Home » Nukilan Kreatif » Cerpen daripada Siswa (Page 2)

MALAM KUDA KEPANG

Oleh Adnie Bahiah

“MALAM ini majlis keramaian di padang terbuka Kampung Parit Sepat.” Engkau hanya tersenyum memandang skrin telefon. Mesej itu yang dihantar beberapa minit lalu lantas engkau padam daripada terus menyerabutkan ruang simpanan  mesej telefon.

Yang pasti, malam ini merupakan peluang untuk engkau menambahkan wang saku. Undangan daripada Mat Saman memang selalu engkau penuhi. Mat Saman memang terkenal sebagai danyang dalam permainan kuda kepang. Oleh sebab itu, engkau tidak pernah menolak jemputan Mat Saman untuk menjadi “tuk bomoh” dalam permainan kuda kepang.

Kuda kepang, dan biarlah kuda kepang menjadi sumber rezeki untuk engkau mencari sesuap rezeki halal di samping menawarkan perubatan tradisional kepada orang yang masih percaya kepada perubatan tradisional. Memang tugas sebagai tuk bomoh sangat mencabar pada zaman ini. Banyak perubatan moden dan canggih yang mampu menutup sebahagian pintu rezeki engkau.

Engkau bomoh di kawasan Parit Sepat, iaitu salah sebuah kampung di daerah Pontian, Johor. Masih bujang walaupun banyak yang sedia maklum bahawa pada tahun ini, umur engkau akan berganjak ke angka 50. Engkau memang banyak pengalaman, terutama perihal menjampi orang.

Namun begitu, meraih rezeki dalam permainan kuda kepang memberi engkau pendapatan yang lumayan. Lebih kurang sama juga dengan merawat pesakit biasa, tetapi merawat penari kuda kepang memang memberi engkau pengalaman yang luar biasa.

***
(Rencana dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Diari Dian

Oleh Nur Izzati Che Ramli

“TIDAK, aku tak mahu turun!” bentak anak kecil itu. Dia sememangnya berkeras untuk tidak turun dari pohon berembang tu. Entah mengapa anak sekecil itu berani berbuat sedemikian, sememangnya menimbulkan kemusykilan orang kampung.

Berdekatan pohon itu juga sudah tibanya pembalak yang sudah lama menunggu untuk mula menebang kawasan paya bakau itu. Namun begitu, semuanya tergendala dek  anak kecil itu tetap berdegil untuk tidak turun dan membantah agar pohon itu tidak ditebang. Katanya pokok ibunya maka tidak seharusnya ditebang.

Astagfirullah, semua ini tidak akan terjadi jika Azhar tidak menjumpai diari Dian”, bisik Cikgu Suria kepada dirinya. Guru kelas Azhar seolah-olah mati akal untuk membawa turun anak kecil itu dari atas pokok berembang yang cukup besar untuk menampung anak kecil itu.

Tidak lama selepas itu, datuk Azhar sendiri yang datang setelah berita itu disampaikan oleh penduduk kampung. Lelaki yang berusia lewat 60-an itu kelihatan begitu cemas mendengar satu-satunya cucu kesayangannya menggegarkan orang kampung dengan memprotes di atas pokok. Cikgu Suria yang menyedari kehadiran ayah kepada arwah Dian, terus mendapatkannya. Cikgu Suria menyatakan bahawa dialah yang sebenarnya yang memberitahu Azhar tentang lokasi pohon yang menjadi tempat tinggal “malaikat kecil”. Terkesima hati tua Tok Su, sememangnya cucunya itu merindui arwah ibunya dan “rumah” malaikat kecil itu menjadi sesuatu yang sentimental buatnya. Tok Su terdiam mengenang kembali sebelum semua ini terjadi.

Di perkarangan rumahnya, Tok Su duduk menghadap kanvas putih, dengan tenang dia mengangkat tangannya yang memegang berus leper dan ditekankan ke atas permukaan kain putih itu mencalitkan warna untuk membentuk suatu lakaran. Dipilihnya warna terang termasuklah hijau dan kuning untuk memberi cahaya kepada lukisannya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Bicara Si Kaki Bangku Perihal Bola

Oleh Saeed Zubeir bin Zahari

Sebaris ayat menyusup masuk ke kantung pesanan ringkas pada paparan telefon pintar sewaktu saya sedang menikmati segelas teh bunga kekwa dengan beberapa ketul ais di penjuru kamar sambil menatap penuh minat lakaran jantung dan paru-paru.

