Home » Nota Editor (Page 2)

Jati Diri Remaja Berlandaskan Pemikiran Positif

Masa remaja merupakan masa peralihan daripada kanak-kanak kepada baligh sehingga permulaan zaman dewasa. Selama masa remaja ini berlangsung, mereka memerlukan pembinaan dan pemupukan jati diri daripada orang dewasa di sekeliling mereka. Pada tahap ini juga, remaja akan menghadapi banyak permasalahan dalam hidup, termasuk masalah teman lelaki atau teman wanita, masalah persekolahan, masalah pergaulan, dan tidak ketinggalan masalah penampilan diri.

Namun begitu, permasalahan tersebut sebenarnya merupakan proses pencarian jati diri yang kemudiannya akan membentuk keperibadian mereka apabila dewasa kelak. Remaja yang berjaya menyelesaikan permasalahan mereka dengan tenangnya dan berlandaskan nilai murni merupakan remaja yang berjaya mendapatkan jati diri yang cemerlang.

          Jati diri merupakan proses untuk “menemukan” diri yang sebenarnya. Pada masa pencarian jati diri ini, remaja berusaha untuk mendapatkan identiti diri yang diimpikan mereka. Pada masa ini juga, remaja perlu memiliki rasa percaya diri atau keyakinan diri yang utuh agar mereka tidak dipengaruhi oleh prinsip atau keperibadian yang tidak baik daripada orang di sekeliling mereka. Remaja yang berjaya menemukan jati diri yang berkualiti akan menjadi remaja yang cemerlang dan seterusnya berjaya dalam kehidupan.

          Satu daripada ciri kualiti jati diri remaja cemerlang ialah remaja yang berfikiran positif. Selain mempunyai kesihatan fizikal, mereka juga sentiasa menjaga minda dan emosi diri daripada dipengaruhi oleh unsur negatif di sekelilingnya. Dalam konteks remaja, berfikiran positif merujuk keadaan remaja tersebut menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menangkis perkara yang boleh menjadi penghalang kepada kemajuan diri.

Pemikiran positif ini mampu untuk menjadi perisai kepada remaja daripada ancaman penjajahan minda yang boleh merosakkan diri mereka. Remaja yang sihat mindanya lebih banyak mendengar daripada bercakap kerana mereka akan berfikir terlebih dahulu, menganalisis, dan mengetahui sesuatu isu tersebut sebelum memberikan sebarang tindak balas.

          Sebenarnya, pemerolehan keputusan yang tinggi dalam bidang akademik semata-mata tidak boleh dianggap cemerlang tanpa mempunyai jati diri dan keperibadian yang berkualiti. Banyak remaja yang mempunyai jati diri seharusnya menjadi orang yang beramanah, iaitu jujur, ikhlas, bijak mengurus diri, masa dan sumber di sekelilingnya. Di samping itu, mereka juga sentiasa berusaha untuk membaiki dirinya ke arah yang lebih baik. Selain itu, remaja ini rajin, bersemangat tinggi dan sentiasa taat kepada tuntutan agama, selain mentaati kedua ibu bapa mereka.

          Oleh itu, remaja yang cemerlang bukan sahaja mempunyai markah yang tinggi dalam bidang akademik semata-mata, tetapi juga hebat akhlak dan kelakuannya.

***

Norsuhaila Ibrahim

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2017)

Posted in: Nota Editor

Sudah Masanya Kita Berubah

Haziah Che Husin

KEHIDUPAN manusia sentiasa mengalami perubahan, bermula daripada kehidupan kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa. Zaman remaja boleh didefinisikan sebagai satu masa yang bermula apabila baligh sehingga permulaan zaman dewasa. Remaja akan mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, sosial mahupun emosi. Pada ketika ini remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga mempelajari banyak perkara yang tidak semuanya datang daripad aibu bapa tetapi ebanyakannya daripad apersekitaran sosial. Pada tempoh inilah remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai murni, malah seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana sebenarnya inilah proses semula jadi remaja bagi menentukan atau membentuk diri yang sebenar. Perkara ini juga berlaku kerana golongan remaja ingin beralih daripada pergantungan terhadap keluarga kepada bentuk kehidupan yang lebih bebas dan berdikari. Mereka bukan lagi kanak-kanak yang perlu diawasi  pada setiap masa oleh ahli keluarga atau orang dewasa. Golongan remaja pasti akan memilih individu yang dapat dipercayai dan membolehkan mereka untuk berasa selamat serta selesa.

