Home » 2012 » March

FOTOGRAFI SUKAN

Oleh YAMAN IBRAHIM

Fotografi sukan merupakan salah satu genre fotografi yang popular dan mencabar. Genre fotografi mencabar keupayaan jurufoto, serta mencabar dari segi persediaan peralatan kamera yang digunakan. Fotografi sukan begitu digemari ramai kerana sering melibatkan aksi yang menarik daripada ahli sukan yang terlibat.

Biasanya, jurufoto sukan memperoleh kebenaran khusus daripada pihak penganjur untuk mengambil gambar serta berada dalam jarak yang agak dekat dengan tempat perlawanan berlangsung. Jurufoto sukan biasanya bekerja dengan agensi berita serta stesen televisyen. Namun begitu, ada juga antara mereka yang mengambil gambar untuk pasukan yang terlibat dalam sesuatu perlawanan sukan.

Sukan bola sepak merupakan satu daripada sukan yang paling popular di dunia. Permainan ini juga popular di Malaysia. Namun demikian, sukan-sukan lain seperti hoki, golf, badminton, boling, sepak takraw serta sukan olahraga, tidak kurang popularnya juga. Semenjak akhir-akhir ini, sukan air seperti luncur air serta perlumbaan perahu layar juga semakin diminati ramai.

Selain itu, kini peminat sukan di negara kita semakin menumpukan perhatian pada sukan bermotor berteknologi tinggi seperti Formula 1 serta Motor GP, yang saban tahun diadakan di Litar Sepang.

Peluang mengambil gambar sukan ini terbuka kepada jurufoto sukan profesional dan jurufoto sukan amatur, walaupun dengan bersandarkan hobi semata mata.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Lensa Siswa

JURUUKUR BAHAN

Oleh RASHIDAH MD. NOOR

Sejak di bangku sekolah, beliau tidak mempunyai impian seperti rakan-rakan lain yang bercita-cita untuk menjadi doktor, peguam, polis, juruterbang, dan sebagainya. Namun demikian, perbezaan tersebut tidak menjadikan dirinya hanyut tanpa arah tujuan kerana setiap perkara atau aktiviti yang dilakukan, dilaksanakan dengan sepenuh hati. Dengan memegang prinsip “bersungguh-sungguh apabila membuat sesuatu” dan dikuatkan lagi dengan minatnya terhadap seni bina sejak di bangku sekolah, akhirnya membawa Izzul Syazani Mohd. Kamazan, 23 tahun, menceburi bidang kerjaya yang serasi dengan hidupnya kini, iaitu sebagai juruukur bahan.

Pemuda yang mengisi ruangan Menuju Cita-cita pada bulan ini, bertugas di Firma Fawziah & Tan Associates, antara firma perunding yang kukuh dan berwibawa dalam konsultasi industri pembinaan. Menurut Izzul, kerjaya juruukur bahan atau quantity surveyor (QS) kurang menonjol seperti arkitek atau jurutera, tetapi tugas mereka turut memainkan peranan yang sama penting dalam industri pembinaan. Fasa pertama tugas juruukur bahan bermula pada peringkat kertas cadangan dengan memberikan khidmat nasihat bagi menilai kos pembangunan yang dicadangkan oleh kontraktor. Penggunaan bahan yang disuai padan dengan rekaan bangunan perlu selari dengan peruntukan yang ditetapkan. Melalui kajian tersebut, juruukur bahan dapat memberikan maklumat sama ada projek yang dijalankan merugikan ataupun menguntungkan pihak pelanggannya.

Izzul memulakan diari harian dengan menyediakan tuntutan bayaran kemajuan kontraktor. Beliau seterusnya menyemak tuntutan perubahan kerja kontraktor, dokumen tender, dan menyenaraikan kuantiti bahan pembinaan. Dengan pembinaan projek yang kian meningkat, Izzul kerap pulang lewat dari pejabat bagi memastikan kerjanya siap mengikut jadual. Beliau perlu berhati-hati dan sentiasa bermuhasabah diri agar tidak mudah menyimpang daripada etika kerjanya sebagai juruukur bahan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Menuju Cita-Cita

LONTARKAN CONTOH TELADAN

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

“Sesiapa yang memberikan contoh teladan, maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang-orang yang mencontohi perbuatannya hingga kiamat.” Demikian sabda Rasulullah SAW (daripada Jarir r.a. daripada ayahandanya.)

