Home » Jati Diri » Remaja Cemerlang

Anak Muda Mula Mendekati Puisi

Oleh Nur Intan Safinaz Amirrudin

PUISI merupakan genre sastera yang berisi ungkapan perasaan penyair yang mempunyai irama dan rima, serta diungkapkan dengan pemilihan kata yang cermat dan tepat. Karya sastera berbentuk puisi merupakan sarana komunikasi antara sasterawan dengan pembacanya. Puisi terbahagi kepada puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional mempunyai rima dan irama klasik, termasuklah syair, gurindam dan pantun, manakala puisi moden ialah sajak yang tidak terikat dengan apa-apa rima atau irama.

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai “khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukis kemanisan dan kecantikan bahasa dalam penulisan”. Definisi itu memperlihatkan dua ciri utama puisi. Yang pertamanya ialah sifat abstraknya, termasuklah kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Yang keduanya ialah sifat konkritnya, struktur dasar yang merupakan binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubung kait yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.

Puisi perlu memenuhi tiga ciri karya yang baik. Yang pertamanya, benar; pemuisi atau penulis puisi perlu menyatakan atau menegakkan kebenaran dalam karyanya. Yang keduanya, berfaedah; penulis perlu menerapkan nilai murni dan elemen yang berfaedah dalam puisi bagi memberikan manfaat kepada pembaca atau pendengar. Yang ketiganya, indah; penulis puisi perlu berfikiran kreatif dan kritikal ketika membuat pemilihan perkataan yang bersesuaian dan tidak bercanggah dengan norma masyarakat Timur. Penulis perlu menggunakan bahasa yang indah dan sopan serta mempamerkan ketinggian nilai budaya Melayu yang kaya dengan adab tatasusila.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

 

Posted in: Remaja Cemerlang

Jaringan Kawan Yang Perlu Dinilai

Oleh Mohd Khairul Riza Tuan Mohd. Yusop

MANUSIA ialah makhluk yang memerlukan orang lain untuk hidup. Manusia tidak dapat hidup sendirian. Kalaupun boleh, kehidupannya menjadi tidak sempurna. Manusia memerlukan keluarga, masyarakat, dan manusia lain untuk menjadi pelengkap kehidupannya. Antara manusia lain yang menjadi pelengkap kehidupan manusia termasuklah kawan ataupun rakan. Dalam jaringan sosial, istilah friend digunakan. Istilah dalam bahasa Inggeris itu mungkin lebih tepat digunakan kerana dalam bahasa Melayu, istilah sahabat, kawan, rakan, dan kenalan tentunya mempunyai maksud yang sedikit berbeza.

Dahulu agak sukar kita mahu berkawan dengan orang lain. Kita perlu mengenal orang tersebut. Daripada kenal itu, barulah persahabatan terjalin. Sekarang, dalam dunia Facebook, Twitter, WhatApps, Instagram, Telegram dan bermacam-macam lagi medium komunikasi, tanpa kita mengenalnya dengan lebih mendalam, kita sudah boleh membina hubungan sebagai kawan. Dunia jaringan sosial membuatkan kita berkawan dengan sesiapa sahaja yang menerima kita sebagai kawan tanpa sempadan geografi. Kita boleh berkawan dengan selebriti atau tokoh terkenal tanpa kita berhadapan dengannya terlebih dahulu. Maknanya, berkawan menjadi semakin mudah tanpa dihalang oleh tembok darjat, kekayaan dan status.

Mudahnya berkawan pada era tanpa sempadan ini tentunya mempunyai posisi positif dan negatif. Sebagai manusia yang diberi akal, kita tentu mampu membuat keputusan untuk lebih mengambil sifat positif berbanding dengan negatif. Daripada sifat positifnya, berkawan dalam jaringan sosial ini mendekatkan kita dengan seluruh manusia di dunia ini tanpa mengira batasan. Kita di Malaysia mampu membina hubungan kawan dengan individu lain di Rusia, misalnya. Tentunya hal ini sudah berbeza daripada konsep membina hubungan kawan pada suatu ketika dahulu yang kebanyakannya terjalin dengan orang yang berada di sekitar kita sahaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Bakat dan Potensi Penulisan Harus Diasah

Oleh Shasha Shakierah

BIDANG penulisan bukanlah cabang seni yang dikejar oleh golongan remaja pada hari ini. Penglibatan diri dalam seni penulisan pula jauh berbeza daripada seni yang lain. Bergelar penulis tidaklah menjadikan seseorang tersohor dalam sekelip mata. Penulis tersohor yang sedia ada juga mengambil masa bertahun-tahun untuk menempatkan nama mereka dalam dunia penulisan. Golongan penulis yang cekal, beriltizam, dan serius sahaja yang akan kekal sebagai penulis. Sesiapa sahaja boleh menulis, tetapi tidak semua orang mampu menajamkan pemikiran untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Seseorang penulis bebas berkarya dan menulis untuk meluahkan buah fikir dan gejolak perasaan, mencatat pengalaman, menyampaikan berita atau menggambarkan daya imaginasi serta kreativiti yang tersendiri. Tidak ada had umur untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan. Seseorang tidak memerlukan sijil kelayakan untuk bergelar penulis. Penulis harus membuktikan kemampuan melalui rasa tanggungjawab menyampaikan mesej atau maklumat dengan tepatnya.