Tahap perkembangan fizikal pula berlaku secara mendadak. Perubahan ini mengelirukan dan menimbulkan masalah ketidakseimbangan dan ketidakserasian diri dan serba salah. Pada peringkat umur 13 hingga 18 tahun, pertumbuhan jasmani berlaku dengan cepat. Perubahan fizikal yang berlaku terhadap remaja turut dipengaruhi pertumbuhan jasad. Dalam masa yang sama memberikan kesan langsung kepada perkembangan psikologi dan sosial.

Selain itu, perubahan besar yang dihadapi oleh remaja ialah perkembangan sosial, iaitu mereka cenderung untuk berpisah daripada struktur kekeluargaan kerana menganggap kawan sebaya adalah lebih penting. Kawan dapat memberi sesuatu yang bebas daripada segala bentuk larangan atau sekatan. Hal ini yang digemari oleh remaja, iaitu bebas dan berkuasa untuk mementukan cara hidup sendiri. Mereka juga lebih cenderung ke arah percintaan.

Perubahan hormon yang dialami remaja menkadi salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan emosi yang stabil. Selain perubahan hormon, lingkungan persekitaran, masalah akademik, pengaruh kebudayaan, keadaaan ekonomi dan pembawaan juga mempengaruhi perkembangan stabiliti enmosi remaja. Mereka mudah sahaja bertindak mengikut emosi yang kadang-kadang jauh menyimpang daripada rasional.

Masa remaja merupakan peringkat yang amat kompleks kerana pada masa inilah berlaku perubahan fizikal, emosi, kognitif, penghargaan kendiri, krisis identiti, konflik dan kerguan memulakan perkara baharu. Pelbagai bentuk masalah termasuklah perubahan pada diri, peruahan mental, percubaan dalam hidup dan pelbagai bentuk lagi berlaku pada waktu itu. Masa remaja dikatakan zaman yang menimbulkan pelbagai konflik yang menyebabkan tekanan jiwa kepada individu. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja gemar mencuba sesuatu yang kadangkala bertentangan dengan norma sosial masyarakat. Pada masa yang sama remaja mengalami krisis kehdupan. Krisis ini ialah “masa perkembangan identiti iaitu remaja sedang memilih beberapa pilihan yang bermakna”. Hal ini bermakna remaja perlu memilih bentuk identiti yang sesuai dengan diri supaya dapat mengurangkan krisis kehidupan yang tidak dapat dielakkan.

Oleh sebab itu, bantuan secara khusus agar remaja mampu mengendalikan emosi dengan betul amat diperlukan. Manusia hidup saling memerlukan antara satu sama lain. Keperluan inilah yang akan menimbulkan pergantungan dan sikap untuk memberi sokongan sesama individu supaya secara langsung mahupun tidak langsung, tekanan dalam kehidupan dapat dikurangkan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2016)

Posted in: Nota Editor

Kita Mudah Dilencongkan

Haziah Che Husin

MELEWATI susur siar kaki di KLCC baru-baru ini membuka mata fikir penulis untuk berkongsi rasa. Di sudut rehat KLCC, di bawah teduh pohon cempaka merah, kelihatan adik kecil bersama-sama kumpulannya (yang rasanya hanya murid tahun empat) sedang memicit sebatang rokok yang agak-agak penulis berperisa mentol, kemudian disedut sambil mendongak ke langit. Lalu dilepaskan kepulan asap ke udara. Langkah penulis terhenti. Mata yang melihat terpaku. Rasa bangga keluar daripada kepulan asap tersebut. Belum habis di situ, diunjukkan rokok tersebut ke mulut rakan sebelah. Apabila melihat situasi ini, bukan rokok yang meraja di mata penulis. Tiada salahnya merokok di kawasan siar  kaki. Yang nampak janggalnya ialah umur batang tubuh yang melakukan aksi tersebut. Penulis berfikir akan arah dan tujuan hidup adik ini dalam susur menghadapi hidup yang penuh pancaroba dan tidak mengenal perikemanusiaan ini jika dimusnahkan harapan yang baru berputik dalam kehidupan mereka.

Rentetan daripada itu, penulis bercadang menulis perihal fokus kehidupan yang perlu dijentik judulnya supaya timbul kesedaran tentang kepentingan membina fokus kehidupan yang sepaptutnya bermula dari seawal usia adik yang meluangkan masa di siar kaki KLCC dengan melepak dan melakukan perbuatan kurang manis mata memandang. Apakah yang akan terjadi jika setiap individu tidak mempunyai fokus dalam kehidupan?

