Home » 2012 » February (Page 2)

BEBERAPA PEMBAIKAN DALAM CERPEN

Oleh MAWAR SAFEI

Antara baris catatan penulis sebelum ini termasuklah menjalani proses penghasilan cerpen dapat mendidik peribadi kita menjadi seorang yang teliti dan hati-hati. Penulis membayangkan ibarat kita memasuki lorong dalam sebuah hutan. Daripada segala jenis tumbuhan daripada pokok, dahan, ranting, daun dan bunga; daripada suara serangga, burung dan larian anak sungai, kita diasuh menjadi pemerhati, pendengar dan hampir kita gunakan setiap dimensi deria yang ada. Selesai menelusuri lorong itu, kita diminta menceritakan segala yang dialami; pasti kita akan teliti dan hati-hati untuk mengulanginya kembali. Begitu juga yang didepani sewaktu menghasilkan karya kreatif seperti cerpen. Ilham yang diperoleh tidak akan terus diturunkan dalam plot cerita, sebaliknya dicatat, dilakar atau disusun sebaik-baiknya dengan mempertimbangkan mauduk yang hendak dikirim di samping peralatan sastera yang membangunkan karya.

Penulis mahu membincangkan lagi sikap teliti dan hati-hati yang harus ada dalam diri Luqman menerusi cerpen yang dipilih kali ini, iaitu Pengertian oleh Luqman Ariff Lahmai. Izinkan penulis memulakannya dengan memberikan gambaran keseluruhan cerpen ini yang memaparkan watak utamanya, remaja yang dilukiskan alim, iaitu Razali (Ali). Watak banyak memenuhi masa di surau kampung; dari dinihari sehingga tengah malam. Waktunya dipenuhi dengan solat, kuliah agama, membaca al-Quran dan berzikir, dan dia tidak bekerja.

Tumpuan yang hanya pada ehwal ibadah khusus itu mendapat teguran daripada ibunya. Razali ternyata tidak dapat menerima teguran itu. Luqman menampilkan dua watak lain yang turut menegur sikap Razali, iaitu teman baiknya, Zuhairi, dan seorang lelaki yang menegurnya di jalan (penulis mengagak lelaki ini ialah Farez). Namun, Luqman memilih penyelesaian yang mudah di hujung cerita, Razali akhirnya mahu bekerja.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Pengertian

Oleh LUQMAN ARIFF LAHMAI

Baiklah, ingat, setiap yang datang pasti akan kembali. Kita tidak pasti bila lagi kita akan sentiasa mengecap euforia ini.”

“Jangan kita lupa, setiap perlakuan amal seseorang insan itu akan dibalas oleh Allah SWT. Jika baik maka akan dibalas dengan kebaikan, dan jika buruk maka akan dibalas dengan keburukan,” sambung Razali, lembut.

“Besok ada kelas lagi, tak?” tanya seorang pak cik.

“Insya Allah, jika dipanjangkan umur, ada kelas,” jawab Ali.

Semua orang bangun dengan tertib. Kertas-kertas edaran Razali disimpan di dalam rak. Begitulah seperti yang diajar.

“Setiap ayat al-Quran atau kalimah suci perlu dijaga dengan baik.”

Mereka bersalaman. Itulah rutin harian Ali. Berdakwah. Meneruskan segala yang diperintahkan oleh Islam. Ali seorang yang rajin beribadat. Jika waktu subuh pukul lima, dia akan datang setengah jam awal. Setiap hari ada kuliah subuh. Kemudian, dia akan meneruskan amalan sunat yang lain. Membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, sehingga pukul 12 tengah malam. Orang kampung sudah kenal.

“Budak itu budak bagus.”

“Kan bagus kalau dia anak aku.”

“Sejuk perut ibu dia.”

Tetapi ada juga yang cakap belakang.

“Memang dah sah, masuk syurga dah.”

“Cubalah buat dosa sekali-sekala.”

Tetapi, Ali tidak kisah. Biarlah orang hendak kata apa-apa pun. ‘Dunia hanya sementara,’ bisiknya. Lagipun, dia tidak mahu jadi macam ayam ditombong kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi. Dia puas dengan segala yang dimiliki sekarang. Ali berjalan kaki, mengatur langkah ke rumahnya.

“Assalamualaikum, ibu!” Ali memberikan salam. Suaranya jelas memecahkan keheningan pagi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

JENAYAH MEROSAKKAN MODAL INSAN

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

Kerajaan, melalui pasukan keselamatan melancarkan perang habis-habisan tanpa kompromi terhadap penjenayah dan pengganas sama seperti memerangi komunis pada masa dahulu. Kumpulan penjenayah ini perlu diperangi dengan apa-apa jua cara bagi melenyapkan ancaman mereka yang boleh menjejaskan kedudukan sosioekonomi dan politik negara.

Orang yang melakukan jenayah sebenarnya bolehlah dianggap hanya berjasad manusia, tetapi jiwa dan perasaannya tidak lebih daripada ganasnya seekor binatang liar. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang hatinya Kami lalaikan daripada mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan.”

(Surah al-Kahfi: 28)

Penjenayah dan jenayah memang kejam. Selepas tercetusnya sesuatu kes jenayah, lahir pula perasaan marah, iri hati dan dendam kesumat. Saling menasihati dan mengingati supaya tidak tergelincir dari landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab tersebut bergantung pula pada keupayaan diri seseorang apabila berada dalam kelompok manusia yang tertentu dan mengikut tahap keilmuan yang dimiliki seseorang. Firman Allah SWT bermaksud:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan soleh dan nasihat-menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.”

