Home » 2012 » April (Page 2)

Darurat dan Kesannya kepada Perlembagaan

Oleh ABDUL AZIZ BARI

Dalam pengertian biasa, darurat ialah keadaan luar biasa yang mengizinkan hal yang dilarang dalam keadaan biasa atau normal. Dari sisi undang-undang, termasuk juga dari sisi hukum Islam, itulah juga konsep dan pengertian darurat.

Dari segi prinsip, kuasa atau keharusan yang berpunca daripada darurat adalah bertentangan dengan inti sari dan tuntutan perlembagaan. Hal ini demikian kerana perlembagaan menekankan dan menuntut kuasa yang terhad, manakala darurat mengizinkan kuasa yang tidak terbatas. Hal ini termasuklah menggantung perlembagaan itu sendiri.

Pertentangan itu dengan sendirinya menekankan bahawa darurat merupakan sesuatu yang bersifat sementara, iaitu berfungsi menangani keadaan yang kritikal dan tidak terkawal oleh undang-undang biasa. Tegasnya, perlembagaan mengizinkan kuasa darurat atas alasan untuk menyelamatkan demokrasi dan bukan sebaliknya.

Kuasa darurat terkandung di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 150. Di bawah peruntukan ini, kuasa mengisytiharkan darurat diletakkan di tangan Yang di-Pertuan Agong. Sama ada kuasa ini boleh digunakan melalui budi bicara baginda sendiri atau atas nasihat kerajaan, merupakan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Meskipun begitu, dalam keadaan biasa kuasa darurat itu difahami dalam konteks baginda bertindak atas nasihat kerajaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Perlembagaanku

RAJANG AREA SECURITY COMMAND

Oleh HASFIZA ABDULLAH

Kisah duka dan penderitaan rakyat akibat daripada ancaman komunis tidak sahaja berkisar di kawasan semenanjung, bahkan merentas hingga Bumi Kenyalang. Perjuangan bersenjata anggota komunis juga pernah mengancam keselamatan dan keamanan di negeri Sarawak. Sekitar dekad 1970-an, keadaan keselamatan, terutamanya di Bahagian Ketiga, Sarawak, berada dalam keadaan yang membimbangkan negara dan orang awam.

Hal ini disebabkan oleh ancaman daripada Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (BKPKKU), yang bermatlamat untuk menubuhkan sebuah negara komunis di Kalimantan Utara yang meliputi bahagian utara Borneo. Pelbagai bentuk keganasan termasuklah pembunuhan, penculikan, dan pemusnahan harta benda kerajaan dilakukan. Ketika memuncaknya pemberontakan, komunis membunuh 79 orang awam dan menyerang empat buah balai polis.

Keadaan ini mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih agresif terhadap BKPKKU dengan menubuhkan Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang “Rajang Area Security Command” atau lebih dikenali sebagai (RASCOM). Secara rasminya, RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972. Ekoran daripada itu juga, satu surat arahan bertarikh 1 April 1972, dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara bagi menubuhkan 3rd Divison Area Security Command (3rd DASC), yang beribu pejabat di Sibu, untuk menangani masalah keselamatan yang genting di kawasan Lembah Rajang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Arkib Negara

Setitis Budi Semarak Kasih

Oleh MOHD. HELMI AHMAD

Rumah itu ada dua bilik. Ruang tamu yang kecil serta bilik air. Hazwani dan rakannya menjadi penyewa sementara di rumah itu. Sambil-sambil itu, mereka bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan. Katanya, untuk mencari pengalaman dan duit poket sementara menunggu keputusan peperiksaan akhir diumumkan.

Di ruang tamu yang kecil itulah Hazwani mundar-mandir. Dia sendiri tidak pasti tentang apa-apa yang ada dalam fikirannya. Fikirannya menjadi sesempit ruang itu. Yang pasti, perkara itu sangat merunsingkan mindanya. Tidak tahan berdiri Hazwani melabuhkan punggung di kerusi kayu yang ditempatkan di tepi dinding berteman sebuah meja kecil. Dia menongkat dagu di atas meja. Dia membiarkan perasaannya menerawang jauh ke kampung halaman.

“Wani … ayah akan berusaha untuk mendapatkan wang supaya kaudapat sampai ke universiti juga.”

“Perbelanjaannya tinggi ayah.”

