Home » Nota Editor

MANFAATKAN PENGGUNAAN MEDIA KONVENSIONAL DAN MEDIA BAHARU

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

PADA zaman ledakan teknologi yang begitu pesat ini, masyarakat semakin cenderung untuk melakukan setiap perkara dengan pantas dan mudah. Tidak kira sama ada ketika memandu, membeli-belah atau mendapatkan makanan, semuanya perlu dilakukan dengan cepat dan mudah. Perubahan pola kehidupan masyarakat yang serba pantas ini disebabkan oleh kepesatan perkembangan arus kemodenan, yang menuntut mereka maju ke hadapan dengan lebih cepat agar tidak ketinggalan.

Seperti yang diketahui umum, media merupakan satu daripada penyebar maklumat yang terpenting dalam kalangan masyarakat. Kepentingannya sebagai saluran maklumat ini dibuktikan dengan wujudnya pelbagai syarikat penyiaran di Malaysia. Dalam era serba pantas ini, perkembangan teknologi turut memberikan kesan terhadap media, sehingga munculnya media baharu, iatu rangkaian media sosial. Kemunculan media baharu ini sudah tentunya menyebabkan media konvensional, iatu televisyen, radio dan surat khabar, semakin terhad penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa media baharu berupaya “menyajikan” pelbagai maklumat kepada masyarakat dengan lebih cepat, berbanding dengan media konvensional. Malah, capaian maklumat daripada media baharu ini juga berganda lebih mudah berbanding dengan media konvensional yang memerlukan medium tertentu untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Maka itu, tidak hairanlah jika sesetengah masyarakat pada masa ini sudah memandang media konvensional ini dengan sebelah mata dan menjadikan media baharu sebagai rujukan utama mereka.

Walau bagaimanapun, kemudahan dan kepantasan capaian maklumat daripada media baharu ini sudah tentunya mempunyai implikasi yang negatif terhadap masyarakat. Kebanjiran maklumat yang tidak tepat dan kebebasan menyebarkan komen berbaur penghinaan di laman sosial misalnya, merupakan kesan negative daripada penggunaan media sosial. Hal ini berbeza pula dengan maklumat yang diperoleh daripada media konvensional, yang lebih dahulu disaring dan ditapis ketepatan kandungannya, sebelum disebarkan kepada umum.

Kes penghinaan Sultan Muhammad V di media sosial berkaitan dengan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, merupakan contoh kesan negatif akibat daripada penyalahgunaan media sosial. Dalam kes tersebut, tiga individu telah ditahan untuk disiasat oleh Polis Diraja Malaysia selepas pihaknya menerima laporan berhubung tindakan memuat naik komen yang berbaur penghinaan terhadap baginda. Kes ini jelas membuktikan bahawa media sosial tidak seharusnya dijadikan sebagai rujukan utama untuk mendapatkan atau menyampaikan maklumat, memandangkan medium ini sudah “dicemari” dengan pelbagai kesan negatif.

Secara tuntasnya, media berperanan untuk membicarakan pengisian isu semasa, mencorakkan pemikiran dan membentuk jati diri masyarakat melalui penyebaran maklumat yang tepat dan lengkap. Meskipun media baharu dapat menyampaikan maklumat dengan cepat dan mudah, namun kredibiliti media konvensional sebagai medium yang paling diyakini dan dipercayai, sudah tentunya tidak dapat dipertikaikan. Dalam hal ini, tidak kira menggunakan media konvensional atau baharu bagi mendapatkan sesuatu maklumat, semuanya bergantung pada diri masing-masing, sama ada memilih untuk mendapatkan manfaat atau sebaliknya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 3 2019)

Posted in: Nota Editor

PUPUK BUDAYA KREATIF DAN INOVATIF DALAM KALANGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Pendidikan merupakan keperluan utama bagi setiap manusia dan agenda utama bagi pembangunan sesebuah negara. Setiap individu pastinya mengalami proses pendidikan sejak lahir ke dunia ini sehinggalah dewasa, sama ada disedari secara langsung atau tidak langsung. Maka itu, penyediaan pendidikan yang berkesan dan bersesuaian dengan keperluan individu juga amat penting, khususnya bagi individu yang berkeperluan khas seperti pelajar pendidikan khas dan pemulihan khas, untuk memastikan mereka tidak terpinggir dan mendapat pendidikan yang sama seperti masyarakat lain.

