Home » Khas

New Orleans Streetcar dan Taufan Katrina

Oleh Nisah Haron

TENNESSEE Williams memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 1948 melalui drama yang berjudul A Streetcar Named Desire. Penulis yang berasal dari New Orleans ini telah mengabadikan nama laluan streetcar yang terkenal di bandar raya ini. Jika dilihat sekali pandang pada judul drama tersebut, seolah-olah Williams mencipta nama Desire (yang bermaksud keinginan) dan dijadikan metafora kepada watak Blanche DuBois yang mempunyai pelbagai keinginan.

Streetcar tersebut berbentuk seperti trem dan berkongsi jalan raya dengan kenderaan lain. Dalam dialog DuBois, ada disebut bahawa dia menggunakan streetcar ini sewaktu menziarahi kakaknya. Menaiki streetcar tersebut digambarkan sebagai pengalaman yang luar biasa. Suasana inilah yang digambarkan warna-warni bandar raya New Orleans, yang mempunyai jaringan perhubungan yang unik selain warganya yang rencam. Menaiki streetcar menjadi kewajipan bagi penulis, seperti wajibnya menaiki trem jika berada di Melbourne atau menaiki gondola ketika berada di Venice. Streetcar berwarna merah ini dengan perlahannya melintasi Canal Street yang mengambil serta menurunkan penumpang di perhentian tertentu.

Menaiki streetcar juga ialah cara untuk ke French Market, kawasan yang mempunyai persamaan dengan Pasar Seni di Kuala Lumpur. Selain menjual barangan keperluan tempatan, tempat ini juga menjadi tumpuan pelancong membeli cenderamata dan jualan barangan seni. Bagi yang meminati cafe’au lait, pengunjung bolehlah mendapatkan serbuk kopi yang dijual di dalam tin. Jika pengunjung minat untuk memasak jambalaya atau gumbo, mereka boleh juga mendapatkan rencahnya di sini.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Posted in: Khas Travelog

Berfikir Tuntutan Kecemerlangan

Oleh Lokman Ismail

PERBEZAAN ketara antara manusia berbanding dengan haiwan ialah manusia mempunyai akal. Akal berada dalam dua bentuk, yakni secara fizikal yang dinamai otak dan secara rohani disebut minda atau fikiran. Akal dalam bentuk otak tidak ada bezanya daripada yang dimiliki oleh haiwan yang berperanan untuk mengkoordinasi fungsi organ badan dan tindak balas spontan berdasarkan kebiasaan.

Fungsi terpenting akal adalah dalam bentuk fikiran yang membolehkan manusia berfikir setiap perkara yang dilakukan, dilihat, dan didengar agar mencapai matlamat mendapat kebaikan dan mengelakkan perkara buruk. Pemikiran merupakan aktiviti psikologi dalam sesuatu proses yang dialami untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah dalam situasi yang dihadapi.

Berfikir ialah setiap perkembangan dalam idea, pengetahuan, pengalaman, dan harapan yang tercetusnya dalam fikiran. Kebolehan berfikir terbaik ialah dapat menyelesaikan masalah, menemukan kaedah, mendapat petunjuk, memperoleh kebenaran, atau melahirkan perkara baharu.

Berfikir memerlukan gerakan minda untuk mencetuskan sesuatu dalam fikiran. Oleh itu, proses ini disebut daya berfikir, yakni kekuatan diperlukan untuk menghasilkan keputusan hasil berfikir itu. Berfikir berlainan daripada ingatan, walaupun kedua-duanya berpunca daripada otak. Ingatan lahir daripada apa-apa yang disimpan di otak. Berfikir pula bertujuan mencetuskan perkara baharu.

