Home » 2012 » April

Bulan April

Artikel April.

Posted in: Nukilan Kreatif

FOTOGRAFI PERKAHWINAN

Oleh YAMAN IBRAHIM

Fotografi perkahwinan merupakan antara genre fotografi yang paling popular kini. Fotografi perkahwinan ini bermula seiring dengan penciptaan kamera. Pada awal abad ke-19, pasangan yang ingin mengambil foto atau merakamkan potret perkahwinan, perlu pergi ke studio foto. Peralatan fotografi pada ketika itu, besar dan berat serta sukar untuk di bawa ke lokasi. Berbeza daripada perkembangan kini, pasangan pengantin boleh memilih untuk membuat penggambaran foto di dalam studio atau di luar studio.

Pada sekitar dekad 1970-an, para jurufoto perkahwinan mula menggunakan cara bekerja jurufoto akhbar. Dengan hal yang demikian, lahirlah fotografi perkahwinan ala dokumentari atau kandid. Perubahan teknologi juga membantu aliran ini berkembang dengan lebih pesat lagi. Kini, kamera serta peralatan fotografi lebih kecil dan ringan serta mudah untuk dibawa ke lokasi. Hasilnya, jurufoto mampu menghasilkan foto perkahwinan ala dokumentari yang mempunyai pencahayaan yang baik.

Terdapat dua pendekatan utama yang biasa digunakan oleh jurufoto perkahwinan, iaitu pendekatan tradisional dan pendekatan kewartawanan foto. Dalam pendekatan tradisional, pengantin biasanya “digayakan” oleh jurugambar dalam setiap foto yang diambil. Berbeza daripada pendekatan gaya kewartawanan foto, jurufoto akan menggabungkan unsur kandid serta gaya fotografi, seperti yang diamalkan dalam penerbitan akhbar.

Kini, terdapat pula aliran ketiga yang semakin popular dalam kalangan jurufoto, iaitu fotografi perkahwinan berasaskan fesyen. Jurufoto akan menghasilkan imej yang berinspirasikan majalah fesyen ternama yang ada dalam pasaran. Pasangan pengantin akan digayakan seolah-olah sedang membuat penggambaran fesyen.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Lensa Siswa

AHLI PATOLOGI PERTUTURAN BAHASA

Oleh RASHIDAH MD. NOOR

Anda bertuah kerana mempunyai suara sempurna seperti orang lain. Apabila berbicara, mereka faham kata-kata yang diungkapkan. Pada saat kita selesa bertutur, ada insan lain yang sukar mengungkapkan bicara, suara tersekat, gagap, sengau, pelat, bunyi meneran, sukar menelan hingga mengganggu kehidupan sosial dan emosi. Impaknya lebih ketara kepada pelajar dan remaja hingga menyebabkan prestasi akademik kurang memberangsangkan. Keadaan ini boleh melibatkan semua peringkat umur; bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga tua, terdedah untuk menghadapi pelbagai kes seperti sumbing bibir dan lelangit, kanak-kanak autisme dan sindrom down, kurang pendengaran, serta serangan angin ahmar atau strok.

Walau bagaimanapun, individu yang mengalami masalah ini boleh menjalani terapi pertuturan yang dikendalikan oleh ahli patologi pertuturan bahasa atau speech language pathologist. Bidang kerjaya ini kurang popular dan masih baharu di negara kita. Namun begitu, Aimi Syahidah Zulkipli membuat keputusan nekad untuk menjadi seorang ahli patologi pertuturan bahasa semasa di kolej matrikulasi. Menurut beliau, keputusan memilih kerjaya ini dibuat semasa berada di Kolej MARA Kulim, Kedah.

Berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh penceramah, Aimi menyedari ciri kerjaya tersebut dekat dengan dirinya. Kriteria yang disebut oleh penceramah itu menepati ciri yang ada pada dirinya, iaitu fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, mempunyai bakat melukis, kreatif, serta minat merawat orang. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang. Cita-cita menjadi ahli patologi pertuturan bahasa tersemat di hati.

Menurut Aimi, banyak yang mempersoalkan keputusannya memilih bidang ini. Ada yang bertanya dengan nada sarkastik dan meragui prospek kerjaya ini kerana merupakan kerjaya baharu di Malaysia dan tidak dikenali langsung. Mujur beliau tidak tergugat dengan nada sinis orang di sekelilingnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Menuju Cita-Cita

LONTARKAN CONTOH TELADAN

Oleh MAHAYA MOHD. YASSIN

Saya pernah memetik definisi puisi Pendeta Za’ba yang amat mantap dan mudah difahami, “Puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.”

Pada kali ini, seiring dengan definisi tersebut, saya sertakan definisi puisi oleh Coleridge, yang berbunyi, “Kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.”