Dalam usaha untuk mendidik dan meningkatkan keupayaan pelajar berkeperluan khas, pendekatan yang digunakan seharusnya lebih bersifat kreatif dan inovatif berbanding dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran pelajar normal yang lain. Menurut statistic yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, jumlah pelajar berkeperluan khas di seluruh negara berjumlah hampir 80 ribu orang pelajar. Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa kepentingan pendidikan yang berkesan terhadap pelajar berkeperluan khas ini tidak seharusnya diabaikan.

Secara umumnya, nilai kreatif dan inovatif ini bukanlah seperti subjek mata pelajaran yang boleh diajarkan di dalam kelas. Kreativiti dan inovasi merupakan suatu nilai yang hanya dapat diterapkan secara tidak langsung dalam diri setiap pelajar melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terancang. Oleh sebab itu, nilai ini seharusnya dipupuk dalam kalangan pelajar berkeperluan khas ini sejak dari awal, terutamanya dari segi kemahiran vokasional dan social. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka apabila berhadapan dengan masyarakat luar dan keupayaan untuk berdikari, serta menguruskan diri sendiri apabila tamat zaman persekolahan.

Dalam hal ini, antara kegiatan yang dapat menjana kreativiti dan inovasi dalam diri pelajar ini termasuklah pendedahan kemahiran seperti pembuatan kraf tangan dan bermain alat muzik. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti ini dapat merangsang minda dan mengasah kemahiran berfikir pelajar ini ketika melakukan aktiviti tersebut. Di samping itu, melalui kemahiran pembuatan kraf tangan misalnya, mereka dapat menjana pendapatan tambahan dengan menjual hasil kraf tangan tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat memotivasikan pelajar berkeperluan khas ini untuk terus mengasah kreativiti dan membudayakan inovasi dalam diri mereka.

Secara tuntasnya, budaya kreatif dan inovatif ini bukan sahaja perlu dipupuk dalam kalangan guru, bahkan juga amat penting terhadap pelajar berkeperluan khas untuk berhadapan dengan dunia luar yang mencabar. Kerjasama antara semua pihak amat diperlukan untuk memupuk nilai kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar berkeperluan khas ini agar mereka dapat memajukan diri sendiri, seterusnya berbakti kepada bangsa dan negara.

Selamat tahun baharu 2019.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 1 2019)

Posted in: Nota Editor

MANFAATKAN PENGIKTIRAFAN KUALA LUMPUR SEBAGAI IBU KOTA BUKU DUNIA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Penganugerahan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia tahun 2020 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini sudah tentunya memberikan khabar gembira untuk seluruh rakyat Malaysia dan memberikan kepuasan terhadap pihak yang berusaha bersungguh-sungguh membida status bertaraf dunia ini. Kumpulan maklumat acara dan agenda perbukuan negara yang disediakan oleh secretariat yang dipengerusikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, berjaya meyakinkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan UNESCO untuk memilih Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020, mengatasi permohonan dari bandar Nanjing, China dan Saint Petersburg, Rusia.

Pengiktirafan ini sudah semestinya memberikan nafas baharu kepada industri perbukuan negara yang dilihat semakin “sunyi” pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pada era ini, penerbitan buku seolah-olah dilupakan dan dibaikan kepentingannya, walhal ukuran bagi sebuah negara maju yang ditetapkan oleh UNESCO ialah jumlah penerbitan buku setiap tahun, iiatu 1000 judul buku baharu bagi setiap sejuta penduduknya. Oleh hal yang demikian, penganugerahan ini pastinya membuka jalan dan peluang baharu kepada para menerbit dan karyawan untuk terus berjuang menghasilkan buku yang berkualiti, seterusnya membuka mata dunia tentang keistimewaan Kuala Lumpur sehingga dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia.

