Home » Nukilan Kreatif

Ku Merindui Cahaya Terang

Oleh   Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime

“Prang!” Kedengaran bunyi sesuatu jatuh ke lantai lalu pecah. Abu dan rakan-rakannya melarikan diri dari tempat itu. Mereka baru sahaja membuli seorang pelajar baharu dan telah menyebabkan beberapa keping tingkap kaca pecah. Di belakang mereka, kelihatan Cikgu Rosli, guru disiplin sekolah itu sedang membantu pelajar yang terkulai di atas tanah dengan baju yang kotor dan bibir yang pecah.

Abu ialah seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di tengah bandar. Terkenal dengan sikapnya yang berlagak samseng sehingga digelar “Abang Taiko”. Merupakan anak tunggal seorang usahawan berjaya di Malaysia.

 “Abu! Apa kita nak buat sekarang? Habislah kita … kali ini, mesti kita tertangkap,” kata orang kanan Abu, Hamra. Abu memberhentikan lariannya apabila mereka tiba di belakang sekolah, di hujung padang. Rakan-rakannya yang lain, Kok Meng, Siva dan Ausif juga memberhentikan larian mereka.

  “Kau orang jangan risau la … esok, kita kumpul depan sekolah, kita lepak dekat pasar raya. Kita tukar baju, baru kita pergi. Aku bawa kereta ayah aku,” balas Abu. Selamba.

“Habis, sekarang apa yang kita nak buat?” tanya Ausif. Dia bimbang Cikgu Rosli membuat pengumuman meminta mereka berlima datang ke pejabat. Kok Meng dan Siva yang hanya berdiam diri mula tidak senang duduk.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2017)

Bulan di Gifford Avenue

Oleh   Mawar Safei

“DIA ada di sana. Lihat anakku, Dia ada di sana,” tunjuk emak. Bulan penuh yang tergantung. Saya mendongak lama, sehingga lenguh leher membawa saya kembali ke mata emak. Saya yakini mata mulia itu tidak pernah berdusta. Malah, seperti dalam satu puisi sasterawan negara asal kami, dibariskan yang indah ini, ketika malam kulihat matamu pada bintang. Seperti mencari Dia di dalam gelungan bulan, saya juga gagal menemukan sebarang bintang di padang langit malam itu. Atau kami harus ke tapak pencerapan bintang, Stardome di Manukau untuk merenung dengan penuh asyik bintang, bulan dan apa-apa sahaja dalam wilayah cakerawala.

Saya hampir tidak dapat melihat apa-apa pada si bulat genap yang bercahaya cantik itu, selain rindu yang tidak terpermanai. Rindunya saya yang jika dapat dilaungkan sehingga dapat didengar talunnya di wilayah bulan sana. Kami baru meraikan 12 Rabiulawal. Emak banyak menceritakan keindahan susuk lelaki pemimpin agung kami yang bernama Muhammad bin Abdullah. Dia Rasulullah yang tidak pernah ada keangkuhan dalam hatinya. Dia selalu memperkenalkan dirinya sebagai anak perempuan suku Quraisy yang memakan daging kering, cerita Ibnu Majah dan al-Thabrani lewat al-Ausath yang emak ulang acap kali.

  “Nah, jadilah sepertinya, anakku. Usah benarkan angkuh dan sombong meraja dalam dadamu. Tidak ada si sombong di dalam syurga.”

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2017)

Pendakian Tujuh Gunung

Oleh   Sallehuddin Ibrahim

HUJAN semakin lebat diiringi titisan air memecah kesunyian. Penghuni kembali ke dalam sel setelah selesai tugas di bengkel perusahaan atau menjalani program pemulihan yang diaturkan untuk mereka.

          Seperti yang telah dijadualkan oleh Inspektor Kamal, aku diberi peluang bertemu Pak Abu, banduan yang telah didapati bersalah oleh mahkamah terlibat dalam jenayah rompakan dengan menggunakan senjata api. Hukuman yang dijatuhkan kepada Pak Abu, iaitu dipenjara sepanjang hayat. Sudah 25 tahun beliau bergelar banduan dan usianya kini mencecah 56 tahun.

          “Assalamualaikum.” Perkataan pertama yang aku dengar daripada Pak Abu setelah pintu bilik diketuk dan muncul seorang yang berwajah tenang. Susuk tubuh yang sederhana dengan baju putih berkolar biru kini sudah berada di hadapan aku.

          “Waalaikumusalam.” Aku membalas doa dalam ucapan salam. Berdiri dan berjabat tangan dengan Pak Abu. Meja memisahkan kami. Tidak seperti di bilik perjumpaan banduan yang komunikasi hanya melalui interkom dan terhalang oleh dinding kaca. Sebagai memenuhi syarat keselamatan, aku ditemani seorang pegawai penjara dan jurugambar dalam sesi wawancara serta lawatan ke kawasan penjara.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Impian Abah

Oleh   Hafinie Yahya

Senyuman abah terukir manis di mata hatiku. Syahdu kian terasa setiap kali aku mengingati dan mengenang abah. Aku memandang sepi potret lama abah yang tergantung di dinding ruang tamu rumah. Masa bagaikan terhenti. Segalanya terasa kosong. Kenangan manis bersama-sama abah sentiasa berlegar dalam mindaku.