Lumrah kita sebagai manusia adalah mudah lalai. Kita sering hilang tumpuan kerana terlupa akan perkara yang baharu. Kebanyakan perkara baharu itu, pada hakikatnya, tidaklah begitu penting dan sekadar berbentuk gangguan.

Walaupun pada awalnya kita tahu akan keutamaan diri sendiri, ketika melaksanakannya, kita tertipu dengan diri sendiri yang mengatakan bahawa terdapat perkara lain yang perlu didahulukan. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, sentiasa ingatkan diri kepada tujuan asal. Mungkin kita memerlukan jam loceng yang berbunyi setiap jam untuk mengingatkan kita. Rangsangan visual atau fizikal dapat membantu kita mengingati fokus utama kita daripada melencong.

Sementara itu, sebab utama kita mudah dilencongkan ialah kita tidak merasakan tugasan utama itu penting. Kita gagal melihat kesan sekiranya kita gagal melaksanakannya malah, jika kegagalan bukanlah pilihan, kita akan bermati-matian mencapainya.

Kita boleh belajar untuk menjadi orang yang mempunyai fokus dalam kehidupan kita sendiri. Amat penting untuk kita mengetahui cara yang betul untuk fokus. Lebih fokus diri kita terhadap sesuatu yang dilakukan, lebih banyak masa yang kita ada. Lebih banyak hal yang dapat kita belajar dan menjadikan kita tidak mudah panik menjelang peristiwa penting dalam kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu menentukan sebab kita melakukan sesuatu dan kepentingan daripada perkara yang kita lakukan. Dengan mengetahui kedua-dua perkara ini, kita akan berusaha untuk terus kekal memberikan tumpuan kepada tugasan utama kita. Ada masanya kita perlu memotivasikan diri sendiri. Pasang niat dengan betul, persiapkan diri dengan keperluan dan penjadualan waktu amat penting. Walaupun tidak semestinya ketat, merancang apa-apa yang dibuat untuk menyusun kehidupan amat perlu bagi mengelakkan pembaziran masa. Pembaziran masa inilah yang membuatkan kita hilang fokus.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Posted in: Nota Editor

Hobi Harus Dikembangkan

 

SETIAP manusia mempunyai hobi tersendiri bagi memenuhi minat dan mendapat keseronokan. Ada hobi yang percuma dan ada pula yang memerlukan perbelanjaan. Aktiviti riadah ini akan mendatangkan kesan yang mendalam kerana hobi memastikan masa seseorang itu digunakan sebaik-baiknya untuk belajar, keluarga, berhibur dan beriadah. Hobi mampu memberikan kepuasan dan ketenangan jiwa kepada individu. Hobi tidak boleh dipaksa, tidak boleh dijual beli, dan tidak boleh diwariskan.

Sejak kecil kita sering diajukan soalan, “apakah hobi anda?” Jika dahulu, sekiranya diri kita diajukan soalan hobi, banyak yang akan menjawab jawapan yang biasa-biasa kita dengar termasuklah bermain bola sepak, memancing dan membaca. Berbanding dengan masa kini, hobi generasi muda kian berubah. Fenomena hobi generasi muda semakin bertukar. Kegilaan kepada hobi yang bersesuaian dengan zaman, masa dan tempat menjadi-jadi, malah terdapat hobi yang pelik untuk kita dengari. Tidak ketinggalan hobi bertukar kepada melakukan hal yang ekstrem.

Jarang-jarang seseorang ingin mengaku tentang hobi mereka yang kedengaran pelik. Mereka bimbang dilabelkan sebagai ketinggalan zaman, kolot, ataupun tidak mengikut arus pemodenan. Walaupun kelihatan pelik, namun, selagi aktiviti tersebut memberikan kepuasan kepada diri, maka itulah hobi mereka dan itulah yang akan kekal lama dan mendominasi hampir keseluruhan hidup mereka.

Tahukah anda, hobi pelik dan unik turut dilakukan artis terkenal dunia, antaranya termasuklah Johny Depp. Johny Depp yang berwajah tampan dan maskulin ini gemar mengumpulkan patung barbie dan kumis palsu yang unik dan lucu. Kumis palsu yang dimiliki Johny Depp ini dianggap aneh dan dipakai secara berganti-ganti semasa bertemu dengan peminatnya. Seseorang yang mempunyai hobi pelik tidak perlu malu untuk meyatakan hobi mereka selagi hobi itu tidak memudaratkan diri ataupun orang lain.