Kuala Lumpur merupakan bandar raya ke-20 yang dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia dan yang kedua di Asia Tenggara selepas Bangkok. Pada hakikatnya, Kuala Lumpur cukup terkenal dengan aktiviti perbukuannya. Antara aktiviti  tersebut termasuklah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pesta Buku Big Bad Wolf, pameran perdagangan hak cipta dan kempen membaca. Namun begitu, kehangatan aktiviti tersebut hanyalah pada waktu tertentu sahaja, dan bukannya dijalankan sepanjang tahun. Oleh sebab itu, diharapkan agar penganugerahan ini dapat memeriahkan semula industri perbukuan negara yang selama ini dikatakan “sunyi”.

Pengiktirafan daripada UNESCO ini tidak seharusnya dilihat kepada anugerah status kepada negara tertentu semata-mata, tetapi sebenarnya memberikan seribu makna kepada bandar yang terpilih. Pengiktirafan bandar Conakry sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2017 misalnya, mengubah landskap “sepi” bandar tersebut menjadi sebuah bandar yang menjadi dengan pelbagai acara dan pesta. Ibu kota negara Guinea itu dipenuhi dengan aktiviti pembacaan buku dan puisi, malah setiap bangunan dihiasi dengan lukisan mural bertemakan puisi dan penulisnya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penganugerahan tersebut menghidupkan kembali budaya dan tradisi bandar Conakry, yang sebelum ini seolah-olah “mati”.

Maka itu, setiap pihak -kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat – sewajarnya mengambil kesempatan terhadap pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia dengan menyuburkan sikap cinta terhadap ilmu melalui pembacaan buku. Ambillah peluang keemasan ini sebagai dorongan untuk membudayakan amalan membaca yang bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat, bahkan dapat mempamerkan kekayaan budaya, seni dan ilmu kita kepada dunia.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 12 2018)

Posted in: Nota Editor

PENTINGNYA PENDIDIKAN KEWANGAN DALAM KALANGAN REMAJA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Setiap manusia di dunia ini pasti menginginkan kehidupan yang senang dan serba lengkap dalam segenap aspek, termasuklah dari segi kewangan. Tiada seorang pun individu yang mahu hidup pada zaman serba moden ini dalam keadaan serba kekurangan dan kesusahan. Walau bagaimanapun, faktor tekanan sosial dan tuntutan kehidupan pada masa ini yang memerlukan kos yang tinggi, seperti kos sara hidup dan harga barangan keperluan, menyebabkan sesetengah orang, khususnya remaja, menggunakan “jalan singkat” untuk mengatasi masalah ini.

“Jalan singkat” tersebut sudah tentunya melalui kaedah berhutang. Secara umumnya, amalan berhutang merupakan amalan yang diharuskan dalam agama Islam. Namun begitu, terdapat segelintir golongan remaja yang menyalahgunakan amalan ini demi memenuhi kehendak mereka sehingga menjadi “barah”. Yang sedihnya, amalan berhutang ini seolah-olah telah menjadi budaya dalam kehidupan sesetengah remaja, sehingga tidak berasa malu untuk meminjam wang daripada masyarakat sekeliling.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri menunjukkan bahawa amalan berhutang bukan sahaja menjadi budaya dalam kalangan golongan dewasa dan remaja, bahkan telah menular dalam kalangan kanak-kanak. Kajian yang dijalankan terhadap 800 orang murid Tahun 1 itu mendapati bahawa 80 peratus daripada murid tersebut pernah meminjam wang daripada rakan-rakan. Perkara ini sudah tentunya amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian yang serius supaya masalah ini tidak berlarutan sehingga mereka dewasa kelak.