Bagi menghasilkan karya yang bermutu, penulis perlu banyak membaca dan mengutip ilmu melalui pengalaman sendiri atau orang lain. Komunikasi yang berkesan dapat meningkatkan pengetahuan dan menyelami pengalaman orang lain untuk diubah dalam bentuk penulisan. Ada masanya penulis juga perlu berimaginasi untuk menambahkan perisa dalam karya. Ilmu melalui hasil penulisan akan terus mengalir dan diwarisi sepanjang hayat. Sesuatu karya yang dihadamkan dan dicerna dapat mendewasakan pemikiran, memperkasakan ragam bahasa, serta memperkemas struktur naratif.

Untuk menjadi penulis, seseorang perlu memperbanyak bacaan dan dapatan bahasa dalam pelbagai aspek kehidupan. Karya yang unik dan berbeza daripada orang lain pastinya menjadi pilihan pembaca. Kepuasan yang diperoleh bagi penulis adalah apabila karyanya dihargai dan dijadikan sumber rujukan. Penulis perlu bijak menggunakan bahasa dalam karya yang dihasilkan. Bahasa yang baik dapat mengukuhkan keindahan karya seseorang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Membudayakan Sukan dalam Masyarakat

Oleh Lokman Ismail

BERSUKAN, bersenam, atau beriadah merupakan keperluan setiap individu. Aktiviti sukan melahirkan individu yang sihat, harmoni, dan berinteraksi antara satu sama lain. Bersukan juga merupakan aktiviti masa senggang yang berfaedah.

Aktiviti bersukan bukan sekadar untuk menyertai pertandingan. Sesiapa sahaja perlu bersukan untuk kesihatan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa aktiviti bersukan ditingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Memang menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang memenangi pingat atau anugerah pada peringkat antarabangsa.

Sejarah pertandingan sukan bermula sejak tamadun Yunani dan Greek beribu-ribu tahun yang lau, melibatkan sukan olahraga, berkuda dan permainan lain. Pertandingan sukan diadakan sebagai cara mengukur atau menentukan keperwiraan dan kecemerlangan hidup rakyat. Individu yang berjaya akan mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada masyarakat.

Kini terdapat beribu-ribu jenis permainan di seluruh dunia yang melibatkan pelbagai konsep, bentuk dan tujuan. Jenis sukan akan bertambah apabila permainan atau aktiviti baharu yang dimulakan oleh individu atau kumpulan tertentu mendapat perhatian banyak pihak.

Untuk menggalakkan lebih banyak individu dan pasukan menyertainya, maka permainan itu dijadikan sebagai sebahgian daripada acara yang dipertandingkan dalam acara sukan pada peringkat tempatan, negara, dan seterusnya antarabangsa.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Mengelakkan Pengangguran Graduan

Oleh Firdhaus Hassan

TUJUAN utama melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi adalah untuk mendapatkan pekerjaan. Pekerjaan yang baik membolehkan graduan memperoleh gaji yang tinggi bagi memenuhi keperluan dan kehendak yang tidak terhad dalam kehidupan. Apabila menyusuri suasana ekonomi negara terkini dengan peningkatan kos hidup yang mendadak, isu pengangguran dalam kalangan graduan menjadi masalah yang patut diselesaikan dengan kaedah yang bijaksana.

Berdasarkan Laporan Kajian Penilaian Program Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA): Keberkesanan dan Kerelevanan dari Aspek Permintaan dan Penawaran (2013), terdapat program yang ditawarkan di IPTA yang berpotensi tinggi bagi kebolehpasaran pada masa hadapan. Hal ini bermakna program berkenaan mempunyai prospek kerjaya yang tinggi dengan keperluan tenaga kerja yang banyak. Program ini termasuklah Pengajian Islam, Bahasa Inggeris, Seni Reka Grafik, Seni Muzik, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Perakaunan, Pelancongan, Pendidikan Jasmani dan Sukan serta Teknologi Vokasional.