Dengan kata mudah, sebagai penulis kita amatlah dituntut agar mengungkapkan kebaikan supaya tersebar sinar cahaya untuk dimanfaatkan oleh semua. Sekali gus, kebaikan juga akan terserlah dalam diri kita untuk dikongsi oleh khalayak. Allah turut berjanji segala kebaikan, walau sepatah kata, akan mendapat ganjaran yang besar.

Kelapan-lapan buah sajak yang terpilih untuk keluaran kali ini, alhamdulillah menyeru agar khalayak pembaca terangsang untuk melakukan kebaikan. Tahniah kepada lapan orang penyajak muda yang berbakat.

Sajak ”Di Sini”, “Pastiku Mampu”, “Seorang Merdeka” dan “Berbakti Berbudi” tepu dengan unsur positif dan optimis. Sementara itu, sajak “Mempertaruhkan Nasib”, “Puing-puing Cinta”, “Apakah Ertinya” dan “Aku” masih menyisipkan sinar perjuangan, meskipun diulit rasa ketidakpastian.

Pemaparan idea dan amanat dalam semua sajak agak sederhana. Penyajak menggunakan kosa kata dan diksi yang biasa dan tidaklah bombastik. Hal ini sedemikian mungkin kerana penyajak muda ini lebih berhati-hati dalam menggarap idea. Pengalaman baharu meneroka bidang penulisan dilakukan dengan cara berhemah.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Ulasan Puisi

MALU BERBAHASA MELAYU?

Oleh MUHAMMAD AIMAN AZAHAN

Dunia yang semakin maju memperlihatkan kecenderungan banyak pihak yang mengambil kira penguasaan bahasa Inggeris sebagai penanda aras bagi menilai tahap kebijaksanaan seseorang. Individu yang fasih berbahasa Inggeris akan mendapat kelebihan, tidak kiralah sama ada dalam hal kenaikan pangkat ataupun pengisian kekosongan kerja. Hal ini merupakan satu kenyataan yang tidak mampu dinafikan lagi pada masa kini.

Namun demikian, yang menjadi kebimbangan ialah tindakan sesetengah pihak yang tidak lagi menghiraukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang utama di Malaysia. Lebih tepat sekiranya kita mengatakan bahawa mereka malu menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan harian. Keadaan ini memberikan gambaran yang buruk tentang masa depan generasi Malaysia kerana dibimbangi aliran merendah-rendahkan bahasa Melayu akan menyebabkan terkuburnya bahasa kebangsaan kita ini suatu hari nanti.

Sebagai warganegara Malaysia, kita seharusnya tidak malu untuk menggunakan bahasa Melayu, walaupun ada rakan-rakan yang lebih bijak sentiasa menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan mereka. Kebolehan sesetengah orang berbahasa Inggeris tidak bermakna mereka lebih pandai daripada kita yang mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam segenap aspek kehidupan. Banyak kalangan kita yang sering meletakkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai penanda bahawa seseorang itu lebih maju ke hadapan berbanding dengan individu yang menggunakan bahasa kebangsaan. Lebih sedih lagi apabila ada pihak yang berfikiran dangkal dengan menganggap bahawa penggunaan bahasa kebangsaan sebagai ketinggalan zaman.