Pada hakikatnya, amalan berhutang bukan sahaja memberikan impak negatif terhadap aspek kewangan seseorang, malahan turut memberikan kesan terhadap kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah kewangan dan hutang merupakan satu daripada punca seseorang itu mengalami masalah mental atau tekanan perasaan. Menurut kajian, amalan berhutang yang semakin membimbangkan ini menyebabkan rakyat Malaysia menjadi penanggung hutang yang paling tinggi di Asia. Maka itu, tidak hairanlah satu daripada tiga orang rakyat Malaysia mengalami masalah mental akibat masalah hutang yang tinggi.

Sebagai kesimpulannya, golongan remaja seharusnya tidak mengambil jalan mudah dalam aspek pengurusan kewangan. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka daripada terperangkap dengan masalah hutang yang tinggi, yang akhirnya menjadikan mereka muflis. Pendidikan pengurusan kewangan yang berkesan sudah pasti dapat membantu golongan remaja mendepani tuntutan kehidupan pada masa ini yang memerlukan kos yang tinggi, seiring dengan situasi ekonomi global yang semakin mencabar. Sesungguhnya, tiada “jalan singkat” untuk menguruskan kewangan dengan berjaya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 11 2018)

Posted in: Nota Editor

Siswazah Berdaya Saing Mampu Atasi Pengangguran

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Perancangan penubuhan jawatankuasa khas oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi memperhalus masalah pengangguran dalam kalangan belia, khususnya siswazah, di negara ini jelas menunjukkan keseriusan pihak kerajaan untuk menangani masalah ini bagi memastikan golongan ini memperoleh pekerjaan yang bermutu dan setimpal dengan kelayakan mereka.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, penubuhan jawatankuasa ini bertujuan untuk mengkaji faktor yang menyebabkan kadar pengangguran belia di Malaysia berada pada kadar tiga kali ganda daripada kadar pengangguran nasional. Antara faktor tersebut termasuklah pemilihan kerjaya yang tertentu dan penghijrahan belia ke luar negara untuk pekerjaan.

“Ada sesetengah belia di negara ini tidak mahu bekerja dalam sektor 3D, iaitu pekerjaan yang kotor, sukar dan berbahaya, dan ada juga sesetengah daripada mereka berhijrah ke luar negara, seperti Australia dan Korea Selatan, untuk mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah,” kata beliau pada sidang media ketika merasmikan Pameran Kerjaya dan Pascaijazah GRADUAN Aspire 2018 di KLCC baru-baru ini.

Pada pandangan penulis ini, kadar pengangguran yang meningkat dalam kalangan belia di negara ini mungkin disebabkan oleh kekurangan kemahiran untuk bekerja dalam sektor 3D atau penawaran kadar gaji yang rendah yang menyebabkan mereka berhijrah ke luar negara. Bagi mengatasi masalah ini, golongan belia, khususnya siswazah, seharusnya lebih proaktif untuk memajukan diri dengan mencipta sendiri peluang pekerjaan, seperti yang disarankan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang menekankan kepentingan hal tersebut dalam program Bicara Khas di saluran televisyen RTM baru-baru ini, menyarankan agar para siswazah lebih berdaya saing dan memainkan peranan untuk menggerakkan ekonomi negara dengan mencipta peluang pekerjaan sendiri, khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang pekerjaan kepada orang lain yang masih menganggur dan memajukan diri sendiri dalam bidang keusahawanan.