Program tersebut telah pun ditawarkan di kebanyakan universiti yang merujuk hasil dapatan kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pelajar yang bijak akan sensitif terhadap perubahan pola penawaran program oleh IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang membolehkan mereka mengetahui bidang kerjaya dengan permintaan tinggi dalam pasaran kerja. Kajian pasaran yang dilaksanakan oleh mana-mana institusi menghasilkan dapatan yang sahih demi kepentingan masa hadapan. Begitu juga dengan sebarang dasar yang dibuat oleh kerajaan akan bersandarkan hasil dapatan daripada pelbagai kajian sebelum diimplementasikan kepada masyarakat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

 

Posted in: Remaja Cemerlang

Azam Melakukan Kebaikan

Oleh Lokman

YUSOF Qaradhawi berkata: “Mensia-siakan waktu, walaupun hanya sedetik, sama halnya dengan mensia-siakan kehidupan. Bagi seseorang Muslim, sedetik sahaja dia tidak dapat memanfaatkan waktunya, maka akan kehilangan sebahagian daripada kehidupannya.”

Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap individu meningkatkan usaha dan nilai kehidupan setiap masa, sehari demi sehari, dan setahun demi setahun sehinggalah meninggal dunia. Setiap detik kehidupan memerlukan hijrah atau perubahan ke arah kebaikan yang tiada hentinya.

 Masa untuk berubah tidak kira waktu. Setiap perkara buruk perlu digantikan oleh kebaikan dengan segera. Mana yang baik dikekalkan atau ditambahkan lagi. Inilah yang dimaksudkan hijrah perlu dilakukan sepanjang masa. Jika kita bertangguh, maka akan ada kebaikan yang dicapai berkurangan jumlahnya berbanding dengan yang sepatutnya atau keburukan akan terus berlaku sehingga menambahkan lagi kerugian.

Namun begitu, kita tentu lebih teruja untuk melakukan perubahan setiap kali angka tahun berubah. Mungkin perubahan itu melibatkan sesuatu azam yang lebih besar dan khusus. Perkara ini tidak salah sekiranya untuk tujuan kebaikan. Tindakan menjadikan sambutan tahun baharu atau awal tahun sebagai pencetus semangat memang digalakkan.

Sesungguhnya, kita harus menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baharu yang memerlukan semangat, iltizam, dan cita-cita untuk menghadapinya. Hanya orang yang tabah dapat menghadapi setiap cabaran hidup dengan baiknya. Hidup ialah perlumbaan untuk merebut peluang yang ada yang akan dimenangi oleh individu yang pantas dan bijak merebutnya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Kurang Tidur Boleh Membawa Maut

Oleh Nusaibah Kaab

TIDUR merupakan aktiviti rutin dalam kehidupan satiap makhluk di dunia, khususnya kepada manusia. Tidur juga ibarat mesin pengecaj semula jadi kepada seseorang untuk bertenaga setelah seharian penat menjalankan pelbagai aktiviti. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, generasi Y ini semakin bercelaru waktu tidurnya. Yang lebih membimbangkan, ada segelintir golongan ini tidak melihat aktiviti tidur sebagai perkara yang baik kepad adiri mereka.

Tidur yang cukup pada waktu malam penting untuk memulihkan diri dan mengembalikan kecergasan fizikal dan mental kepada individu. Tempoh waktu tidur nyenyak pula perlulah serasi dengan jam biologi badan, iaitu sekurang-kurangnya dari pukul 11 malam hingga 2 pagi. Walau bagaimanapun, tidur yang berlebihan turut mengancam nyawa dan kesihatan seseorang.

Menurut penyelidik dari Barat, masalah tidur tidak teratur dan tidak cukup waktunya atau deprivasi tidur semakin meningkat, khususnya dalam kalangan remaja. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang mendapati bahawa seorang daripada setiap lima orang responden berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 orang mengalami keletihan berpanjangan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

UNIVERSITI YANG BOLEH DIBAWA KE MANA-MANA

Oleh Kamal Sujak

MINAT terhadap fesyen dan telefon pintar menjadi keterujaan kepada para remaja. Oleh itu, ketahuilah bahawa membaca itu merupakan gaya hidup yang perlu ada jika anda ingin berjaya dan berilmu dalam segala bidang yang anda minati. Membaca mampu mewujudkan nilai tambah terhadap minat individu kerana setiap perkara di dunia ini mempunyai sumber maklumat khusus atau buku yang diterbitkan mengenainya.