“Dah katanya peringkat tertinggi, semestinya belanjanya pun tinggi,” Seloroh Pak Leman. Dia tidak berasakan bebanan yang besar untuk menghantar Hazwani ke universiti. Walhal dia juga tahu belanja untuk memasuki universiti agak tinggi. Apabila ditolak, ditambah, didarab, pendapatannya masih belum mampu menyara keluarga, inikan pula hendak menghantar Hazwani ke universiti. Pak Leman sedar itu semua.

Hazwani masih menanti sisa senyuman ayahnya itu tamat sebelum dia menyambung bicara.

“Ayah perlukan wang untuk perbelanjaan rumah. Adik-adik ramai lagi yang bersekolah.” Dua hujah itu diharap mampu mematikan hasrat ayahnya untuk menghantarnya ke universiti. Benar, masuk universiti merupakan cita-citanya, tetapi bukan sekarang. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.

‘Bodohlah aku kata orang sekiranya menolak tawaran itu; menolak tuah. Peluang hanya datang sekali,’ bisiknya.

“Tangan, kaki ayah ini masih kuat, sihat. Syukur kepada Allah SWT kerana hingga hari ini Dia meminjamkan kudrat ini kepada ayah,” sambung Pak Leman seraya menadah kedua-dua belah tangannya seperti orang sedang berdoa. Matanya turut memandang atap nipah yang bocor sana sini. Tatkala hujan lebat, dapatlah mereka dilihat “pesta” menadah besin.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

BOLA SEPAK DAN CERPEN

Oleh MAWAR SAFEI

Cerpen kali ini tentang sukan bola sepak. Hal ini sangat jelas berdasarkan judulnya, iaitu “Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah”. Penulisnya, Fathul Khair Mohd. Dahlan, cuba melihat bola sebagai perlambangan makna kehidupan yang sering berubah rupa, sama ada bahagia dan resah; berada di atas atau di bawah. Ya, rata-rata pembaca faham maksud “bersegi lima”, bukan sfera yang pentagon (sfera ialah sfera), tetapi corak yang membentuknya itulah yang bersegi lima. Perumpamaan kehidupan itu juga dilihat oleh penulis seperti roda, perlambangan yang lumrah.

Penulis menggunakan beberapa subjudul dalam cerpen ini, bermula dengan “Sfera Bersegi Lima”. Dalam bahagian ini, dicatatkan sejarah bola sepak, iaitu “masyarakat pembina piramid yang memainkannya dengan menggunakan buntilan kain linen.” Kemudian, dicatatkan sejarahnya di Yunani dengan nama episcuro; di China dengan nama tsu chu. Sejarah bola sepak tiba di negara “kami” (watak pencerita dalam cerpen ini) dilihat sebagai antara simbol penyatuan rakyat.

Dalam subjudul kedua, “Ranjau Berliku”, Fathul meneruskan rentetan sejarah bola sepak kami, pasukan Harimau, yang banyak mencipta kegemilangan untuk sekian zaman. Namun begitu, hingga suatu ketika semakin kehilangan banyak nama. “Pasukan kami tiba di titik kejatuhan.”

Bertemu dengan pasukan Indonesia, penulis membawakan imej geroda yang sangat “mewakili” di bawah subjudul “Harimau dan Garuda”. Yang menarik dalam pemerian kisah panjang sejarah bola sepak di rantau ini pula, penulis membawa perlambangan yang dramatik. Misalnya, tentang pasukan Indonesia,

Garuda tidak mahu tewas. Mendepangkan sayap seluas bumantara. Menggelintar mencari mangsa yang boleh dirobek isi perut sebagai santapan perut yang sudah sekian lama bergelojak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Sfera Bersegi Lima, Sebutir Maruah

Oleh FATHUL KHAIR MOHD. DAHLAN

Hidup tidak seindah yang difikirkan. Adakalanya, manusia inginkan keindahan dalam kehidupan, namun langsung tidak disedari badai yang bakal menghambat pada hari muka. Ada waktunya, manusia berprasangka hidupnya diselimuti galau dan resah, namun mereka tidak pernah berfikir walau sejenak bahawa kehidupan yang sarat dengan rencam itu, ada hikmahnya. Banyak orang kata, hidup ini bagaikan roda, umpama bola, dan sebagainya. Tidak ada kedudukan yang tetap. Kendatipun demikian, bagi mereka yang berjiwa kental dan tabah sahaja yang mampu menghadapi sebarang ranjau sepanjang perjalanannya sebagai manusia pencari hikmah!

Kami melihatnya dari kaca mata masyarakat yang mencintai dunia sukan. Ya, tidak disangkal lagi! Banyak, malah majoritinya, minat akan sukan yang cukup sinonim dengan kaum Adam. Sukan “dua puluh dua kepala dan sebiji sfera bersegi lima”. Ah, lupakan persepsi lapuk itu!