Pada masa dahulu hobi dapat dilakukan dengan mudah melalui komunikasi yang ringkas. Sebagai contoh, pada tahun 1950-an hingga 1980-an, merakamkan lagu dari radio dengan perakam suara, bermain lompat tali, galah panjang, jengket, gasing, dan guli yang setiap hari akrab dengan kehidupan anak muda. Inilah generasi yang pernah mempunyai kelompok dan rakan hobi yang sama, yang tanpa janji, tanpa telefon atau teks pesanan ringkas, tetapi boleh berkumpul bersama-sama kerana inilah generasi yang cukup hanya dengan janji untuk bertemu. Berbeza daripada hobi generasi masa kini yang menikmati mudahnya memuat turun lagu dari alat teknologi sekali gus jari lincah memainkan berbagai-bagai permainan di alat teknologi. Jika dahulu kita harus bertemu untuk berbual bersama-sama rakan, namun kini kita pun tetap boleh berborak cuma bezanya hanya pada tempat iaitu, di laman Facebook mahupun WhatsApp tanpa mengharapkan datangnya posmen menyampaikan surat daripada sahabat.

Setiap individu pada era milenium ini pasti mempunyai jadual waktu yang padat untuk bersaing dalam mencapai matlamat. Namun begitu, masyarakat juga perlu sedar bahawa diri kita ini juga memerlukan rehat untuk menghilangkan tekanan. Adakalanya kita tidak mempunyai banyak masa untuk hobi kerana terlalu sibuk berkerjaya, tetapi ada juga yang terlupa melakukan kerja lain melainkan kerja berkaitan dengan hobinya. Hobi yang berlebihan akan membazirkan wang dan juga masa yang banyak.

Oleh itu, hobi harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat atau asal usul. Aktiviti positif ini akan memberikan banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal. Kehidupan kita juga akan menjadi lebih bermakna dan menarik untuk diteruskan dari hari ke hari. Selamat menyambut Maal Hijrah 1438.

Haziah Che Husin

(Rencana ini dipetik daripada  majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

 

Posted in: Nota Editor

Nikmati Keseronokan Pada Landasan Yang Betul

KELUARGA moden hari ini mempunyai pelbagai kemudahan sosial dan budaya yang disalurkan, termasuklah melalui televisyen, majalah, buku cerita, telefon bimbit dan internet. Kemudahan ini bukan sekadar saluran maklumat bagi memperoleh hiburan dan pengetahuan, tetapi juga mencorakkan pelbagai tingkah laku sosial, budaya, perkembangan personaliti, dan pemerkasaan kendiri individu sama ada ke arah negatif ataupun sebaliknya. Hal sebegini banyak terjadi kepada remaja yang masih dangkal pemikirannya, mereka ini cuai dalam aspek menguruskan pergaulan dan persekitaran.

Jika dipandang dari sisi negatif, hal sebegini akan menjadikan institusi keluarga dalam masyarakat tidak lagi penting kepada ahlinya. Interaksi antara keluarga bukan lagi menyeronokkan. Ahli keluarga, khususnya remaja, akan lebih selesa berada di luar rumah berbanding dengan berada di rumah, seolah-olah berada di luar rumah lebih bebas. Sebagai akibatnya, pelbagai godaan aktiviti tidak sihat bermaharajalela.

Masihkah kita ingat akan peristiwa gempar yang berlaku pada Januari 2016 apabila seorang remaja mendakwa telah diculik ketika keluar dari rumah? Setelah penyiasatan dibuat, remaja itu mengakui bahawa cerita penculikan itu sengaja direka untuk membolehkannya menghabiskan masa bersama-sama teman lelakinya. Adakah ini yang kita dambakan buat genarasi anak bangsa. Oleh itu, pandangan masyarakat terhadap isu ini perlu berubah.

Usia remaja merupakan tempoh usia yang masih memerlukan bimbingan daripada orang dewasa. Orang dewasa yang paling penting dalam kehidupan remaja ialah ibu bapa atau penjaga. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh remaja di rumah ataupun di luar rumah sepatutnya dimaklumkan oleh ibu bapa atau penjaga.