Berfikir memerlukan kemahiran. Kemahiran berfikir ialah kecekapan menggunakan akal menjalankan proses pemikiran. Seseorang memperoleh kemahiran berfikir dalam menyusun maklumat, konsep, atau idea secara teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang terarah dan sewajarnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

 

Posted in: Isu Semasa

New Orleans Kota Jaz, Jambalaya dan Gumbo

Oleh Nisah Haron

BANDAR Raya New Orleans, sebagai ibu negeri Louisiana, mempunyai sejarah yang panjang. Bandar ini pernah menjadi bandar raya ketiga penting di Amerika Syarikat lantaran kedudukannya di siku Sungai Mississippi dan berada dalam pelukan Teluk Mexico. New Orleans amat sinonim dengan muzik jaz. Kunjungan ke New Orleans tidak akan lengkap jika pengunjung tidak mendengar persembahan jaz, sama ada yang dimainkan di tempat tertutup ataupun persembahan jalanan.

Pintu masuk ke bandar raya ini melalui udara ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Louis Armstrong. Nama ini tidak asing lagi bagi peminat jaz-penyanyi dan pemain trompet yang terkenal dengan lagu What A Wonderful World. Nama beliau diabadikan pada lapangan terbang ini pada tahun 2012 sebagai memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Nuansa Perancis amat terasa di sini, sesuai pada seni bina di kawasan yang dinamai “French Quarter”. Sekali pandang memang berasa seolah-olah berada di lorong seni di Paris. Kawasan French Quarter lebih sesuai diteroka dengan berjalan kaki lantaran lorongnya sempit dan mempunyai banyak kedai menjual barangan seni, termasuklah di kawasan kaki limanya.

Sewajarnya, mulakan dengan bersarapan di Cafe’ du Monde yang terkenal dengan cafe’au lait and beignets. Cafe au lait bermaksud  kopi susu dan beignet (sebutannya bi-nya) pula lembut seperti donat, cuma bentuknya empat segi dan tidak ada lubang di tengah-tengahnya. Beignets dihidangkan dengan serbuk gula di atasnya. Kafe ini dibuka 24 jam sehari dan tidak pernah ditutup.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Posted in: Khas Travelog

Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara

Oleh Samat Buang

PERMAINAN tradisional atau permainan rakyat merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini menjadi kebanggaan masyarakat silam yang diwarisi daripada generasi kepada generasi.

Permainan tradisonal juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam yang berkisar di serambi, laman rumah, dan tanah lapang yang tidak memerlukan belanja untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa ini yang begitu terdedah kepada peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor pada suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan, sekali gus mengembalikan nostalgia atau dikaitkan dengan simbol warisan budaya.

Permainan tradisional kini tidak lagi menjadi pilihan khususnya kepada generasi muda setelah terdedah kepada kepesatan teknologi dengan pelbagai aplikasi permainan alam maya yang seolah-olah telah mengubah keseluruhan cara hidup masyarakat. Jika dahulu kanak-kanak menghabiskan masa petang mereka dengan pelbagai jenis permainan yang memerlukan pergerakan fizikal dan menguji minda, kini golongan itu lebih banyak menghabiskan masa di hadapan komputer untuk bermain permainan video. Zaman kanak-kanak yang dilalui oleh generasi kini juga berbeza keseluruhannya apabila gelak tawa bersama-sama rakan digantikan dengan budaya “kera sumbang” apabila mereka lebih banyak menghbiskan masa berseorangan dengan peralatan elektronik masing-masing daripada bersosial bersama-sama rakan seusia.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

Posted in: Isu Semasa

Lukisan Alam Musim Gugur

Oleh Nisah Haron

BENARLAH kata Albert Camus, “Autumn is a spring when every leaf is a flower.” Antara kelebihan berada di negara empat musim termasuklah peluang menyaksikan daun bertukar warna pada musim luruh. Alam menjadi lukisan dan setiap helaian daun sedang diwarnakan satu demi satu. Penulis suka bertanya kepada warga tempatan, musim apakah yang menjadi kegemaran? Mereka sukar memilih antara musim bunga dengan musim gugur.

