Home » 2011 » November (Page 2)

Penggunaan Tanda Soal dan Tanda Seru

Oleh Munsyi Dewan

Tanda baca amat penting dalam penulisan. Ketiadaan tanda baca, atau penggunaan tanda baca yang tidak tepat, akan menjejaskan kelancaran gagasan dan fakta dalam karangan. Hal ini memungkinkan wujud kekeliruan memahami maklumat yang tersirat dalam karangan pelajar.

Kali ini, kita akan membincangkan penggunaan tanda soal, dan tanda seru.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Geroda Burung Gergasi

Oleh Saharil Hasrin Sanin

Geroda merupakan antara makhluk mitos yang terkenal di negara kita. Cerita dongeng turun-temurun sering membayangkan kisah burung geroda gergasi yang dapat menggelapkan seluruh kampung ketika terbang di angkasa akibat sayapnya yang lebar sehingga menutup matahari. Namun, di sebalik cerita dongeng tersebut, adakah tersembunyi kebenaran? Dapatkah saintis membuktikan kewujudan burung gergasi ini?

Kisah geroda atau burung gergasi memang terkenal sepanjang sejarah. Ibnu Battuta pernah menceritakan seekor burung raksasa yang terbang di angkasa Laut China Selatan, saiznya terlalu besar sehingga kelihatan seperti gunung yang sedang terapung. Pada kurun ke-13, Marco Polo pernah menceritakan seekor burung seperti helang yang terlalu besar, bulu pelepahnya sepanjang 12 langkah manusia, dan kukunya mampu mencengkam dan membawa pergi seekor gajah. Dalam Hikayat 1001 malam juga diceritakan kisah Sinbad yang terserempak seekor burung raksasa yang membalas dendam memusnahkan bahtera besar kerana telurnya dibawa lari dari sarang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Badan Kehakiman

Oleh Abdul Aziz Bari

Badan kehakiman memainkan peranan penting dalam memastikan tujuan dan isi kandungan perlembagaan dapat hidup dan berkembang. Seperti yang termaktub dalam doktrin pengasingan kuasa, peranan mahkamah ialah mentafsirkan undang-undang. Hal ini dilakukan dalam pelbagai cara dan konteks, iaitu dari penyelesaian konflik hinggalah mentafsirkan peruntukan perlembagaan.

Konflik boleh berlaku antara kerajaan dengan rakyat, atau antara rakyat. Dalam sebuah negara persekutuan, seperti Malaysia, konflik boleh berlaku antara kerajaan. Dalam proses menyelesaikan konflik ini mahkamah memberikan tafsiran kepada undang-undang yang secara automatik menentukan hak dan liabiliti pihak yang bertikai. Keputusan mahkamah juga menjadi sebahagian daripada undang-undang, meskipun taraf undang-undang tersebut lebih rendah berbanding dengan perlembagaan dan undang-undang bertulis yang dibuat oleh parlimen.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Perlembagaanku

Fotografi Potret

Oleh Yaman Ibrahim

Fotografi potret merupakan salah satu genre fotografi yang sangat popular, yang merupakan seni aktiviti merakamkan imej individu atau sekumpulan orang. Tumpuan diberikan kepada wajah serta ekspresinya. Objektif utamanya adalah untuk memaparkan keserupaan, personaliti dan perasaan subjek. Fotografi potret juga merupakan rakaman visual seseorang pada pelbagai tahap usia termasuk peristiwa perkahwinan, sambutan hari ulang tahun kelahiran dan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah hidup seseorang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Lensa Siswa

Faedah Mengkritik Diri

Oleh Izani Hj Daud

Setiap orang mengidamkan kejayaan dalam setiap usaha yang dilakukan. Walau bagaimanapun tidak semua orang mencapai kejayaan yang dicita-citakan. Hal ini disebabkan untuk berjaya seseorang itu perlu mempunyai sikap yang boleh membawanya ke puncak jaya.

Dengan perkataan lain, personaliti yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri yang positif. Antara ciri tersebut termasuklah rajin, dedikasi, tidak mudah kecewa, proaktif, dan berkeyakinan dalam apa-apa jua usaha yang dilakukan.

Satu lagi ciri yang perlu ialah sikap suka mengkritik diri kemudian memperbaik kelemahan yang ada pada diri sendiri. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada kelemahan dan melakukan kesilapan. Hal ini disebabkan sifat manusia yang lemah dan tidak sempurna.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Budaya

Puisi siswa

Wahai ilmu

Wahai ilmu aku cinta engkau
aku perlu engkau sebagai cahaya dunia.