Sekilas, gabungan kedua-dua definisi ini ialah sajak yang kita cipta mengemukakan fikiran yang cantik dalam gaya bahasa yang juga cantik. Namun demikian, kata-kata yang kita pilih mestilah disusun dengan cara yang terbaik juga. Semuanya kita lakukan dengan cara “yang terbaik” agar khalayak mudah faham, mendapat iktibar serta tidak berlaku salah tafsir.

Sajak pertama “Mendakap Nikmat” mengungkapkan perasaan insaf penulis sajak yang selama ini tidak mensyukuri nikmat pemberian-Nya. Oleh itu, pada rangkap akhir, penulisnya berdoa agar dilimpahi dan diredai Allah. Idea sajak ini cantik dan turut menggamit dan mempengaruhi khalayak agar sama-sama berasa insaf akan kekurangan dan kelemahan selama ini. Sayangnya, kelima-lima rangkap sajak ini terasa agak lewah dari segi pemilihan dan penyusunan kata. Lewah di sini bermaksud mewah, malah ada yang tidak diperlukan.

Perhatikan baris kedua dan ketiga dalam rangkap pertama. Kata “renung” sudah bermaksud “menjamah penglihatanku”.

Kurenung dada langit

Menjamah penglihatanku

Dari segi susunan baris pula, “kurasa semakin dekat dengan-Nya” amat molek jika dijadikan sebagai baris akhir yang menyimpulkan keseluruhan rangkap pertama. Baris ini, sekali gus, menjadi inti dan falsafah sajak ini. Apabila dimurnikan rangkap pertama menjadi,

Kala

kurenung dada langit

keindahan waktu fajar

semakin mengembangkan sayapnya

menakluki suasana alam

kulihat sang burung pipit

terbang riang menghiasai langit biru

betapa indahnya, masya-Allah

kurasa semakin dekat dengan-Nya

___

Ulasan ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012.



Posted in: Ulasan Puisi

KOTA KUNO DAN MAKAM PURBA

Oleh ABDUL GHANI ABU

Destinasi lawatan Kembara Muslim seterusnya ialah Kota Kuno Kashgar. Kota yang berusia lebih daripada 500 tahun (ada yang mencatatkan kota ini sudah berusia 1000 tahun) menyimpan 1001 cerita masyarakat Uygur. Pada zaman awal pembinaannya, kota ini didiami golongan bangsawan. Mereka membina rumah di sini mengikut fasa. Jika dalam sesebuah keluarga, anak pertama berkahwin, maka rumah mereka dibina setingkat lagi tingginya, begitulah seterusnya. Semakin kaya sebuah keluarga, maka semakin tinggi juga rumah mereka.

Biasanya, kota ini menjadi tumpuan kunjungan pelancong pada bulan Julai, Ogos, September dan Oktober. Kota ini bukan sahaja merupakan kawasan perumahan, malahan terdapat kedai menjual cenderamata, pakaian, barangan logam, dan baju sejuk yang dibuat daripada kulit binatang. Kawasan kota yang berkeluasan dua kilometer persegi ini didiami lebih daripada 10 ribu orang penduduk daripada 2000 keluarga. Setiap satu kaki persegi tanah di sini bernilai enam yuan. Sebenarnya, kota ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2003. Salah seorang pewaris bangsawan yang tinggal di sini ialah Amimeguli. Rumahnya setinggi enam tingkat.

Keunikan kawasan kota kuno ini ialah rupa bentuk batu yang menjadi panduan kepada orang ramai yang menggunakan lorong pejalan kaki. Batu yang mempunyai enam segi menunjukkan jalan keluar, sebaliknya batu empat segi menunjukkan jalan mati.

Selain itu, terdapat dua ciri perumahan di kota ini. Pertama, rumah yang dibaiki dan dibina semula menggunakan batu bata yang mempunyai ciri keselamatan. Sebaliknya, rumah yang dibina menggunakan papan dan tanah liat pula terdedah kepada risiko.

Kerajaan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang memberikan bantuan dana sebanyak separuh daripada kos membaik pulih. Di samping itu, bantuan dana 200 yuan diberikan kepada keluarga miskin dan orang tua yang tinggal berseorangan. Lebih daripada 90 peratus lelaki di sini bekerja sendiri, seperti berniaga dan memandu teksi. Terdapat 13 buah surau di kota ini dan sebuah dewan untuk penduduknya menjalankan pelbagai aktiviti.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Khas

BUKIT CHANDAN

Bukit Chandan terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak, merupakan kawasan kediaman Sultan Perak sejak abad ke-19. Apabila Sultan Idris Mursyidul Azam Syah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-28 pada tahun 1887, baginda memilih puncak bukit ini menjadi tempat baginda bersemayam. Bukit Chandan terus menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Perak hingga hari ini.