Oleh hal yang demikian, para siswazah, terutamanya yang masih menganggur, seharusnya menjadikan saranan menteri tersebut sebagai motivasi diri agar lebih berani untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan melalui sektor perusahaan dan perniagaan. Pihak institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan untuk melahirkan mahasiswa yang berkemahiran dan berdaya saing, seiring dengan keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja yang berkualiti dan bermotivasi tinggi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 10 2018)

Posted in: Nota Editor

MENINGKATKAN NILAI TVET DALAM KALANGAN REMAJA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Pengumuman pelantikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, baru-baru ini dilihat mampu menyelesaikan banyak isu yang melibatkan pelaksanaan sistem pendidikan itu pada peringkat nasional. Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, sudah tentunya perlu merencanakan perancangan yang rapi untuk menghadapi cabaran bagi melonjakkan pendidikan bidang teknikal dan vokasional ke tahap yang sewajarnya, memandangkan terdapat lebih setengah juta golongan belia berada di luar lingkungan pendidikan formal pada masa ini.

Masyarakat, khususnya golongan belia, yang terlibat dengan TVET pastinya menarik nafas lega dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, memandangkan terdapat laporan yang menyatakan bahawa system pendidikan itu diselubungi oleh pelbagai permasalahan sebelum ini. Hal ini termasuklah isu keseragaman standard kualiti dan penilaian lepasan TVET yang melibatkan banyak kementerian dan agensi, sehingga menyebabkan ketidakselarasan sistem dan pendekatan terhadap TVET itu sendiri.

Pelaksanaan TVET yang melibatkan tujuh kementerian, termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pertahanan, serta hampir 500 agensi di bawahnya, pastinya memberikan kesan terhadap kualiti pendidikan dan latihan yang diberikan keranan setiap kementerian mempunyai pendekatan yang berbeza-beza. Hal ini secara tidak langsung memberikan impak terhadap kualiti lepasan TVET yang dilahirkan untuk menampung keperluan industri.

Di samping itu, bagi menghadapi era Revolusi Perindustrian Keempat, pelajar TVET sewajarnya diberikan pengiktirafan pensijilan peringkat antarabangsa, selain sijil pada peringkat nasional. Melalui pengiktirafan ini, graduan lepasan TVET bukan sahaja berpeluang untuk berkecimpung dalam dunia perindustrian di Malaysia, bahkan turut berpeluang untuk bekerja di seluruh dunia. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan kadar gaji yang diterima oleh lepasan TVET di negara ini kerana diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Oleh itu, langkah pihak kerajaan untuk mempertimbangkan model pembelajaran TVET dari negara Eropah, seperti Jerman, baru-baru ini merupakan langkah yang tepat dan seharusnya dimanfaatkan oleh golongan belia.

Secara tuntasnya, pihak kerajaan, melalui Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, wajar mengkaji perancangan dan langkah yang terbaik untuk memastikan TVET menjadi sistem pendidikan yang dianggap sebagai “berprestij” dan “berjenama”. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik lebih banyak remaja untuk memilih TVET sebagai pilihan utama, seiring dengan usaha untuk membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Usaha untuk memperkasakan bidang kemahiran ini bukan sahaja terletak pada bahu pihak kerajaan semata-mata, bahkan setiap pihak-pelajar, ibu bapa, masyarakat, industri pendidikan, badan bukan kerajaan, dan pihak industri perlu bekerjasama demi melahirkan golongan belia yang berkemahiran bertaraf antarabangsa.

Selamat menyambut Hari Malaysia 2018.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 9 2018)

Posted in: Nota Editor

Hayati Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Kes seorang remaja menumbuk dan menendang ibu kandungnya di Bandar Jengka, Pahang baru-baru ini, jelas menunjukkan bahaa tahap kesopanan dan kesusilaan golongan remaja pada masa ini berada pada tahap yang amat membimbangkan. dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 56 tahun itu mengalami kecederaan dan trauna selepas ditumbuk dan ditendnag di dada oleh anaknya kerana enggan menuruti kehendak anaknya yang sering meminta duit daripadanya. Remaja yang berusia 19 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih daripada RM2000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian tersebut jelas menggambarkan bahawa kepentingan terhadap penghayatan prinsip kesopanan dan kesusilaan tidak harus dipandang enteng. Menurut pakar undang-undang dan perlembagaan, iaitu Dr. Abdul Aziz Bari, prinsip terakhir dalam Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan, merupakan terjemahan daripada prinsip moral dalam Perlembagaan Persekutuan. Prinsip ini bertujuan untuk mengawal tingkah laku seseorang dan memupuk sahsiah mulia, serta aturan kehidupan yang santun demi kesejahteraan setiap warganegara Malaysia.