 “Jika tidak keberatan, anda diminta menjadi jurugambar untuk perlawanan futsal malam ini.”

Saya terus diserbu seribu rasa yang mengganggu pembacaan. Sebetulnya mengganggu cubaan saya untuk lari daripada jemputan yang sudah seminggu lalu hadir di atas meja tulis saya di dewan kuliah. Jemputan untuk menyertai perlawanan futsal untuk kelas saya. Saya menutup buku yang penuh lakaran anatomi berserta penerangan rinci perihal patologi untuk setiap penyakit itu tatkala ada deru angin yang menerobos masuk melalui lapisan langsir jarang dari luar. Bayu hangat yang bertiup pada waktu musim peralihan antara dua musim ini tidak selalu mengundang dedar dalam jiwa namun kali ini, tidak gagal membuatkan saya rengsa.

Sering kali saya merasakan tidak pantas untuk terjun lebih mesra ke dalam kelompok rakan-rakan yang saya temui dalam setiap peringkat usia yang dilalui. Bermula dari sekolah rendah hinggalah ke alam mahasiswa, saya sentiasa merasakan ada jurang yang membuatkan beliau terhindar daripada kawan-kawan. Benar, saya sentiasa mencuba untuk melepaskan cengkaman keterasingan supaya lompang dalam status sosial saya terisi. Paling tidak berkongsi minat aktiviti kokurikulum yang sama namun tidak. Saya terus-menerus menjadi “anak itik hitam” yang menetas dalam kawanan angsa putih melepak.

Saya tidak mengiakan atau menolak apabila begitu ramah ketua menghampiri saya di kelas ketika saya sedang terkumat-kamit menghafal setiap penyakit yang baru ditelaah pasca kuliah. Katanya, perlawanan futsal yang sudah hampir sebulan dirancang itu, serasa tidak sempurna tanpa kehadiran saya selaku pemain untuk satu daripada enam kumpulan yang dibentuk. Saya mendiamkan diri agak lama hingga tidak sempat melontarkan jawapan apabila pengajar bagi sesi klinikal pantas masuk dan memulakan sesi pembelajaran sehinggalah tamat, saya tergesa-gesa pulang.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Sejambak Harapan Buat Sahabat

Oleh Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid

KAMU mematikan panggilan telefon itu dengan salam sebagai ucapan terakhir. Dalam setiap degup jantung Kamu, kencang dengan ucapan kesyukuran. Betapa murahnya rezeki Kamu. Kamu bagai bermimpi, sebenarnya realiti. Kamu benar-benar tidak sangka. Insan mentah seperti Kamu, berjaya dalam temu duga itu. Sedangkan ketika sesi temu duga tempoh hari, Kamulah yang paling muda. Kamulah yang tampak paling tidak berhak dengan tawaran syarikat itu.

Syarikat gergasi tersebut, menawarkan hadiah yang sangat lumayan. Sepuluh orang penulis muda akan dibawa mengembara di Kota Eropah. Ditanggung sepenuhnya oleh pihak mereka. Dengan syarat, segala saringan berjaya dilalui peserta. Penulisan sebagai tonggaknya. Peserta lain, jauh lebih hebat. Jauh lebih berbakat dan jauh lebih berpengalaman daripada Kamu. Kamu ada apa? Sekadar satu dua cerpen dan puisi picisan yang tidak seberapa, idea tidak matang dan tercungap-cungap mencari mutu dan kualiti untuk karya sendiri.

Kamu meneliti e-mel yang diterima. Semua maklumat tentang tarikh penerbangan, keperluan, dan syarat yang perlu Kamu patuhi tertera dalam e-mel itu. Kamu disuruh membawa pakaian yang bersesuaian dengan cuaca. Katanya, di sana sudah hampir memasuki musim bunga. Cuma suhu masih belum stabil. Sekitar satu angka sahaja. Kamu gembira, pertama kali Kamu akan berpeluang ke luar negara. Pertama kali, Kamu akan merasai cuaca sejuk yang tiada di negara khatulistiwa yang dicintai ini.

