Home » 2015 » September

GIAT MEMPLAGIAT, OTAK BEKU

Oleh Noraziah Mohd Amin

FENOMENA memplagiat atau dalam istilah mudah ialah mencuri hasil karya orang lain atau menciplak semakin berleluasa kini. Kegiatan ini menjadi lebih mudah dengan kehadiran pelbagai sumber maklumat yang memberikan ruang kepada para pelajar khususnya pelajar pada peringkat pendidikan tinggi untuk menggunakan jalan singkat dalam menyiapkan sesuatu tugasan demi mendapat markah yang diingini.

Walaupun terdapat banyak kaedah seperti perisian pengesan “Turnitin”, “DupliChecker”, “Word Check System” dan “Anti-Plagiarism” untuk menghalang dan mengesan tindakan plagiat ini daripada terus menjadi amalan pelajar generasi kini, namun aktiviti plagiarisme terus dilakukan tanpa rasa takut atau bersalah dalam kalangan pelajar.

Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan terma, “plagiat” sebagai “mencedok kata-kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karyanya sendiri.” Dasar plagiarisme Universiti Sains Malaysia (USM) mendefinisikan plagiarisme sebagai, “perbuatan membentang, menyalin, memparafrasa atau menyebarkan idea, imej, proses, karya, data, perkataan sendiri atau orang lain atau sumber tanpa memberi perakuan atau kutipan yang betul kepada sumber asalnya”.

Antara inti pati yang terkandung dalam dasar ini ialah penegasan tentang hilangnya integriti akademik yang merupakan salah satu kesan negatif perbuatan plagiat. Integriti akademik sangat penting untuk diamalkan oleh pelajar kerana hal ini bukan sahaja memaparkan imej yang baik dalam menghasilkan sesuatu karya melalui elemen ketulenan idea, usaha intelektual individu, kecintaan terhadap ilmu dan sikap jujur dalam menyebarkan ilmu, malah ia turut mencerminkan peribadi serta personaliti seseorang itu secara keseluruhannya.

Plagiarisme terdiri daripada beberapa kategori iaitu’ “plagiarisme penuh” yang melibatkan tindakan mencuri keseluruhan hasil karya orang lain dan menjadikannya seolah-olah karya sendiri tanpa memberikan pengiktirafan terhadap penulisan asal berkenaan, “plagiarisme separa” yang merujuk aktiviti mencuri sebahagian daripada karya asal tanpa menyebut sumber dari mana bahan tersebut diambil, “autoplagiarisme” yang merupakan tindakan memplagiat hasil karya sendiri tanpa mendedahkan butiran penulisan sendiri tersebut, dan “plagiarisme silang bahasa” yang diinterpretasikan sebagai perbuatan menciplak dengan cara menterjemahkan sesuatu penulisan itu kepada bahasa lain tanpa menulis sumber asalnya.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Isu Semasa

ANGKA DUA

Oleh Munsyi Dewan

DALAM sistem ejaan Rumi sebelum 1972, terdapat penggunaan lambang yang bukan berupa huruf daripada sistem abjad. Lambang tersebut ialah angka dua (2) sebagai tanda ganda.

Dalam sistem ejaan Rumi lama itu, angka dua (2) digunakan bagi penulisan kata ulang (kata ganda) semu dan kata ulang jamak, manakala tanda sempang (-) pula digunakan bagi penulisan jenis kata ulang yang lain. Dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang mula dikuatkuasakan penggunaannya pada tahun 1972, penggunaan angka dua dimansuhkan. Semua kata ulang semu dan kata ulang jamak menggunakan tanda sempang sepenuhnya.

Walaupun cara penulisan ini dilihat tidak ekonomis, itulah ketetapan yang dibuat demi kesempurnaan dan keselarasan ejaan bahasa Melayu. Misalnya, sebelum penguatkuasaan pemansuhan angka dua dalam ejaan, angka dua digunakan dalam penulisan kata ulang jamak daripada kata dasar seperti daun2, pulau2, rakit2; kata ulang jamak daripada kata terbitan seperti bantuan2, jawatan2, petugas2; dan kata ulang daripada kata ganda semu seperti anai2, kupu2, rama2 dan kanak2.

