Home » 2012 » February

KEAJAIBAN KAWAH PUTIH DAN AIR PANAS TWA CIMANGGU

Oleh NORDIN SAAD

Kawah Putih merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang terletak di Bandung, Indonesia. Kawah seluas kira-kira 20 kilometer persegi ini mengandungi air berwarna putih kehijauan yang sentiasa panas yang berpunca daripada sejenis bahan kimia, iaitu sulfur atau belerang. Kewujudan bahan berwarna kuning kehijauan ini menyebabkan sekitar kawasan ini berbau belerang sehingga pengunjung yang tidak tahan dengan bau tersebut terpaksa memakai topeng. Sekitar kawasan ini, khususnya di tepi kawah, bertaburan bahan yang digunakan untuk membuat bahan letupan.

Perjalanan dari Bandung ke pintu masuk kawasan ini mengambil masa kira-kira satu setengah jam. Para pengunjung disediakan kenderaan khas untuk meneruskan perjalanan sejauh 5.6 kilometer lagi ke kawasan kawah yang terletak kira-kira 2000 meter dari paras laut. Bayaran sebanyak RP50,000 (RM17.00) dikenakan setiap orang. Perjalanan melalui jalan yang dikelilingi pelbagai jenis tumbuhan hutan melalui jalan yang curam dan berliku-liku ini terasa begitu nyaman dengan suhunya di bawah 16 darjah Celsius.

Kawah Putih ini berasal dari Gunung Patuha yang dijumpai masyarakat asli daerah ini, iaitu Cidiwey. Gunung Patuha pula dikatakan berasal dari Gunung Sepah atau “Pak Tua” dan pernah meletus pada sekitar abad ke-10 yang menyebabkan terjadinya kawah. Gunung ini meletus kali kedua sekitar abad ke-12.

Kawah yang kelihatan seperti tasik ini ditemukan oleh Dr. Franz Wilhelm Junghunh, orang Belanda berketurunan Jerman pada 1837. Pada zaman penjajahan Belanda, kawah ini dikenali sebagai Zwayel Ontgining dan pada zaman Jepun disebut “Yokoya Cidiwey”. Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, kawasan sekitar kawah ini mempunyai pelbagai leluhur, seperti Eyang Jaga Satru, Eyang Rangsa Sadana, Eyang Camat dan Eyang Ngabai. Selain itu, dipercayai di kawasan ini muncul sekali-sekala kumpulan domba berbulu putih atau domba lukutan, iaitu sejenis jelmaan leluhur.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

KEMBARA MUSLIM 2012

Kota Kashgar Kota Pertemuan

Oleh ABDUL GHANI ABU

Seawal pukul 4.00 pagi penulis bangun daripada tidur untuk memastikan tepat pukul 5.15 pagi sudah berada di lobi Hotel Radio Antarabangsa China (CRI) bagi memulakan perjalanan ke Kashgar, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, China, dalam kerangka Kembara Muslim di China 2011. Perjalanan ke terminal tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing mengambil masa hampir satu jam. Suasana dingin pagi sungguh menyamankan.

Suasana di terminal tiga amat sibuk. Kini, barulah penulis merasai sendiri dan dapat menggambarkan betapa banyaknya penduduk negara China. Di Beijing sahaja, terdapat 26 juta orang penduduk yang menyamai jumlah penduduk Malaysia! Maka, tidak hairanlah juga pemeriksaan polis dan imigresen di lapangan terbang dikawal ketat demi keselamatan penumpang. Terminal tiga amat besar, penulis perlu berjalan hampir 800 meter dan kemudian menaiki bas pengangkut sebelum menaiki kapal terbang.

Perjalanan udara dari Beijing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Umurqi, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, mengambil masa empat jam. Pemandangan dari udara sungguh indah, dan lebih menarik lagi apabila dihidangkan menu pilihan Muslim yang ditanggung halal dan enak rasanya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Khas

KEM JEJAK KERJAYA 2011

Oleh ABDUL GHANI ABU

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.Begitulah diibaratkan kepada peserta Kem Jejak Kerjaya 2011 Petrosains-UTP. Buat tahun ketiga berturut-turut, Dewan Siswa menjadi media rasmi program tahunan yang dianjurkan oleh Petrosains Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan FELDA. Editor Dewan Siswa, Abdul Ghani Abu bersama-sama Penolong Editor Dewan Masyarakat, Muhammad Rafiq Abdul Rahman, turut serta dalam kem yang berlangsung selama empat hari tiga malam di kampus Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh, Perak.