Sebelum Sultan Idris menaiki takhta kerajaan, negeri Perak diperintah oleh Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Syah (1877 – 1887). Pusat pemerintahan baginda adalah di Kota Sayong, bertentangan dengan Bukit Chandan di seberang Sungai Perak. Oleh sebab kawasan tersebut sering dilanda banjir, Sultan Idris memilih puncak bukit berhampiran Batang Hari.

Menurut cerita, bukit ini diberikan gelaran “Seri Andalan”, tetapi akhirnya Sultan Idris memilih nama Bukit Chandan sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya, pada suatu hari Kulup Chandan terlepas lari, dan Sultan Idris yang ketika itu menjadi Raja Muda telah mengekorinya sehingga sampai di kaki Gunung Babu.

Setibanya di sana, Sultan Idris bertemu dengan seorang tua yang berjanggut serta memakai jubah putih. Orang tua itu terus menghampiri baginda dan menyatakan bahawa baginda akan menaiki takhta kerajaan negeri Perak, dan apabila ditabalkan kelak baginda hendaklah membina istana di atas bukit berhampiran Batang Hari dan bukan di Sayong. Kulup Chandan hendaklah dibebaskan selepas tujuh hari baginda ditabalkan.

Perkembangan bandar Kuala Kangsar mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan peranan Bukit Chandan sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Perak. Sultan Idris banyak membawa pembaharuan kepada negeri Perak, khususnya dalam sistem pendidikan negara. Antaranya termasuklah penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar, yang banyak melahirkan cendekiawan Melayu yang menjadi pemimpin negara sejak dahulu hingga hari ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Ensiklopedia

MEMPERKASAKAN PEMBUDAYAAN SAINS

Oleh SAMAT BUANG

Malaysia sedang gigih menggapai matlamat untuk bergelar negara maju pada tahun 2020 yang berbaki lapan tahun lagi. Untuk menjadi negara maju, sains mesti ditekankan dalam kalangan rakyat seiring dengan matlamat pendidikan sains yang menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan. Namun demikian, realitinya pelajar yang kita harapkan memberikan impak kepada matlamat ini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan wawasan negara untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.

Baru-baru ini, media mendedahkan bahawa hanya 29 peratus pelajar menuntut dalam aliran sains di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam tempatan dan hal ini menunjukkan kemerosotan pada tahap yang sangat kritikal. Kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 yang memerlukan 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera, nampaknya masih belum lagi dicapai. Keadaan ini boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.

Sebenarnya, kemerosotan bilangan pelajar jurusan sains sama ada di sekolah mahupun di IPT bukanlah perkara baharu. Ada tiga sebab utama masalah itu berlaku, iaitu kerana kurang minat, tanggapan subjek sains susah, dan prospek kerjaya yang terhad. Yang membimbangkan kita ialah ketiga-tiga faktor yang berakar umbi sejak di sekolah menengah itu menyebabkan bilangan pelajar sains peringkat universiti turut merosot dengan ketara.

Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca utama, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar aliran sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian. Ekoran daripada permasalahan tersebut, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada masalah kemerosotan minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah. Arahan penubuhan jawatankuasa itu dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Jawatankuasa khas itu diminta mengkaji secara menyeluruh termasuk memikirkan langkah bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar sains dan 40 peratus sastera.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Khas

ANTARA BULI SIBER DENGAN GANGGUAN SIBER

Oleh Maslin Masrom dan Nadia Jamal

Jumlah pengguna internet dan alat peranti komunikasi meningkat dengan mendadak dalam kalangan belia dan pelajar sekolah. Seiring dengan perkembangan teknologi, laman web sosial juga menjadi kegilaan dan fenomena dalam kalangan penggunanya. Walaupun memberikan faedah dan mempunyai kelebihan, pada masa yang sama, senario ini turut meningkatkan gejala buruk dalam alam siber, antaranya buli siber dan gangguan siber.

Buli siber dapat diterjemahkan sebagai gangguan atau buli yang melibatkan golongan bawah umur menerusi aplikasi alat berteknologi seperti telefon, komputer, dan lain-lain. Buli siber berlaku apabila seseorang individu – biasanya dalam kalangan remaja atau kanak-kanak – dibuli, diganggu, diugut, atau dimalukan dalam internet.

Buli siber menjadi isu yang semakin membimbangkan masyarakat di negara maju seperti Amerika Syarikat. Kes membunuh diri dalam kalangan pelajar yang meningkat di negara maju disebabkan oleh buli siber mengakibatkan beberapa negara mulai menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat gejala ini daripada menular.

