Home » 2015 » February

MELUASKAN PENILAIAN DEMI KEPUASAN PENONTON

OLEH NORAZIAH MOHD. AMIN

Tayangan sudah bermula. Tidak sampai setengah jam menatap skrin besar di hadapan, mata mula terasa berat, mulut sedari tadi menguap panjang, jam di tangan pula asyik dilihat dan telefon bimbit kerap kali diperiksa. Adakah situasi sebegini pernah dialami oleh remaja?

Wang yang dihabiskan untuk membeli makanan dan minuman ringan serta tiket wayang pastinya dirasakan sia-sia apabila filem yang ditonton itu tidak menepati cita rasa.

Golongan remaja yang kebanyakannya gemar membanjiri panggung wayang harus diberi keutamaan dalam pembikinan sesuatu filem agar mesej dan maklumat yang disampaikan melalui filem berkenaan dapat membantu perkembangan minda mereka. Oleh itu, apakah kriteria yang dapat dijadikan sebagai kayu pengukur bagi remaja membuat keputusan tentang filem yang bakal ditonton oleh mereka?

Kadang-kala pihak media terlebih dahulu bercerita kepada umum tentang apa-apa yang dapat dijangka dalam sesuatu filem yang bakal muncul. Oleh yang demikian, remaja mengambil kesempatan daripada inisiatif ini untuk membuat penilaian awal sama ada filem tersebut dapat memberi kepuasan menonton ataupun tidak. Selain itu, ulasan yang dikemukakan oleh pengkritik filem yang telah menyaksikan previu sesuatu filem itu wajar dibaca oleh remaja untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenainya dan menetapkan kewajaran untuk menontonnya.

Mengupas kembali persoalan mengenai perkara yang dapat dinilai demi menjamin kepuasan menonton filem, terdapat tiga kriteria penting yang dapat menjadi ukuran remaja dalam membuat seleksi filem untuk ditonton iaitu tajuk, pelakon dan pengarah.

Perkara paling utama yang dilakukan oleh kebanyakan individu pastinya ialah membaca tajuk filem itu dan cuba membuat sedikit imaginasi tentang isu yang akan dikupas dan jalan cerita yang ditonjolkan.

Judul yang diberi mampu berfungsi sebagai suatu pengaruh hebat untuk penonton membelanjakan wang mereka bagi menonton filem tersebut kerana tertarik akan tajuknya. Dari sudut linguistik, dalam pemilihan judul filem, tajuk filem yang memiliki terminologi asing atau istilah yang jarang-jarang ditemui dan perkataan slanga seperti “Apokalips X”, “Balistik”, “Qadr Lawak Ke Der”, “Lu Langsi Lu Mati”, “Bro Nampak Motor Gua?”, “Songlap”, “Longkai”, “Budak Pailang” dan “Gangster Celop” difikirkan mampu membuatkan penonton tertanya-tanya mengenai inti pati yang terselit dalam filem itu. Manakala dari segi fonetiknya, judul filem yang sedap disebut kerana elemen aliterasinya seperti “Kasutku Kusut” dan “Kaki Kitai” turut memiliki daya penarik tersendiri jika diperhatikan dari perspektif sebutan tajuk.

Dewasa ini, tajuk yang mewarnai filem di Malaysia sering kali memiliki kombinasi perkataan biasa dan perkataan dalam bahasa pasar yang tidak ramai mengetahuinya. Penonton pasti tertanya-tanya akan maksud perkataan slanga tersebut. Sebagai contoh, perkataan “kitai” dalam filem, “Kaki Kitai” merujuk kepada “seseorang yang suka menipu untuk kepentingan diri sendiri.” Bagi filem “Ngangkung” pula, menurut Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (2010) yang menulis rencana “Usah Jadi Kaki Ngangkung” terbitan Berita Harian, perkataan, “ngangkung” didefinisikan sebagai, “duduk di antara dua pelipat kaki sambil melakukan pemujaan.”

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2015.

Posted in: Fokus

SISI POSITIF FILEM UNTUK REMAJA

Kita pernah dikejutkan dengan kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam pada penghujung tahun yang mengumumkan bahawa Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem yang ditayangkan pada tahun 2012. Dalam kenyataan tersebut, penerbit dan pengarah filem bertanggungjawab sepenuhnya atas hasil karya yang dihasilkan oleh mereka sekiranya terdapat sebarang isu. Langkah terbaharu ini diambil setelah mengambil kira pandangan semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara serta memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan dalam industri perfileman.

Hal ini sedikit menyebabkan ibu bapa gempar seketika kerana kerunsingan pengaruh filem terhadap anak-anak. Keputusan ini dilihat mampu mengundang serangan terhadap akidah, akhlak, akal dan emosi remaja khususnya yang sedang tenat mengharungi polemik sosial, penjajahan pemikiran, krisis kecelaruan identiti, peribadi dan lemah jiwa. Ditambah lagi, kebanyakan pengisi kerusi panggung ialah anak muda.

Filem atau wayang gambar boleh merujuk wayang tersebut ataupun industri perfileman secara umum. Perkataan “filem” datangnya daripada filem fotografi yang merupakan perantara utama wayang tersebut dicetak, disebut pita filem. Hari ini, filem semakin popular dan semakin banyak ditayangkan. Filem yang dirakamkan dengan menggunakan pita filem boleh dipancarkan ke layar tanpa kehilangan mutu gambar. Filem video untuk drama televisyen pula tidak sesuai untuk ditayangkan disebabkan mutu gambar menjadi kurang baik apabila diperbesar.

Bidang filem sangat unik. Sejarah filem dunia yang berusia lebih daripada 100 tahun telah melalui pelbagai perubahan daripada seluloid kepada digital. Filem bukan sekadar produk yang diniagakan bagi tujuan kewangan, namun mempunyai nilai yang cukup besar dari aspek sosial dan juga estetika.

Oleh itu, sesuatu filem dihasilkan bukan untuk tujuan ringgit semata-mata. Terdapat sisi positif sesuatu filem dihasilkan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam menerbitkan filem, penerbit, pengarah, dan penulis skrip sedikit sebanyak akan memasukkan nilai baik dalam skrip mereka yang sudah termaktub dalam panduan menghasilkan filem dan menjadikannya bahan yang berguna untuk masyarakat dalam bentuk yang menarik.

Industri filem Malaysia begitu berpotensi. Sesuai sebagai industri kreatif yang tidak “mati” dan tidak statik, industri filem sentiasa menerima pembaharuan dan diberi pentafsiran semasa dalam segala hal.

Filem bersifat maya, melangkau ruang dan waktu. Meski dirujuk sebagai karya seni serta mempunyai asas sosial yang kuat, filem tetap relevan dari perspektif sistem kitaran ekonomi. Dalam bidang akademik sendiri, filem mampu dikaji dari pelbagai sudut, termasuklah industri, pengajian sosial, pengajian filem, dan penerbitan filem.

Dengan senario semasa, filem kini telah menjadi industri yang membina masyarakat. Dalam usaha berterusan membangunkan industri filem, kita harus semakin membuka mata bahawa filem bukan hanya berkisar pada tayangan di panggung tetapi juga membina generasi muda.

Oleh yang demikian, dalam memainkan peranan dalam kitaran tersebut, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan usaha menghasilkan filem yang berkualiti untuk masyarakat. Mesej yang disampaikan menjadi kunci penting dalam membina anak bangsa yang berjaya, sekali gus memastikan filem terus relevan dalam kehidupan masyarakat semasa.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2015.

Posted in: Nota Editor