Home » Nukilan Kreatif » Cerpen daripada Siswa

Ku Merindui Cahaya Terang

Oleh   Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime

“Prang!” Kedengaran bunyi sesuatu jatuh ke lantai lalu pecah. Abu dan rakan-rakannya melarikan diri dari tempat itu. Mereka baru sahaja membuli seorang pelajar baharu dan telah menyebabkan beberapa keping tingkap kaca pecah. Di belakang mereka, kelihatan Cikgu Rosli, guru disiplin sekolah itu sedang membantu pelajar yang terkulai di atas tanah dengan baju yang kotor dan bibir yang pecah.

Abu ialah seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di tengah bandar. Terkenal dengan sikapnya yang berlagak samseng sehingga digelar “Abang Taiko”. Merupakan anak tunggal seorang usahawan berjaya di Malaysia.

 “Abu! Apa kita nak buat sekarang? Habislah kita … kali ini, mesti kita tertangkap,” kata orang kanan Abu, Hamra. Abu memberhentikan lariannya apabila mereka tiba di belakang sekolah, di hujung padang. Rakan-rakannya yang lain, Kok Meng, Siva dan Ausif juga memberhentikan larian mereka.

  “Kau orang jangan risau la … esok, kita kumpul depan sekolah, kita lepak dekat pasar raya. Kita tukar baju, baru kita pergi. Aku bawa kereta ayah aku,” balas Abu. Selamba.

“Habis, sekarang apa yang kita nak buat?” tanya Ausif. Dia bimbang Cikgu Rosli membuat pengumuman meminta mereka berlima datang ke pejabat. Kok Meng dan Siva yang hanya berdiam diri mula tidak senang duduk.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Ogos 2017)

Impian Abah

Oleh   Hafinie Yahya

Senyuman abah terukir manis di mata hatiku. Syahdu kian terasa setiap kali aku mengingati dan mengenang abah. Aku memandang sepi potret lama abah yang tergantung di dinding ruang tamu rumah. Masa bagaikan terhenti. Segalanya terasa kosong. Kenangan manis bersama-sama abah sentiasa berlegar dalam mindaku.

          Sudah sebulan abah pergi menemui Pencipta. Air mataku tidak dapat dibendung setiap kali wajah abah terbayang di ruang mata. Hari pertama aku mengenali dunia menjadi hari terakhir untuk arwah ibu. Ibu meninggal dunia setelah menyabung nyawa melahirkan aku. Perkara itu yang diceritakan oleh abah. Setelah peristiwa itu, abahlah segala-galanya bagi diriku. Kini, abah pula pergi. Hidupku sebatang kara. Aku hilang tempat mengadu.

          “Allahuakbar, Allahuakbar …” Kedengaran suara azan sayup berkumandang. Semakin lama semakin jelas kedengaran. Rupa-rupanya aku terlelap di bangku bambu abah. Biasanya waktu begini, abah akan marah kalau aku tidur. Tidak elok katanya tidur menjelang waktu maghrib. Aku tersenyum seorang diri mengingati abah. Setiap sudut dalam rumah ini mendesakku untuk mengimbau kembali kenangan bersama-sama abah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Julai 2017)

Sampul Biru Buat Cikgu

Oleh   Siti Norelysah Ahmad

“Hari ni ada kerja rumah Bahasa Melayu.” Penulisan aku terhenti kerana rakanku begitu teruja dengan kehadiran cikgu baharu di sekolah kami. Aku sudah dapat mengagak sikap rakanku apabila berjumpa dengan cikgu yang tampan, segak dan masih bujang.

Untuk kali pertama, cikgu tersebut masuk ke kelasku dengan kemas berpakaian kemeja sebagai cikgu untuk mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan. Aku hanya meneruskan kerja rumahku yang masih bersisa sementara cikgu tersebut mengenalkan diri kepada semua rakan sekelasku. Cukup sekadar aku mengetahui namanya “Cikgu Faiz”, aku hanya membiarkan beliau bercerita tentang kehidupannya. Aku lebih tertumpu untuk menyiapkan tugasan kerana aku akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi.