Bagi penulis, inilah pengalaman pertama berada di luar negara pada musim gugur. Peluang ini dinikmati sepenuhnya kerana International Writing Program di Iowa city dijalankan sepanjang September hingga November. Pokok yang pada mulanya hijau perlahan-lahan berubah menjadi warna yang tersendiri. Pohon mapel menjadi merah, pohon ginkgo menjadi kuning, dan daun pohon oak menjadi perang dan keriting. Suasana menjadi semakin nyaman dan suhu perlahan-lahan menurun pada setiap hari.

Pada ketika ini, banyak orang yang suka berada di luar rumah untuk menikmati pemandangan indah dan hawa yang menenangkan. Penulis sering berbasikal ke kawasan City Park menyaksikan tupai liar serta tupai tanah (chipmunk) semakin pantas dan ripuh mengumpul kekacang oak (yang disebut acorn) sebagai persediaan musim sejuk beberapa bulan lagi. Sesuai dengan cuaca di sini yang lebih dingin, keadaan fizikal tupai di sini lebih besar daripada tupai biasa di Malaysia serta bulunya lebih gebu. Walaupun bentuknya lebih gempal, tupai ini masih dapat melompat dengan pantasnya dari satu pokok ke pokok yang lain, berlari-lari di atas padang tanpa menghiraukan kehadiran manusia yang banyak di kampus. Masing-masing telah belajar untuk hidup bersama-sama di sini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa September 2016)

Posted in: Khas Travelog

Pembelajaran Abad ke-21 Aktifkan Pelajar

Oleh Mohd Ali Salim

KINI dalam sistem pendidikan di Malaysia, telah dicanangkan pembelajaran abad ke-21. Hal ini bermakna amalan pembelajaran sebelumnya sudah ditinggalkan. Amalan baharu ini memberikan peluang yang luas terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti di bilik darjah. Pelajar, sebagai pelanggan utama dalam sistem pendidikan, diutamakan pencapaiannya dan keterlibatan mereka diambil cakna dengan harapan agar lahir warganegara yang berbudaya ilmu, pereka cipta, perpaduan, dan bekerjasama demi kemajuan negara.

Pembelajaran abad ke-21 menekankan kemahiran utama yang berguna kepada pelajar, sama ada dalam aktiviti pembelajaran ataupun kehidupan selepas alam persekolahan. Kemahiran itu ialah kemahiran kreatif. Kemahiran ini mampu menjadikan pelajar dan generasi baharu nanti lebih kreatif, berdikari, kritis, dan dapat bekerjasama dengan orang lain untuk membentuk kemajuan dalam pelbagai bidang. Kemahiran ini akan menuruti langkah mereka menempuh kehidupan sebenar dalam pendidikan lanjutan atau sebagai pekerja yang berkualiti dan berkemahiran.

Pembelajaran abad ke-21 lebih mengutamakan pelajar terlibat dalam pembelajaran. Oleh hal yang demikian, amalan biasa yang berlaku di bilik darjah, yang lebih berpusatkan guru sudah lapuk. Sebaliknya, aktiviti di bilik darjah lebih melibatkan pelajar dan bukannya dimonopoli oleh guru. Guru hanya sebagai fasilitator dan sumber rujukan. Aktiviti pembelajaran di bilik darjah hendaklah dirancang oleh guru dengan mengutamakan kreativiti dan kemahiran kritis oleh pelajar sendiri bagi mencapai tujuan dan objektif pembelajaran. Oleh itu, aktiviti guru berceramah dan menjadi tumpuan pelajar sepanjang masa pembelajaran bercanggah dengan amalan pembelajaran abad ke-21.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Isu Semasa

Poskad kepada Diri

Oleh Nisah Haron

ANTARA kegilaan sesiapa sahaja yang mengembara ialah mencari cenderamata untuk dibawa pulang. Cenderamata boleh sahaja dalam pelbagai bentuk. Rantai kunci, magnet peti ais atau apa-apa sahaja yang kecil dan senang dibawa menjadi pilihan yang popular. Satu lagi cara untuk mengabadikan kenangan sewaktu mengembara ialah dengan membeli poskad.