Padat dengan aktiviti yang menguji kreativiti, menjana idea kreatif, menjana semangat kerja berpasukan dan menyeronokkan. Itulah antara kata yang terucap dalam kalangan 140 orang peserta yang mewakili 14 buah sekolah menengah Pusat Pembelajaran Sains (PPS) yang diselia oleh KPM dan FELDA. Lebih menarik lagi, sebanyak 16 orang peserta kem tahun lalu bertindak sebagai pemudah cara bersama membantu 14 orang pemudah cara senior yang terdiri daripada mahasiswa UTP. Mahasiswa ini terdiri daripada penuntut yang mengambil pelbagai jurusan, seperti kejuruteraan petroleum, teknologi maklumat, geopetroleum dan kejuruteraan mekanikal.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Khas

FOTOGRAFI FESYEN

Oleh YAMAN IBRAHIM

FOTOGRAFI fesyen merupakan genre fotografi yang memaparkan rangkaian pakaian dan perhiasan yang berkaitan dengannya. Contohnya, barangan aksesori, seperti gelang, rantai, kaca mata dan kasut. Fotografi fesyen ini biasanya lebih menjurus untuk pengiklanan serta komersial. Namun begitu, terdapat fotografi fesyen yang dibuat untuk kegunaan khusus dalam majalah fesyen atau majalah hiburan, seperti majalah antarabangsa Vogue, Vanity Fair atau Elle. Di negara kita pula, majalah yang banyak memaparkan fotografi fesyen seperti majalah Glam, EH! dan Maskulin.

Jurugambar fesyen secara tradisinya menggunakan studio sebagai lokasi penggambarannya. Namun, kini dengan perubahan zaman dan teknologi kamera yang semakin canggih, banyak hasil jurufoto fesyen yang bagus diperoleh melalui penggambaran di luar studio, diambil di lokasi yang cantik serta eksotik di serata dunia. Jurugambar fesyen kini menggunakan latar tempat yang pelbagai, seperti pantai, tanah tinggi, hutan dan jalan raya, malahan padang pasir yang kontang pun boleh dijadikan latar penggambaran fotografi fesyen.

Banyak jurugambar fesyen terkenal dunia berasal dari Barat, seperti mendiang Richard Avedon yang dikatakan salah seorang jurufoto fesyen penting dunia. Karya fotonya banyak dipamerkan di muzium seni di Amerika Syarikat dan Eropah. Kini, beberapa nama besar dalam genre fotografi fesyen ini seperti Mario Testino, Patrick Demarchalier, Peter Lindbergh dan Annie Leibovitz. Sekadar menyebut beberapa nama, banyak lagi jurufoto fesyen yang terkenal datang dari benua Eropah serta Asia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Lensa Siswa

MATA PELAJARAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DI SEKOLAH MENE

Oleh MUHAMMAD AIMAN AZAHAN

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, tentang pengajaran mata pelajaran Sejarah pada peringkat sekolah rendah merupakan perkembangan positif pendidikan negara dalam usaha menanam semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Langkah ini memberikan kesan positif terhadap pembinaan negara bangsa. Selain itu, hal ini merupakan langkah proaktif yang melengkapkan manfaat yang diperoleh daripada pengajaran mata pelajaran Sejarah. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat perbezaan cara berfikir antara kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketika mempelajari mata pelajaran Sejarah, para pelajar terdorong berfikir tentang masa lalu dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada tindakan masyarakat pada waktu itu. Sebaliknya, ketika mempelajari Perlembagaan Persekutuan, para pelajar diajak berfikir tentang undang-undang yang menjadi tulang belakang dan segala akta yang mengawal negara ini.

Persoalan yang timbul tentang pemupukan semangat patriotisme ialah bagaimanakah hendak mengukurnya? Adakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang sudah cukup untuk melabelkan seseorang itu sebagai patriotik? Jika itulah pengukurnya, kita perlu melihat realiti masyarakat pada hari ini.

Dewasa ini, Jalur Gemilang hanya dikibarkan pada hari sambutan ulang tahun kemerdekaan. Selepas itu, Jalur Gemilang jarang-jarang dikibarkan. Begitu juga pada peringkat sekolah, pelajar hanya bersemangat mengibarkan jalur gemilang pada masa sambutan tersebut dijalankan sahaja, itu pun selepas dipaksa oleh guru. Apabila mereka pulang ke rumah, semangat itu hilang begitu sahaja, sedangkan semangat patriotisme ini perlulah sentiasa kekal dalam jiwa pelajar pada setiap masa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Khas

SEDERHANA DALAM MEMUKAU

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

Mahaya Mohd. Yassin mantan pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar dan kini Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Beliau juga merupakan penyair mapan tanah air yang kerap memenangi anugerah dan hadiah sastera.

Lapan buah sajak yang menyerikan halaman Puisi Siswa kali ini menggambarkan perkembangan normal diri penyajak muda. Mereka mempunyai visi dan misi, menikmati kemajuan terkini serta dilanda perasaan cinta.

