Home » 2011 » November

Parlimen

Oleh Hasfiza Abdullah

Pembinaan kompleks bangunan Parlimen yang menjadi lambang keagungan demokrasi berparlimen di Malaysia diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sebelum bangunan Parlimen yang ada seperti sekarang ini dibina, persidangan pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman. Persidangan yang berlangsung pada 11 September 1959 ini julung kali diadakan dan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,

Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamed. Dewan yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, ini dibina pada 1935. Asalnya dimiliki Eu Tong Seng, pelombong dan pengusaha ladang getah yang kaya serta terkenal di Kuala Lumpur. Dewan Tunku Abdul Rahman kini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Pembinaan bangunan Parlimen bermula pada 1959. Jabatan Kerja Raya, dan Kementerian Kerja Raya, Pos dan Talikom, diarahkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyelenggarakan kerja mereka bentuk dan membina bangunan Parlimen yang baharu. Pada bulan Disember 1959, kawasan berbukit dengan ketinggian 61 meter dari aras laut dan berkeluasan 16.2 hektar, terletak di arah timur laut Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, dipilih sebagai lokasi kompleks bangunan Parlimen. Kawasan ini dipilih kerana lokasinya yang strategik, iaitu terletak di atas bukit dan berhampiran dengan pusat bandar raya.

Posted in: Arkib Negara

Amukan

Oleh WAHBA

Haiwan-haiwan itu datang lagi. Entah dari mana mereka muncul, tiada siapa tahu. Kali ini lebih ganas dan agresif. Mereka yang menduga haiwan-haiwan itu telah pergi jauh

dari hutan itu, rupa-rupanya tidak tepat. Mereka tertipu. Haiwan-haiwan itu, gajah dan beruang menolak dan meruntuhkan rumah-rumah kongsi. Dua buah rumah kongsi panjang yang dibina di pinggir bukit itu musnah. Berserakan bumbung, kayu-kayu lantai dan dinding. Pinggan mangkuk dan pakaian pun berselerak di tanah dipijak gajah-gajah dan beruang. Peralatan kecil dan besar bertaburan di tanah.

Lori-lori angkut selut dan pokok-pokok diterbalikkan oleh gajah-gajah yang mengamuk itu. Ada lori terbalik dengan tayar ke atas. Ada lori jatuh mengiring. Ada jentolak terhumban ke cerun bukit. Ada jentera pengaut terpelanting patah riuk. Semuanya tunggang langgang. Kali ini haiwan-haiwan itu lebih agresif.

Pekerja yang datang pagi itu amat terkejut. Rumah kongsibranap. Peralatan untuk bekerja tunggang terbalik. Mereka nampak kesan tapak kaki haiwan. Ada tapak kaki gajah, ada tapak kaki beruang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Fitrah berbeza

Oleh Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Atiq melipat kemas selimutnya. Rakan-rakan lain ada yang sudah bangun, ada yang belum. Bukhari yang berada di sebelah katil Atiq masih lagi diulit selimut. Atiq terus ke bilik air dan sebelum itu sempat menggerakkan Bukhari yang masih lena dalam tidur.

“Aku menyesal tidak bangun pagi tadilah, Atiq.” Bukhari mengeluh kesal sewaktu rehat tengah hari itu. Matanya tertancap ke luar melalui tingkap kelas Tingkatan 1 Uhud. Sinaran matahari terlalu terik walaupun berada di bawah bumbung kelas.

“Lain kali, apabila ada orang kejut engkau bangun sahur, terus tarik baldi bukannya tarik selimut. Ustaz Azfar selalu berpesan bahawa ada keberkatan kalau kita bersahur.” Atiq mengingatkan Bukhari yang sedang mencapai buku teks dan disusun di atas meja untuk diletakkan kepalanya.

“Aku ingat hendak ambil keberkatan melewatkan waktu sahur, tidak sangka pula terlewat sampai pukul 6.30 pagi. Sudahnya, sahur tidak dapat, solat Subuh pula masbuk.” Makin berganda kesal Bukhari.

Suasana dewan makan masih lagi terkawal walaupun jam menunjukkan enam petang. Makanan telah disediakan di atas meja hidang dan para pelajar sedang mempersiapkan diri untuk iftar dan berjemaah Maghrib di surau. Ternyata tarbiah iftar dengan tamar dan sedikit kuih-muih dapat mereka praktik. Makanan berat untuk iftar hanya akan dinikmati setelah selesai menunaikan fardu Maghrib.