Kita perlu sedar bahawa bahasa Melayu merupakan sebahagian daripada jati diri warga Malaysia. Bagaimanakah kita dapat mengakui dan mempercayai bahawa seseorang itu berbangsa Malaysia jika dia tidak mengenali atau tidak berupaya bertutur dalam bahasa Melayu?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Khas

MEMANFAATKAN DAN MENGEMBANGKAN POTENSI DIRI

Oleh IZANI HAJI DAUD

Setiap individu mempunyai potensi atau keupayaan untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburinya. Potensi yang ada pada seseorang itu tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain. Kadang-kadang potensi yang dimiliki tidak pula disedari individu itu sendiri menyebabkan mereka menjadi manusia yang lemah. Individu yang tidak menyedari kelebihan yang ada dan tidak pula cuba untuk “menerokai” potensi sendiri sering tewas dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Seseorang itu seharusnya sedar bahawa dalam diri mereka dibekalkan dengan potensi yang dapat dianggap sebagai kelebihan diri masing-masing. Mereka yang menyedari akan kelebihan atau potensi diri mereka pasti tidak mensia-siakan potensi yang dimiliki. Individu yang bijak sentiasa berusaha untuk menggilap potensi diri bagi mencapai kejayaan.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat faktor tertentu yang menyebabkan seseorang itu tidak berupaya untuk mengembangkan keupayaan yang ada dalam diri mereka. Faktor keperibadian pelajar misalnya, dapat mempengaruhi pencapaian individu dalam bidang akademik. Pelajar yang mempunyai sifat rendah diri umpamanya, sukar untuk mencapai kejayaan. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar dalam kategori ini, walaupun berpotensi untuk maju, disebabkan oleh faktor kesukaran untuk bergaul, akhirnya tersisih daripada rakannya yang lain. Pelajar begini seterusnya akan mencari arah yang lain bagi memenuhi kekosongan dalam dirinya. Kesan sampingan yang lain, pelajar ini mungkin cenderung untuk tidak lagi minat belajar.

Sifat negatif seperti ini seharusnya dibendung oleh pelajar kerana jika “penyakit” ini hinggap pada diri mereka tentunya akan menjadi sukar bagi mereka untuk berjaya dalam pelajaran. Yang jelas, sikap sebegini akan menjadi kekangan atau halangan yang besar bagi pelajar untuk menempah kejayaan kelak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Khas

SELENDANG

Selendang sehelai kain yang dipakai untuk menutup bahagian kepala. Adakalanya selendang dipakai sebagai pelengkap pakaian tradisional dengan disandang di atas bahu sebagai perhiasan sahaja. Ada juga selendang yang dipakai sebagai ikat pinggang. Selendang juga dikenali sebagai kain tudung kepala yang berbentuk tiga persegi atau empat persegi panjang.

Selendang mula dipakai oleh masyarakat Melayu pada abad ke-15 iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Selendang berasal daripada sehelai kain kelubung atau kain sarung yang dikelubungi untuk melindungi atau menutup kepala dan muka. Selendang dipakai oleh masyarakat di Indonesia, Laos, dan kebanyakan negara dunia Melayu. Di negara-negara lain, selendang mungkin lebih awal dipakai kerana pemakaiannya telah diabadikan pada lukisan mural seperti di Thailand dan Myanmar. Kini, pemakaian selendang yang sama cara dan fungsinya adalah dalam kalangan orang Melayu Malaysia dan masyarakat kepulauan Indonesia, iaitu dari Pulau Jawa dan sebilangan daerah di Sumatera.

Di Alam Melayu, selendang berfungsi sebagai penutup kepala, penutup dada dan perhiasan. Seperti tudung, selendang juga berfungsi sebagai sehelai kain yang digunakan untuk menutup aurat seorang wanita Muslim. Walau bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat Indonesia, selendang lebih berfungsi sebagai sehelai kain pelengkap pakaian atau perhiasan. Di Sumatera Barat, selendang dipakai di atas bahu sebelah kiri bersama baju kurung, manakala bagi masyarakat Minangkabau selendang dipakai di atas bahu dan diselempangkan serta diikat di pinggang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Ensiklopedia

KEMBARA MUSLIM 2011 Warisan Islam

Oleh ABDUL GHANI ABU

Setelah menikmati hidangan pagi pada hari keempat, penulis sempat menyelak akhbar China Daily di lobi. Antara isu yang menarik perhatian penulis termasuklah pengukuhan hubungan China dengan Vienna dan isu China dalam G20. Semuanya memberikan perspektif yang positif kepada penulis bahawa China akan meneruskan legasi kuasa ekonomi dunia dan kuasa perlindungan politik kepada negara kecil. Faktor ini juga bakal melonjakkan sektor pelancongan di China, apabila China terus dikenali di seluruh dunia.