Antara kes yang menggemparkan masyarakat hingga mendorong usaha penguatkuasaan undang-undang termasuklah kematian mangsa buli siber, Ryan Halligan, yang membunuh diri selepas dibuli dan dimalukan di internet pada tahun 2003. Sementara itu, Megan Meier pula mengambil keputusan untuk membunuh diri pada tahun 2006 kerana dibuli dalam laman sosial MySpace.

Kedua-dua mangsa buli siber mengambil keputusan untuk menamatkan hidup pada usia seawal 13 tahun. Pendek kata, buli siber dilakukan dengan niat untuk memberikan tekanan kepada mangsa. Antara contoh buli siber yang dilakukan melalui pesanan segera termasuklah seperti yang ditunjukkan dalam rajah 1.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Khas

PLANET YANG PELIK

Oleh SAHARIL HASRIN SANIN

Memandang langit pada waktu malam, kita akan dapat melihat jutaan bintang bertaburan. Barangkali, setiap bintang diorbit oleh beberapa planet. Bintang kita sendiri – matahari – mempunyai lapan planet yang mengorbitnya (tidak termasuk Pluto). Setiap planet mempunyai sifat dan alamnya yang tersendiri; mungkin juga terdapat hidupan asing yang belum dikenal pasti.

Jika jumlah bintang yang bertebaran di langit sudah menjangkau angka jutaan, tentulah jumlah planet lebih berganda banyaknya. Angkasa lepas ciptaan Tuhan sesungguhnya terlalu luas. Banyak isi kandungannya yang tidak terlihat oleh mata kasar kita serta tidak terjangkau oleh teknologi manusia. Pernahkah anda membayangkan bagaimana agaknya alam dan kehidupan di planet nun jauh di angkasa lepas?

Adakah banyak antara planet itu dibentuk oleh lahar dan api yang menggelegak seperti planet Kejora yang mempunyai suhu 400o celsius? Adakah planet itu mempunyai berpuluh-puluh bulan yang terbit pada malam hari seperti Uranus yang mempunyai 27 buah bulan? Adakah planet itu mempunyai gegelang umpama Zuhal atau mempunyai hutan dan lautan serta gunung-ganang seperti Bumi?

Dalam fiksyen sains, karyawan banyak memberikan gambaran rupa bentuk planet di angkasa berdasarkan imaginasi mereka. Antara filem terkenal yang meneroka planet fiksyen termasuklah filem Star Wars dan Star Trek. Dalam Star Wars wujud planet lumpur dan paya bernama Dagobah, planet Kashyyyk yang dilitupi hutan belantara serta menjadi habitat makhluk bernama Wookie, serta Coruscant, sebuah planet industri yang penuh sesak dengan pembangunan dan pencakar langit. Dalam siri Star Trek lebih banyak lagi planet yang diperkenalkan, contohnya planet robotik bernama Arehaz yang menjadi tempat tinggal Borg.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

KOREA: RUPA JEPUN, BUDAYA CHINA

Oleh SITI RABA’AH HAMZAH

Hampir seminggu berada di Korea, namun kami masih belum puas menikmati keindahan dan kemajuan Korea. Tarikan utama Korea ialah tempat penggambaran drama Korea, seperti Pulau Nami, Pulau Jeju, Abai Village dan Daepo Wharf. Di samping itu, tempat mesti dilawati di Korea ialah Kyeongbokgong Palace, National Folk Museum, The Blue House, Cheongyecheon Stream, Namsan Park, Namsan Hanok Village, Masjid Utama Seoul dan Itaewon Shopping Street.

Penduduk Korea seramai 50 juta orang dan 15 juta orang daripadanya tinggal di bandar Seoul. Seoul merupakan bandar moden yang megah dengan reka bentuk bangunan terkini. Penduduknya sentiasa mengikuti peredaran zaman. Kelihatan golongan muda sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan barangan jenama seperti Prada, Louis Vuitton dan Burberry. Kebetulan pula, semasa lawatan kami, Seoul sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 2014.

Menurut pemandu pelancong, May, yang berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang politik, rakyat Korea berpegang teguh pada budaya Timur dan mengamalkan tradisi adat China. Mereka mempunyai pertalian keluarga dengan negara China, malah kebanyakan kaum keluarga generasi pertama mereka masih tinggal di China.

Budaya kerja rakyat Korea pula dipengaruhi budaya kerja orang Jepun. Pengalaman perit dijajah oleh Jepun selama lebih daripada 35 tahun meninggalkan kesan yang positif dalam budaya kerja mereka. Contohnya, kemajuan automobil di Korea dalam tempoh 30 tahun berjaya menguasai pasaran automobil Asia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012