Di tempat tumpuan pelancong, poskad amat mudah diperoleh. Lagipun, poskad ialah cenderamata yang termurah bergantung kepada jenis dan saiz. Sewaktu di Iowa City, penulis mengambil masa yang agak lama sebelum menemui tempat menjual poskad. Hal ini disebabkan bandar ini bukanlah bandar pelancongan. Poskad dijual di tempat tertentu sahaja. Memandangkan Iowa City sinonim dengan nama bandar kampus kerana di sinilah letaknya Universiti Iowa, mencari poskad bertemakan suasana kampus lebih mudah di kedai buku universiti, seperti Iowa Book.

Mungkin pada orang lain, poskad ditulis kepada mereka yang ditinggalkan. Poskad boleh sahaja dibeli untuk dibawa pulang. Hal ini memanglah tidak dinafikan, malah penulis sendiri melakukan hal sedemikian setiap kali berada di luar negara. Sewaktu berada di Amerika Syarikat, khususnya semasa di Iowa City, penulis mengirimkan tidak kurang 50 hingga 60 keping poskad kepada keluarga dan sahabat di tanah air. Kebanyakan kad ini bersempena ucapan terima kasih atas sokongan dan dorongan agar penulis dapat menyertai International Writing Program selama 10 minggu di Universiti Iowa.

Namun begitu, penulis akan sentiasa mengirim poskad kepada diri sendiri sekurang-kurangnya sekeping poskad dari mana-mana tempat yang dilawati. Mungkin perbuatan mengirim poskad kepada diri sendiri dilihat sebagai perbuatan yang pelik tetapi percayalah, apabila poskad itu tiba dalam peti surat kita akan berasa amat teruja. Apatah lagi, pada zaman ini, boleh dikatakan tiada sesiapa lagi yang mengirim surat atau kad secara pos. Amalan menghantar poskad kepada diri sendiri ini telah penulis lakukan lebih 10 tahun yang lalu. Walaupun poskad itu dikirimkan dari tempat di dalam negara, misalnya, Pulau Langkawi, Pulau Tioman atau negara jiran yang terhampir, Singapura.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Khas Travelog

Kitar Semula Amalan Mulia

Oleh Salleh Hashim

BERBAU busuk dan pandangan jijik merupakan hal yang terpaksa ditempuh jika melalui tapak pengumpulan sampah di pinggir sebatang jalan. Situasi yang kotor jelas kelihatan apabila smapah bertaburan, ditambah lagi dengan kehadiran beberapa ekor anjing liar yang berkeliaran sambil menggonggong lampin pakai buang dan plastik sampah. Tempat atau tong untuk membuang sampah kelihatan kosong, tetapi sampah sarap di sekelilingnya bertaburan.

Situasi kedua, segelintir masyarakat menggunakan tapak itu sebagai tempat membuang bangkai binatang, termasuklah kucing dan ayam. Situasi yang ketiga pula, seorang individu kelihatan menyelongkar sampah sarap, sama ada di dalam tong sampah, di dalam plastik sampah atau sampah yang telah diletakkan di sekitar tong sampah yang telah dibuang ke tempat terbabit, untuk mencari bahan buangan, seperti tin aluminium dan besi buruk, yang dapat dijual.

Amat kontra dengan situasi “surat khabar lama, surat khabar lama …” frasa yang menjadi viral sejak dahulu. Frasa itu rupa-rupanya bukanlah hanya sebagai bahan gurauan. Usaha mengumpulkan surat khabar, tin aluminium, plastik, dan pelbagai bahan yang dapat dikitarkan semula merupakan amalan yang sungguh mulia. Pelbagai sumber tenaga dan barangan domestik dapat dikitarkan semula supaya dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan mengelakkan pembaziran. Menurut Akta Pengurusan  Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran. Sehubungan dengan itu, semudah-mudah langkah mengumpulkan surat khabar lama seperti yang dialkukan itu rupa-rupanya memberikan impak besar dalam membantu proses pembangunan dan kemantapan ekonomi sesebuah negara.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