Secara umumnya, prinsip kesopanan dan kesusilaan memberikan penekanan terhadap personaliti dan tingkah laku seseorang bagi menggambarkan kebudayaan negara ini. Prinsip ini amat penting dalam konteks untuk mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Penggunaan bahasa yang lembut misalnya, dapat melahirkan nilai kesopanan dan saling menghormati antara satu sama lain. Individu yang hidup tanpa prinsip ini boleh diibaratkan sebagai manusia tanpa roh.

Dalam arus kemodenan dan keterbukaan dunia pada masa ini, masyarakat, khususnya golongan remaja, lebih mengutamakan aspek kebendaan atau materialisme dalam kehidupan harian mereka. Golongan ini lebih cenderung untuk mengikuti perkembangan teknologi semasa dan budaya luar melalui rangkaian media sosial, tanpa menghiraukan kesannya terhadap diri mereka. Hal ini sekali gus mengetepikan kepentingan nilai murni, seperti berbudi bahasa, tolong-menolong dan hormat menghormati dalam diri dan kehidupan mereka.

Dalam hal ini, perkara paling utama yang seharusnya diberi perhatian ialah tahap pengamalan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat. Golongan dewasa seharusnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada golongan remaja dengan menjadikan prinsip ini sebagai amalan kebiasaan. Tunjukkanlah sikap toleransi, kasih sayang dan hormat-menghormati di tempat awam ataupun media sosial, agar amalan ini menjadi sebati dalam diri dan akhirnya menjadi ikutan orang lain. Sesungguhnya sikap masyarakat merupakan cerminan bagi diri remaja.

Selamat mneyambut hari Kebangsaan 2018.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 8 2018)

Posted in: Nota Editor

USAH DINAFIKAN KEPENTINGAN SASTERA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

APAKAH itu sastera? Perkataan “sastera” sebenarnya berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu castra yang bermaksud kitab suci. Jika kita merujuk dalam Kamus Dewan edisi keempat, kesusasteraan pula membawa maksud hasil seni karya tulisan dalam bentuk prosa yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Sastera pada zaman dahulu yang terdiri daripada legenda dan mitos, berfungsi sebagai hiburan untuk masyarakat Melayu. Pada awalnya, sastera hanya disebarkan melalui percakapan atau lisan, dan akhirnya berkembang dalam bentuk penulisan mengikut peredaran zaman.

Kesusasteraan Melayu merupakan satu bidnag ilmu berbentuk kreatif yang mencakupi segenap perihal kehidupan masyarakat Melayu, termasuklah sejarah perkembangan bangsa, bentuk pemikiran, penciptaan karya sastera dan reaksi terhadap karya itu sendiri. Bidang keilmuan ini merupakan hak milik masyarakat Melayu dan “hidup”dalam diri mereka sejak dahulu lagi. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu menjadikan nilai estetika dalam sastera sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian mereka.

Namun begitu, dalam arus kemodenan dan kemajuan pada masa ini, kesusasteraan Melayu seakan-akan dilupakan dan dipinggirkan oleh setiap lapisan masyarakat. Sastera dianggap sebagai tidak penting dan tidak lagi dilihat sebagai pedoman dan panduan bagi sesetengah masyarakat Melayu. Yang sedihnya, ada segelintir masyarakat mengatakan bahawa nilai sastera, seperti puisi dan pantun, tidak boleh menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang maju. Malah, ada juga yang menyatakan bahawa kesusasteraan Melayu pada masa ini sudah tidak relevan dalam era ketamadunan yang serba moden.

