Home » 2015 » June

PASIR HITAM GUNUNG BROMO

OLEH ABDUL RAZAK HUSIN

Langkah kembara tetap diteruskan dengan penerbangan AK 362 Air Asia ke Surabaya, Jawa Timur, walaupun kerisauan tetap membalut tangkai hati. Tiket yang ditempah hampir setahun itu tidak akan dilepaskan walaupun ketika itu, Air Asia Indonesia dengan penerbangan QZ 8501, baru sahaja berduka apabila pesawat tersebut terhempas pada penghujung bulan Disember lalu.

Pesawat berlepas pada pukul 6.30 petang waktu tempatan dan tiba di Bandara Juanda pada pukul 10.00 malam waktu Surabaya. Perjalanan memakan masa selama dua jam setengah selamat mendarat di Surabaya. Kami enam orang peserta lawatan mengambil keputusan untuk meneruskan destinasi utama kami ke Gunung Bromo selepas selesai menunaikan solat di sebuah masjid berdekatan dengan lapangan terbang.

Kami mengambil keputusan mengambil teksi dari lapangan terbang dengan bayaran sebanyak Rp1 juta 130 ribu untuk pergi dan balik. Jarak dari Surabaya ke Gunung Bromo sekitar tiga hingga empat jam perjalanan. Usah ditanya tentang jarak dalam kilometer dari Surabaya kerana pemandu teksi yang lebih selesa dipanggil Pak Priman, seorang bekas tentera, hanya menjangka ketibaan kami di terminal sekitar tiga jam perjalanan. Dengan hanya beralaskan roti buku kerana restoran atau kedai makan telah ditutup oleh sebab sudah agak lewat, perjalanan pada malam ini tetap diteruskan juga.

Semasa dalam perjalanan, kami melalui kawasan banjir lumpur Sidoarjo. Pelihatan kami terbatas kerana kegelapan malam yang semakin pekat. Menurut Pak Priman, sebanyak 16 buah kampung telah ditenggelami oleh banjir lumpur pada tanggal 26 Mei 2006. Semburan selama beberapa bulan menyebabkan kawasan kampung berkenaan ditenggelami lumpur.

Pada sebelah siang, dapat dilihat letusan lumpur daripada permukaan tersebut. Perjalanan pada waktu malam agak perlahan kerana keadaan jalan raya yang agak sempit ditambah pula deretan lori sepanjang perjalanan. Sesekali mata saya terlelap kerana terlalu mengantuk, namun terjaga juga apabila teksi berhenti seketika untuk berehat.

Kami keluar dari teksi untuk mencari keselesaan yang semakin hilang. Di tempat rehat tersebut, kelihatan beberapa buah bas ekspres juga berhenti untuk mengisi minyak. Menurut Pak Priman, bas tersebut akan meneruskan perjalanan ke Bali. Setelah berehat hampir sejam sambil menghirup secawan kopi panas bersama-sama beberapa keping biskut yang dibeli di sebuah kedai 24 jam, kami meneruskan perjalanan semula.

“Lagi berapa lama perjalanannya, pak?” tanya saya. Jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Malam semakin pekat dan sesekali semilir menampar pipi memberikan sedikit keselesaan.

“Sejam lebih lagi, sampai di terminal. Nanti kereta akan membelok ke kanan dan kita akan memulakan pendakian ke Gunung Bromo,” jelasnya lagi. Ada sedikit rasa selesa kerana destinasi semakin hampir. Saya sudah membayangkan keindahan Gunung Bromo dan menyaksikan matahari terbit sudah seperti berada di hadapan mata.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Jun 2015.

TVET TERAP KEMAHIRAN BERMANFAAT

OLEH NOOR AZAM ABDUL RAHMAN

Malaysia mampu muncul sebagai negara berteknologi tinggi, dengan rakyat yang berkemahiran serta memelihara kualiti hidup yang berteraskan minda masyarakat kelas pertama menjelang tahun 2020, seperti yang digariskan melalui Wawasan 2020. Malaysia juga berkeupayaan menjadi negara perindustrian sepenuhnya jika pelajar pada hari ini mengambil manfaat daripada pelan pendidikan negara yang telah dirangka rapi oleh kerajaan.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memberikan penekanan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam tempoh 2011-2015. Sepanjang tempoh RMK-10, kerajaan berhasrat menerapkan pendidikan kemahiran secara holistik bagi para pelajar lepasan sekolah menengah rendah, sekolah menegah atas, institusi pengajian tinggi sehingga pasaran pekerjaan. Dalam tempoh tersebut juga, telah berlaku beberapa perubahan, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan teknikal dan vokasional. Antaranya, penjenamaan semula sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional.

Perubahan melalui penjenamaan semula ini telah membuka peluang yang besar kepada para pelajar teknikal untuk mengambil manfaat daripadanya. Walaupun pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia telah bermula sejak awal tahun 1980-an lagi, tumpuan pada peringkat awal hanya pada pelajar yang tercicir dalam akademik arus perdana. Sebagai pilihan kedua, para pelajar ini diberi peluang untuk mengikuti pendidikan berteraskan TVET.