          Sudah sebulan abah pergi menemui Pencipta. Air mataku tidak dapat dibendung setiap kali wajah abah terbayang di ruang mata. Hari pertama aku mengenali dunia menjadi hari terakhir untuk arwah ibu. Ibu meninggal dunia setelah menyabung nyawa melahirkan aku. Perkara itu yang diceritakan oleh abah. Setelah peristiwa itu, abahlah segala-galanya bagi diriku. Kini, abah pula pergi. Hidupku sebatang kara. Aku hilang tempat mengadu.

          “Allahuakbar, Allahuakbar …” Kedengaran suara azan sayup berkumandang. Semakin lama semakin jelas kedengaran. Rupa-rupanya aku terlelap di bangku bambu abah. Biasanya waktu begini, abah akan marah kalau aku tidur. Tidak elok katanya tidur menjelang waktu maghrib. Aku tersenyum seorang diri mengingati abah. Setiap sudut dalam rumah ini mendesakku untuk mengimbau kembali kenangan bersama-sama abah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Sampul Biru Buat Cikgu

Oleh   Siti Norelysah Ahmad

“Hari ni ada kerja rumah Bahasa Melayu.” Penulisan aku terhenti kerana rakanku begitu teruja dengan kehadiran cikgu baharu di sekolah kami. Aku sudah dapat mengagak sikap rakanku apabila berjumpa dengan cikgu yang tampan, segak dan masih bujang.

Untuk kali pertama, cikgu tersebut masuk ke kelasku dengan kemas berpakaian kemeja sebagai cikgu untuk mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Aku hanya meneruskan kerja rumahku yang masih bersisa sementara cikgu tersebut mengenalkan diri kepada semua rakan sekelasku. Cukup sekadar aku mengetahui namanya “Cikgu Faiz”, aku hanya membiarkan beliau bercerita tentang kehidupannya. Aku lebih tertumpu untuk menyiapkan tugasan kerana aku akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi.

          Aku berjalan di kaki lima sambil memegang ais krim pada tangan kanan dan nota Biologi di tangan kiri. Aku terlalu khusyuk menghafal sehinggalah aku tersedar bahawa jam telah menunjukkan pukul 11.15 pagi. Aku sudah terlambat untuk ke kelas Kimia. Tanpa berfikir panjang, aku terus berjalan pantas untuk ke kelas. Kerana takut akan kemarahan cikguku, aku terlanggar seseorang di hadapanku, menyebabkan ais krim di tanganku terkena pada bajunya. Ketika aku menoleh untuk melihat gerangan tersebut, aku terkejut besar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Autobiografi Mama

Oleh   Nordin Saad

Mata Nadia tertancap pada autobiografi yang masih berbentuk manuskrip itu. Dia membiarkan air matanya membasahi pipi, bagaikan tidak mampu lagi dia menahannya. Sesekali dia menyapunya juga, mengelakkan air matanya terus membasahi autobiografi di tangannya. Nadia menyelak kulit luar autobiografi yang berwarna hijau lembut. Dia terus sahaja membaca tulisan yang terpapar pada halaman pertama itu.

Puisi adalah hati dan jiwa mama

tak akan luntur dimamah masa.”

          Matanya bagaikan tidak mahu berganjak daripada tulisan itu. Nadia mengulangi tindakan membacanya lagi. Sudah beberapa kali Nadia berbuat demikian. Setiap kali dia mengulangi bacaannya, air matanya merembes keluar, Menakungi kelopak matanya, lalu gugur membasahi pipinya. Nadia menyapu lembut. Dalam beberapa minit sahaja, air jernih itu kembali mengisi kelopak matanya semula.    Nadia hanya membiarkannya. Nadia tahu bahawa mamanya begitu beria-ia untuk menulis autobiografinya, walaupun kata mama dia bukanlah penyair terkenal yang mampu untuk menarik perhatian sebarang penerbitan untuk mencetak dan menerbitkan autobiografinya itu. Kata mama lagi, autobiografi itu hanyalah untuk tatapan anak cucunya sahaja nanti. Ah! Betapa cintanya mama pada puisi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

TAMAN NENEK NDA

Oleh   Jelison Jupin

 “WAH!” Anis terkedu. Tangannya mengesat-ngesat kelopak mata sambil dia gedik menggeliat pagi. Desa kelahiran emaknya yang sudah diselubungi malam ketika mereka tiba kelmarin membuatkannya tidak perasan akan laut taman itu.