Bagi remaja, hubungan yang baik dengan anggota keluarga merupakan perkara paling penting yang perlu dilakukan. Bukan menjadi kesalahan bagi remaja untuk menikmati keseronokan di luar rumah, namun keseronokan itu perlu ditunjangi nilai agama, adat, serta norma masyarakat setempat. Remaja perlu sentiasa sedar bahawa keseronokan yang sebenar adalah apabila mampu menjaga usia remaja yang dimiliki itu sebaik-baiknya untuk keseronokan pada waktu dewasa kelak. Kejayaan pada masa hadapan ialah usaha yang kita lakukan pada hari ini, iaitu pada usia remaja kita.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh penyelidik sosial, peratusan berlaku perkara yang tidak diingini jauh lebih tinggi bagi remaja yang berada di luar rumah berbanding dengan remaja yang sering berada di rumah. Hal ini bermakna bahawa remaja yang mencari keseronokan di luar rumah akan terdedah kepada risiko terlibat dengan aktiviti yang tidak terkawal dan berbahaya kepada keselamatan diri mereka.

Kebanyakan remaja yang gemar memilih untuk mencari keseronokan di luar rumah merupakan remaja yang bermasalah di rumah. Apabila mereka berkumpul, maka akan ada aktiviti yang akan menimbulkan masalah walaupun pada mulanya mereka melakukan aktiviti tersebut sekadar melepaskan “geram” bagi meredakan masalah mereka di rumah.

Selamat Hari Malaysia.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2016)

 

Posted in: Nota Editor

Sejahtera Negara dan Rakyat Malaysia

MENJELANG bulan merdeka, empunya premis akan membongkar almari, membuka semula kotak lama, mencari semula bendera tahun-tahun sebelumnya untuk digunakan semula bagi mengimarahkan lagi bulan mengingati pembebasan negara daripada kuasa yang mendominasi. Maka, akan cantiklah deretan kedai dengan kibaran bendera yang garang warnanya, malah rumah juga akan turut serta menaikkan bendera setinggi yang mungkin untuk sama-sama menyambut merdeka. Namun begitu, adakah tingginya bendera yang dijulang menggunakan batang kayu itu dapat diukur dengan pemahaman isi rumah terhadap pengetahuan semangat nasionalisme? Adakah penjulang yang menaikkan bendera di deretan kedai itu memahami semangat yang terkandung dalam jeritan merdeka mereka saban tahun?

Menyambut bulan kemerdekaan bukan sekadar sambutan kemerdekaan, tetapi mengisi kemerdekaan itu jauh lebih penting. Yang lebih penting lagi, generasi muda memahami erti sebenar kemerdekaan yang diperjuangkan dengan susah payah. Kemerdekaan bukanlah takdir semata-mata, tetapi kemerdekaan terhasil daripada usaha pejuang dan pemimpin terdahulu.

Jika pejuang dahulu bangkit berjuang, generasi muda hari ini pula disarankan untuk memahami bahawa kemerdekaan bukan bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Kemerdekaan ialah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Keselamatan, maruah, dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan, tetapi turut dipikul bersama-sama oleh seluruh rakyat.

Pada tahun ini, “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema hari kebangsaan seperti tahun sebelumnya yang mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga dalam diri semangat cinta akan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana-mana kita berada. Jangan sesekali membiarkan diri kita kosong dengan semangat patriotisme.

Walau apa-apa pun ideologi politik yang dijunjung, walau apa-apa sahaja bangsa dan agama yang kita anuti, negara kita tetap tanggungjawab bersama. Jangan sesekali memusnahkan negara tercinta. Untuk membina negara memerlukan puluhan tahun lamanya, namun untuk memusnahkannya cukup sekadar sekelip mata. Untuk memajukan negara amatlah sukar, namun untuk membinasakannya amatlah mudah.

Hargailah keamanan dan kemakmuran yang telah kita kecapi. Pelajari dan fahami sejarah kerana melalui sejarahlah kita akan benar-benar menghargai negara dan kemerdekaan negara. Jelmakan kembali semangat perjuangan pemimpin terdahulu. Bersatulah kita dengan semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran bijaksana dan minda kelas pertama untuk masa hadapan yang lebih cemerlang dan terbilang. Inilah nikmat yang perlu sentiasa ada dalam diri setiap warganegara.

Jadilah warga Malaysia yang merdeka. Hayatilah erti kemerdekaan dan kekalkan kemerdekaan ini.

Selamat Hari Kebangsaan 2016.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Nota Editor

Bahang “Kerapuhan” Sistem Semula Jadi

PEMBANGUNAN pesat yang berlaku menjadi pemangkin pertumbuhan sosioekonomi penduduk. Tidak dinafikan bahawa setiap pembangunan yang berlaku pastinya akan memberikan kesan kepada kelestarian alam sekitar, sama ada di bandar ataupun desa. Pertalian antara pembangunan ekonomi dengan perubahan alam sekitar merupakan hubungan yang kompleks. Hal ini dikatakan demikian kerana hubungan ini melibatkan semua aspek kehidupan manusia yang secara langsung berinteraksi dengan alam sekitar.