Kini, semua ejaan kata tersebut itu dieja (ditulis) sepenuhnya dengan menggunakan tanda sempang (-). Perkataan daun2 menjadi daun-daun, pulau2 menjadi pulau-pulau, dan rakit2 menjadi rakit-rakit. Kata ulang jamak daripada kata terbitan seperti bantuan2 ditulis sepenuhnya menjadi bantuan-bantuan, jawatan2 menjadi jawatan-jawatan dan petugas2 menjadi petugas-petugas. Demikian jua halnya dengan kata ganda semu anai2, kupu2, rama2, dan kanak2 berubah ejaannya menjadi anai-anai, kupu-kupu, rama-rama dan kanak-kanak.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

REMAJA PERLU MENYERTAI PERSATUAN

Oleh Lokman Ismail

GOLONGAN remaja sering mendapat perhatian ramai. Banyak kes yang dicetuskan oleh remaja, sehingga mereka dipandang serong akibat perbuatan yang tidak bermoral dan bertentangan dengan inspirasi negara dan menyalahi hukum agama. Namun begitu, situasi negatif ini tidak patut disalahkan kepada remaja sepenuhnya kerana apa-apa yang berlaku itu secara tidak langsung menggambarkan kegagalan pemerintah, masyarakat dan ibu bapa.

Usia remaja dianggap sebagai tempoh terbaik untuk mencari sesuatu yang berharga sebagai persiapan menghadapi alam dewasa. Antara perkara penting yang perlu diperoleh semasa usia remaja ialah mencari ilmu dan pengalaman. Kedua-dua perkara ini ialah harta yang memberi kebaikan dan keuntungan sepanjang masa. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap negara pada masa hadapan.

Biarpun ilmu dan pengalaman boleh dicari pada bila-bila masa, sesuai dengan keperluan semasa, hakikatnya apa-apa yang berlaku pada masa hadapan mempunyai banyak kaitan dengan apa-apa yang diperoleh sejak usia remaja. Proses pembentukan identiti mengambil masa yang panjang sesuai dengan pengalaman yang dilalui. Kejayaan bukan dicapai dalam tempoh masa yang singkat.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Uncategorized

ELAKKAN TEKANAN EMOSI DISEBABKAN PEPERIKSAAN

Oleh  Haziah Che Husin

MENJELANG peperiksaan, bermacam-macam perasaan akan bermain di benak anda. Ada masanya timbul perasaan berdebar-debar. Kadang-kadang timbul juga perasaan gembira kerana penantian yang ditunggu-tunggu selama ini akan berakhir.

Melihat kepada kerenah peperiksaan, ada pelajar yang terlalu berdebar hingga langsung tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Logik akalnya, apabila menjelang peperiksaan, mereka sepatutnya berusaha lebih kuat, tetapi sebaliknya, mereka menjadi semakin malas, lebih suka tidur dan mengelak daripada melihat buku pelajaran mereka. Hal ini merupakan salah satu tanda pelajar menghadapi tekanan emosi disebabkan peperiksaan yang bakal menjelang.

Tekanan emosi terhadap peperiksaan boleh berlaku sejak bermulanya persiapan pelajar, iaitu pada awal tahun sehingga selepas menerima keputusan peperiksaan. Namun begitu, cabaran emosi sedemikian semakin memuncak ketika tarikh peperiksaan atau tarikh pengumuman keputusan semakin hampir.

Tekanan emosi merupakan pengalaman atau kejadian yang dialami seseorang individu hingga menyebabkan gangguan terhadap pemikiran, perasaan dan aktiviti harian. Oleh itu, hal ini perlu ditangani dengan segera supaya tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kesihatan remaja. Kita tidak mahu kelak peristiwa pelajar membunuh diri akibat tekanan emosi berkaitan peperiksaan berulang lagi. Anda perlu mengawal emosi agar sentiasa berada dalam kerangka kewarasan akal fikiran.

Oleh itu, untuk anda yang bakal menduduki peperiksaan besar, anda perlu belajar mengawal perasaan dengan cara memahami sebab utama mengapa timbulnya perasaan tertekan tersebut. Anda  juga perlu mengambil tahu sebab anda berasa terlalu berdebar dan resah menjelang peperiksaan. Anda juga perlu sedar bahawa tekanan perasaan anda itu sebenarnya disebabkan oleh perkara yang anda selalu fikirkan. Anda perlu mengawal perkara yang anda fikirkan dan mengekalkan imej kejayaan dalam minda anda. Anda perlu belajar bertenang, bersemangat dan yakin bahawa anda akan berjaya. Hasilnya, anda akan dapat rasakan sendiri bahawa anda boleh memilih untuk berasa tenang dan selesa sementara menunggu ketibaan hari peperiksaan.