Sajak “Harapan” dan “Turapan Harapanmembawa hasrat yang amat besar. Sebagai remaja, kedua-dua penyajak ini amat prihatin akan hal persekitaran yang menuntut penglibatan mereka. Dalam “Harapan”, penyajak terasa amat bersimpati akan nasib seseorang.

budak kecil…

bekas luka masih berdarah…

masih memegang cawan usang

meraih simpati

Usaha budak yang diherdik dan dicederakan itu amat mulia. Harapannya, dengan wang sedekah yang akan diperoleh, dapatlah digunakan untuk mengubati penyakit ibunya. Keseluruhan sajak ini mudah, padat dan menarik. Kata-kata yang biasa, tetapi tepat penggunaannya, memang memukau. Sikap optimis budak kecil pun meyakinkan. Kata penyajak sering kali dan terukir senyuman waja berjaya meraih simpati pembaca. Meskipun dalam kesukaran, dia tetap tersenyum. Itulah tanda keikhlasan budak tersebut.

Apabila diamati, rangkap pertama terasa tidak perlu. Citra yang terungkap dalam rangkap ini tidak seimbang dan berkesinambungan dengan hal yang terdapat dalam ketiga-tiga rangkap yang seterusnya. Mungkin penyajak mahu menggambarkan harapan pengemis kecil yang disandarkannya kepada ihsan orang ramai. Namun, kata kilat, menghalilintar, titis air dan membasahi bumi terasa berlebih-lebihan atau berat berbanding dengan citra lain dalam keseluruhan sajak.

Posted in: Ulasan Puisi

2012 TAHUN BENCANA

Oleh Saharil Hasrin Sanin TAHUN

Filem 2012 yang menceritakan bencana besar-besaran yang akan menimpa bumi pada 2012, melibatkan gempa bumi, ledakan gunung berapi, dan tsunami gergasi mendapat perhatian khalayak seluruh dunia. Walaupun hanyalah filem fantasi fiksyen, banyak yang berpendapat bahawa filem tersebut mempunyai kebenaran di sebaliknya.

Mengikut sejarah, para pengkaji mula mengaitkan 2012 dengan bencana kiamat sejak penemuan kalendar puak Maya di Amerika Selatan yang terhenti pada 21 Disember 2012. Puak Maya mempunyai kalendar yang berbeza dari kalendar Masihi serta kalendar Hijrah, disebut Kalendar Kiraan Panjang Meso-Amerika. Puak Maya merupakan pakar alam semesta. Mereka merangka kalendar mengikut perubahan buruj dan galaksi. Budaya turun-temurun puak tersebut sering diatur mengikut perubahan bintang. Ada pengkaji tamadun Maya mengandaikan bahawa pada tarikh kalendar itu terhenti, kehidupan di planet bumi turut akan terhenti. Bencana besar akan berlaku yang akan mengubah kehidupan manusia.

Selain filem 2012, Discovery Channel menayangkan dokumentari 2012 Apocalypse yang mencadangkan bumi mungkin akan menghadapi ribut solar, gempa bumi, letusan gunung berapi dan pelbagai lagi bencana alam. History Channel turut menayangkan dokumentari 2012: End of Days dan Last Days on Earth. Buku yang mengkaji fenomena ini turut diterbitkan termasuklah Fingerprints of the Gods oleh Graham Hancock dan Breaking the Maya Code oleh Michael Coe.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Hak Asasi dalam Perlembagaan

Oleh ABDUL AZIZ BARI

Salah satu bahagian Perlembagaan Persekutuan yang penting dan sering menjadi topik perbualan khalayak ialah kebebasan asasi. Meskipun tidak disebut jelas oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan asasi merujuk hak asasi manusia.

Bahagian kedua dalam Perlembagaan Persekutuan (perlembagaan dibahagikan kepada 16 bahagian) menghimpunkan peruntukan yang mengkanunkan pelbagai hak, baik yang berbentuk hak individu mahupun yang berbentuk hak kumpulan atau komuniti. Bermula dengan Perkara 5 yang mengkanunkan hak yang berkisar di bawah kebebasan individu, bahagian ini berakhir dengan hak terhadap harta yang diletakkan di bawah Perkara 13.

Sebahagian daripada hak asasi dilindungi dengan cara membuat larangan. Perkara ini jelas dalam konteks Perkara 6 yang melarang perhambaan dan kerja paksa. Begitu juga dengan perbicaraan dua kali dan undang-undang jenayah berkuat kuasa kebelakangan yang terkandung di bawah Perkara 7. Dengan itu, tidak ada orang yang boleh dibicarakan dua kali. Ertinya, apabila seseorang yang dituduh telah dibebaskan atas sesuatu tuduhan, individu tersebut tidak boleh dibicarakan sekali lagi atas kesalahan yang sama. Undang-undang jenayah kuat kuasa kebelakangan pula dilarang supaya tidak ada orang yang didakwa atas sesuatu yang bukan kesalahan jenayah sewaktu kesalahan tersebut dilakukan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Perlembagaanku