Pada hakikatnya, alam sekitar amat penting kepada manusia. Alam sekitar bukan sekadar membekalkan manusia dengan keperluan asas kehidupan, seperti udara, air dan makanan, tetapi yang lebih penting, evolusi dan kelangsungan sistem hidup manusia itu sendiri bergantung pada alam sekitar. Pemilikan sumber alam yang banyak di sesebuah negara dapat menggambarkan taraf pembangunan negara tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana pembangunan ekonomi negara bergantung pada ketersediaan sumber alam sekitar. Banyak tamadun manusia pupus sebagai akibat kegagalan mendapatkan bekalan sumber alam sekitar secara berterusan dan dalam situasi tertentu, perubahan yang berlaku menjejaskan keupayaan manusia untuk membangunkan alam sekitar.

Pertambahan bekalan sumber alam yang lebih banyak diperlukan bagi menampung pertambahan bilangan penduduk. Namun begitu, sejak beberapa tahun belakangan ini, telah wujud beberapa masalah yang berkaitan dengan alam sekitar. Keadaan ini menyebabkan wujudnya impak terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia sendiri. Sebagai contoh, kemerosotan kualiti alam sekitar memberikan kesan terhadap kesihatan, manakala kemerosotan kualiti sumber alam pula mengakibatkan ketidakamanan di sesebuah kawasan atau negara kerana sumber alam penting untuk kegunaan domestik dan juga sumber makanan. Setelah tersedar daripada bahang bahana ini, satu langkah drastik mula dijalankan.

Umum mengetahui bahawa Malaysia menjanakan 33 ribu tan sisa pepejal (dalam bentuk sampah) setiap hari dengan hanya 10.5 peratus yang dikitarkan semula, manakala selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan. Faktor kadar kitar semula yang rendah berlaku kerana sikap rakyat yang tidak mengamalkan pengasingan sisa. Yang terbaharu, pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, dan Kedah sudah menerima surat ingatan daripada syarikat konsesi pelupusan sisa pepejal di kawasan masing-masing untuk melakukan pengasingan sisa pepejal di “punca” (bukan hanya di rumah, tetapi juga di semua premis) dengan  menggunakan kaedah 2 + 1 ketika membuang sampah. Walau bagaimanapun, untuk tempoh empat bulan, iaitu sehingga akhir tahun ini, hanya notis peringatan diberikan kepada pengguna yang gagal melaksanakan arahan tersebut bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem baharu itu.

Kesedaran manusia untuk melindungi alam sekitar sangat penting. Lebih-lebih lagi, kesedaran ini akan menimbulkan sifat cinta akan alam dan kefahaman tentang “kerapuhan” sistem semula jadi yang akan berlaku jika diganggu oleh manusia dengan sesuka hati.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)  

 

Posted in: Nota Editor

Satu Identiti Harmonis

NEGARA yang mempunyai kepelbagaian budaya, seperti Malaysia, tidak terlepas daripada perselisihan perkauman yang mencetuskan konflik dan mengakibatkan peristiwa berdarah perit yang pernah melanda negara. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik “pembentukan” semula negara Malaysia. Pergeseran antara kaum yang menghimpit telah menarik kerajaan Malaysia untuk menggandakan usaha bagi menyelesaikan gelojak “panas” perkauman dengan harapan peristiwa berdarah ini tidak berulang kembali. Sekiranya peristiwa ini berulang, maka akan terpalitlah pelbagai pandangan negatif dari luar yang menggambarkan tiadanya kesepaduan, toleransi, dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Budaya dibahagikan kepada dua jenis, iaitu budaya bersifat kebendaan dan budaya yang bersifat bukan kebendaan. Budaya kebendaan adalah seperti peralatan yang dapat memberikan simbol dan makna kepada orang lain dan bersifat konkrit, manakala budaya bukan kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Budaya ialah pencorak yang membentuk imej luaran dan dalaman sesuatu masyarakat. Budaya berperanan membina imej negara ke arah mewujudkan keperibadian serta identiti dan memupuk kesedaran kebangsaan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental. Kepelbagaian budaya pula merupakan cara hidup manusia yang dibentuk supaya dapat berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan masyarakat dan alam sekitar.