Dalam hal ini, masyarakat seharusnya sedar bahawa sastera bukan sekadar prosa yang berbentuk cerita, puisi dan pantun semata-mata. Sesungguhnya sastera itu bersifat universal dan luas. Menurut Nisah Haron, sastera merupakan satu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang berguna kepada tamadun, mendorong pembacanya untuk berfikir dan melakukan perkara yang positif. Setiap karya sastera itu sudah tentu mempunyai nilai jati diri, patriotisme dan rasa syukur.

Oleh sebab itu, apabila memperkatakan tentang kemajuan negara, masyarakat sepatutnya mengaplikasikan nilai-nilai positif sastera dalam usaha untuk mencapai impian sebagai negara maju. Tiada gunanya sesebuah negara itu maju, tetapai masyarakatnya tidak mengenali asal usul dan tidak mempunyai identiti tersendiri.

Secara tegasnya, hargailah dan selamilah nilai sastera kerana sastera merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Masyarakat Melayu khususnya, seharusnya mengangkat kesusasteraan Melayu dengan lebih tinggi dan usah dinafikan kepentingannya. Cari dan bacalah bahan bacaan kesusasteraan Melayu yang berkualiti serta boleh melahirkan rasa cinta dan syukur terhadap negara, bangsa dan agama.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 7 2018)

Posted in: Nota Editor

SAHSIAH REMAJA CERMINAN MASA HADAPAN NEGARA

Oleh Muhammad Lutfi Zahid

Setiap individu yang lahir di dunia ini memulakan kehidupan secara berperingkat-peringkat bermula dari peringkat bayi dan kemudiannya membesar menjadi kanak-kanak yang riang. Setelah berusia 13 tahun, berlakunya proses peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja dan akhirnya dewasa. Dalam konteks peralihan usia ini, zaman remaja merupakan zaman yang paling mencabar yang perlu ditempuh oleh setiap insan, sebelum bergelar insan dewasa.

Secara umumnya, proses peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja menjadikan remaja mengalami pelbagai perubahan dari sudut fizikal, mental dan emosi. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan sesetengah remaja itu keliru dan tertekan, sehingga mengakibatkan mereka mengalami kecelaruan dalam segenap aspek kehidupan. Hal ini mengakibatkan sesetengah remaja cenderung untuk melakukan perkara di luar jangkaan, termasuklah memberontak, mengingkari arahan ibu bapa, dan menghadapi masalah.

Zaman remaja merupakan zaman yang paling kritikal dan juga berharga. Hal ini dikatakan demikian kerana zaman ini penuh dengan cabaran dan juga kegemilangan. Oleh hal yang demikian, remaja seharusnya tidak mensia-siakan usia remaja mereka dengan perkara yang negatif, bahkan perlu diisi sebaik-baiknya dengan perkara yang dapat membentuk pemikiran yang kritis dan keperibadian yang mulia. Sesungguhnya masa yang berlalu tidak akan kembali, begitu juga dengan usia remaja yang hadir hanya sekali dalam seumur hidup.

Dalam hasrat untuk membentuk pemikiran dan keperibadian yang terpuji, remaja perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh agar hasrat tersebut tercapai. Remaja perlu kembali kepada fitrah manusia sebagai hamba Yang Maha Esa. Golongan remaja yang berperwatakan terpuji sering mendekatkan diri kepada Tuhan dengan mentaati segala arahan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Dalam hal ini, melalui pembelajaran ilmu agama yang lebih mendalam, sudah tentunya remaja mendapat input yang berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, tindakan mendalami ilmu tentang nilai keikhlasan, kegigihan dan kesabaran mampu untuk membina peribadi mulia dalam kalangan remaja.

Selain mentaati perintah Tuhan dan ajaran agama, remaja juga perlu taat kepada ibu bapa bagi membentuk pemikiran dan perwatakan yang mulia. Hargailah segala pengorbanan dan penat lelah ibu bapa yang berusaha untuk membesarkan anda bagai menatang minyak yang penuh. Penghargaan ini dapat dibuktikan oleh remaja melalui tingkah laku yang baik, melaksanakan segala arahan ibu baoa, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang boleh mencemarkan nama baik ibu bapa. Sesungguhnya keredaan Tuhan terletak pada keredaan ibu bapa. Maka, berbaktilah kepada ibu bapa pada usia remaja.