Perspektif masyarakat hari ini cenderung melihat pencapaian anak dalam peperiksaaan sebagai pengukur kejayaan. Pelajar yang berjaya mendapat banyak A bakal berasakan harga diri meningkat serta mendapat pengiktirafan daripada keluarga dan masyarakat. Bagi yang kurang cemerlang pula, mereka mungkin berasa rendah diri atau disisihkan. Akibatnya, mereka mungkin mengalami tekanan emosi yang amat kuat. Sekiranya tekanan perasaan tersebut tidak dapat dikawal lagi, maka mereka mungkin mengambil tindakan di luar kawalan sebagai cara untuk melepaskan tekanan.

Walau apa pun ganjaran berbentuk kebendaan seperti gred A yang anda inginkan hasil kejayaan anda cemerlang dalam peperiksaan, anda perlu ingat bahawa ganjaran tersebut hanyalah merupakan alat untuk menambah motivasi anda untuk terus berusaha.

Peperiksaan memerlukan persediaan lebih daripada sekadar membaca semata-mata. Tanpa persediaan yang rapi, anda tidak akan mendapat keputusan yang setimpal dengan usaha yang dilakukan. Oleh itu, lebih baik anda memfokuskan persediaan diri untuk berjuang. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk anda menghadapi peperiksaan. Menguruskan tekanan emosi dengan baik membolehkan anda menghadapi peperiksaan dengan lancar dan cemerlang.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Nota Editor

TRANSFORMASI MINDA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR 2015

Oleh Azlna Ahmad

MELAKA – Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama pihak Bahagian Mahasiswa dan Belia Biro Tatanegara telah mengadakana Program Transformasi Minda Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti bertempat di Kem Bina Negara, Alor Gajah Melaka. Program ini merupakan salah satu usaha Jawatankuasa Penyelaras, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Smenanjung Malaysia untuk membentuk JPP yang lebih berketerampilam dan bersemangat jati diri bagi tahun 2015 khasnya agar dapat mendukung perkara yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

FESTIVAL KEBITARAAN DAN KEBUDAYAAN SKK PERINGKAT KEBANGSAAN

Oleh Siti Nur Hidayah Abdullah

KUCHING – Baru-baru ni berlangsung Festival Kebitaraan dan Kebudayaan SKK Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kolej DPAH Abdillah dan SMK (A) Tun Ahmad Zaidi. SKK ialah jenama yang diberikan kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya dari aspek pengurusan sekolah dan prestasi murid. Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah merupakan SKK Fasa 2 dan SMK (A) Tun Ahmad Zaidi diiktiraf SKK Fasa 8.

Antara objektif festival yang bertemakan “Warisan Budaya Kecemerlangan Bangsa” ini ialah memberikan peluang kepada SKK untuk mempamerkan kebitaraan sekolah, menghayati dan menghargai warisan budaya pelbagai kaum, mempromosikan warisan budaya dan meningkatkan penguasaan bahasa bagi memacu kecemerlangan dan perpaduan kaum.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

EKSPLORASI KEMASYARAKATAN ANTARABANGSA HURES

Oleh Madihah Mat Rani

MELAKA – Program Eksplorasi Kemasyarakatan Antarabangsa HURES: Kemboja… Kami Datang merupakan satu program pengantarabangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Sumber Manusia atau Human Resource Society (HURES) UiTM (Melaka), Kampus Bandar Raya. Perancangan dan persediaan bagi program ini telah bermula sejak bulan Ogos 2014.

Pada tahun sebelumnya, persatuan ini mengadakan program pengantarabangsaan ke Bandung dengan kerjasama universiti tempatan di sana. Namun kali ini, persatuan ini memilih Phnom Penh, Kemboja sebagai destinasi dengan membawa satu tujuan murni, iaitu untuk membantu warga Islam di Kemboja bagi persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Bantuan dihulurkan dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Sekitar Siswa

GREECE DAN SEJARAH KEILMUAN

Oleh Siti Raba’ah Hamzah

SEDARI zaman persekolahan, kembara ke negara Greece yang jauh beribu-ribu batu menjadi impian penulis kerana Greece merupakan negara bersejarah yang penuh dengan perkembangan dan perdebatan tentang asal usul ilmu falsafah di dunia.

Greece terletak di sebelah selatan Eropah Barat dan menjadi lokasi pertemuan antara Benua Eropah, Asia dan Afrika. Greece mempunyai keluasan 131 000 kilometer persegi dan terdiri daripada lebih 6000 buah pulau. Greece menjadi tumpuan jutaan pelancong pada setiap tahun kerana keindahan dan keunikan pulaunya yang terletak dalam lingkaran Lautan Ionian dan Aegean.