 Masyarakat yang yakin kepada budayanya akan menunjukkan rasa hormat dan patuh kepada amalan dan larangan yang terdapat dalam budaya tersebut. Oleh itu, amalan positif atau negatif masyarakat bergantung pada sejauh mananya sistem budaya yang dilaksanakan dan kekuatan unsur yang terdapat dalam sesuatu budaya. Budaya membawa ciri boleh dipelajari, dikongsi, bersifat sejagat, boleh diwarisi, sentiasa berubah, simbolik dan pandangan semesta.

Malaysia merupakan negara yang mempnyai pelbagai kaum yang mempunyai budaya, adat resam dan ciri keistimewaan tersendiri. Kepelbagaian budaya ini telah membentuk satu identiti Malaysia yang harmonis sifat majmuk masyarakat kita.

Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan kembali Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan pada tahun 2005 memang tepat pada masanya. Tema yang mengambil kira keperluan kepelbagaian kaum di negara ini urut ditampilakn dalam subjek ini. Pendidikan pelbagai budaya seperti ini merupakan proses untuk membentuk cara hidup yang menghormati dan bertoleransi terhadap kepelbagaian budaya yang hidup di tengah-tengah masyarakat yang berbilang kaum. Pendidikan pelbagai budaya merupakan benteng akhir yang menjadi persediaan kerajaan untuk menghadapi konflik sosial melalui kesatuan bangsa yang diharapkan tidak mudah patah dan retak. Pendidikan pelbagai budaya bukanlah untuk menghilangkan perbezaan tetapi meraikannya, menghilangkan prasangka, menimbulkan dialog, mengenal perbezaan sehingga timbulnya rasa saling menghargai. Dengan itu, konflik yang muncul daripada transformasi dan reformasi sosial dapat dikelolakan secara bijaksana dengan pengukuhan nilai kepelbagaian budaya dalam diri bermula daripada diri anak muda pewaris bangsa.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Nota Editor

Memugar Belia Harapan Bangsa

“BELIA Harapan Bangsa”, “Belia Hari Ini Pemimpin Hari esok”, “Belia Bersatu Negara Maju”, dan banyak lagi cogan kata yang telah dicipta dan dikhususkan secara langsung kepada golongan yang berstatus belia di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana belia merupakan golongan yang paling dominan dan berpengaruh dalam masyarakat serta mempunyai ketahanan yang tinggi dari sudut fizikal dan mental.

Hari Belia pada setiap 15 Mei mengingatkan kita kepada kepentingan belia sebagai generasi pelapis yang mampu mengukuhkan negara pada suatu masa nanti. Di Malaysia, individu yang berusia antara 15 hingga 40 dikategorikan sebagai belia. Jumlah belia kini dianggarkan sebanyak 11.9 juta orang, iaitu 41.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Golongan belia di negara kita yang hampir mencecah dua per lima daripada penduduk Malaysia harus diberi keutamaan sebagai pewaris negara dan kelangsungan kemajuan negara yang sedang kita kecapi sekarang.

Tanpa golongan ini, pembangunan negara akan tempang apabila tiba masanya. Di tangan merekalah terletak tanggungjawab besar mempertahankan kemajuan negara dan memacu kecemerlangan negara pada masa akan datang. Negara memerlukan golongan muda yang  berjiwa besar untuk membawa negara ke peringkat baharu yang lebih gemilang. Dalam mana-mana zaman sekali pun, inilah keperluan yang paling tinggi, terutamanya Malaysia yang mahu mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Pembangunan belia akan menghadapi banyak cabaran pada masa akan datang. Realiti yang berlaku kepada golongan belia hari ini ialah mereka wajar merancang untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup pada masa depan. Bagi golongan belia yang sudah berada dalam masyarakat, mereka perlu mempunyai ketahanan diri untuk menempuh pelbagai pancaroba yang mengitari hidup, menolak ke tepi gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan. Mereka mestilah menggunakan akal fikiran yang waras apabila berdepan dengan sesuatu situasi, agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat. Belia perlu diupayakan, dibangunkan, dan diterapkan dengan nilai akhlak, ailmu, kemahiran dan keusahawanan, serta semangat cinta akan negara. Sememangnya warga muda hari ini merupakan cerminan wajah negara akan datang. Selaras dengan itu, kepakaran belia perlulah dijanakan dengan baiknya.