Keadaan surau dua tingkat itu agak riuh-rendah seusai solat tarawih lapan rakaat. Tiba-tiba, kelibat Ustaz Azfar kelihatan di pintu surau sebelah kanan. Hanya sekilas pandangannya melewati puluhan anak muda dalam ruang solat, semua bagaikan hilang kata. Dahulu pasar, kini betul-betul sebuah majlis ilmu dan ternyata kehadiran ustaz bersusuk tegap itu mampu mendiamkan semua mulut pelajarnya.

___

Cerita ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Merokok Merentas Sempadan Gender

Oleh Zamilah Zahid

Rokok, rokok, rokok. Hampir saban hari kita didedahkan dengan isu ini. Bagaikan tiada penyudahnya. Media massa sama ada cetak ataupun elektronik, banyak membangkitkan isu ini. Dahulu kebanyakan mereka yang mengamalkan tabiat merokok terdiri daripada golongan lelaki, namun pada hari ini berlainan pula. Sejak akhir-akhir ini sudah banyak wanita yang melibatkan diri dalam aktiviti merokok.

Wanita yang merokok lebih berisiko berbanding dengan kaum lelaki. Hal ini demikian kerana dalam sebatang rokok terkandung 4000 bahan kimia yang berbahaya, terutama nikotin dan karbon monoksida. Bahan kimia ini menjejaskan kesihatan dan terdedah kepada risiko penyakit kronik, seperti barah payu dara dan barah pangkal rahim. Bukan itu sahaja, seorang perokok yang mengambil lebih daripada 20 batang rokok dalam sehari akan menghadapi 10 hingga 15 kali ganda risiko maut akibat serangan jantung. Ketika mengandung, berat bayi bagi wanita merokok kemungkinan tiga kali lebih ringan daripada bayi normal. Bayi yang dilahirkan lebih tinggi risiko mendapat penyakit serta kematian pada tahun pertama kelahiran. Kualiti susu badan juga berkurangan jika bakal ibu ini mula merokok semasa bayi dalam kandungan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Isu Semasa

Membongkar Potensi Seni Kreatif

Oleh DR. Sluhi Lamat

Setiap insan yang dilahirkan ke dunia dengan fitrah memiliki potensi diri. Fitrah hanya akan terserlah apabila seseorang individu berusaha keras mengetengahkannya atau dibimbing oleh orang lain. Hal ini bermakna seseorang perlu berusaha mengenal pasti kekuatan, kemampuan serta daya yang ada pada dirinya. Namun dengan mengenali ciri positif tersebut dalam diri belum mencukupi tanpa usaha untuk melakukan penggilapan serta pengukuhan yang berterusan sehingga mencapai tahap yang optimum. Di samping itu, bagi memastikan potensi diri senantiasa berada pada tahap optimum, usaha mengenal pasti kendala penghalang perlu dikenal pasti. Dengan berbuat demikian segala kekuatan dapat digembleng untuk menimbulkan tenaga penggerak yang utuh ke arah kejayaan. Pada masa yang sama seseorang individu akan senantiasa menyedari halangan yang dihadapi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.

Potensi diri bidang seni kreatif dalam kalangan remaja sudah mula diberi perhatian serius sejak akhir-akhir ini. Usaha ini bermula dengan penubuhan dua buah Sekolah Seni Malaysia, di Kuching dan Johor Bahru pada 2007. Penawaran bidang teater, tari, muzik dan seni visual kepada pelajar peringkat menengah di kedua-dua buah sekolah ini nyata menyerlahkan bakat dan potensi diri individu remaja. Prospektif yang positif ini dapat menonjolkan kemampuan yang tinggi dalam kalangan remaja untuk mendepani persaingan pada peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Fokus

MyAgroSis pupuk semangat keusahawanan

Oleh Abdul Ghani Abu

Pertanian adalah perniagaan. Cabaran siswazah mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di menara gading menjadi semakin kompleks dan mencabar lantaran lambakan siswazah di pasaran. Hanya mereka yang benar-benar berkelayakan, berpotensi dan berkemahiran dipilih bekerja. Rata-rata siswazah masih lagi berfikiran untuk bekerja makan gaji disebabkan keyakinan terhadap jaminan kerjaya dan masa hadapan, khususnya di sektor awam.

Menyedari kesedaran untuk melakukan anjakan paradigma dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kedah, dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), menyusun modul pembangunan usahawan dalam kalangan mahasiswa, yang dinamakan MyAgroSis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Isu Semasa

Puisi khas

Pengutip Bunga Hayat

Kitalah anak-anak pelaut
dengan beban di bahu
dengan beban di punggung
sepanjang abad turun-temurun
meredah ombak
meredah gelombang

Naapie Mat
Kampung Besut, Tumpat, Kelantan

___

Puisi ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Puisi Khas

Program Perhubungan Masyarakat di Universiti

Oleh Muhammad Abi Sofian Abdul Halim

Dasar Wawasan 2020 menetapkan bahawa Malaysia tidak harus menjadi negara yang maju dari segi ekonomi sahaja tetapi perlu merangkumi pembangunan kerohanian. Melalui dasar ini, kemajuan negara akan diberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek perpaduan negara dan kesepaduan sosial, ekonomi, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan, mutu kehidupan, nilai sosial, dan kerohanian.

Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi, bertanggungjawab memastikan pembangunan akademik di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seimbang dengan pembangunan kerohanian pelajar. Peranan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak hanya tertumpu kepada pembangunan akademik semata-mata, sebaliknya pembangunan pelajar daripada aspek sahsiah, sosial, dan kerohanian perlu diberikan penekanan supaya pembangunan pelajar menyeluruh dan seimbang.

Permintaan pasaran industri tenaga kerja masa kini tidak hanya dinilai berdasarkan ilmu dan kepakaran, tetapi dinilai dalam aspek personaliti, kerohanian dan keterampilan personaliti. Oleh sebab itu, program perhubungan masyarakat merupakan antara pendekatan perancangan pembangunan pelajar di IPT.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Isu Semasa

Amalan Bersyukur

<p>Oleh Amirul Ridzuan

Sesekali apalah salahnya untuk kita meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT yang sentiasa memberikan nikmat. Mungkin bagi sesetengah daripada kita agak berat untuk melafazkan Alhamdulillah, “Segala puji bagi Allah SWT”.

“ … sekiranya kalian menghitung nikmat-nikmat Allah SWT,

nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya …”

(Surah Ibrahim, ayat 34)

Kadangkala kita tidak sedar dengan semua nikmat dan rahmat yang dianugerahkan oleh-Nya. Terlalu banyak yang Allah SWT kurniakan hingga kita tidak sedar dengan pelbagai nikmat yang Allah SWT limpahkan, malahan setiap udara yang kita sedut juga merupakan nikmat. Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang mampu menghitung segenap nikmat dan pemberian Allah SWT kepada kita. Namun berapa banyakkah di antara kita yang bersyukur?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Islam dan Anda

Kreatifkan Dirimu …

Statistik menunjukkan sebanyak 467 970 orang pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebanyak 53 674 orang pelajar menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2010. Keputusan peperiksaan SPM 2010 yang diumumkan pada 2011 mencatatkan 368 559 orang calon memperoleh sijil, manakala 9239 orang calon cemerlang. Keputusan peperiksaan STPM 2011 pula merekodkan sebanyak 46 780 orang calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Selanjutnya, rekod Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan pada 2011 sebanyak 40 506 orang pelajar diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam seluruh negara.

Secara perbandingan, data ini menggambarkan persaingan yang semakin sengit dalam dunia pendidikan negara. Namun, cabaran yang lagi hebat menanti remaja adalah apabila melangkah keluar dunia realiti mencari ruang dan peluang pekerjaan.

Di sinilah letaknya kepentingan potensi seni kreatif dalam diri remaja. Akademik sememangnya menjadi tunjang utama kejayaan seseorang remaja. Namun keterampilan individu akan lebih menyerlah dengan penglibatan dalam bidang sukan, seni dan budaya. Dalam sistem pendidikan di Barat, tiga elemen ini amat dititikberatkan kerana akan melahirkan remaja yang memiliki tahap kompetensi yang tinggi bagi membolehkan mereka menghadapi apa-apa jua cabaran yang datang.

Oleh hal yang demikian, fokus bulan ini cuba memberikan perspektif baharu kepada pembaca tentang kepentingan seni kreatif untuk melahirkan generasi remaja yang cemerlang dan berdaya saing. Dalam konteks ini, kerajaan menggalakkan remaja

untuk sentiasa berfikir di luar kotak, memiliki daya inovatif dan berani menonjolkan kreativiti diri. Bagi merealisasikan cita-cita tersebut, kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2012 akan terus menyemarakkan program budaya inovasi dan kreatif ini menerusi Yayasan Inovasi Malaysia.

Tuntasnya, data persaingan di atas sewajarnya menjadi penanda aras kepada remaja untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah. Hal ini penting bagi menjamin remaja mampu bersaing sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Remaja yang kreatif sentiasa menjanakan idea-idea yang di luar kotak, yang boleh dikomersialkan dan pulangannya dinikmati sendiri oleh remaja.

Kreatifkan dirimu …

Seni Kreatif Citra Keperibadian Unggul

-Abdul Ghani Abu

Posted in: Nota Editor