          Aku berjalan di kaki lima sambil memegang ais krim pada tangan kanan dan nota Biologi di tangan kiri. Aku terlalu khusyuk menghafal sehinggalah aku tersedar bahawa jam telah menunjukkan pukul 11.15 pagi. Aku sudah terlambat untuk ke kelas Kimia. Tanpa berfikir panjang, aku terus berjalan pantas untuk ke kelas. Kerana takut akan kemarahan cikguku, aku terlanggar seseorang di hadapanku, menyebabkan ais krim di tanganku terkena pada bajunya. Ketika aku menoleh untuk melihat gerangan tersebut, aku terkejut besar.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Jun 2017)

Mengintai Bulan

Oleh   Syahirah Hamdan

ENTAH macam manalah bulan besar kali ini, menjadi bulan yang banyak sangat diperkatakan orang. Daripada kawan pengajian, sampailah kepada anak yang kami ajar membaca ini.

          “Abang Ahmad mahu tengok bulan cantik Ahad hadapan?” Syamim tersengih. Entah dari manalah agaknya mereka tahu tentang kisah bulan cantik Ahad hadapan. Saya dan Syamim juga tidak tahu.

          “Boleh, kita bentang tikar. Nanti abang bawa cerita Upin Ipin. Amirul bawa cawan bersama-sama air Milo sejuk. Bibi Aisha bawa pinggan dan roti. Yang lain bantu. Kita duduk di atas padang. Kita tengok bulan dan baca cerita tentang bulan,” perlahan-lahan Syamim menyebutnya bersama-sama gaya tangan dan gerak badan.

          Amirul dan Fasil sudah bertepuk tangan gembira. Adik perempuan tersenyum simpul sambil memandang saya. Adik yang pemalu!

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mei 2017)

Andai Mawar Mekar Semula

Oleh   Siti Norelysah Ahmad

Aku melangkah tenang sambil mata meliar melihat suasana di sekelilingku. Dengan lengkap berpakaian putih bersama-sama tag “JURURAWAT”, aku sudah berazam untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik-baik mungkin. Sepanjang lima bulan aku ditempatkan di Hospital Sinar Bahagia bersama-sama pesakit yang mempunyai masalah jiwa, aku cuba membantu mereka untuk meneruskan kehidupan. Perjalananku masih diteruskan sehingga ketua jururawat menghentikan langkahnya di sebuah bilik.

          “Najiha, awak ditugaskan untuk menjaga pesakit ini. Jika ada masalah, terus berjumpa dengan saya. Selamat bertugas,” ketua jururawat berkata demikian bersama-sama senyuman kepadaku. Aku hanya mengangguk.

          Aku melihat nama pesakit tersebut di hadapan pintu biliknya, “Alif Akmal”. Aku melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dengan perlahan-lahannya. Aku memberikan salam sebagai tanda hormat namun, tiada sebarang sahutan. Aku melihat keadaan bilik tersebut agak bersepah dan suasananya suram. Aku mengambil langkah untuk membuka langsir supaya cahaya dapat menerangi bilik tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2017)

Melakar Impian

Oleh   Nur Shafiqa Zailani

Rafhanah menguak tingkap biliknya luas untuk menjemput masuk kehadiran angin pagi yang membelai lembut kulitnya. Dia memejamkan kelopak matanya sebentar untuk menikmati kesegaran bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Indahnya terasa berada di sebuah desa sebegini yang tidak dicemari oleh “tangan” rakus dalam merencanakan pembangunan yang pesat serta akhirnya membawa pencemaran alam dan pemanasan global yang agak serius pada masa ini. Ucapan jutaan syukur dipanjatkan kepada Allah kerana masih membenarkannya bernafas dalam udara yang masih segar dan menyamankan di desa tempat kelahirannya ini. Dia kemudian berteleku sebentar di meja bacaannya yang hampir reput dimamah anai-anai.

          “Alangkah indahnya jika angan-angan boleh bertukar menjadi realiti,” fikirnya. Dia gadis genit yang punya impian, namun sering diperlekehkan oleh masyarakat di sekitarnya, bahkan ibunya sendiri. Rafhanah ingin menjadi pereka kasut setaraf idolanya, Jimmy Choo, dan akhirnya berjaya menghasilkan jenama kasutnya sendiri suatu masa nanti. Dia gemar menghasilkan lakaran rekaan kasut dan mengumpulkannya untuk menjadi portfolio. Siapa tahu akan ada pihak yang berminat terhadap semua lakarannya itu nanti? Tuah di badan tiada sesiapa yang tahu?

          Namun begitu, yang menyedihkan tangkai hatinya ialah ibunya sendiri meragui bidang kerjaya seperti itu yang menurutnya tidak dapat memberikan gaji yang tetap berbanding dengan profesion seperti doktor atau jurutera. Hal ini berbeza daripada ayahnya yang sentiasa yakin dengan bakat terpendam yang dimilikinya dan tidak jemu memberikan dorongan serta kata semangat kepadanya agar berjaya mencapai impiannya menjadi pereka kasut yang terkenal pada masa depan.