DARI PRANG BESAR KE PUTRAJAYA

Oleh HASFIZA ABDULLAH

www.arkib.gov.my

PERNAHKAH sesiapa yang menduga kawasan hutan dan ladang di Prang Besar, Sepang, Selangor, akan bertukar menjadi bandar raya bestari yang menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan? Lakaran sejarahnya bermula daripada cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada pertengahan tahun 1980-an untuk mewujudkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu di luar kawasan Kuala Lumpur. Hasrat ini selaras dengan dasar kerajaan untuk mengimbang dan menyebarkan pembangunan dari Kuala Lumpur. Keputusan ini juga didorong oleh hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti persekitaran perbandaran dan kehidupan di Kuala Lumpur serta menjamin pembangunan berterusan di Lembah Kelang.

Sekitar bulan Jun 1993, dua kawasan telah dikenal pasti bagi tujuan tersebut, iaitu Prang Besar dan Janda Baik di Pahang. Akhirnya, Prang Besar dipilih untuk dibangunkan sebagai bandar raya Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Prang Besar pada asalnya ladang kelapa sawit dan getah.

Kawasan ini dibuka pada 1918 dan merupakan anugerah daripada kerajaan British kepada sekumpulan bekas anggota tentera British yang berjasa dan terselamat sewaktu Perang Dunia Pertama. Secara perkongsian, mereka membuka estet tersebut. Sebelum dikenali dengan Prang Besar, kawasan ini dikenali sebagai Air Hitam. Nama Prang Besar diberikan oleh orang British apabila mereka membuka estet itu. Nama ini bersempena dengan Perang Dunia Pertama yang pada masa itu dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Perang Besar. Ketika awal pembukaannya, estet ini hanya berkeluasan 800 ekar dan berkembang menjadi 8000 ekar melalui pembelian estet di sekelilingnya, seperti Estet Raja Alang, Estet Galloway dan Estet Bukit Prang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Arkib Negara

Tuk Ayah

Oleh NAZRI HUSSEIN

BUKIT tinggi itu terlalu banyak berbakti kepada penduduk kampung serta rakyat negara ini. Disebabkan bukit tinggi yang menjadi pasak bumi dengan beberapa gua kecil yang sedikit terlindung itulah menjadikan kampung ini satu-satunya kawasan yang gagal ditawan oleh tentera Jepun ketika menakluki tanah Melayu beberapa dekad dahulu. Di sinilah, ratusan anak muda Melayu dan gerila Cina bersatu mengekang asakan serangan tentera Jepun yang bersenjatakan rifel dan peluru.

Di sinilah juga Tuk Ayah dan perwira-perwira kampung bangkit membalas serangan tentera Jepun dengan peluru timah dari muncung senapang patah yang dicuri dari depoh senjata tentera British. Masih Tuk Ayah ingat lagi, berpuluh-puluh hari mereka bertahan dengan bersembunyi di pintu-pintu gua di celah lereng bukit melakukan serangan gerila hingga berpuluh-puluh nyawa tentera Jepun terbunuh dek keberanian anak-anak muda yang bersemangat waja dan tidak takut mati. Akibatnya,tentera Jepun yang gagah berani itu terpaksa berundur penuh ketakutan melihat kekuatan pemuda-pemuda Melayu dan Cina bersatu menentang mereka.

Tuk Ayah tidak akan lupa di puncak bukit kebanggaan itulah juga, anak-anak muda berkumpul sambil berlatih bermain senjata menentang penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Di situlah perwira-perwira negara berkampung di bawah arahan Tuk Ku Paloh dan Lebai Sareh menyerang dan membunuh puluhan rekrut tentera British dengan keris, pedang dan tombak.

Keberanian dan kegigihan mereka sebagai pejuang negara tidak sedikit pun terhapus daripada ingatan Tuk Ayah walaupun ketika itu usia Tuk Ayah masih kanak-kanak lagi. Paling berbekas di hati Tuk Ayah tatkala mengenangkan di puncak Bukit Merah itulah juga jasad ayahandanya, Panglima Ngah Seman, berkubur ditembak oleh tentera British dalam satu serangan nekad pada awal subuh. Nisan dan pusara ayahanda tercintanya di tengah-tengah puncak hingga kini masih Tuk Ayah kunjungi setiap kali pagi Jumaat sambil membaca Yassin dan doa. Di situlah juga, puluhan lagi pusara pemuda kampung yang berjuang menentang penjajahan kuasa-kuasa luar disemadikan buat selama-lamanya. Bagi Tuk Ayah, Bukit Merah adalah satu-satunya warisan sejarah yang masih tinggal di kampung itu untuk diceritakan kepada generasi baharu tentang perjuangan bangsa menentang penindasan dan kezaliman kolonial.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012