Destinasi kembara kali ini ialah Jalan Kraf Tangan yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan. Kami memulakan perjalanan pada pukul 10.30 pagi. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapakah pukul 10.30? Tidak lewatkah? Di Kashgar, waktu pejabatnya bermula pukul 10.00 pagi dan tamat pukul 7.00 petang. Yang sebenarnya, waktu di Kashgar lewat dua jam 45 minit daripada waktu di Beijing. Waktu urusan pengangkutan, perbankan, dan pentadbiran di Kashgar mengikut waktu Beijing.

Pelbagai jenis jualan terdapat sepanjang jalan lebih 600 meter. Ada yang menjual barang perhiasan rumah, peralatan muzik, kelengkapan rumah seperti pisau, cerek, kuali dan bekas air yang diperbuat daripada besi, logam dan timah. Ada juga yang menjual pakaian, selain menjual makanan, seperti roti dan kekacang. Oleh sebab Hari Raya Korban bakal tiba, ada peniaga yang menjual daging kambing dan ada yang menjual kambing hidup!

Pada mulanya penulis tertanya-tanya, mengapakah banyak peniaga yang menjual kelengkapan dan keperluan rumah yang diperbuat daripada besi dan aluminium? Namun demikian, akhirnya persoalan tersebut dirungkaikan oleh Katreya, jurupandu pelancong kami. Beliau menjelaskan, di Kashgar terdapat lombong bijih, kuprum dan emas. Harga barangan yang ditawarkan pula berpatutan, cuma dari segi komunikasi, kami memerlukan bantuan penterjemah bahasa Mandarin. Hal ini demikian kerana tidak banyak peniaga yang berupaya memahami bahasa Inggeris. Urus niaga dijalankan dalam mata wang yuan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Khas

KANIBAL MAKAN DAGING MANUSIA

Oleh SAHARIL HASRIN SANIN

Walaupun kehidupan manusia semakin maju dan tamadun semakin berkembang, dalam dunia ini masih wujud kanibal, iaitu manusia yang memakan daging manusia lain. Kanibalisme sering dilakukan oleh orang asli yang tinggal di kawasan terpencil, ekoran daripada peperangan atau kesukaran mencari makanan. Apakah pandangan sains terhadap budaya kanibalisme ini?

Perkataan kanibal datang daripada perkataan Caniba yang asalnya ditulis oleh pelayar tersohor Christopher Columbus. Nama sebenar puak tersebut ialah Carib kerana lokasinya yang terletak di kepulauan Antilles, Laut Caribbean. Selain Columbus, banyak lagi pengembara dan sejarawan lampau yang menulis tentang budaya kanibal. Ibnu Batuttah juga pernah menulis tentang puak orang asli Afrika yang hidup sebagai kanibal. Dongeng terkenal Hensel dan Gretel turut menceritakan kisah seorang nenek kebayan yang hidup dengan memakan daging kanak-kanak.

Sejarah kanibalisme sungguh panjang. Kepulauan Fiji pernah diberi jolokan sebagai kepulauan Kanibal suatu masa dahulu. Kisah kanibalisme dihikayatkan dalam banyak sastera dunia, dari Amerika Selatan ke Afrika sehinggalah puak Maori di New Zealand. Ketika Perang Dunia Kedua, banyak kes kanibalisme timbul di Eropah kerana kekurangan makanan. Dalam buku Hidden Horrors: Japanese War Crimes in World War II, penulis Jepun, Toshiyuki Tanaka, menulis tentang perbuatan askar Jepun melakukan kanibalisme terhadap tahanan perang. Kisah kanibalisme yang paling banyak direkodkan melibatkan puak orang asli yang tinggal jauh di dalam hutan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