          “Ibu kurang bersetuju dengan pilihan yang Hana inginkan itu,” suara ibu sedikit keras menyuarakan pendapatnya pada suatu malam.

***

(Rencana ini dipetik daaripada majalah Dewan Siswa Mac 2017)

Mawar IBU

Oleh Nor Hafiza Selamat

Jauh di sanubari hati, air mata bergenang tatkala mengimbau peristiwa yang saban tahun berlalu. Di perkampungan Jertih, Terengganu, angin mengusap pipi dengan lembut, udara yang dihirup terasa nyaman menandakan bahawa dia masih bertahan sehingga sekarang. Waktunya ditemani hanya dengan kicauan burung yang riang melayangkan sayap secara berkelompok. Kehidupan burung itu jauh berbeza daripada dirinya yang tinggal bersendirian hanya bertemankan memori yang sarat dengan ranjau dalam menjalani kehidupan. Walaupun hanya bertemankan memori, dirinya sering mendekatkan diri kepada Allah yang Satu. Setiap kali selesai solat, doa dititipkan buat insan tersayang yang pernah singgah menyinari hidupnya walaupun hanya seketika. Air mata juga jatuh berguguran memohon ampun kepada Allah supaya hidupnya sentiasa di bawah keredaan-Nya.

          Sejurus selepas solat asar, dia duduk berteleku di hujung katil. Peristiwa lama itu ligat bermain dalam ingatannya. Hakimi, Hakimi dan Hakimi. Kenangan yang manis dan tidak akan dilupakannya kerana pengakhirannya disudahi tragedi pahit. Hasil perkahwinannya, Siti Baiduri dan Hakimi Adam Song, terasa kebahagiaannya walaupun mereka duduk jauh daripada keluarga dan menetap di rantau orang. Hakimi anak kelahiran Sabah dan bekerja di sana sebagai kelasi kapal.  Hidupnya enam bulan di lautan dan enam bulan lagi di darat, iaitu bersama-sama isteri tercinta. Oleh hal yang demikian, dia, iaitu Siti Baiduri, terpaksa akur berjauhan dengan keluarganya kerana sudah memang menjadi kewajipannya untuk berada di sisi suaminya.

Hakimi berasa amat gembira kerana dirinya sentiasa dalam keadaan yang tenang sejak beristerikan Siti Baiduri. Hidup mereka bertambah serinya apabila Siti Baiduri disahkan mengandung. Namun demikian, apakan daya? Detik manis yang sepatutnya mereka kongsi bersama-sama terpaksa dilepaskan begitu sahaja kerana tugas Hakimi untuk berkhidmat di lautan sudah bermula. Berat sahaja hatinya untuk meninggalkan Siti Baiduri. Sebelum berangkat, Hakimi sempat memberikan kucup mesra di ubun rambut isterinya. Siti Baiduri terasa bahagianya untuk bersama-sama Hakimi, suami tercinta, amatlah singkat.

***

Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2017

 

Anak Orang Sungai

Oleh Jelison Jupin

HUJAN semakin lebat. Aku turun dari bas, kemudian berlari ke arah medan selera universiti. Ruang medan selera itu dipenuhi mahasiswa. Mungkin banyak antara mereka sepertiku, berteduh daripada kehujanan. Bajuku berbintik-bintik basah. Mujurlah tadi aku berlari ke situ, kalau tidak mesti sudah basah kuyup. Kilat di langit sambar-menyambar. Guruh kian kuat berdentum, bersahut-sahutan dengan suara siswa dan siswi.

Aku melilau mencari ruang untuk duduk. Di hujung medan selera itu, terlihat oleh mataku ada kerusi kosong. Aku bergegas duduk. Sedikit kedinginan. Hujan kian lebat. Kadang-kadang ada tempias yang menyapa sehingga tumit kasutku.

“Alex!” sapa seseorang yang menyambar cuping telingaku dalam kebingitan hujan dan suara pelajar itu. Wajahku terdongak daripada mencari-cari novel Hamlet karya William Shakespeare di dalam beg galasku, memerhatikan gerangan pemilik suara itu.

“Sayalah.” Aku berpaling ke arah kanan, Rozita tersenyum kepadaku.