Posted in: Isu Semasa

Martabatkan Golongan Orang Kurang Upaya

Oleh Samat Buang

DALAM masyarakat Malaysia, individu istimewa itu lebih merujuk individu yang berbeza daripada individu atau orang lain yang normal. Dalam erti kata lain, individu istimewa ialah mereka yang mempunyai kecacatan atau yang tidak memiliki keupayaan secara normal seperti individu normal. Atas sebab ini jugalah, mereka digolongkan dalam kategori orang kurang upaya (OKU) atau orang kelainan upaya.

Golongan OKU ialah sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai hak sama rata dan tidak sesekali dilihat sebagai golongan yang lemah. Secara ringkasnya, individu dengan ketidakupayaan didefiniskan sebagai kategori individu yang mempunyai masalah dari segi pembelajaran, emosi dan tingkah laku, masalah pendengaran atau penglihatan, masalah bahasa dan komunikasi, masalah fizikal dan kesihatan, autisme, pintar cerdas atau berbakat, dan juga masalah yang berkaitan dengan fungsi kognitif. Berdasarkan definisi tersebut, terdapat pelbagai kategori OKU dan pengelasan mereka berdasarkan pada kelainan dalam keupayaan atau ketidakupayaan mereka.

Definisi OKU digunakan untuk menggambarkan kelainan upaya seseorang itu sebagai individu dengan keupayaan tertentu dan mereka itu amat berbeza sekali atau lebih teruk ataupun lebih hebat daripada individu yang normal. Namun begitu, mereka itu tetap individu manusia yang memiliki hak dan keperluan yang sama, seperti yang dimiliki oleh individu normal. Mereka berhak untuk hidup secara sihat. Mereka berhak dilayan secara adil dan mereka juga berhak belajar, berkerjaya dan berkeluarga, sama seperti individu lain.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Isu Semasa

Penulis dan Pembaca Berlaga Bahu di Kota Iowa

Oleh Nisah Haron

SETELAH menjejaki beberapa buah Kota Sastera UNESCO dunia, penulis mendapati bahawa ada sesuatu yang unik bagi Kota Sastera Iowa City ini. Bagi Kota Sastera UNESCO, seperti Edinburgh, Melbourne, Dublin, Norwich dan Reykjavik, pengunjung akan dapat merasakan kewujudan suasana sastera itu melalui objek fizikal yang terdapat di bandar tersebut. Misalnya, bandar Edinburgh penuh dengan kedai buku, tugu penulis, muzium penulis, malah tempat duduk J.K. Rowlings di Elephat Cafe juga ditandakan sebagai “tempat kelahiran Harry Potter”.

Penulis mencari sesuatu yang seperti itu di Iowa City. Tidak banyak binaan yang mengabsahkan kewujudan Iowa City sebagai Kota Sastera. Amerika Syarikat sebagai negara yang relatif baharu berbanding dengan United Kingdom atau Iceland menyebabkan Iowa City mempunyai cara yang berbeza bagi menyatakan bahawa kota ini juga tidak kurang hebat berbanding dengan Kota Sastera yang lain. Kota ini tidak mempunyai tugu penulis, seperti Tugu Oscar Wilde di Merrion Square Park, Kota Sastera Dublin.

Setelah hampir 10 minggu penulis berada di Iowa City, dapat dilihat bahawa sastera merupakan cabang seni hidup dalam jiwa dan diri setiap individu yang berada di bandar ini. Selain kampus Universiti Iowa yang teranyam di dalam bandarnya, aktiviti sasteranya juga demikian. Kedai bukunya tidak banyak, tetapi berani menjual karya sastera. Karya popular dan ringan diletakkan di rak belakang. Pengunjung datang ke Iowa City kerana mahu menghadiri acara sastera atau mencari karya sastera.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Khas Travelog