Home » 2015 » July

DERITA DIGIGIT LABAH-LABAH

Oleh Nor Azida Ishak

Bolehkah anda membayangkan diri anda digigit lelabah janda hitam yang berbisa atas tujuan penyelidikan sains? Inilah yang berlaku kepada saintis bernama Allan Blair yang mendapat gelaran “The Real Spider-Man” kerana sanggup menerima gigitan berbisa lelabah janda hitam untuk mengkaji kesan racunnya pada tubuh manusia. Dia terkenal dalam kajian entomologi (serangga), toksikologi (sains perubatan yang mengkaji tabii dan tindakan racun) dan kanser. Eksperimen itu dilakukan untuk menyanggah teori yang mengatakan bahawa racun lelabah janda hitam tidak berbahaya.

Untuk uji kaji itu, Blair menangkap seekor lelabah janda hitam berdekatan dengan rumahnya pada 25 Oktober 1933 dan meletakkannya di dalam balang berlabel 111.33 di makmalnya. Labah-labah itu diberi makan serangga hidup setiap hari, sehinggalah dua minggu sebelum Blair menjalankan uji kajinya. Labah-labah itu langsung tidak diberi makanan supaya labah-labah tersebut lekas marah dan mudah menggigit apabila diganggu. Hal ini dikatakan demikian kerana lelabah janda hitam sukar menggigit sekiranya tidak tertekan atau berasa terancam.

Pada 12 November 1933, Blair menulis laporannya bahawa labah-labah 111.33 berada dalam keadaan sihat dan aktif, bersaiz sederhana, berwarna hitam berkilat dengan tanda merah yang biasa terdapat pada labah-labah dewasa. Blair menulis keadaan dirinya pada masa itu sebagai berumur 32 tahun, berat 168 paun, dengan tubuh badan yang cergas dan sihat. Dia telah memeriksa tahap kesihatannya dengan telitinya dan mendapati bahawa tubuhnya pada waktu itu dalam keadaan normal, serta tidak mempunyai alahan terhadap gigitan serangga.

Pada pukul 10.45 pagi, Blair mengangkat labah-labah 111.33 itu dengan menggunakan forsep dan meletakkannya di atas tangan kirinya. Tanpa berlengah, labah-labah itu terus menggigit hujung jari kelingking Blair. Gigitan itu terasa seperti jarum kecil yang mencucuk, dan serta-merta kulit pada bahagian gigitan itu terasa panas. Blair membiarkan labah-labah itu terus menggigitnya selama 10 saat, sebelum memasukkan kembali labah-labah itu ke dalam balangnya.

Kesan luka pada jarinya sangat kecil biarpun Blair melihatnya menerusi kanta pembesar. Dengan menggunakan tangan kanannya, Blair merekodkan apa-apa yang dialami selepas terkena gigitan itu. Selepas dua minit, wujud kesan biru pada jari kelingkingnya yang terkena gigitan. Kesan itu bertukar kepada merah selepas beberapa saat.

Selepas 15 minit, rasa sakit itu merebak ke seluruh bahagian tangan kirinya dan dia mula berasa kebas di bahagian itu. Peluh di situ merembes tanpa henti dan bertukar bengkak yang berwarna ungumerah. Selepas 20 minit, rasa sakit itu mula sampai ke dada Blair, tetapi keperitan paling kuat adalah pada nodus limfa berdekatan dengan sikunya. Blair membuat kesimpulan bahawa toksin labah-labah itu telah bergerak melalui pembuluh limfanya. Selepas 50 minit, tekanan darah Blair mula menurun dan pernafasannya menjadi mengah.

Dia berasa sakit yang mencucuk pada bahagian kepala, otot leher dan bahagian atas perutnya. Blair tahu bahawa rasa sakit pada abdomen ini ialah simptom klasik untuk gigitan lelabah janda hitam, berdasarkan bacaannya pada laporan doktor sebelum ini. Simptom lain yang turut direkodkan oleh mangsa lain dalam kes gigitan lelabah janda hitam ialah kekejangan, pengsan, kelumpuhan, dan amnesia (hilang daya ingatan).