(Surah al-Asr: 1-3)

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Islam dan Anda

Skills Malaysia Lahirkan Generasi Inovasi

Oleh Abdul Ghani Abu

Bidang latihan kemahiran kini semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda tempatan lantaran penekanan yang diberikan oleh kerajaan selaras peningkatan penyertaan 40 peratus pelajar yang mengambil jurusan kemahiran vokasional dan teknik dalam sistem pendidikan negara. Penyertaan tersebut bermula dari sekolah menengah, pendidikan pertengahan sebelum seseorang melanjutkan pengajian di universiti, iaitu seperti di institusi kemahiran dan politeknik, dan kemuncaknya ialah pengajian di universiti teknikal awam.

Bagi memastikan kesinambungan penghasilan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara, beberapa prakarsa diambil oleh kerajaan untuk menggalakkan belia menyertai bidang kemahiran. Antaranya termasuklah prakarsa Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, yang menganjurkan program SkillsMalaysia.

Selari dengan keperluan Rancangan Malaysia Kesepuluh, iaitu Mengarus Perdana Latihan Kemahiran, jenama SkillsMalaysia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, pada 11 Januari 2011 sebagai satu daripada 19 aktiviti Program Transformasi Ekonomi (ETP). Negara memerlukan 40 peratus pekerja mahir bagi memastikan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Objektif SkillsMalaysia diwujudkan adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap peluang kerjaya dalam bidang latihan kemahiran dan seterusnya menjana ekonomi negara berpendapatan tinggi.Visi SkillsMalaysia pula adalah memperkasakan bidang kemahiran tinggi di Malaysia dan seterusnya ke persada antarabangsa. Misinya pula adalah komited mempromosikan kemahiran dengan memberikan fokus kepada pencapaian agenda Mengarus Perdana Latihan Kemahiran sejajar dengan pembangunan modal insan yang berkemahiran, berpengetahuan dan berkerampilan di Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Isu Semasa

TransformasI Pendidikan Vokasional dan Teknik

Oleh ABDUL GHANI ABU

Semasa majlis memperkenalkan buku Sudut Pandang Muhyiddin Yassin, 21 November 2011 lalu di Hotel Shangri-la Putrajaya, penulis bertanya Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Pelajaran, “Apakah langkah yang diambil untuk merealisasikan transformasi pendidikan vokasional dan teknik yang dimulakan pada 2011?”

Beliau menjawab, “Langkah drastik akan diambil untuk meningkatkan peratusan pelajar sekolah menengah yang mengambil jurusan vokasional dan teknik atau Votech daripada 10 peratus kepada 20 peratus, iaitu daripada kira-kira 40 ribu kepada 80 ribu orang pelajar. Peningkatan tersebut diselarikan dengan penambahan jumlah pendidik, penggubalan kurikulum dan persekitaran sekolah yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran Votech. Transformasi ini perlu bagi melahirkan pelajar yang kebolehpasaran seiring dengan langkah menuju negara maju.”

Pada awal tahun ini semasa pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional, pada 6 Januari 2012 di Institut Jerman-Malaysia, Bangi, Selangor, Muhyiddin menegaskan, “Dalam Model Baharu Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dinyatakan bahawa kejayaan melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang baharu bagi menjanakan kekayaan negara merupakan faktor yang kritikal bagi menentukan pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa hadapan negara Malaysia. Pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang vokasional dan teknikal.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Fokus

Bidang Kemahiran Bidang Keutamaan

Tahun 2012 menyaksikan anjakan dalam sistem pendidikan negara apabila 15 buah sekolah menengah vokasional dan teknik dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional. Hal ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd. Yassin semasa melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional dan Teknik, pada 6 Januari 2012 lalu.

Jika sebelum ini wujud tanggapan bahawa pendidikan vokasional dan teknik merupakan pendidikan kelas kedua, pengumuman transformasi ini dan pelan tindakan yang disusun bakal merobah tanggapan skeptikal ini, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Negara memerlukan 40 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020 bagi memastikan usaha menuju negara berpendapatan tinggi dapat direalisasikan. Secara perbandingan, negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mempunyai 44 peratus enrolmen pelajar aliran vokasional dan teknik, berbanding dengan negara kita hanya 10 peratus. Di Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional pada peringkat menengah.

Masalah kebolehpasaran dan pengangguran lepasan sekolah dan graduan dapat diatasi apabila sektor industri turut serta dalam merencanakan pembangunan modal insan. Strategi tranformasi ini antaranya termasuklah kerjasama sektor industri dalam memberikan pendedahan dan latihan awal kepada pelajar dan penuntut institusi kemahiran dan pengajian tinggi terhadap bidang tertentu yang memerlukan pekerja mahir atau separa mahir. Kerjasama seperti ini dapat mengelakkan lambakan siswazah atau lepasan sekolah yang menganggur.

Peluang pendidikan di negara ini terbuka kepada semua. Terpulang kepada individu untuk memilihnya. Persaingan ekonomi global yang sengit, mencabar remaja mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu dan kemahiran untuk meneruskan kelangsungan cita-cita pada masa hadapan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Februari 2012

Posted in: Nota Editor