Penulis menaiki penerbangan Qatar Airways kerana Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tidak menyediakan penerbangan terus ke Athens, ibu negeri Greece. Penerbangan ini mengambil masa tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk singgah (transit) di Doha dan meneruskan perjalanan lima jam setengah lagi untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens-Venezelos.

Athens ialah ibu negeri Greece dan merupakan bandar terbesar dengan jumlah penduduk sekitar tiga juta orang. Athens mendapat gelaran sebagai ibu negara bagi Benua Eropah sejak tahun 1834. Athens bermula dengan sejarah sistem pemerintahan rakyat, diikuti dengan sistem monarki beraja dan seterusnya sistem demokrasi. Pada masa ini, ekonomi Greece sedang dipulihkan akibat rasuah yang memuncak pada tahun 2012. Greece mula menggunakan mata wang Euro pada tahun 2002.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

MISTERI LUKA BERCAHAYA

Oleh Azida Ishak

TAHUKAH anda, Perang Saudara Shiloh pada tahun 1862 di Amerika telah mengakibatkan kematian anggota tentera seramai 16 ribu orang, manakala lebih 3000 orang lagi mengalami kecederaan? Yang menariknya, kebanyakan tentera yang tercedera daripada peperangan itu dilaporkan telah mengalami satu kejadian misteri. Mereka mendapati luka pada tubuh mengeluarkan cahaya berwarna biru cair ketika dalam keadaan gelap. Diberitakan bahawa sesiapa yang mempunyai keajaiban cahaya itu, lukanya akan sembuh lebih cepat berbanding mereka yang tidak memilikinya. Oleh sebab kagum dengan peristiwa ajaib ini, legenda menggelar cahaya itu sebagai “Cahaya Malaikat”.

Hampir 140 tahun selepas peperangan, seorang remaja berusia 17 tahun berusaha mencari jawapan tentang kewujudan cahaya misteri pada luka para tentera itu. Sekitar tahun 2001, Bill Martin yang melawat tapak perang Shiloh berasa teruja selepas mendengar kisah para tentera yang berjaya sembuh daripada kecederaan, kononnya selepas melihat cahaya biru pada kawasan tubuh mereka yang terluka. Bill bertanya kepada ibunya Phyllis Martin, seorang ahli mikrobiologi tentang kemungkinan perkaitannya dengan sejenis bakteria pendar kilau yang hidup di dalam tanah.

Atas dorongan ibunya, Martin dan rakannya Jon Curtis mula mengkaji tentang bakteria Photorhabdus luminescens (P. luminescens) yang boleh bercahaya di dalam gelap. Bakteria ini hidup di dalam perut sejenis cacing parasit jenis nematoda seperti Heterorhabditis nematoda. Cacing nematoda selalunya akan masuk ke dalam larva serangga yang terdapat di dalam tanah atau pada permukaan tumbuhan, sebelum memulakan kehidupan di saluran darah perumahnya. Di situ, cacing ini akan memuntahkan bakteria P. luminescens keluar dari perutnya, dan bakteria itu mula menghasilkan sejenis bahan kimia toksin untuk mematikan serangga perumahnya.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

ABNORMAL SEORANG GURU

Oleh Shahkang

LEMBARAN laporan makmal merangkap salah satu komponen kerja khusus tingkatan empat itu sudah berlainan  rupa. Contengan dakwat merah ada di mana-mana sahaja ruangan kosong.

Cikgu Shaheer tidak berganjak kedudukan dari meja di bilik guru sekian lama. Dia setia menyemak satu per satu laporan makmal pelajar. Dia menghela nafas panjang berulang kali. Setiap kali nada kecewa itu muncul, tangannya lebih galak mencoret sesuatu.

“Tapi Cikgu Shamsiah tak pernah pun buat begini!” Nama  guru asal subjek Fizik yang kini sedang cuti bersalin mengisi kotak perbualan. Danial, pelajar Tingkatan 4 Musytari melancarkan protes atas markah rendah diperoleh untuk laporan makmal berkenaan. Hukum Newton Kedua. Hanya 30. Markah atas pagar antara lulus dan gagal.

Cikgu Shaheer merengkuh salah satu buku rujukan yang disusun menegak, menyelak pantas seraya menyoal. “Kenapa setiap ayat laporan kamu sama dengan halaman 21 buku rujukan ini. Boleh terangkan kepada saya?”

Muka Danial merah padam bersama-sama seribu kerutan di dahi. Mulut bagai diikat dawai kokot. Rasa gelisah dan amarah bertembung lantas membuncahkan konflik terhebat dalam diri.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)