Mengapa?

Kaum Hawa juga kini menjadi penonton, tidak kira di astaka mahupun di kaca televisyen. Tidak kurang hebatnya mereka, sehinggakan mampu bermain dengan hebat sebaris nama-nama besar sukan ini.

Lewat waktu yang lalu, legasi kami sangat hebat. Kami pandang tinggi setiap negara, digeruni semua seteru yang menjadi lawan pasukan kami. Dengarkan sahaja “Harimau”, bergetar hati bagaikan berhadapan dengan pak belang di hutan hujan yang dijadikan khazanah untuk generasi muda akan datang. Pasukan kami bermain dengan mati-matian demi negara yang dicintai. Semangat kesukanan ditonjolkan dalam setiap corak dan pergerakan permainan. Kesepaduan dan keharmonian bangsa kami yang pelbagai diperjuangkan di atas padang, daripada bangsa majoriti hinggalah bangsa minoriti. Semangat dan sumpah setia tetap mengalir di dalam pembuluh yang berselirat. Sokongan tetap padu tatkala angkatan kami berada di medan perjuangan. Kekal bersemarak api perjuangan dan kebanggaan di dalam hati kami.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

HIASI DIRI DENGAN SIKAP MALU

Oleh LOKMAN ISMAIL

Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi. Pelakunya tidak ada perasaan malu melakukan perbuatan yang secara terang-terang menyalahi hukum agama dan undang-undang negara. Apabila hilang perasaan malu, maka berleluasalah kemungkaran.

Sifat malu satu cabang iman. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmizi bermaksud, “Malu itu sebahagian daripada iman.”

Oleh itu, perasaan malu menjadi perisai diri untuk mengelak daripada melakukan perbuatan dosa kerana mendatangkan aib kepada diri sendiri.

Seseorang yang mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memalukan akan mendapat balasan kebaikan. Tindakan itu dapat mengelakkan diri daripada menanggung malu sesama manusia dan ketika mengadap Allah pada hari pengadilan.

Ironinya, ada orang bermegah-megah melakukan perbuatan dosa dan berasa berat untuk melakukan kebaikan. Dosa dan kejahatan yang sudah sebati dalam diri menyebabkan seseorang itu tidak mempunyai perasaan malu lagi.

Sikap berhati-hati dan keimanan yang tinggi dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memalukan. Bagi orang peka dan mempunyai maruah, setiap perbuatan memalukan, tidak kira kecil atau besar, pasti dielakkan.

Muslim yang mempunyai perasaan malu tidak tertarik dengan tipu daya kehidupan. Dia lebih memikirkan kesan malu yang bakal ditanggung dan pembalasan daripada Allah. Setiap kesalahan dan dosa akan diperlihatkan di akhirat nanti, biarpun perkara yang dapat disembunyikan di dunia.

Sesiapa yang melakukan perbuatan sesuka hati tanpa perasaan malu, berasakan dirinya berkuasa dan tidak perlu mengambil kisah tentang orang di sekelilingnya. Kejahatan dan dosa yang dilakukan dianggap satu kemegahan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Islam dan Anda

Memanfaatkan Khidmat Kaunselor

Oleh NADIAH NAUFAL

Remaja pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor atau kaunseling, tetapi sejauh manakah pengetahuan anda berkenaan dengan makna dan fungsi kedua-dua perkataan tersebut? Banyak remaja yang masih kabur tentang fungsi sebenar kaunselor dan kriteria remaja atau pelajar yang memerlukan khidmat kaunselor.

Sebagai orang yang terlatih, kaunselor mengadakan perkhidmatan kaunseling untuk membantu individu memahami serta menerima diri, membuat perancangan masa depan, dan menguruskan halangan atau cabaran yang mengusutkan fikiran, di samping memberikan bimbingan tentang cara penyelesaian masalah yang dihadapi. Salah satu bentuk cabaran atau halangan termasuklah tekanan emosi yang sering melanda golongan remaja. Dalam hal ini, remaja yang bermasalah memerlukan khidmat kaunseling, iaitu proses pertolongan secara profesional antara kaunselor dengan remaja yang bermasalah.

