Home » 2011 » December

Menyunting Kelainan, Mengimbang Perasaan

oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

DALAM keluaran terakhir tahun ini, kita berpeluang menatap lapan buah sajak yang dihasilkan oleh pelajar pilihan yang menyertai Program Perkampungan Penyajak Muda Peringkat Negeri Sembilan 2011. Program yang melibatkan 106 calon dari 102 buah sekolah menengah itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap, Johol, Negeri Sembilan, pada 23 hingga 25 September yang lalu.
Kelapan-lapan kuntum sajak ini menyimpulkan keprihatinan penyajak muda terhadap persekitaran yang mewarnai kehidupan mereka. Sebagai perakam peristiwa dan cita rasa, penyajak turut mengemukakan kelainan dengan gaya yang tersendiri.
Sajak “Hidup” yang mengisahkan perjuangan untuk mencapai kejayaan memang biasa. Namun, sajak mudah ini memetik sebuah peribahasa Cina sebagai pengenalan yang cantik. Cara ini jarang-jarang dilakukan oleh penyajak muda yang lain.
Halia tua pedas rasanya bermaksud semakin dewasa seseorang itu, semakin banyak ilmu, pengalaman dan jasanya. Pengenalan ini seperti mengingatkan kita bahawa mereka yang seperti ini mestilah diutamakan dan dihargai. Sajak ini terasa amat istimewa kerana penyajaknya turut melakarkan dialog warga emas yang memerlukan perhatian. Tanpa disertai tanda baca pengikat kata, rangkap kedua sesungguhnya menggambarkan rayuan tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Ulasan Puisi

Harga Sebungkus Nasi Lemak

oleh Ardi Asmera Saeman

MAKANAN bukan sahaja keperluan hidup bagi manusia tetapi mencerminkan corak dan keperibadian masyarakat. Makanan yang dihasilkan secara kreatif oleh sesuatu kaum menjadi identiti dan kepunyaan mereka. Masakan dan makanan yang diwariskan ini biasanya disampaikan daripada generasi kepada generasi secara tradisi lisan sahaja dan tidak berbentuk tulisan.
Apabila menyebut makanan, pastinya nasi lemak merupakan contoh tersohor. Nasi lemak hidangan yang ringkas dan mudah. Hidangannya  lengkap berasaskan nasi yang berlemak santan ditambah rasa dengan pedas sambal, kerangupan ikan bilis, telur rebus dan ditawarkan pedasnya dengan timun. Jika menelusuri latar sejarah, nasi lemak mempunyai cerita yang tersendiri. Maka, pantun orang dahulu:

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan;

Buang emak buang saudara,

Kerana kekasih hamba turutkan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Budaya, Khas

Tanda Sempang dan Tanda Pisah

oleh MUNSYI DEWAN

TANDA baca amat penting dalam penulisan. Ketiadaan tanda baca atau penggunaan tanda baca yang tidak tepat akan menjejaskan kelancaran gagasan dan fakta dalam karangan, malahan hal ini memungkinkan wujud kekeliruan memahami maklumat  yang tersirat dalam karangan pelajar. Pada kali ini, akan dihuraikan penggunaan tanda sempang dan tanda pisah.

Tanda Sempang ( – )

Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan kata ganda, yakni memisahkan pengulangan kata. Contohnya:

i. buku-buku

ii. tali-temali

iii. adik-beradik

iv. mundar-mandir

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Berakhlak Mulia Ketika Berada di Jalan Raya



oleh Nazri Hussein

MUSLIM yang benar-benar berakhlak mulia bukan sahaja ketika berinteraksi sesama ahli  masyarakat tetapi semasa menggunakan kenderaan di jalan raya. Islam amat menekankan tingkah laku dan adab yang baik semasa menunggang motosikal atau memandu kereta. Kes kemalangan jalan raya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun. Hal ini sewajarnya dapat ditangani jika masyarakat lebih berhemah serta bertanggungjawab menunaikan amanah terhadap pengguna lain di tengah kesibukan jalan raya.

Kita sedia maklum, tidak semua kemalangan jalan raya berpunca daripada keadaan jalan raya atau kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik. Aspek lain, seperti kecuaian manusia, leka kerana terlalu mengikut hawa nafsu, tidak bertanggungjawab, kurang didikan agama serta tidak sabar menghadapi situasi yang genting, dikenal pasti menjadi penyumbang besar peningkatan statistik kemalangan maut di  jalan raya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Posted in: Islam dan Anda

Masuk ke dalam Mimpi

Oleh Saharil Hasrin Sanin

BIDANG sains mengkaji mimpi dinamai oneirologi, perkataan tersebut diambil daripada bahasa Yunani, oneiros, yang bermaksud mimpi, dan logia, yang bermaksud pengajian. Jika seorang yang dihantar mengembara ke angkasa lepas dinamai astronaut, seorang yang mengembara ke dalam mimpi dinamakan oneironaut.

Mimpi merupakan antara bidang sains yang paling misteri dan sukar untuk dikaji. Bagaimanakah mahu mengkaji mimpi jika mimpi hanya boleh dialami sewaktu tidur? Adakah pernah seseorang bermimpi ketika sedang berjaga? Bolehkah anda masuk ke dalam mimpi sendiri?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.

Bersama Cikgu Azizul

Oleh Azizul Rahman Abdul Rahman

Kegiatan vandalisme berlalu dengan berleluasa. Kegiatan ini mencalarkan imej negara. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani kegiatan ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Disember 2011.