Wahai ilmu aku cinta engkau
aku perlu engkau sebagai temanku.

Wahai ilmu kenapa ada sebahagian
manusia tidak hargai engkau?
kenapa mereka memerlukan engkau
untuk kerjaya mereka sahaja?

Ahmad Amirul Mohamed
Klang, Selangor Darul Ehsan

Gurindam adab dan sopan

Hendaklah menjaga adab dan sopan,
rakyat hidup aman tenteram di masa
hadapan.

Hendaklah bertegur sapa jiran
tetangga,
pulang ke kampung harta terjaga.

Hendaklah mesra murahkan senyuman,
hati terpikat menjadi teman.

Mohd Helmi Ahmad
Alor Setar, Kedah Darul Aman

Sebutir kersik halus, sekuntum bunga padang pasir

Sebutir kersik halus
kerdil sendiri di lapangan gersang
iringi kering pawana bertiup
merentas tandus kejadian
padang hangat tak berapi.

Shafiq Mazlan
Kulim, Kedah Darul Aman

Puisi lorong seni

Seni kata jiwa anak bumi
indah ilhamnya sentiasa berseri
cergas fikiran warasnya akar lestari
di dasar hati ia mengalir sepi
di halaman ia mengharum wangi.

Fazwan Hanafi
Sungai Petani, Kedah Darul Aman

Pengemis tua

Hari ini aku terlihat seorang pengemis
tua di sebuah kaki lima
pengemis itu hanya duduk bersila
sambil memegang sebuah tin kosong
tangannya terketar-ketar meminta
simpati orang ramai.

Rahmah Mohammad
MK Presint 9(1)
Presint 9, Putrajaya

Pemimpin

Kalaulah
diletakkan sebuah amanah di atas
pundakmu
beratnya bahu kau cukup terasa
tanda tanggungjawab yang masih
bersisa; tergalas
menuntut kau terus utuh di arena.

Iman Fansuri
SMKA Al Irshad, Pulau Pinang

Pipit

Pipit
tidakkah kau berasa bosan?
terkurung di dalam kurungan.

Pipit
mungkinkah kau gembira
disuap, dipuja dan dijaga
dibelai setiap masa.

S.Rabbani
S.M Sains Tuanku Ja’afar
Kuala Pilah
Negeri Sembilan Darul Khusus

___

Puisi ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Puisi Siswa

Teknik Menghadapi Ujian Lisan

Oleh Ikhwan Assafa

Ujian lisan diadakan untuk menguji kebolehan pelajar berkomunikasi dengan betul. Banyak pelajar boleh menulis dengan baik, tetapi ada yang sukar untuk menyampaikan maklumat lisan dengan sempurna. Dengan melakukan ujian lisan, taraf kefahaman pelajar dan kebolehan pelajar menyampaikan maklumat dapat diuji. Kelak, selepas anda tamat persekolahan, kebolehan berkomunikasi secara lisan amat penting untuk kerjaya anda. Cubalah beberapa teknik ini untuk menghadapi ujian lisan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Tip Belajar

Bersama Cikgu Azizul

Oleh Azizul Rahman Abdul Rahman

Menjelang musim perayaan, harga barang keperluan akan melambung tinggi. Bekalan bahan makanan dan barangan keperluan yang lain mengalami kekurangan. Bincangkan peranan masyarakat dalam membendung masalah ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Responding to Literary Texts

Oleh Gurnam Kaur Sidhu

In Malaysia, time and again, Ministers of Education and the public lament on the limited English language proficiency of the students despite having undergone more than twelve years of learning English in schools. In all these instances the public often clamours for action and not talk. But having served in Malaysian public schools and the Ministry of Education for more than twenty years, I can vouch that many well thought of plans and reading programmes have been put in place. In this month’s column I would like to highlight one effective reading programme that the Ministry of Education has introduced in all schools – i.e. Literature in Language Classroom or often referred to as the small “l”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Write & Speak

Anafora Mempesona dan Bermakna

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

“Puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.” Demikian definisi puisi oleh Pendeta Za’ba yang amat mantap dan mudah difahami.

Penulis tidak jemu-jemu mengutarakan pendapat Za’ba ini, malahan penulis benar-benar berharap para penyajak muda dapat menghafaz, mengamati serta menggarap puisi berdasarkan pendapat yang jitu ini. Ungkapan, “melafazkan fikiran yang cantik”, “melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa”, dan “dengan gambaran yang cantik perkara yang dikatakan bertambah menarik”, patut dijadikan panduan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa November 2011.

Posted in: Ulasan Puisi