumlah tidur yang diperlukan (kebanyakan manusia memerlukan tujuh hingga lapan jam tidur sehari), maka selalunya kita harus memaksa diri berjaga, minum kafein, atau menelan pil amfetamina. Namun begitu, kebergantungan pada kafein dan amfetamina sangat tidak digalakkan kerana boleh meninggalkan kesan, seperti sakit kepala, lesu, marah-marah, gementar, dan ketagihan teruk sebaik-baik sahaja kita berhenti mengambilnya. Oleh itu, apakah rahsia sesetengah manusia yang mampu berjaga lama dan hanya memerlukan tidur sekitar empat hingga enam jam sehari?

Dalam uji kaji yang dijalankan untuk 100 pasangan kembar, saintis dari Pusat Genom Gunaan di Philadelphia, Amerika Syarikat, menemukan seorang lelaki  yang mempunyai gen BHLHE41 jenis varian yang disebut sebagai p.Tyr362. Pemilik gen varian ini hanya tidur selama lima jam sehari, manakala kembarnya yang tidak memiliki gen itu memerlukan tidur selama tujuh jam sehari. Jika mereka tidak tidur dalam 24 jam, pemilik gen mutasi itu hanya memerlukan tidur selama lapan jam sahaja untuk menggantikan “hutang tidur”, manakala kembarnya memerlukan tidur yang lebih lama, yakni sembilan setengah jam. Gen mutasi p.Tyr262 ini turut diberi gelaran “Thatcher” sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher yang terkenal dengan kebolehannya untuk tidur selama empat jam sehari sahaja.

Kumpulan saintis yang diketuai oleh Ying-Hui Fu dari Universiti California, San Francisco, pula mengkaji pasangan ibu dan anak yang tidak memerlukan tidur yang lama dalam sehari. Ibu dan anak ini mendakwa bahawa mereka tidak pernah tidur melebihi enam jam sehari. Kedua-dua mereka didapati berkongsi gen termutasi yang dinamai DEC2.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

KULIT BUKU KULIT MANUSIA

Oleh Nor Azida Ishak

Sebuah buku kecil bersaiz poket yang lusuh, dengan lebarnya tidak melebihi panjang tapak tangan seorang lelaki dewasa adalah antara bahan aneh yang tersimpan dalam koleksi perubatan antik di Surgeons’ Hall Museum, Edinburgh, Scotland. Buku ini berwarna coklat kehitaman, mempunyai tekstur kulit yang kasar dan menggerutu, serta tulisan keemasan yang semakin pudar ditelan zaman. Jika dipandang dari jauh, kelihatan seperti sebuah buku lapuk yang biasa. Namun jika dilihat dengan lebih dekat, tertera secara samar-samar ayat yang menjadikan buku kecil ini sangat istimewa, iaitu “BURKE’S SKIN POCKET BOOK” (Buku Poket Kulit Burke) dan “EXECUTED 28 JAN 1829” (Dijatuhkan Hukuman Bunuh 28 Jan 1829).

Latar belakang sejarah kulit buku kecil ini sebenarnya mengagumkan. Kulit buku ini diperbuat daripada kulit seorang pembunuh bernama William Burke. Burke dan rakan penjahatnya William Hare, dalam masa 10 bulan antara tahun 1827 dan 1828, bertindak menculik dan membunuh 16 mangsa bagi tujuan menjual tubuh mayat itu kepada seorang ahli anatomi bernama Dr Robert Knox.

Sebelum tahun 1832, bilangan kadaver (mayat manusia yang diawet untuk kajian bedah dan subjek anatomi) sangat sukar diperoleh di sekolah-sekolah perubatan Britain. Keadaan semakin mencabar apabila subjek sains perubatan menjadi semakin popular pada masa itu. Kebiasaannya, mayat diperoleh dengan mengambil tubuh para penjenayah yang sudah dijatuhkan hukuman mati, tetapi kaedah ini sudah tidak mampu lagi menampung bilangan permintaan yang terlalu tinggi. Burke dan Hare mengambil jalan mudah dengan membunuh sebanyak mungkin mangsa bagi mendapatkan wang daripada Dr Robert Knox. Mereka akhirnya berjaya ditangkap selepas salah seorang penumpang rumah tumpangan yang diduduki mangsa ke-16, Mary Docherty melaporkan terlihat mayat Docherty di bawah katil.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

KENDERAAN TANPA PEMANDU

Oleh Nor Azida Ishak

ADAKAH anda dapat membayangkan lalu lintas yang lancar dan serba moden pada masa akan datang? Pada ketika itu, kesemua kenderaan tidak lagi memerlukan pemandu.

Di Michigan, Amerika Syarikat, terdapat sebuah bandar kecil yang dibina bagi mempraktikkan teknologi kenderaan tanpa pemandu, sekali gus mendekatkan impian fiksyen sains ke arah realisasi. Bandar yang diberi nama MCity ini telah direka oleh para jurutera dan penyelidik robotik di Universiti Michigan dan disimulasikan daripada keadaan bandar Detroit sebenar yang hanya terletak beberapa puluh kilometer dari situ. Michigan menjadi tempat paling sesuai untuk uji kaji ini kerana bandar ini mempunyai 375 buah pusat penyelidikan tentang automotif dan menjadi pusat tumpuan bagi tenaga pakar dalam bidang ini, termasuklah jurutera industri dan mekanikal yang paling mahir di Amerika Syarikat.

MCity merupakan sebuah kawasan yang menggunakan kawalan persekitaran dan direka khusus untuk menguji teknologi rangkaian kenderaan. Rangkaian perhubungan ini disambung dengan peranti dan dikawal secara automatik. Hal sebegini bakal memberikan pencerahan tentang potensi menggunakan teknologi kenderaan tanpa pemandu secara realistik.

Peter Sweatmen, pengarah Mobolity Transformation Center di Universiti Michigan, memberitahu bahawa transformasi kepada kenderaan yang dapat berhubungan secara sistem rangkaian dan memiliki teknologi automasi akan melahirkan kebaikan dari segi keselamatan, kecekapan dan penjimatan tenaga. Teknologi ini akan membuka ruang untuk kemajuan mobiliti aabad ke-21 kerana sistem pelaksanaan tugas yang menggunakan mesin secara automatik pada keseluruhannya membolehkan pelbagai tugas dan proses kerja dilakukan dengan mudahnya serta tidak memerlukan tenaga manusia.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)