Walau bagaimanapun, kaunselor hanya berperanan untuk mendengar, memahami dan membantu, bukannya menyelesaikan masalah. Perkara ini perlu difahami setiap individu yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor. Remaja tidak seharusnya menganggap bahawa peranan remaja atau pelajar yang berjumpa dengan kaunselor merupakan mereka yang bermasalah. Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Banyak kelebihannya bertemu dengan kaunselor kerana kaunselor akan membantu anda menghuraikan segala permasalahan yang berkaitan dengan pelajaran, kehidupan, perancangan masa depan, dan sebagainya.

Perkhidmatan kaunseling di Malaysia bermula secara formal pada dekad 1960-an dengan kewujudan pelbagai latihan kaunseling bagi memenuhi keperluan semasa. Pada tahun 1969, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM, kini Kementerian Pelajaran Malaysia) dengan kerjasama Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengambil langkah proaktif dengan melatih 275 orang guru sekolah menengah. Objektif utama kursus itu adalah untuk memperkenalkan konsep bimbingan dan kaunseling. Menjelang tahun 1974, 1772 orang guru didedahkan dengan kursus ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Fokus

MENGURUSKAN TEKANAN EMOSI

Oleh ZAIME ZAINUDDIN

Setiap insan yang bernyawa pasti mengalami tekanan dalam mengharungi kehidupan di muka bumi ini. Tekanan merupakan cabaran yang perlu didepani semua orang, sama ada orang dewasa, remaja, kanak-kanak, mahupun bayi. Hanya yang membezakan tekanan yang dialami bagi setiap peringkat umur ialah tahap tekanan atau punca berlakunya tekanan.

Dalam era globalisasi yang serba pantas dan moden, pembangunan serta pemesatan teknologi, mengundang pelbagai perubahan serta kesan sampingan kepada masyarakat. Hasil daripada perkembangan kemajuan, berlaku banyak perubahan dari segi gaya dan matlamat hidup. Sikap saling berlumba menimbulkan pelbagai kesan psikologi kepada setiap peringkat golongan masyarakat.

Selari dengan perkembangan ini, langkah menguruskan tekanan dengan secara bijaksana sangat diperlukan bagi membantu pengurusan kehidupan serta mencari kesejahteraan dalam kehidupan yang sangat mencabar kini. Oleh sebab tekanan emosi merupakan pengalaman atau kejadian yang sering dialami seseorang individu hingga menyebabkan gangguan terhadap pemikiran, perasaan dan aktiviti harian, maka hal ini perlu diuruskan dan ditangani segera supaya tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kesihatan individu yang terlibat.

Menurut Lessard, tekanan yang tidak sahaja dialami orang dewasa, bahkan melanda remaja dan kanak-kanak, memerlukan keseimbangan dari pelbagai aspek, khususnya bagi memainkan peranan dan tugas yang dilaksanakan. Sekiranya tiada keseimbangan, seseorang itu mudah mengalami tekanan emosi. Oleh hal yang demikian, fenomena tekanan dalam kalangan pelajar merupakan topik yang sering menjadi bahan kajian kebanyakan pengkaji.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Fokus

PELAJAR DAN TEKANAN EMOSI

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Kajian itu juga menunjukkan bahawa secara keseluruhan, 11 peratus golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun pernah terfikir untuk membunuh diri.

Peratusan kes daripada hasil kajian tersebut yang secara relatifnya agak tinggi, sudah pasti membimbangkan kita semua. Hal ini perlu ditangani segera agar jumlah kes tidak terus meningkat hingga mengundang keadaan yang lebih serius berlaku. Oleh hal yang demikian, gejala masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja atau pelajar perlu ditangani dari awal. Tekanan emosi sekiranya tidak diuruskan pada peringkat awal, boleh menjadi parah dan seterusnya menular kepada masalah mental.

Memang tidak dinafikan bahawa zaman remaja ialah era peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan banyak perubahan dari segi perkembangan fizikal, kognitif serta emosi berlaku dalam tempoh ini. Tidak mustahil pada usia ini, remaja sering dikaitkan dengan jiwa yang cenderung untuk memberontak.

Apatah lagi, alam remaja merupakan tempoh yang mendedahkan mereka kepada banyak tekanan emosi. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun.

Kita sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja, justeru bayi mengalami tekanan juga. Bayi menangis, mungkin kerana lapar atau kembung perut, merupakan isyarat bahawa mereka mengalami tekanan. Cuma punca dan tahap tekanan mereka berbeza daripada orang dewasa dan remaja.

Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tekanan emosi tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kehidupan, hal ini perlu ditangani dan diuruskan dengan mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Apabila puncanya diketahui, lebih mudah untuk seseorang itu menguruskan masalah tekanan emosinya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa April 2012

Posted in: Nota Editor