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Julai 2015.

KETAGIHAN DIGITAL: HILANG KEMANUSIAAN KERANA TELEFON PINTAR

OLEH AZHAR SALLEH

Barangkali suatu ketika dahulu, kita tidak dapat membayangkan bahawa satu alat akan muncul untuk menggantikan banyak tugas manusia. Telefon pintar menjadikan kehidupan manusia mengalami perubahan yang sangat ketara. Telefon pintar menafaskan kehidupan harian kita sehingga rutin kita seolah-olah direncanakan oleh alat telekomunikasi tersebut. Alat itu benar-benar diperlukan bukan sekadar untuk berbual-bual atau menghantar pesanan dengan cara yang paling cepat dan mudah.

Pada hari ini, telefon pintar melaksanakan tugas yang melangkaui peranannya. Satu daripadanya ialah alat ini telah menghilangkan sifat kemanusiaan kepada sesetengah golongan, khususnya golongan remaja, sebagai akibat ketagihan aplikasi yang direka cipta untuk sebuah telefon pintar.

Hampir kebanyakan remaja pada hari ini memiliki sebuah telefon pintar, sama ada remaja di kawasan pedalaman, kampung, ataupun di sebuah kota metropolitan. Telefon pintar merupakan satu daripada peranti yang terkenal di seluruh dunia. Terdapat pelbagai jenama atau aplikasi telefon pintar ini dalam pasaran, seperti Android, iPhone, Blackberry dan Windows. Remaja yang berkiblatkan aplikasi dalam telefon pintar ini tidak lagi meladeni kerenah kemanusiaan yang melitari kehidupan mereka.

Telefon pintar menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kemanusiaan mereka.Yang lebih menyentuh nurani keinsanan ialah telefon pintar merenggangkan hubungan dan perasaan antara anak dengan ibu dan ayah, menjarakkan hubungan antara sesama ahli keluarga, dan melupuskan interaksi antara remaja dengan masyarakat sekeliling. Mereka menghidupkan dunia mereka yang tersendiri. Dunia maya mereka jauh tergelincir daripada sifat kemanusiaan.

Walaupun barangkali ada yang ingin menegaskan bahawa telefon pintar memudahkan segala keperluan dan tuntutan mereka, natijahnya tidak sekadar mencerminkan sesuatu yang positif, malahan memercikkan implikasi yang negatif daripada perspektif yang pelbagai.

Benar, telefon pintar telah melaksanakan tugas untuk menyimpan dan menghantar data, melakukan pelbagai transaksi melalui urusan dalam talian, mencari maklumat dengan pantasnya, dan menghiburkan hati dengan pelbagai aplikasi yang dapat dicapai melalui internet. Namun begitu, telefon pintar juga telah merobek kemanusiaan dengan cukup berjaya.

Sifat kemanusiaan tidak mampu dicipta oleh aplikasi telefon pintar. Telefon pintar tidak memiliki jiwa atau atma yang berseni. Kemanusiaan tidak hidup dalam dunia teknologi ini biarpun melalui telefon, hubungan remaja dengan keluarga dan sahabat menjadi lebih erat dan intim melalui perbualan atau penghantaran mesej melalui aplikasi sistem pesanan ringkas atau WhatsApp dan seumpamanya.

Mengapakah dikatakan bahawa telefon pintar melenyapkan nilai dan sifat kemanusiaan? Adakah premis ini benar dalam semua situasi? Apakah bukti dan rasionalnya? Persoalan ini tidaklah mudah untuk dirungkaikan.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Julai 2015.

Posted in: Fokus

ELAK MENJADI HAMBA TIDAK BERFIKIRAN

Teknologi dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Penggunaan telefon menjadi aksesori dan kewajipan yang dibawa walau ke mana-mana mereka pergi. Pernah timbul persoalan, berapa kerapkah anda menggunakan telefon pintar dalam sehari? Pasti anda akan menjawab hanya beberapa jam sehari. Sedarkah anda bahawa sebenarnya kita menggunakan telefon pintar lebih lama daripada apa-apa yang kita sangkakan?