—-

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

KEMBALI

Oleh Ariff Mustaffa Hamzah

LANGKAHKU tidak bermaya menuju ke perhentian bas. Jiwaku sarat dan fikiran berselirat. Ini hari yang menyeksa. Persoalan cinta dan hidup benar-benar menyesakkan dada; disisih kekasih, ditambah pula dengan kehilangan kerja pada hari yang sama. Adakah ini dugaan atau balasan daripada Tuhan? Aku tidak tahu, dan jawapannya tentu sekali tidak berkeliaran di sekitar perhentian bas yang kotor dan berbau sampah ini.

Nafas dibuang perlahan-lahan, sejenak sebelum bas mendekati perhentian bas. Belum lagi roda bas berhenti berguling, manusia yang ada di sini terus mengerumuni pintu, menunggu dibuka sebelum berebut-rebut memasukinya. Aku turut sama dalam perebutan. Apa aku peduli pada si perempuan tua dan anak kecil yang tersepit di tengah-tengahnya.

Setelah membayar tambang, kerusi kosong di bahagian kanan perut bas bersebelahan jendela kududuki secepat mungkin, bimbang dirampas orang. Kulayangkan pandangan ke luar. Tiada apa-apa yang menarik, melainkan kenderaan yang bersesak dan berkejar entah ke mana. Bangunan tinggi bercerancang berdiri seperti kotak gergasi. Jemu dengan susana di luar, kualihkan kembali pandangan ke dalam bas. Dua pasangan Melayu sedang bermesra di bahagian kiri bas, sebaris dengan kerusiku. Dahulu, aku juga pernah begitu.

Fikiran segera kembali ke dalam masalah yang merantai tengkuk hayat. Benci dan dendam menjarah emosi. Perempuan itu, akan aku balas dendam terhadapnya dengan apa-apa sahaja cara, asalkan hatiku puas. Mudahnya dia membuangku, bagai sampah kotor. Pengurus syarikat pula, moga-moga syarikatnya hancur musnah sekelip mata, lalu dia merempat di jalanan. Ya, moga-moga.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2015)

PATIH DALAM LUMPUR

Oleh Ramilah Rahim

KEPOMPONG bersarang di pohon limau kesturi yang meranum, semilir angin menggoyangkan ranting lalu menyapa hidung membawa haruman limau kesturi bersiar-siar ke permukaan udara memekarkan senyuman kumbang yang bertenggek di ranting kayu. Haruman kesturi di pinggir bendang dibawa angin menyentuh hidung masuk ke kepala untuk ditafsirkan bahawa itu haruman kesturi. Aku, seekor kerbau bernama Patih yang suka akan haruman rumput yang berbaris di permukaan tanah menghijau dikelilingi lalang dan rumput segar di halaman sawah bendang yang gersang di bawah sinaran  mentari. Kala hujan mula singgah di dedaun rumput, terciptalah tarian dan nyanyian rumput itu, berkeliaran menyapa antara satu sama lain bersama goyangan tari daripada tiupan bayu menggamit rasa rindu kepada Pencipta Yang Esa. Teruja dengan goyang rumput, aku turut menyanyi terharu dengan pujian rumput kepada Pencipta Nan Satu.

Aku sangat lelah, usia kandunganku sudah mencecah tujuh bulan. Badan aku terasa berat membawa sarat kandungan yang menggelebak, pada saat bermandi-manda, air lumpur membebankan kakiku untuk berdiri semasa berkubang di paya. Air paya itu melimpahkan percikan air yang keruh limpahan titisan ke permukaan air selepas aku menahan tekanan kaki untuk berdiri menggagahkan kakiku. Aku merintih, badanku sangat sarat dengan lumpur paya, sementara itu temanku meninggalkan aku sendirian dalam paya itu. Manakala, perutku basah dengan linangan air lumpur; perutku terasa sakit. Aku menahan sakit.

