Home » 2011

Menyunting Kelainan, Mengimbang Perasaan

oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

DALAM keluaran terakhir tahun ini, kita berpeluang menatap lapan buah sajak yang dihasilkan oleh pelajar pilihan yang menyertai Program Perkampungan Penyajak Muda Peringkat Negeri Sembilan 2011. Program yang melibatkan 106 calon dari 102 buah sekolah menengah itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap, Johol, Negeri Sembilan, pada 23 hingga 25 September yang lalu.
Kelapan-lapan kuntum sajak ini menyimpulkan keprihatinan penyajak muda terhadap persekitaran yang mewarnai kehidupan mereka. Sebagai perakam peristiwa dan cita rasa, penyajak turut mengemukakan kelainan dengan gaya yang tersendiri.
Sajak “Hidup” yang mengisahkan perjuangan untuk mencapai kejayaan memang biasa. Namun, sajak mudah ini memetik sebuah peribahasa Cina sebagai pengenalan yang cantik. Cara ini jarang-jarang dilakukan oleh penyajak muda yang lain.
Halia tua pedas rasanya bermaksud semakin dewasa seseorang itu, semakin banyak ilmu, pengalaman dan jasanya. Pengenalan ini seperti mengingatkan kita bahawa mereka yang seperti ini mestilah diutamakan dan dihargai. Sajak ini terasa amat istimewa kerana penyajaknya turut melakarkan dialog warga emas yang memerlukan perhatian. Tanpa disertai tanda baca pengikat kata, rangkap kedua sesungguhnya menggambarkan rayuan tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Ulasan Puisi

Harga Sebungkus Nasi Lemak

oleh Ardi Asmera Saeman

MAKANAN bukan sahaja keperluan hidup bagi manusia tetapi mencerminkan corak dan keperibadian masyarakat. Makanan yang dihasilkan secara kreatif oleh sesuatu kaum menjadi identiti dan kepunyaan mereka. Masakan dan makanan yang diwariskan ini biasanya disampaikan daripada generasi kepada generasi secara tradisi lisan sahaja dan tidak berbentuk tulisan.
Apabila menyebut makanan, pastinya nasi lemak merupakan contoh tersohor. Nasi lemak hidangan yang ringkas dan mudah. Hidangannya  lengkap berasaskan nasi yang berlemak santan ditambah rasa dengan pedas sambal, kerangupan ikan bilis, telur rebus dan ditawarkan pedasnya dengan timun. Jika menelusuri latar sejarah, nasi lemak mempunyai cerita yang tersendiri. Maka, pantun orang dahulu:

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan;

Buang emak buang saudara,

Kerana kekasih hamba turutkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Budaya, Khas

Tanda Sempang dan Tanda Pisah

oleh MUNSYI DEWAN

TANDA baca amat penting dalam penulisan. Ketiadaan tanda baca atau penggunaan tanda baca yang tidak tepat akan menjejaskan kelancaran gagasan dan fakta dalam karangan, malahan hal ini memungkinkan wujud kekeliruan memahami maklumat  yang tersirat dalam karangan pelajar. Pada kali ini, akan dihuraikan penggunaan tanda sempang dan tanda pisah.

Tanda Sempang ( – )

Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan kata ganda, yakni memisahkan pengulangan kata. Contohnya:

i. buku-buku

ii. tali-temali

iii. adik-beradik

iv. mundar-mandir

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Berakhlak Mulia Ketika Berada di Jalan Raya



oleh Nazri Hussein

MUSLIM yang benar-benar berakhlak mulia bukan sahaja ketika berinteraksi sesama ahli  masyarakat tetapi semasa menggunakan kenderaan di jalan raya. Islam amat menekankan tingkah laku dan adab yang baik semasa menunggang motosikal atau memandu kereta. Kes kemalangan jalan raya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun. Hal ini sewajarnya dapat ditangani jika masyarakat lebih berhemah serta bertanggungjawab menunaikan amanah terhadap pengguna lain di tengah kesibukan jalan raya.

