Home » 2015 » May

MENETAPKAN TAHAP KESEMPURNAAN DIRI

OLEH NOOR AZAM ABDUL RAHMAN

Dalam program bual bicara popular yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey, selebriti yang juga ahli perniagaan terkenal, Martha Stewart, telah menggambarkan bahawa dia orang yang sangat sempurna dalam semua aspek. Walau bagaimanapun, satu rencana daripada majalah Forbes keluaran tahun 2004 mendakwa bahawa Stewart pernah mengugut untuk memecat seorang agen syarikat pelaburan hanya kerana syarikat tersebut mempunyai lagu yang tidak digemarinya di telefon semasa menunggu panggilan jawapan.

Satu lagi kisah ialah pengarah filem terkenal James Cameron, yang telah mengarah filem hebat Titanic, mengklasifikasikan dirinya sebagai orang yang memenuhi ciri kesempurnaan, dalam temu bual dengan wartawan. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya dia juga pernah memarahi pekerjanya di lokasi penggambaran hanya kerana mereka tidak mencapai standard yang telah ditetapkan.

Orang yang sempurna seharusnya memenuhi semua ciri kebaikan yang diidamkan oleh semua orang. Individu tersebut pastinya orang yang baik perwatakannya, hebat tutur katanya, indah personalitinya, berbudi bahasa, sabar, tidak sombong, dan pada masa yang sama, bertindak bijak dalam banyak perkara.

Berdasarkan contoh kisah di atas, individu yang mendakwa dirinya sangat sempurna itu masih kekurangan dari aspek kemanusiaan. Mereka masih memiliki sikap tidak sabar, pemarah, dan boleh juga dikatakan sebagai berlagak sombong. Hal ini merupakan sikap negatif yang perlu dibuang oleh orang yang mengharapkan kesempurnaan pada diri mereka.

Setiap manusia telah diciptakan oleh Tuhan dengan penuh kesempurnaan yang meliputi kesempurnaan akal, fikiran dan fizikal. Namun begitu, cara kita memperagakan diri kepada masyarakat akan menentukan nilai sebenar kesempurnaan itu. Aspek yang paling penting dalam menilai kesempurnaan ialah keadaan persekitaran yang sesuai dengan penampilan yang ditonjolkan.

Oleh itu, apakah perlunya kesempurnaan? Kesempurnaan manusia berdasarkan nilai relatif yang telah ditetapkan oleh ahli masyarakat dalam sesuatu komuniti budaya serta nilai kemasyarakatan yang diterima oleh semua orang. Kesempurnaan ini bukan bermaksud lengkap secara keseluruhannya. Bukan juga didefinisikan sebagai terbaik dalam semua perkara dan pakar dalam segala bidang. Sebagai manusia biasa, kita hanya mempunyai kecenderungan serta kepakaran dalam beberapa perkara sahaja. Itulah had yang ada bagi seorang manusia.

Walau bagaimanapun, batasan semula jadi yang ada pada manusia bukanlah tiket untuk kita memberikan alasan. Bukan juga penyebab untuk kita tidak berusaha melakukan sesuatu yang terbaik. Setiap manusia mempunyai keupayaan dan kelayakan yang sama untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diidamkannya. Bezanya hanyalah tingkat usaha yang dijalankan terhadap perkara yang diinginkan itu. Bak kata pepatah, “di mana ada usaha, di situlah ada jalannya”.

Sikap terlalu mengkaji kesempurnaan merupakan keadaan yang melibatkan keinginan seseorang untuk mencapai satu standard asas yang ditetapkan oleh mereka dalam sesuatu perkara. Kesempurnaan yang dimaksudkan ini boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk berdasarkan kepada keinginan individu tersebut.

Antaranya, kesempurnaan dari aspek penampilan diri, pemilihan kerjaya, tempat tinggal, kelulusan akademik, status dalam masyarakat, personaliti dan kebahagiaan hidup secara keseluruhannya.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Mei 2015.

Posted in: Fokus

BERLENGAH UNTUK MENCAPAI KESEMPURNAAN

Dia menginginkan kesempurnaan dalam segala hal yang dilakukannya. Pernah dia terlepas bas gara-gara menyalin baju sebanyak tiga kali kerana berasa kurang sesuai. Apabila mengenakan baju ini, tudung tidak sesuai. Apabila mengenakan baju itu, terfikir akan kasutnya tidak ada yang kena. Belum lagi bercerita tentang cara mengikat tali kasut. Pernah dilakukan ikatan itu berulang kali kerana dirasakan kurang cantik dan tidak sama saiznya. Lebih teruk lagi apabila tiba di kelas, dia sibuk mencantikkan nota sehingga bertukar pensyarah sekalipun dia masih mencantikkan nota yang sama.

Setiap orang mempunyai masa yang sama. Pengurusan masa akan memberi kita perancangan dalam pekerjaan dan menentukan perkara yang sepatutnya dilakukan terlebih dahulu.

Kita mempunyai peluang untuk berubah kerana kita tahu bahawa masa sangat berharga. Pilihan terletak pada kita untuk menggunakan masa yang ada dengan berkualiti. Kaedah mewujudkan senarai tugas yang perlu diselesaikan, akan membantu kita menyelesaikan pekerjaan dengan teratur dan baik walaupun dengan timbunan tugasan yang lain. Sebaliknya kita akan tersasar daripada matlamat yang ditetapkan apabila melakukan kerja yang sama berulang kali dan mengambil masa yang lama.

Tidak rugi sekiranya kita belajar untuk mengurus masa walaupun pada permulaannya memang agak sukar mengikut jadual yang dibuat dan mengikut had masa untuk sesuatu kerja. Lama-kelamaan kita akan terbiasa dengan rutin tersebut.

Kita akan mendapati bahawa melebihkan masa untuk memastikan kesempurnaan yang keterlaluan amat merugikan kerana hasilnya kita akan mendapat keputusan yang sama. Memadai dengan memastikan kerja tersebut berjalan dengan betul dan lancar. Tidak perlu membazir masa melakukan kerja yang sama berluang kali.

Dengan mengamalkan pengurusan masa, kita mengatur kehidupan peribadi. Berlengah melakukan sesuatu untuk mencapai kesempurnaan dan dilakukan secara berulang kali akan mempengaruhi kehidupan harian dan keluarga. Bersempena dengan bulan Mei ini juga, marilah sama-sama kita memejamkan mata mengenang jasa guru yang sentiasa berdiri di samping kita, bermula dari hari pertama kita melangkah masuk ke pintu tadika hinggalah saat kita melangkah keluar dari pintu gerbang institut pengajian tinggi.

Mereka aset penting yang menjadi pencetus, penggerak, dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara. Mereka juga mempunyai kedudukan tersendiri, disegani, dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Guru merupakan nadi penggerak dan pemangkin pembangunan sumber manusia dan seterusnya memacu hala tuju negara ke arah melahirkan dan mencorakkan generasi dengan kekentalan nilai moral, sahsiah dan etika yang tinggi.

Setiap murid pula di mata dan hati seseorang guru, ialah permata yang mempunyai keunikan, keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Mereka sentosa percaya bahawa setiap permata itu jika diasuh, digilap, dan dikembangkan potensinya, nescaya mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, dan berbudi pekerti mulia.

Selamat Hari Guru buat semua pendidik anak bangsa.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Mei 2015.

Posted in: Nota Editor