“Hai, Rozita,” sapaku kembali sedikit tenggelam ditelan bingit hujan dan suara yang memenuhi medan selera itu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

 

Balai Perlepasan

Oleh Syeeda Koppeli

RUANG balai perlepasan sesak dan padat dengan manusia. Pelbagai aksi dapat ditonton. Ada yang berlari-lari anak menggalas beg sandang besar, ada yang lenggang kangkung menolak troli yang sarat dengan beg, cenderamata, hatta anak mereka turut diletakkan di dalam troli. Zarith berdiri di tengah-tengah lautan manusia, betul-betul menghadap skrin yang sedang memaparkan jadual penerbangan. Beg sandang berwarna kelabu jenama Karrimor, yang digalas, dirasakan berat benar, seperti mahu patah bahunya. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah balai perlepasan. Air muka gadis berusia 18  tahun ini keruh. Rambut panjang berwarna perang semula jadi dilepas bebas tidak disikat. Ini kali pertama dia menaiki kapal terbang, namun dia tidak kekok langsung. Dia sudah lali melakukan semua perkara sendiri, bahkan dia akan kekok jika berteman ketika melaksanakan sebarang tugasan.

Lelah rasanya berjalan sejauh ini untuk sampai ke balai perlepasan K. Zarith melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan di hadapan balai perlepasan. Kemudahan, seperti tempat untuk mengecas alat elektronik, tandas yang bersih, dan kerusi yang tersusun rapi, jelas menunjukkan penerbangan ini mesra pelanggan walaupun mengenakan tambang yang murah dan rendah kepada pengguna. Kemudahan asas, termasuklah tempat duduk, juga disediakan dalam variasi yang menarik dan mementingkan keselesaan, sama ada untuk keluarga atau individu. Beberapa orang remaja duduk sekelompok di hadapan tempat mengecas alat elektronik mereka. Pandangan Zarith dan mereka berlaga. Zarith melemparkan sekuntum senyuman. Satu lagi sebelum kehidupannya akan berubah. Air muka yang keruh tadi perlahan-lahan berubah tona. Otaknya berputar ligat, sekali gus memberikan sedikit tekanan yang menyebabkan pening.

“Bidang peragaan ini tidak akan sesekali menjamin masa depan kamu. Satu hari nanti, kamu akan tua, tiada sesiapa akan mengambil kamu bekerja,” laju tangan tua ayahnya memangkas pokok bunga raya yang ditanam di hadapan rumah mereka. Urat hijau berselirat sudah mula timbul membuktikan ayahnya itu sudah bekerja terlalu keras untuk membesarkan mereka adik-beradik. Pokok bunga raya itu ditanam sejajar untuk dijadikan pagar. Kreatif dan menjimatkan wang.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Oktober 2016)

Seteguh Kasihmu

Oleh Ummi Nabilah Mat Adam

BEG sekolah dicampak kasar di atas lantai kamar tidur. Wajahnya masam mencuka dengan bibir memuncung. Nafasnya naik turun kerana emosi tidak stabil. Bibirnya yang dipakai pelembap bibir diketap geram. Pintu bilik yang dikunci dipandang sepi. Lantas, Elyana berbaring di atas katil. Pintu bilik diketuk dari luar.

“Elyana, buka pintu. Elyanan …” suara kakaknya, Erisya, menerjah ke halwa pendengaran telinga.

Elyana serabut. Ketukan bertalu-talu membuatkan telinga berasa bingit. Dia mendengus kasar. Apakah lagi yang dimahukan oleh kakaknya? Dia bangkit dari katil lalu membuka pintu bilik dengan kasarnya.

“Kakak nak apa lagi?” Nada mendatar suara Elyana bersuara.

“Kita masih belum habis bincang, Elyana …” Lengan Elyana cuba dipegang oleh Erisya.

Pantas Elyana menepis, tidak suka perlakuan kakaknya. Wajah Erisya berubah terkejut melihat sikap adiknya yang berusia 16 tahun. Gadis sunti itu semakin pandai memberontak. Elyana cuba menyentuh lengan Erisya, tetapi ditengking oleh Elyana.

“Boleh tak kalau kakak jangan sentuh saya? Kakak nak apa? Tidak cukup lagikah?” Elyana meninggikan suara, benar-benar rimas dengan kemunculan Erisya sejak tiga hari lalu.

“Sejak bila kamu kurang ajar, Elyana? Ini kakak kandung kamu. Hei…” belum sempat Erisya mahu meneruskan bicara, muncul Pak Jamil menyampuk.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Sept 2016)