HAY-ON-WYE: KAMPUNG BUKU PERTAMA DUNIA

Oleh NISAH HARON

Antara tujuan utama penulis ke United Kingdom baru-baru ini termasuklah untuk melihat sendiri cara seni sastera diraikan di Tanah Inggeris. Lokasi pertama yang dijejaki ialah sebuah pekan kecil bernama Hay-on-Wye. Pekan ini terletak dalam daerah Powys, Wales, dan betul-betul bersebelahan dengan Herefordshire, England. Hay-on-Wye ialah pekan tumpuan para bibliofil (ulat buku) sedunia.

Penggunaan kenderaan awam di negara ini merupakan pilihan yang memudahkan, selain menjimatkan kos. Penulis menggunakan kereta api London Midland dari Birmingham New Street terus ke Hereford, iaitu stesen yang paling hampir dengan pekan ini. Perjalanan lebih kurang 70 batu dari Birmingham ke Hereford yang memakan masa sekitar satu setengah jam itu, langsung tidak membosankan penulis. Apatah lagi jalan menuju Hay-on-Wye menempuh pedesaan atau perkampungan Inggeris yang terkenal dengan kotej dan pemandangan alam semula jadi yang memukau pandangan.

Jika anda datang dari London, lokasi ini terletak kira-kira 250 batu dari ibu kota United Kingdom itu. Untuk terus ke Hay-on-Wye, ada bas khusus – Stagecoach No. 39 – yang menjadi pengangkutan ulang-alik dari Stesen Kereta Api Hereford ke pekan itu. Perjalanannya tidak sampai satu jam dengan jarak 21 batu.

Yang menarik pada singgahan kali ini ialah berlangsungnya Festival Hay pada 26 Mei hingga 5 Jun 2011. Festival Hay ialah festival kesusasteraan yang diadakan pada setiap tahun di beberapa buah lokasi di dunia seperti Belfast, Istanbul, Budapest, Kerala, dan banyak tempat lagi termasuklah Hay-on-Wye.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Perkhidmatan Awam

Oleh ABDUL AZIZ BARI

Dalam konteks doktrin pengasingan kuasa, perkhidmatan awam merupakan sebahagian daripada eksekutif atau kerajaan yang memerintah. Walau bagaimanapun, perkhidmatan awam bukanlah milik kerajaan yang memerintah yang pada praktisnya dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memerintah. Peranan perkhidmatan awam adalah untuk melaksanakan dasar dan program kerajaan yang memerintah, yang secara umumnya merupakan pernyataan dasar dan ideologi politik mereka.

Perkhidmatan awam terdiri daripada pelbagai cabang dan agensi yang membentuk kementerian dan jabatan kerajaan, termasuklah angkatan tentera, pasukan polis, guru, doktor, ahli bomba, dan seumpamanya. Jika kita lihat komposisi perkhidmatan awam ini agak jelas bahawa kerja rutin mereka adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat; baik yang menyokong kerajaan yang memerintah atau sebaliknya.

Seperti yang dinyatakan di atas, perkhidmatan awam merupakan sebahagian daripada kerajaan. Apakah bentuk hubungan antara kedua-duanya? Seperti yang termaklum, kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan perintah kerajaan selagi masih berada dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang.

Meskipun demikian, kakitangan awam tidak semestinya perlu setia kepada kerajaan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak perlu menganut ideologi dan keutamaan parti yang memerintah. Kakitangan awam hanya perlu setia kepada negara yang lambangnya ialah raja. Walau apa-apa pun, perlu ditegaskan bahawa kedudukan dan peranan kakitangan awam berbeza daripada badan kehakiman. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, hakim perlu bebas dalam menjalankan tugas mereka, baik daripada pengaruh dan campur tangan Parlimen mahupun kerajaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Mac 2012

Posted in: Perlembagaanku