Istilah gaya hidup pada asalnya dicipta oleh ahli psikologi Austria, Alfred Adler, pada tahun 1929. Pengertiannya yang lebih luas, sebagaimana yang difahami pada hari ini, mula digunakan sejak tahun 1961. Tingkah laku dan amalan gaya hidup merupakan campuran tabiat, cara lazim membuat sesuatu, serta tindakan berdasarkan logik. Gaya hidup biasanya membayangkan sikap, nilai, dan pandangan dunia seseorang. Oleh itu, gaya hidup ialah cara untuk memupuk konsep kendiri serta mencipta simbol kebudayaan yang menggemakan identiti peribadi. Namun begitu, bukan semua aspek gaya hidup bersifat sukarela sepenuhnya. Sistem sosial dan teknikal di sekeliling boleh menyekat pilihan gaya hidup serta simbol yang dapat digunakan untuk menonjolkan gaya hidup kepada orang lain dan diri sendiri.

Bayangkanlah jika kita mampu memperuntukkan hanya 30 minit untuk membaca setiap hari dan apakah yang akan kita peroleh dengan pelaburan masa itu untuk tempoh setahun? Sudah pasti banyak sekali perkara baharu yang akan kita pelajari dan memberikan manfaat untuk kehidupan kita.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Posted in: Remaja Cemerlang

MEMBINA DAN MEMPERKASAKAN SIFAT POSITIF REMAJA

Oleh Lokman Ismail

REMAJA sentiasa dilihat dengan prejudis. Bertemu dengan teman sebagai dilabelkan melepak; apabila menyuarakan perasaan, dikatakan kurang ajar; menunggang motosikal dikatakan “merempit”; dan berambut panjang terus dikatakan muka penjenayah. Semua label ini ditujukan kepada remaja, kononnya berdasarkan perkara yang banyak berlaku sekarang.

Isunya ialah persepsi kita banyak menjurus kepada prejudis terhadap remaja. Berapakah jumlah bilangan remaja yang dikategorikan bermasalah dan gagal dididik? Adakah wajar dan adil untuk mereka menerima pandangan serong daripada khalayak yang terjerat dengan pendedahan statistik, yang sepatutnya tidak menggambarkan remaja secara keseluruhannya?

Memang benar wujud kelompok remaja yang bermasalah di negara kita. Mereka terlibat dengan pelbagai jenayah, termasuklah dadah, rogol, kongsi gelap dan merompak. Tahap jenayah mereka menyamai apa-apa yang dilakukan oleh orang dewasa sehingga kita sukar mempercayai perbuatan itu dilakukan oleh remaja.

Kejadian tersebut yang dilakukan oleh sebilangan kecil remaja tidak sepatutnya membuatkan kita merumuskan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh kebanyakan remaja. Kita kena menjadi individu yang realistik bahawa tuduhan yang melulu tidak akan mengubah keadaan. Kebencian dan pandangan negatif tidak akan mengubah apa-apa, bahkan dapat membawa keadaan lebih buruk.

Tanpa berhasrat untuk menafikan realiti bahawa wujudnya kalangan remaja yang tidak bermoral, kita perlu berlaku adil kepada remaja lain yang bukan dalam golongan ini. Kita mendefinisikan bermacam-macam perilaku buruk terhadap remaja dan mereka yang tidak mempunyai kuasa untuk membetulkan persepsi terhadap mereka ini. Lebih banyak pihak yang menyalahkan mereka daripada berusaha untuk membantu mereka ke arah lebih baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

VAPE: Ancaman Baharu Negara

Oleh Nusaibah Kaab

VAPE! Satu lagi budaya baharu yang semakin digilai rakyat Malaysia khususnya golongan remaja. Fenomena ini semakin hari semakin rancak diperkatakan kerana kebiasaannya hanya kaum Adam sahaja yang menghisapnya, tetapi kali ini kaum Hawa turut terpalit dengan permasalahan ini.

Mengapakah penulis mengatakan fenomena ini sebagai masalah? Hal ini dikatakan demikian kerana, Vape atau Personal Vaporizers atau E-Cig sama sahaja bahananya seperti rokok, shisha atau ganja. Jika diamati dengan teliti, vape ini hanya popular dan dikenali di tanah air sahaja. Malah dikatakan vape yang kebanyakan diimport dari negara Tembok Besar ini tidak langsung mendapat tempat oleh penduduknya.

Persoalannya mengapakah hal ini boleh berlaku? Mengapakah berlakunya pertembungan kata putus daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang melabelkan vape sejenis rokok elektronik yang sama bahayanya dengan rokok biasa manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia bersetuju vape dikomersialkan?

Pada awal Disember yang lalu, sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah dengan mengharamkan penjualan vape di semua daerah taklukannya. Hal ini merupakan satu langkah yang cukup baik. Pihak istana melihat kesan budaya vape ini mampu merosakkan akhlak, sahsiah dan kehidupan masyarakat khususnya remaja. Jika dilihat dari segi statistik, menunjukkan jumlah perokok dan penggemar vape merupakan mereka yang berada dalam kelompok remaja iaitu daripada usia 15 tahun hingga 25 tahun.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang