Home » Jati Diri » Motivasi Diri

Biarlah Salah Sekarang

Oleh Osman Affan

 Kesilapan lalu, jika dibetulkan, mampu menjadi panduan kepada kehidupan sekarang dan pemangkin kejayaan pada masa akan datang.~Osman Affan~

 Sebagai pelajar, adakah anda biasa berhadapan dengan masalah takut melakukan kesilapan? Pernahkah anda takut melakukan sebarang kesalahan sehingga anda tidak mahu berbuat apa-apa? Sebagai contoh, apabila guru anda bertanya di hadapan kelas, pernahkah anda tidak mahu menjawab kerana takut salah sedangkan anda rasa bahawa anda mengetahui jawapan tersebut?

          Masalah takut membuat salah ini sangat biasa dalam kalangan pelajar, terutamanya dalam kalangan pelajar cemerlang. Bagi pelajar ini, daripada salah, lebih baik diam dan tidak berbuat apa-apa. Sekurang-kurangnya, tidak berbuat apa-apa dapat menyelamatkan diri daripada malu apabila salah atau dimarahi apabila melakukan kesilapan. Namun begitu, benarkah dengan tidak melakukan kesalahan, pelajar akan menjadi lebih berjaya dalam kehidupan? Sudah tentu tidak!

          Percaya atau tidak, melakukan kesalahan atau kesilapan ialah sebahagian besar daripada proses mempelajari sesuatu. Sebagai buktinya, bayangkan kanak-kanak kecil yang baru mahu belajar berjalan. Adakah mereka pada satu pagi sewaktu bangun tidur, terus berdiri, berjalan dan terus berlari? Tidak, bukan? Jika kita perhatikan, kanak-kanak kecil yang baru belajar berjalan akan melakukan banyak kesalahan dan kesilapan yang membuatkan mereka terduduk, terjatuh, dan kadang-kadang tersungkur.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Posted in: Motivasi Diri

Empat Langkah Membaca Buku dengan Lebih Berkesan

Oleh Osman Affan

“Pelajar yang membaca ialah pelajar yang berfikir. Pelajar yang berfikir ialah pelajar yang berjaya. Pelajar yang berjaya boleh mencapai apa-apa sahaja dalam hidupnya.” ~Osman Affan~

Sungguh pantas masa berlalu. Sedar tidak sedar, tahun baharu menjelma lagi. Perkara popular yang dilakukan pada awal tahun ialah menetapkan azam baharu atau matlamat baharu untuk apa-apa yang mahu dicapai pada tahun ini. Namun demikian, apa kata kita mulakan tahun ini dengan sesuatu yang berbeza?  Apa kata kita mulakan tahun ini dengan menguasai satu kemahiran penting yang selalu diabaikan oleh pelajar? Kemahiran itu ialah strategi untuk membaca buku dengan lebih berkesan.

Bagi kebanyakan pelajar, membaca buku atau majalah bukanlah perkara yang sukar. Mereka sudah mula membaca sejak kecil lagi. Namun demikian, yang menjadi masalah ialah kebanyakan pelajar mudah lupa akan apa-apa yang telah dibaca dan mudah hilang fokus semasa membaca, terutamanya semasa membaca buku yang tebal. Jadi, mari kita pelajari empat langkah untuk membaca buku dengan lebih berkesan.

Langkah pertama, sebelum anda membaca buku, majalah, artikel atau apa-apa bahan bacaan, penuhkan minda anda dengan soalan. Tanya diri anda beberapa soalan yang berkaitan dengan apa-apa yang bakal anda baca. Sebagai contoh, jika anda sedang membaca buku sejarah topik kemerdekaan, tanya diri anda apa-apa yang anda tahu tentang topik tersebut. Soal diri anda, apa maksud kemerdekaan, apa berlaku sebelum kemerdekaan, siapa yang merdeka, dan siapa yang menjajah? Lebih baik lagi, lihat soalan yang ada di bahagian soalan topikal buku tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2017)

Posted in: Motivasi Diri

Tidak Cukup Masa

Oleh Osman Affan

DALAM dunia motivasi dan teknik belajar berkesan, antara teknik belajar yang popular dan selalu dicari oleh banyak orang termasuklah teknik pengurusan masa berkesan. Sejak sekolah rendah hingga peringkat pengajian tinggi, pelajar sentiasa mendengar perihal kepentingan mengurus masa dengan baik dan berkesan.

Namun begitu, percaya atau tidak, walaupun topik ini sentiasa hangat dibincangkan dalam kalangan guru dan pelajar, tidak banyak orang sebenarnya yang tahu akan apa-apa yang terkandung dalam teknik pengurusan masa berkesan.

Satu perkara yang menarik, apabila penulis mengembara ke seluruh Malaysia dan bertemu dengan pelajar pada peringkat sekolah rendah hingga universiti, kebanyakan pelajar hanya mengaitkan teknik pengurusan masa dengan teknik membuat jadual harian. Maksudnya, jika ditanya kepada pelajar, “apakah yang mereka tahu tentang teknik pengurusan masa?”, mereka akan memberikan jawapan yang berkaitan dengan teknik membuat jadual harian.

Benar, jawapan itu tidak salah. Teknik membuat jadual harian merupakan sebahagian daripada teknik pengurusan masa yang berkesan. Namun begitu, pelajar sepatutnya mengetahui bahawa teknik pengurusan masa jauh lebih besar daripada teknik membuat jadual harian sahaja. Oleh itu, pada kali ini, mari kita membincangkan salah satu topik yang penting dalam teknik pengurusan masa. Topik ini merupakan aktiviti yang perlu diberi keutamaan.

 ***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Biarlah Mereka Berkata Apa-Apa Sahaja

Oleh Osman Affan

“Biarlah mereka mengumpat, biarlah mereka mengeji. Asalkan saya sentiasa ingat tujuan saya berada di sini.” ~ Osman Affan~

SECARA umumnya, penulis dapati bahawa pelajar yang ditemui sangat takut jika dikutuk, disindir, atau diejek oleh kawan mereka. Sebagai contoh, semasa seminar, jika penulis meminta pelajar secara sukarela untuk berdiri dan membaca contoh jawapan, kebanyakan pelajar hanya duduk dan berdiam diri. Yang agak menyedihkan ialah pelajar ini sebenarnya mempunyai jawapan yang sangat baik dan menarik.

Mengapakah hal ini berlaku? Mudah sahaja. Kebanyakan pelajar yang penulis temui, pelajar Melayu terutamanya, sangat takut jika diejek atau disindir oleh kawan mereka. Mereka mempunyai perasaan bimbang jika bangun dan memberikan jawapan, ada kemungkinan jawapan mereka tidak bagus dan akan diketawakan oleh kawan sekelas yang lain.

Mereka juga bimbang jika bangun dan memberikan jawapan, kawan akan mengejek kerana kelihatan seperti mahu “menunjuk pandai” dalam seminar. Bagi mengelakkan diri daripada diejek dan dimalukan, mereka lebih rela berdiam diri walaupun sangat pandai, berbakat, dan mempunyai jawapan yang sangat baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Yakin Tetapi Tidak Berlagak

Oleh Osman Affan

Bagi pelajar yang biasa membaca buku motivasi dan menghadiri seminar motivasi, pasti mereka sudah belajar banyak teknik untuk meningkatkan keyakinan diri. Antara yang dipelajari termasuklah jika mahu merasa lebih yakin, anda perlu berani memuji diri sendiri. Anda juga perlu berani mengaku bahawa anda orang yang sangat hebat dan pasti boleh berjaya.

Teknik ini sangat bagus jika diaplikasikan. Namun begitu, ada masanya teknik ini digunakan dengan cara yang tidak tepat sehingga membuat anda kelihatan seperti orang yang sombong dan berlagak. Bayangkan anda berkata begini di hadapan kawan-kawan anda, “Aku pelajar yang bijak, genius, dan paling pandai di sekolah ini!” Bayangkan reaksi mereka. Adakah mereka akan terfikir bahawa anda orang yang positif dan bermotivasi tinggi atau anda sombong, suka cakap besar dan patut dijauhi?

Adakah hal ini bermaksud teknik motivasi memuji diri sendiri tidak bagus atau tidak berkesan? Mari kita bincangkan. Dari sudut psikologi dan keyakinan diri, memuji diri sendiri dan mengeluarkan kenyataan hebat tentang diri sendiri merupakan teknik yang terbukti berkesan. Teknik ini mampu meningkatkan keyakinan diri. Namun begitu, teknik ini juga boleh memberikan kesan yang negatif apabila anda menggunakannya di hadapan kawan atau sesiapa yang tidak dikenali.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Konsep Pertandingan Merentas Hutan

Oleh Osman Affan

“Biarlah kita susah mengejar kejayaan daripada kita resah bertemankan kegagalan.” ~Osman Affan~

ADAKAH anda pernah mengikuti aktiviti pertandingan merentas hutan? Aktiviti ini selalunya dimainkan secara berkumpulan, terutamanya jika terdapat aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan beruniform sekolah. Yang berlaku ialah pertamanya, pelajar dibahagikan mengikut kumpulan. Kemudian kumpulan ini diberi tugasan untuk disiapkan sambil berjalan melalui denai atau lorong di dalam hutan yang telah ditetapkan.

Kumpulan yang menang ialah yang berjaya menyiapkan tugasan dan yang paling awal sampai di garisan penamat. Namun begitu, satu perkara utama perlu diingat oleh setiap kumpulan. Perkara tersebut ialah mereka hanya akan dikira sebagai sampai ke garisan penamat jika kesemua ahli kumpulan turut sampai dalam masa yang sama.

Maksudnya, jika satu kumpulan itu mempunyai 10 orang ahli dan hanya lima orang daripada ahli mereka paling awal sampai di garisan penamat, mereka masih tidak boleh dikira sebagai menang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka perlu menunggu lima orang ahli kumpulan yang lain untuk turut serta di garisan penamat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2016)

 

Posted in: Motivasi Diri

PETUA MERANCANG KEJAYAAN

Oleh Osman Affan

KEJAYAAN mempunyai definisi yang berbeza bagi setiap orang. Ada orang yang mendefinisikan kejayaan sebagai hidup yang mempunyai harta yang melimpah-ruah. Ada yang mendefinisikan kejayaan dengan hidup yang sihat dan keluarga yang bahagia. Ada orang yang mendefinisikan kejayaan sebagai kebolehan untuk menjatuhkan atau menggagalkan orang lain.

Namun begitu, sebagai pelajar, kejayaan selalunya didefinisikan sebagai mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Adakah sesuai kita gunakan ukuran sebegini sebagai definisi kejayaan? Katakan anda mahu berjaya dan kejayaan bagi anda ialah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Setelah anda mendefinisikan maksud kecemerlangan buat diri, akan timbul soalan yang sangat besar dalam minda anda. Bagaimanakah anda boleh mengecap kejayaan tersebut?

Terdapat tiga langkah yang boleh diambil untuk mencapai kejayaan. Langkah pertama ialah and aperlu tahu akan apa-apa yang dimaksudkan dengan kejayaan. Berapa banyak pelajar yang gagal mencapai kejayaan kerana tidak pernah berfikir dengan jelasnya maksud kejayaan buat mereka?

Berita baik untuk anda ialah anda sudahpun melakukan langkah pertama pada awal artikel ini. Kejayaan buat anda yang ingin kita bincangkan di sini ialah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Jelas, bukan? Jika anda mahu lebih jelas, tulis di atas kertas keputusan bagi setiap subjek yang anda inginkan. Tulis gred dengan markahnya sekali.

Langkah kedua perlu dilakukan ialah membuat senarai dua perkara. Perkara pertama ialah senarai aktiviti yang perlu and alakukan untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Senaraikan sebanyak mungkin tentang perkara ini. Jika boleh, senaraikan antara 20 hingga 40 perkara yang boleh anda lakukan sekarang agar anda mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Hal ini akan memberi anda gambaran dan panduan ke arah mencapai matlamat untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Posted in: Motivasi Diri

MASALAH DOA TIDAK DIMAKBULKAN

Oleh Osman Affan

PADA keluaran kali ini, penulis ingin berkongsi dengan pembaca berkenaan dengan doa. Kita akan berdoa pada setiap hari. Kadang-kadang kita berasa seolah-olah doa itu tidak dimakbulkan. Adakah pernah timbul rasa kecewa dan putus asa kerana apa-apa yang didoakan tidak pernah muncul dalam kehidupan?

Persoalannya, adakah doa itu benar-benar tidak dimakbulkan? Atau ada atau tidak kemungkinan bahawa doa itu sebenarnya telah dimakbulkan, tetapi kita langsung tidak menyedarinya? Mari kita fikirkan bersama-sama.

Beberapa tahun yang lalu, semasa penulis masih belajar, iaitu pada peringkat Sarjana Pendidikan, Kaunseling dan Bimbingan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, seorang pensyarah mengajar penulis tentang satu perkara menarik berkenaan dengan doa. Menurut pensyarah ini, apabila kita berdoa, ada ketikanya doa kita itu dimakbulkan tanpa kita sedari.

Sebagai contoh, katakan kita berdoa untuk dikurniai akal yang bijak dan kebolehan berfikir yang sangat cemerlang. Apabila kita berdoa untuk perkara ini, adakah tiba-tiba sahaja otak menjadi bijak dan kita menjadi sangat hebat semasa berfikir? Sudah tentu tidak, bukan?

Menurut pensyarah ini lagi, apabila kita berdoa untuk dikurniai akal yang bijak, apa-apa yang berlaku ialah kita akan dihadapkan dengan masalah dan cabaran. Tanpa kita faham akan sebabnya, kita mula berhadapan dengan masalah dan cabaran yang tidak pernah dihadapi selama ini. Sebagai akibatnya, untuk membebaskan diri daripada masalah dan cabaran itu, kita perlu berfikir dan berusaha dengan bijaknya. Jika kita tidak mengarahkan otak bekerja untuk berfikir, sudah tentu kita tidak akan berjaya melepaskan diri daripada belenggu masalah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Motivasi Diri

Tulis Azam Tahun Baharu dengan Jelas

Oleh Osman Affan

SYUKUR, tahun baharu bermula lagi. Apabila tahun baharu sudah bermula, topik paling hnagat yang sering diperkatakan ialah berkenaan azam tahun baharu. Bagaimana dengan anda? Sudah ada azam tahun baharu yang jelas? Jika azam tahun baharu sudah ada, soalan paling besar yang perlu anda fikirkan ialah bagaimana untuk benar-benar mencapainya tahun ini?

Kali ini kita akan melihat konsep azam tahun baharu daripada satu sudut yang sedikit berbeza. Mari kita lihat dan fikirkan tentang rahsia dalam menjadikan azam tahun baharu sebagai satu realiti. Maksudnya, jika anda merupakan seorang pelajar yang berazam untuk mendapat gred A dalam semua subjek pada tahun ini, apakah rahsia mencapai azam yang perlu anda tahu? Apakah yang perlu anda lakukan agar harapan ini benar-benar menjadi kenyataan?

Baiklah. Banyak buku psikologi dan rahsia kejayaan membincangkan mengenai rahsia dan perkara penting yang perlu dilakukan agar kita mampu menjadikan azam kita satu realiti. Di sini, dikongsi satu rahsia terbesar daripada perkara tersebut.

 Rahsia terbesar dalam mencapai azam tahun baharu ialah apa-apa sahaja azam yang mahu dicapai mestilah sangat jelas. Kebanyakan azam yang dimiliki oleh pelajar mahupun orang dewasa selalunya kurang jelas dan sukar dipastikan apakah maksud sebenar azam tahun baharu tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Motivasi Diri

PANDUAN DI DEWAN PEPERIKSAAN

Oleh Zulfazlan Jumrah

PEPERIKSAAN sentiasa menjadi detik yang paling mendebarkan dalam kehidupan seseorang. Apa tidaknya, peperiksaan selalunya dikaitkan dengan hala tuju hidup seseorang itu setelah slip keputusan peperiksaaan berada dalam genggaman. Dalam era pendidikan moden, meskipun slip peperiksaan bukan lagi menjadi penanda aras kejayaan dalam hidup seseorang itu, namun begitu dalam sistem pendidikan nasional di Malaysia yang mempunyai beberapa jenis peperiksaan “besar” seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Malaysian Universiti English Test (MUET), keputusan yang cemerlang tetap menjadi sasaran yang sentiasa didambakan.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Motivasi Diri