Kita sedia maklum, tidak semua kemalangan jalan raya berpunca daripada keadaan jalan raya atau kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik. Aspek lain, seperti kecuaian manusia, leka kerana terlalu mengikut hawa nafsu, tidak bertanggungjawab, kurang didikan agama serta tidak sabar menghadapi situasi yang genting, dikenal pasti menjadi penyumbang besar peningkatan statistik kemalangan maut di  jalan raya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Islam dan Anda

Masuk ke dalam Mimpi

Oleh Saharil Hasrin Sanin

BIDANG sains mengkaji mimpi dinamai oneirologi, perkataan tersebut diambil daripada bahasa Yunani, oneiros, yang bermaksud mimpi, dan logia, yang bermaksud pengajian. Jika seorang yang dihantar mengembara ke angkasa lepas dinamai astronaut, seorang yang mengembara ke dalam mimpi dinamakan oneironaut.

Mimpi merupakan antara bidang sains yang paling misteri dan sukar untuk dikaji. Bagaimanakah mahu mengkaji mimpi jika mimpi hanya boleh dialami sewaktu tidur? Adakah pernah seseorang bermimpi ketika sedang berjaga? Bolehkah anda masuk ke dalam mimpi sendiri?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Bersama Cikgu Azizul

Oleh Azizul Rahman Abdul Rahman

Kegiatan vandalisme berlalu dengan berleluasa. Kegiatan ini mencalarkan imej negara. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani kegiatan ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Parlimen

Oleh Hasfiza Abdullah

Pembinaan kompleks bangunan Parlimen yang menjadi lambang keagungan demokrasi berparlimen di Malaysia diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sebelum bangunan Parlimen yang ada seperti sekarang ini dibina, persidangan pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman. Persidangan yang berlangsung pada 11 September 1959 ini julung kali diadakan dan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,

Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamed. Dewan yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, ini dibina pada 1935. Asalnya dimiliki Eu Tong Seng, pelombong dan pengusaha ladang getah yang kaya serta terkenal di Kuala Lumpur. Dewan Tunku Abdul Rahman kini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Pembinaan bangunan Parlimen bermula pada 1959. Jabatan Kerja Raya, dan Kementerian Kerja Raya, Pos dan Talikom, diarahkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyelenggarakan kerja mereka bentuk dan membina bangunan Parlimen yang baharu. Pada bulan Disember 1959, kawasan berbukit dengan ketinggian 61 meter dari aras laut dan berkeluasan 16.2 hektar, terletak di arah timur laut Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, dipilih sebagai lokasi kompleks bangunan Parlimen. Kawasan ini dipilih kerana lokasinya yang strategik, iaitu terletak di atas bukit dan berhampiran dengan pusat bandar raya.

Posted in: Arkib Negara

Amukan

Oleh WAHBA

Haiwan-haiwan itu datang lagi. Entah dari mana mereka muncul, tiada siapa tahu. Kali ini lebih ganas dan agresif. Mereka yang menduga haiwan-haiwan itu telah pergi jauh

dari hutan itu, rupa-rupanya tidak tepat. Mereka tertipu. Haiwan-haiwan itu, gajah dan beruang menolak dan meruntuhkan rumah-rumah kongsi. Dua buah rumah kongsi panjang yang dibina di pinggir bukit itu musnah. Berserakan bumbung, kayu-kayu lantai dan dinding. Pinggan mangkuk dan pakaian pun berselerak di tanah dipijak gajah-gajah dan beruang. Peralatan kecil dan besar bertaburan di tanah.

Lori-lori angkut selut dan pokok-pokok diterbalikkan oleh gajah-gajah yang mengamuk itu. Ada lori terbalik dengan tayar ke atas. Ada lori jatuh mengiring. Ada jentolak terhumban ke cerun bukit. Ada jentera pengaut terpelanting patah riuk. Semuanya tunggang langgang. Kali ini haiwan-haiwan itu lebih agresif.