Walau bagaimanapun, setelah kerajaan melihat keperluan dan kepentingan TVET dalam proses pembentukan negara maju, maka aspek TVET ini diperkasakan sebagai aliran pendidikan bertaraf perdana. Pendidikan TVET merupakan laluan yang penting bagi negara seperti Malaysia untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovasi, dan mampu menghadapi saingan pada peringkat global dan serantau serta sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

TVET memberikan penekanan kepada pendidikan berkonsep sepanjang hayat, iaitu pendidikan berterusan tanpa had umur pembelajaran tertentu. Sebagai remaja, peluang mengikuti pengajian yang berkaitan dengan TVET mampu membentuk kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan keperluan semasa dalam pasaran pekerjaan. Pendidikan berasaskan TVET ini bukan sahaja berhasrat melahirkan bilangan pekerja mahir yang terlatih, tetapi mampu mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang diperoleh. Perkara ini akan mengurangkan kebergantungan pada kerja makan gaji.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT), kerajaan masih memberikan tumpuan yang khusus terhadap pembangunan pendidikan TVET. Tumpuan terhadap TVET ini selari dengan hasrat yang tercatat dalam Wawasan 2020, iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta teknologi, bukan hanya sebagai negara pengguna teknologi. Ciri ini merupakan asas pembentukan negara maju sepenuhnya, iaitu bilangan pekerja mahir dan separa mahir yang cukup dalam pasaran pekerjaan.

Pada peringkat pengajian tinggi awam, kerajaan telah menyediakan empat buah universiti awam yang berstatus universiti teknikal di Malaysia, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussien Onn (UTHM). Universiti awam teknikal ini bertujuan memberikan ruang yang khusus kepada pelajar lulusan teknikal pada peringkat sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi. Laluan pembelajaran ini memberikan pilihan kepada pelajar dan remaja untuk terlibat dalam bidang teknikal dengan laluan pendidikan yang tersusun.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Jun 2015.

Posted in: Fokus

TIDAK ADA BEZANYA BIDANG AKADEMIK DAN VOKASIONAL

“Saya berharap anak saya akan mendapat tempat di Maktab Rendah Sains Mara.” Apabila ditanya tentang sebab hanya akademik arus perdana menjadi pilihan, sedang kita punya banyak pilihan dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional yang lain, jawapan yang diberikan ialah untuk menjamin masa hadapan anaknya. Mengapakah begitu dangkal pemikiran kita dalam merencanakan perjalanan hidup seseorang anak muda?

Remaja sering didedahkan kepada kecemerlangan dalam akademik arus perdana yang bersumberkan peperiksaan standard Malaysia. Ibu bapa dilihat kurang menyarankan perjalanan pembelajaran anak dengan memastikan mereka kekal dalam kecemerlangan bidang akademik arus perdana. Hal ini dikatakan demikian kerana kebimbangan mereka yang tinggi terhadap anak untuk mendapatkan peluang pekerjaan berkolar putih selepas menamatkan pengajian.

Hasrat kerajaan untuk mencapai negara industri akan terbantut jika persepsi bidang kemahiran ini masih diletakkan sebagai pendidikan bagi golongan kelas kedua. Tidak ada bezanya antara sistem pendidikan teknikal dan vokasional dengan akademik arus perdana. Dangkal pemikiran ini harus ditolak ke tepi kerana kemahiran juga kelak akan membantu kesinambungan kehidupan seseorang anak muda.

Oleh itu, melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan memberikan penekanan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran bagi tempoh 2011-2015. Dalam RMK-10 ini, kerajaan berhasrat menerapkan pendidikan kemahiran secara holistik kepada pelajar daripada lepasan sekolah menengah rendah sehinggalah pasaran pekerjaan. Penjenamaan semula sekolah menengah vokasional kepada kolej vokasional turut dilakukan dalam RMK-10.

Teras yang terbina dalam wawasan negara menyatakan perihal pembinaan negara bangsa Malaysia yang progresif dan makmur dalam usaha terancang untuk berubah daripada negara membangun kepada negara maju.

Sebagai hasilnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) dilancarkan baru-baru ini. Kerajaan masih memberikan tumpuan yang khusus terhadap pembangunan pendidikan TVET. Tumpuan terhadap TVET ini selari dengan hasrat yang tercatat dalam Wawasan 2020, iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara yang mencipta teknologi, bukan hanya negara yang menggunakan teknologi.

Usaha ini membolehkan pelajar yang berpotensi dilatih menjadi tenaga kerja profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang teknologi dan kejuruteraan, malah turut menekankan pendidikan keusahawanan yang mampu membina kerjaya sendiri, yang bukan hanya “makan gaji” semata-mata.

Lonjakan yang terdapat dalam pelan ini menyokong lima aspirasi sistem pendidikan yang memberikan tumpuan kepada akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan. Pelan ini dilihat berupaya memangkinkan transformasi dan boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi muda Malaysia.

Perubahan ini telah membuka peluang yang besar kepada pelajar teknikal untuk mengambil manfaat daripadanya. Bidang seperti ini agak kurang popular dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, peluang pekerjaan untuk lulusan yang berkemahiran ini sangat besar. Hal ini dikatakan demikian kerana sumber manusia yang terlatih dan berkemahiran ialah nadi penggerak utama yang terhasil daripada sistem pendidikan yang mantap dan baik.

Masyarakat, khususnya golongan remaja, haruslah mengubah sikap dan pandangan mereka terhadap pendidikan vokasional. Dengan wujudnya peluang pekerjaan yang semakin luas, pandangan masyarakat harus berubah dan memandang tinggi pekerjaan kolar biru.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Jun 2015.

Posted in: Nota Editor