Secara tuntasnya, usaha pembentukan akal dan sahsiah yang terpuji dalam kalangan remaja memerlukan komitmen yang tinggi oleh remaja itu sendiri. Hal ini amat penting bagi melahirkan remaja yang mampu berdepan dengan dunia hari ini yang penuh dengan pancaroba. Remaja merupakan pewaris negara, dan negara memerlukan pewaris yang mempunyai pemikiran dan perwatakan yang terpuji untuk mencorak pentadbiran negara pada masa hadapan.

***

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Armin Azhari Saleh, Editor Kanan Dewan Siswa, yang akan meninggalkan majalah ini kerana dinaikkan pangkat. Marilah kita berdoa agar beliau terus berjaya dengan lebih cemerlang ketika melaksanakan tugas baharunya.

Selamat menyambut Aidilfitri 2018.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 6 2018)

Posted in: Nota Editor

MAKAN UNTUK HIDUP ATAU HIDUP UNTUK MAKAN?

Oleh  Muhammad Lutfi Zahid

Manusia dan makanan sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana makanan merupakan keperluan asas bagi manusia meneruskan kehidupan seharian. Melalui makanan, manusia memperoleh zat makanan untuk kesihatan tubuh badan dan tenaga untuk melakukan pelbagai aktiviti seharian. Tanpa makanan, sudah tentunya segala aktiviti tersebut akan terbantut dan tidak dapat dilakukan akibat daripada kekurangan tenaga, sehingga boleh mengakibatkan penyahhidratan dan kebuluran.

Namun begitu, budaya makan secara berlebihan juga boleh mendatangkan pelbagai penyakit bagi manusia. Masalah obesiti dan penyakit lemah jantung misalnya, merupakan kesan daripada makan secara berlebihan, terutamanya pada waktu malam. Statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan bahawa kadar obesiti dalam kalangan remaja meningkat sehingga sepuluh kali ganda di sleuruh dunia, iaitu 124 juta orang pada tahun 2016 berbanding 11 juta orang pada awal 1980-an.

Statistik tersebut jelas menggambarkan bahawa diet pemakanan yang tidak teratur, seperti gemar makan pada lewat malam, boleh mengakibatkan masalah obesiti walaupun pada usia yang muda. Hal ini dikatakan demikian disebabkan kadar metabolisme yang rendah pada waktu malam membuatkan lemak lebih mudah terkumpul.

Budaya tidak sihat ini sudah tentunya boleh dielakkan jika remaja mempunyai keinginan dan disiplin yang tinggi dalam diet pemakanan mereka. Pada waktu malam misalnya, remaja disarankan untuk mengambil juadah makan malam sebelum pukul 7 malam kerana sistem penghadaman manusia memerlukan masa untuk memproses kalori yang yang terdapat dalam makanan. Amat penting bagi remaja untuk mengambil makanan yang berkhasiat pada waktu yang bersesuaian mengikut keperluan dan bukannya secara berlebihan. Hal ini sudah tentunya bertujuan untuk memelihara kesihatan dan mengelakkan diri daripada penyakit-penyakit kronik.

Sebagai kesimpulannya, budaya makan secara berlebihan dan lewat malam ini seharusnya dielakkan bermula pada peringkat awal umur remaja melalui kawalan pemakanan oleh ibu bapa di rumah. Budaya ini bukannya perkara yang mudah untuk ditangani. Namun begitu, hal ini bukanlah bermakna masalah ini mustahil untuk dibendung. Sikap prihatin terhadap kesihatan diri sendiri amatlah diperlukan dalam setiap individu, kerana kita seharusnya makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Bil. 5 2018)

Posted in: Nota Editor