Pekerja yang datang pagi itu amat terkejut. Rumah kongsibranap. Peralatan untuk bekerja tunggang terbalik. Mereka nampak kesan tapak kaki haiwan. Ada tapak kaki gajah, ada tapak kaki beruang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Fitrah berbeza

Oleh Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Atiq melipat kemas selimutnya. Rakan-rakan lain ada yang sudah bangun, ada yang belum. Bukhari yang berada di sebelah katil Atiq masih lagi diulit selimut. Atiq terus ke bilik air dan sebelum itu sempat menggerakkan Bukhari yang masih lena dalam tidur.

“Aku menyesal tidak bangun pagi tadilah, Atiq.” Bukhari mengeluh kesal sewaktu rehat tengah hari itu. Matanya tertancap ke luar melalui tingkap kelas Tingkatan 1 Uhud. Sinaran matahari terlalu terik walaupun berada di bawah bumbung kelas.

“Lain kali, apabila ada orang kejut engkau bangun sahur, terus tarik baldi bukannya tarik selimut. Ustaz Azfar selalu berpesan bahawa ada keberkatan kalau kita bersahur.” Atiq mengingatkan Bukhari yang sedang mencapai buku teks dan disusun di atas meja untuk diletakkan kepalanya.

“Aku ingat hendak ambil keberkatan melewatkan waktu sahur, tidak sangka pula terlewat sampai pukul 6.30 pagi. Sudahnya, sahur tidak dapat, solat Subuh pula masbuk.” Makin berganda kesal Bukhari.

Suasana dewan makan masih lagi terkawal walaupun jam menunjukkan enam petang. Makanan telah disediakan di atas meja hidang dan para pelajar sedang mempersiapkan diri untuk iftar dan berjemaah Maghrib di surau. Ternyata tarbiah iftar dengan tamar dan sedikit kuih-muih dapat mereka praktik. Makanan berat untuk iftar hanya akan dinikmati setelah selesai menunaikan fardu Maghrib.

Keadaan surau dua tingkat itu agak riuh-rendah seusai solat tarawih lapan rakaat. Tiba-tiba, kelibat Ustaz Azfar kelihatan di pintu surau sebelah kanan. Hanya sekilas pandangannya melewati puluhan anak muda dalam ruang solat, semua bagaikan hilang kata. Dahulu pasar, kini betul-betul sebuah majlis ilmu dan ternyata kehadiran ustaz bersusuk tegap itu mampu mendiamkan semua mulut pelajarnya.

___

Cerita ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Merokok Merentas Sempadan Gender

Oleh Zamilah Zahid

Rokok, rokok, rokok. Hampir saban hari kita didedahkan dengan isu ini. Bagaikan tiada penyudahnya. Media massa sama ada cetak ataupun elektronik, banyak membangkitkan isu ini. Dahulu kebanyakan mereka yang mengamalkan tabiat merokok terdiri daripada golongan lelaki, namun pada hari ini berlainan pula. Sejak akhir-akhir ini sudah banyak wanita yang melibatkan diri dalam aktiviti merokok.

Wanita yang merokok lebih berisiko berbanding dengan kaum lelaki. Hal ini demikian kerana dalam sebatang rokok terkandung 4000 bahan kimia yang berbahaya, terutama nikotin dan karbon monoksida. Bahan kimia ini menjejaskan kesihatan dan terdedah kepada risiko penyakit kronik, seperti barah payu dara dan barah pangkal rahim. Bukan itu sahaja, seorang perokok yang mengambil lebih daripada 20 batang rokok dalam sehari akan menghadapi 10 hingga 15 kali ganda risiko maut akibat serangan jantung. Ketika mengandung, berat bayi bagi wanita merokok kemungkinan tiga kali lebih ringan daripada bayi normal. Bayi yang dilahirkan lebih tinggi risiko mendapat penyakit serta kematian pada tahun pertama kelahiran. Kualiti susu badan juga berkurangan jika bakal ibu ini mula merokok semasa bayi dalam kandungan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Isu Semasa