Ada tubuh manusia sedang memerhatikan aku. Dia duduk bertinggung di benteng di bawah pokok bakau. Terperangkap dalam lumpur paya, mata manusia itu seakan simpati melihat aku yang terduduk. Cetek air berlumpur itu, namun begitu, aku tewas kerana lumpur itu pekat dan lecak, menenggelamkan sebahagian tubuh aku yang besar hanya menimbulkan hidung dan kepala. Aku menjerit, mendongak kepala ke atas memandang langit agar bibirku terbuka. Manusia itu mendatangi aku yang ditimpa musibah lalu membelai leherku. Aku tersentak, mataku merah menahan lelah selepas bergelumang dalam paya itu, melirih ke arah manusia yang hampir dengan kepalaku, manusia itu tiba-tiba menguntum senyuman.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

PULANGLAH KAKAK

Oleh Rozlin Adrenalin

SURAM. Rumah dijengah sepi dan sendu. Semenjak semalam, deruan esak air mata halus menghurungi rumah yang dibina indah oleh urat selirat arwah bapa. Di penjuru bilik, menangis seorang manusia bergelar emak, mengenang rencah hidupnya yang tak sebati walau usia sudah menginjak senja. Anak yang dikasihi merobek hati nurani sang emak yang sudi melahirkan, apatah lagi mengenangkan sang suami telah tiada di sisi yang pergi menemui Ilahi. Perasaan itu dapat aku rasai, di rumah hiba ini.

Aku, anak bongsu yang tak punya kuasa melebihi apa-apa pun. Nasihatku hanya sampah. Rayuku hanya hina. Malah air mata lelakiku hanya hama, di mata seorang perempuan bernama kakak. Angkara laras-laras kata emak yang dianggap salah, seluruh nafsu amarah merajai mahkota perasaan. Hilang segala tinta hormat dan kasih pada seorang insan yang bergelar ibu. Senja semalam, ruang kemerah-merahan di awan kelabu menyaksikan tumpahnya air mata seorang perempuan yang melahirkan dan seorang perempuan yang dilahirkan lalu memaksa seorang daripada mereka pergi meninggalkan rumah, mahligai bahagia rekayasa oleh arwah bapa. Perginya kakak bersama rasa amarah dan kecewa yang diracuni iblis durjana.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah

Oleh FATHUL KHAIR MOHD. DAHLAN

Hidup tidak seindah yang difikirkan. Adakalanya, manusia inginkan keindahan dalam kehidupan, namun langsung tidak disedari badai yang bakal menghambat pada hari muka. Ada waktunya, manusia berprasangka hidupnya diselimuti galau dan resah, namun mereka tidak pernah berfikir walau sejenak bahawa kehidupan yang sarat dengan rencam itu, ada hikmahnya. Banyak orang kata, hidup ini bagaikan roda, umpama bola, dan sebagainya. Tidak ada kedudukan yang tetap. Kendatipun demikian, bagi mereka yang berjiwa kental dan tabah sahaja yang mampu menghadapi sebarang ranjau sepanjang perjalanannya sebagai manusia pencari hikmah!

Kami melihatnya dari kaca mata masyarakat yang mencintai dunia sukan. Ya, tidak disangkal lagi! Banyak, malah majoritinya, minat akan sukan yang cukup sinonim dengan kaum Adam. Sukan “dua puluh dua kepala dan sebiji sfera bersegi lima”. Ah, lupakan persepsi lapuk itu!

Mengapa?

Kaum Hawa juga kini menjadi penonton, tidak kira di astaka mahupun di kaca televisyen. Tidak kurang hebatnya mereka, sehinggakan mampu bermain dengan hebat sebaris nama-nama besar sukan ini.

Lewat waktu yang lalu, legasi kami sangat hebat. Kami pandang tinggi setiap negara, digeruni semua seteru yang menjadi lawan pasukan kami. Dengarkan sahaja “Harimau”, bergetar hati bagaikan berhadapan dengan pak belang di hutan hujan yang dijadikan khazanah untuk generasi muda akan datang. Pasukan kami bermain dengan mati-matian demi negara yang dicintai. Semangat kesukanan ditonjolkan dalam setiap corak dan pergerakan permainan. Kesepaduan dan keharmonian bangsa kami yang pelbagai diperjuangkan di atas padang, daripada bangsa majoriti hinggalah bangsa minoriti. Semangat dan sumpah setia tetap mengalir di dalam pembuluh yang berselirat. Sokongan tetap padu tatkala angkatan kami berada di medan perjuangan. Kekal bersemarak api perjuangan dan kebanggaan di dalam hati kami.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Duri-duri dalam Kehidupan