Muka pagi itu mempamerkan pemandangan malar hijau terhampar indah menggamit-gamit lirik matanya. Pemandangan dahulu yang sudah berubah wajah menghiasi damai sekitar rumah Nenek Nda. Dahulu di situ, pokok getah tua berdiri megah melambai-lambai riang tatkala badai senja datang menyapa. Kini, terhampar senyum taman sayur-sayuran yang melaut hijau seperti sawah padi muda di bawah kaki Gunung Jerai. Taman sayur-sayuran Nenek Nda subur berseri-seri diselimuti embun malam yang berbintik dingin semakin mengufuk ke pinggiran daun dijamah sinar pagi. 

Nenek Nda kelihatan sedang menabur-nabur sesuatu pada pohon sayur. Anis mencapai selipar, kemudian turun menikmati keindahan dan nyaman taman itu. Anis mengelus-ngelus daun sayur sesekali mencium harum bunga sayur yang semerbak wanginya menyengat deria bau.

“Sudah bangun, Anis?” Nenek Nda bertanya.

“Wah, cantiklah! Sejak bila nenek buka taman sayur ini?” soal Anis tanpa sempat menjawab soalan Nenek Nda. Dia diusik rasa ingin tahu.

“Setahun lepas,” jawab Nenek Nda meleraikan persoalan Anis.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Mengintai Bulan

Oleh   Syahirah Hamdan

ENTAH macam manalah bulan besar kali ini, menjadi bulan yang banyak sangat diperkatakan orang. Daripada kawan pengajian, sampailah kepada anak yang kami ajar membaca ini.

          “Abang Ahmad mahu tengok bulan cantik Ahad hadapan?” Syamim tersengih. Entah dari manalah agaknya mereka tahu tentang kisah bulan cantik Ahad hadapan. Saya dan Syamim juga tidak tahu.

          “Boleh, kita bentang tikar. Nanti abang bawa cerita Upin Ipin. Amirul bawa cawan bersama-sama air Milo sejuk. Bibi Aisha bawa pinggan dan roti. Yang lain bantu. Kita duduk di atas padang. Kita tengok bulan dan baca cerita tentang bulan,” perlahan-lahan Syamim menyebutnya bersama-sama gaya tangan dan gerak badan.

          Amirul dan Fasil sudah bertepuk tangan gembira. Adik perempuan tersenyum simpul sambil memandang saya. Adik yang pemalu!

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Andai Mawar Mekar Semula

Oleh   Siti Norelysah Ahmad

Aku melangkah tenang sambil mata meliar melihat suasana di sekelilingku. Dengan lengkap berpakaian putih bersama-sama tag “JURURAWAT”, aku sudah berazam untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik-baik mungkin. Sepanjang lima bulan aku ditempatkan di Hospital Sinar Bahagia bersama-sama pesakit yang mempunyai masalah jiwa, aku cuba membantu mereka untuk meneruskan kehidupan. Perjalananku masih diteruskan sehingga ketua jururawat menghentikan langkahnya di sebuah bilik.

          “Najiha, awak ditugaskan untuk menjaga pesakit ini. Jika ada masalah, terus berjumpa dengan saya. Selamat bertugas,” ketua jururawat berkata demikian bersama-sama senyuman kepadaku. Aku hanya mengangguk.

          Aku melihat nama pesakit tersebut di hadapan pintu biliknya, “Alif Akmal”. Aku melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dengan perlahan-lahannya. Aku memberikan salam sebagai tanda hormat namun, tiada sebarang sahutan. Aku melihat keadaan bilik tersebut agak bersepah dan suasananya suram. Aku mengambil langkah untuk membuka langsir supaya cahaya dapat menerangi bilik tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

ANAK TANPA WATAN

Oleh   Salina Ibrahim

 SUDAH dua hari berturut-turut Zafar ke pusara ibunya selepas solat zuhur di masjid. Mula-mula saya fikir, hal itu hanya kebetulan kerana dia berjemaah di sana. Namun demikian, pada hari berikutnya, apabila saya mendengar dia meminta izin abang hendak ke masjid pada pukul tiga petang yang bukan lagi waktu solat berjemaah, spontan saya terfikir, “Mungkinkah dia hendak ke kubur ibunya lagi? Ke sanalah agaknya. Dia terganggu sedikit beberapa hari ini, sejak televisyen dan surat khabar banyak bercerita tentang Rohingya.”

Hal ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah beberapa kali berulang. Mungkin dia pergi mengadu sesuatu kepada ibunya. Ibunya wanita Rakhine yang tubuhnya sudah lama bersemadi di tanah perkuburan di belakang masjid kampung kami.

Menungan Zafar agak larut beberapa hari. Tiada sesiapa dalam kalangan kami yang menegur. Bukan tidak berani tetapi barangkali tidak endah. Mungkin kami sebenarnya tidak begitu memahami perasaan dia.

Pada petang itu, saya melihat dia begitu asyik memerhatikan sekumpulan murid, tentu sahaja dari sekolah di hadapan kedai kami itu, membeli kuih. Kerana menyedari tajam mata saya, dia kemudian berpura-pura sibuk mengelap meja. Selepas itu, dia bergegas ke singki membawa pinggan yang ditinggalkan oleh pelanggan yang baru beredar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)