Dalam memastikan belia pewaris negara terus relevan dalam konteks globalisasi, semua pihak harus berganding bahu dalam menghadapi cabaran zaman. Sudah tiba masanya untuk kita menamatkan segala label tidak sihat golongan belia yang sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial. Lantaran itu, golongan belia digalakkan menceburkan diri dalam sebarang aktiviti yang dapat membentuk jati diri sebagai generasi muda yang baik serta melahirkan belia yang seimbang intelektual, serta pergaulan sosialnya bersama-sama masyarakat. Kesedaran perlu wujud dan berkembang sealiran dengan cita-cita pembinaan budaya bangsa ke arah kewujudan negara yang bermaruah dan mempunyai martabat yang tinggi. Tuntutan masyarakat dan global yang semakin canggih memeerlukan peranan yang rasional dan beridea segar daripada belia.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Nota Editor

HILANGNYA PEGANGAN HIDUP BERKELUARGA

SIRI keganasan terhadap kanak-kanak di negara kita dewasa ini seolah-olah tiada penyudahnya. Isu keganasan terhadap ibu bapa juga semakin bertambah bilangannya setiap hari. Belum lagi kita membuka pekung di dada, sebanyak mana kes suami memukul isteri yang akhirnya membawa perceraian dan robohnya institusi kekeluargaan. Hampir setiap hari ada sahaja berita ataupun laporan berkaitan isu ini, baik di media cetak mahupun di media elektronik.

Di manakah rasa kasih sayang dan tanggungjawab mereka terhadap darah daging mereka sendiri? Apakah punca yang menyumbang kepada masalah sosial sebegini dalam masyarakat kita  dan ke manakah hilangnya nilai kasih sayang dalam masyarakat kita? Punca sebenarnya adalah hilangnya nilai kemanusiaan dalam hati manusia. Sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita nampaknya semakin goyah dan sedang menuju ke tahap yang cukup berbahaya. Masalah sosial ini jelas mencerminkan tahap dan kedudukan sebenar institusi kekeluargaan di negara kita yang begitu rapuh dan pincang. Kejadian sebegini membawa kita kepada beberapa persoalan penting yang perlu dirungkai dan ditangani dengan segera. Jika terus leka, dikhuatiri budaya ini akan menghancurkan terus nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita suatu hari kelak.

Pada masa yang sama, masyarakat juga dilihat dewasa ini lebih mementingkan kebendaan yang menyebabkan kita semakin lalai dan melupakan nilai kasih sayang yang selama ini menjadi tunjang dan tulang belakang sebuah keluarga. Perasaan sayang, cinta, ambil berat dan saling hormat-menghormati semakin terhakis. Itulah harga yang terpaksa kita bayar untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang dimiliki sekarang. Apakah kita boleh berbangga dengan kemajuan sebegini?

Anggota keluarga merupakan orang yang paling penting dalam hidup. Sesebuah keluarga biasanya terdiri daripada bapa, ibu dan anak yang dinamakan keluarga asas. Selain keluarga asas, terdapat juga anggota keluarga kembangan yang terdiri daripada datuk, nenek, bapa saudara, sepupu, dan anggota keluarga lain. Hubungan sebuah keluarga akan lebih kukuh dan mesra apabila anggota keluarga saling memahami antara satu sama lain.

Kasih sayang memainkan pengaruh besar dalam kehidupan dan menjadi sebahagian daripada keperluan psikologi manusia. Perasaan ini merupakan satu cetusan emosi terhadap sesuatu atau seseorang. Kasih sayang melibatkan suasana, sikap dan harapan seseorang terhadap seseorang atau sesuatu yang lain. Kasih sayang dapat dilahirkan melalui tingkah laku, perhatian, pengorbanan dan persefahaman.

Kasih sayang akan kekal dalam diri individu jika dicurahkan atas dasar penghormatan kerana tanpa penghormatan akan wujud ketidakseimbangan dan ketidakselesaan dalam perhubungan termasuklah akan berlaku konflik dan ketegangan. Ikatan kasih sayang akan bertambah kuat jika terdapat terdapat persamaan nilai yang dipegang kerana semakin serupa nilai hidup seseorang itu maka semakin mudah dan kuat sesuatu jalinan perhubungan yang akhirnya wujud kebahagiaan dan kemesraan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan dan pembangunan sahsiah belia ialah institusi keluarga. Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam setiap perkembangan anak dari kecil hingga dewasa. Rumah yang mesra dan harmoni menggalakkan perkembangan sahsiah yang sihat. Kasih sayang, layanan, asuhan dan perhatian yang diberikan ibu bapa secara langsung membantu proses perkembangan sahsiah yang positif.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Posted in: Nota Editor