Oleh Suliana Ruhazit

Tangan tua Mak Hasmah sedang ligat mencuci pinggan di sebuah warung yang terletak 500 meter dari rumahnya. Itulah pekerjaan wanita berusia 37 tahun sejak ketiadaan suaminya. Kini, Mak Hasmah terpaksa bekerja bagi menyara anak-anaknya lapan orang, iaitu Safri, Salina, Salleh, Zarul, Zakri, Zarina, Zafwan dan Zaidin. Walaupun pendapatan Mak Hasmah hanya RM10 sehari, anak-anaknya tidak pernah merungut kecuali Safri, anak sulungnya yang berusia 18 tahun. Dia bukan sahaja tidak mengasihani emaknya, malahan dia pernah memalukan emaknya di hadapan penduduk kampung.

Tiba-tiba Mak Hasmah teringat akan perbuatan anaknya yang memalukan dirinya, iaitu ketika dia sedang sibuk mencuci pinggan di dapur tempat dia bekerja, datang seorang pegawai polis ingin bertemu dengannya. Hati Mak Hasmah mula berasa berdebar. Dia berasa tidak senang dengan kedatangan pegawai polis itu apabila semua mata di warung itu memandangnya dengan perasaan pelik. Rupa-rupanya, pegawai polis itu ingin memberitahu kepadanya bahawa anaknya, Safri, ditahan di Balai Polis Kota Bharu kerana memecah masuk rumah dan mencuri beberapa barang berharga. Alangkah terkejutnya Mak Hasmah apabila mengetahui perbuatan anaknya itu. Semenjak saat itu, dia berasa malu untuk berhadapan dengan penduduk kampung.

Tanpa disedarinya, sekeping pinggan tercicir dari tangannya lalu pecah berderai. Kejadian itu membuatkan segala perkara yang difikirkan oleh Mak Hasmah terbang meninggalkan kotak fikirannya. Mak Senah, pemilik warung itu yang berusia 41 tahun terus memasuki halaman dapur untuk melihat hal yang terjadi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Pengertian

Oleh LUQMAN ARIFF LAHMAI

Baiklah, ingat, setiap yang datang pasti akan kembali. Kita tidak pasti bila lagi kita akan sentiasa mengecap euforia ini.”

“Jangan kita lupa, setiap perlakuan amal seseorang insan itu akan dibalas oleh Allah SWT. Jika baik maka akan dibalas dengan kebaikan, dan jika buruk maka akan dibalas dengan keburukan,” sambung Razali, lembut.

“Besok ada kelas lagi, tak?” tanya seorang pak cik.

“Insya Allah, jika dipanjangkan umur, ada kelas,” jawab Ali.

Semua orang bangun dengan tertib. Kertas-kertas edaran Razali disimpan di dalam rak. Begitulah seperti yang diajar.

“Setiap ayat al-Quran atau kalimah suci perlu dijaga dengan baik.”

Mereka bersalaman. Itulah rutin harian Ali. Berdakwah. Meneruskan segala yang diperintahkan oleh Islam. Ali seorang yang rajin beribadat. Jika waktu subuh pukul lima, dia akan datang setengah jam awal. Setiap hari ada kuliah subuh. Kemudian, dia akan meneruskan amalan sunat yang lain. Membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, sehingga pukul 12 tengah malam. Orang kampung sudah kenal.

“Budak itu budak bagus.”

“Kan bagus kalau dia anak aku.”

“Sejuk perut ibu dia.”

Tetapi ada juga yang cakap belakang.

“Memang dah sah, masuk syurga dah.”

“Cubalah buat dosa sekali-sekala.”

Tetapi, Ali tidak kisah. Biarlah orang hendak kata apa-apa pun. ‘Dunia hanya sementara,’ bisiknya. Lagipun, dia tidak mahu jadi macam ayam ditombong kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi. Dia puas dengan segala yang dimiliki sekarang. Ali berjalan kaki, mengatur langkah ke rumahnya.

“Assalamualaikum, ibu!” Ali memberikan salam. Suaranya jelas memecahkan keheningan pagi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012