Jika dilihat melalui tingkah laku kita, apakah benda yang pertama kita lakukan setelah bangun daripada tidur? Majoriti pemilik telefon pintar akan membelek telefon pintar mereka seawal mungkin sebelum melakukan aktiviti lain untuk memeriksa pesanan yang diterima sewaktu mereka tidur. Pada kebiasaannya, kita akan memeriksa mesej yang diterima melalui WhatsApp dan e-mel setelah bangun daripada tidur. Hal ini dikatakan demikian kerana kita berasa ketinggalan semasa sedang tidur.

Walaupun tiada satu kayu ukur untuk mengklasifikasikan seseorang itu mengalami masalah ketagihan telefon pintar, apabila seseorang individu tidak lagi menghiraukan persekitaran, taasub untuk melihat peranti pada hampir kebanyakan masa dan hilang kuasa berfikir, maka itu sudah dapat dianggap sebagai ketagihan.

Tidak dinafikan bahawa penggunaan telefon pintar amat penting ketika ini, seiring dengan perubahan teknologi. Cumanya penggunaan telefon pintar perlu ada had yang tertentu. Terdapat pelbagai sebab banyak pengguna telefon pintar sentiasa menggunakan dan menghabiskan masa dengan telefon pintar. Kemajuan teknologi memberikan pelbagai kemudahan kepada pengguna.

Apabila dunia semakin cepat berubah dan pantas dalam pertukaran isu hangat, kita pasti akan turut sama mengejarnya. Namun demikian, adakah hal ini menjadi penyebabnya kita ketagih dalam penggunaan telefon pintar? Atau adakah kita hanya ingin lari daripada dunia sebenar dan memenuhi kepuasan yang mungkin tidak kita peroleh di dunia sebenar?

Ketagihan digital yang berlaku menunjukkan kebergantungan yang amat sangat pada peranti yang menyebabkan rasa tidak boleh berfungsi jika tiada peranti di tangan. Peranti menjadi lebih penting dalam hidup sehingga pengguna tegar peranti dilihat seperti berada di dunia yang lain dan tidak lagi berada di dunia yang sama seperti orang lain. Jadi tidak hairanlah jika apabila seseorang itu terlalu bergantung pada peranti, mereka tidak menghiraukan orang sekeliling dan semakin menjauh daripada dunia sebenar.

Jika dilihat hari ini, ada ibu bapa memberi bayi mereka bermain dengan telefon pintar selama berjam-jam supaya anak tidak menangis. Lebih muda umur seseorang (didedahkan kepada peralatan pintar), lebih mudah dia menjadi ketagih. Kesedaran ibu bapa dalam soal ini perlu bermula daripada awal. Maknanya, lebih lambat memperkenalkan peralatan pintar ini kepada kanak-kanak, lebih baik. Ketika anda menjadi hamba tidak berfikiran kepada telefon pintar dan peralatan, anda tidak tahu bahawa golongan elit yang mencipta peranti pintar itu tidak memberi anak mereka menggunakannya.

Sebagai kesimpulannya, setiap pengguna mempunyai alasan yang tersendiri untuk menggunakan telefon pintar. Penggunaan telefon pintar secara berlebihan akan meragut kreativiti individu dan digantikan oleh teknologi telefon pintar. Jika terlalu banyak menggunakan telefon pintar tanpa berfikir, secara perlahan-lahan anda kehilangan keupayaan dan kuasa otak bagi menghasilkan sesuatu yang hebat dan inovatif.

Kewujudan telefon pintar sepatutnya memberikan kemudahan kepada pengguna. Namun begitu, pengguna tegar akan menghadapi ketagihan dalam penggunaan telefon pintar sekiranya tidak pandai mengawal diri dan membahagikan masa dengan telefon pintar dan aktiviti sosial.

Haziah Che Husin

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Siswa keluaran Julai 2015.

Posted in: Nota Editor