Home » 2015 » September (Page 2)

PULANGLAH KAKAK

Oleh Rozlin Adrenalin

SURAM. Rumah dijengah sepi dan sendu. Semenjak semalam, deruan esak air mata halus menghurungi rumah yang dibina indah oleh urat selirat arwah bapa. Di penjuru bilik, menangis seorang manusia bergelar emak, mengenang rencah hidupnya yang tak sebati walau usia sudah menginjak senja. Anak yang dikasihi merobek hati nurani sang emak yang sudi melahirkan, apatah lagi mengenangkan sang suami telah tiada di sisi yang pergi menemui Ilahi. Perasaan itu dapat aku rasai, di rumah hiba ini.

Aku, anak bongsu yang tak punya kuasa melebihi apa-apa pun. Nasihatku hanya sampah. Rayuku hanya hina. Malah air mata lelakiku hanya hama, di mata seorang perempuan bernama kakak. Angkara laras-laras kata emak yang dianggap salah, seluruh nafsu amarah merajai mahkota perasaan. Hilang segala tinta hormat dan kasih pada seorang insan yang bergelar ibu. Senja semalam, ruang kemerah-merahan di awan kelabu menyaksikan tumpahnya air mata seorang perempuan yang melahirkan dan seorang perempuan yang dilahirkan lalu memaksa seorang daripada mereka pergi meninggalkan rumah, mahligai bahagia rekayasa oleh arwah bapa. Perginya kakak bersama rasa amarah dan kecewa yang diracuni iblis durjana.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

TENANG MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Oleh Azhar Salleh

BAYANGKAN anda telah terpilih untuk menjadi seorang pahlawan yang akan bertempur dengan musuh tidak lama lagi. Anda terpilih kerana memiliki keupayaan dan keberanian untuk merobek musuh di medan pertempuran itu. Sudah pasti perasaan berdebar-debar dan darah gemuruh akan menyelinap di seluruh urat nadi anda. Anda terbayangkan sesuatu yang sangat mencabar sedang menanti. Ayuh, hunuskan senjatamu! Anda perlu bertempur dengan semangat keberanian dan keperwiraan. Ingatlah bahawa seorang samurai sejati yang telah bersedia untuk menemui ajalnya setelah pedang terhunus, namun secara lazim lawannya yang akan kecundang! Hal ini berlaku kerana samurai percaya bahawa keberanian dan keyakinan merupakan senjata yang paling tajam berbanding dengan pedang yang berkilat matanya. Jadilah seperti seorang samurai yang tenang dan yakin kerana tanpa kedua-duanya, anda berada di ambang kegagalan.

Namun begitu, sebelum anda berhadapan dengan musuh di medan peperangan, musuh yang sebenarnya yang perlu anda “tumpaskan” terlebih dahulu ialah diri anda sendiri! Sukar sebenarnya untuk mendapatkan keyakinan dan keberanian. Bukan mudah untuk memilikinya kerana tidak semua orang mampu dan berupaya untuk berfikir dan bertindak dengan tenang dan sabar. Selalunya apabila kita berhadapan dengan sesuatu ujian atau cabaran, kita akan terganggu dan memikirkan hal itu sehingga menjejaskan tumpuan dan fikiran. Ya, kita mesti belajar untuk berdiri dengan tenang dan yakin dalam apa-apa jua keadaan. Demikianlah perkara yang ingin dikupas pada kali ini, iaitu panduan menghadapi sesuatu peperiksaan dengan tenang dan yakin. Anda akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi dan perlu bersedia untuk menghadapinya tanpa perasaan negatif agar anda mampu untuk melakukannya dengan baik  dan mencipta kejayaan yang besar dalam peperiksaan itu.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Fokus

TEKANAN PERASAAN MENGGUGAT PEPERIKSAAN

Oleh Nizar Parman

PROSES penilaian pelajar melalui peperiksaan awam yang penting, seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan di negara kita sebenarnya masih relevan. Melalui penilaian inilah pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan disokong dengan kecemerlangan dalam bidang koakademik atau kokurikulum mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam (UA).

Namun begitu, isu yang paling menarik untuk diperkatakan bukanlah tentang puluhan ribu pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran di UA setelah peperiksaan tersebut diumumkan tetapi situasi yang dihadapi oleh pelajar sebelum menjelangnya kedua-dua peperiksaan penting itu.

Pelbagai ragam pelajar, sama ada yang positif atau negatif, sebelum menjelangnya peperiksaan awam tersebut dapat kita lihat atau baca melalui media massa. Walau apa-apa pun tanggapan dan pandangan masyarakat, suasana inilah yang mewarnai sebahagian daripada dunia pendidikan di negara kita. Di sebalik keputusan yang akan diraih, terselit peristiwa kesukaran dan cabaran pelajar sebelum menduduki peperiksaan itu. Antara perkara yang meraih perhatian untuk dibincangkan termasuklah tekanan perasaan atau stres yang rata-ratanya dihadapi oleh pelajar.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa September 2015)

Posted in: Fokus