Home » 2015 » October (Page 2)

ANDAI MATI ESOK HARI

Kadang-kadang hidup ini berat untuk dijalani

Mengenang kesalahan lalu

apalagi memikirkan tentang masa hadapan

sedang yang dilalui kini hancur seperti tiada arah lagi hendak dituju

diriku bertanya, masih mampu lagikah untuk aku bertahan

mengumpul bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti.

-Jasman Bandar-

(Sekolah Pengajian Seni, UMS)

Posted in: Puisi Siswa

PENDIDIKAN DAHULU DAN SEKARANG

Oleh Rahman Abdullah

MASYARAKAT di Malaysia yang wujud pada hari ini merupakan sebuah masyarakat yang terdiri daripada campuran pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur. Namun begitu kesatuan dan toleransi yang kita dukung selama ini semakin goyah akibat daripada beberapa faktor. Salah satu yang dilihat agak ketara ialah perubahan nilai dalam sistem masyarakat kita.

Perubahan dari segi pendidikan anak dari generasi ke generasi menampakkan perubahan kepada nilai yang dipegang oleh masyarakat kita. Sebagai contoh, satu ketika dahulu, pelajar atau remaja sering ditarbiahkan atau ditegur secara tegas di rumah atau di sekolah untuk tujuan mendidik. Walau bagaimanapun, generasi pelajar atau remaja yang seterusnya lebih mudah menerima pendidikan melalui cara yang lebih sopan dan tertib daripada tenaga pengajar. Kini, tenaga pengajar seharusnya lebih bersifat seperti kawan yang bukan sebaya untuk tujuan menyampaikan mesej atau didikan.

Perkara yang sama berlaku kepada tenaga pengajar atau guru sekolah. Pada satu masa, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah berpegang pada satu keyakinan, guru di sekolah akan mendidik anak mereka menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, apa-apa sahaja bentuk didikan yang diberikan oleh para guru diizinkan oleh pihak ibu dan ayah. Keadaan yang amat berbeza dapat dilihat pada hari ini, yakni apa-apa sahaja perkara yang dilakukan oleh pihak guru untuk tujuan mendidik harus mendapat persetujuan pihak berwajib, ibu bapa dan sekolah. Oleh sebab itu, ada kalanya salah faham antara pihak guru dan pelajar boleh disalahtafsirkan oleh ramai pihak.

Perubahan yang kita saksikan kini bukanlah sesuatu yang buruk secara keseluruhan, namun seperti yang kita biasa lihat di laman media sosial, bercetak ataupun televisyen, kebanyakan kes yang diutarakan terutamanya di sekolah berakar umbi daripada nilai yang kita ingin terapkan dalam kalangan pelajar. Sekiranya nilai murni termasuklah saling hormat-menghormati, adab sopan, saling mengingati dan berdisiplin di sekolah masih diberi definisi dan penyampaian dengan cara lama, maka apabila para pelajar ini tamat belajar dan keluar ke institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan, mereka akan mengalami kejutan budaya kerana apa-apa yang dipelajari dan difahami amat berbeza dengan suasana di luar.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

Posted in: Isu Semasa

KEPENTINGAN PERSONALITI UNTUK BERJAYA

Oleh Siti Suriani Othman

SERING kita dengar kisah pelajar yang cemerlang tetapi kecundang ketika di pengajian tinggi. Keadaan sebaliknya juga ada berlaku, apabila pelajar yang “biasa-biasa” sahaja ketika di sekolah, begitu menyinar di universiti. Menurut pakar psikologi, fenomena ini boleh dikaitkan dengan apa-apa yang dipanggil sebagai “personaliti” seseorang pelajar. Personaliti merupakan cabang disiplin dalam bidang psikologi yang mengkaji pemikiran, fikiran, sikap, matlamat dan minat seseorang individu normal.

Umumnya, berdasarkan teori personaliti, terdapat dua jenis personaliti yang boleh menjelaskan perihal sikap seseorang individu atau pelajar iaitu Personaliti Jenis A atau Personaliti Jenis B. Kedua-dua jenis personaliti ini bertentangan sifatnya antara satu dengan lain.

Teori ini adalah berdasarkan Dr. Meyer Friedman dan Dr. Ray Rosenman yang menyediakan soalan pelbagai pilihan kepada responden untuk mengenal pasti personaliti individu. Dalam kajian selama lapan tahun setengah ini, mereka yang dikategorikan dalam Personaliti Jenis A dikatakan mempunyai kecenderungan menghadapi penyakit jantung berbanding mereka yang berpersonaliti Jenis B serta berkemungkinan tinggi untuk meninggal dunia kerana masalah jantung.

Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka yang berpersonaliti Jenis A dikatakan mempunyai beberapa sifat yang jelas seperti bercita-cita tinggi, tersusun, menginginkan status yang tinggi, sensitif, tidak sabar, melakukan kerja lebih daripada kemampuan, rajin bekerja, proaktif dan mengurus masa dengan baik serta tidak suka bertangguh. Berbanding mereka yang berpersonaliti Jenis B, hidup mereka lebih santai, kurang mengambil risiko dan hidup dengan tahap tekanan yang rendah. Individu jenis ini tidak tertekan jika tidak berjaya mencapai sesuatu, kerana apa-apa yang ingin diperoleh merupakan pengalaman daripada proses yang dilalui. Golongan berpersonaliti Jenis B sangat sesuai dengan pekerjaan seperti penulis, kaunselor, terapi atau pelakon. Mereka suka meneroka idea dan konsep baharu dan selalunya seorang yang reflektif.

Hasil kajian yang diterbitkan Friedman dalam buku Type A Behaviour: Its Diagnosis and Treatment menjelaskan bahawa mereka yang tergolong dalam individu berpersonaliti Jenis A menghadapi tiga simptom utama dalam kesihatan iaitu pertama, mudah marah walaupun hanya dicetuskan oleh insiden yang kecil, kedua, tidak sabar dan rasa tidak cukup masa dan ketiga, mudah berasa tertekan kerana mempunyai rasa persaingan yang tinggi.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Isu Semasa

MODAL INSAN BERTARAF DUNIA

Oleh Lai Cu Yen

PEMUDA harapan bangsa, pemudi tiang negara, inilah ungkapan yang sering terngiang-ngiang di corong radio dan telinga kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja merupakan generasi wawasan yang akan menerajui pucuk pimpinan negara dan membantu tanah air mengharungi segala pancaroba untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan bertamadun tinggi serta merealisasikan Wawasan 2020.

Modal insan yang berkualiti mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi dan luas. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kerajaan sering menegaskan kepentingan amalan membaca dan menuntut ilmu. Jadi, tidak hairanlah slogan seperti “membaca jambatan ilmu” dan “ilmu pelita hati” sering berkumandnag di corong radio dan terpapar pada media cetak.

Modal insan yang berkualiti mestilah menepati ciri individu yang berpengetahuan luas. Hal ini telah menjelaskan bahawa pengetahuan yang tinggi telah menjadi identiti yang kukuh kepada modal insan yang bertaraf dunia. Ilmu diibaratkan pelita hidup yang mampu membantu kita bersaing dalam pasaran global. Ilmu juga mendorong kita menuju ke arah kemajuan.

Modal insan bertaraf dunia juga sewajarnya memiliki keperibadian yang mulia. Remaja perlu mengamalkan nilai murni, berbudi bahasa, berintegriti, beretika, dan beriltizam tinggi. Remaja yang mempunyai modal insan yang tinggi juga akan menepati masa, mematuhi peraturan, bersifat sabar, selalu menjaga kesihatan mental dan fizikal dan aspek lain.

Modal insan yang berkualiti tinggi juga memiliki ketahanan fizikal dan mental. Ketahanan fizikal dan mental merupakan asas untuk memiliki badan yang sihat dan kuat serta fikiran yang sihat dan positif. Sebagai contoh, modal insan yang sihat mampu menyelesaikan masalah dengan pantas dan cekap kerana mempunyai minda yang berwaspada.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

 

Posted in: Cetusan Pendapat

MALAYSIA TUMPUAN PELANCONG

Oleh Sofea Suhaimi, SMK Bandar T6, Kuala Lumpur.

MALAYSIA kaya dengan pelbagai keunikan. Keunikan ini dilihat mampu menarik pelancong luar untuk bertandang ke negara kita. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk mengekalkan keunikan Malaysia di mata dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana sektor pelancongan merupakan sumber utama yang boleh menambah pendapatan negara.

Faktor utama yang mendorong kemasukan pelancong luar ke negara kita ialah kemudahan pengangkutan yang tersedia. Antara kemudahan pengangkutan yang terdapat di negara kita termasuklah teksi, bas, kereta api, LRT, beca dan kereta kuda. Bagi sesetengah negara luar yang berkembang pesat, negara mereka sudah tidak lagi mempunyai kenderaan tradisional seperti beca dan kereta kuda. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong berlumba-lumba untuk melawat Malaysia kerana mahu merasakan sendiri pengalaman menaiki kereta kuda.

Bentuk muka bumi yang sesuai untuk aktiviti pelancongan juga merupakan faktor yang mampu menarik pelancong untuk melawat negara kita. Malaysia mempunyai pelbagai jenis bentuk muka bumi yang menarik termasuklah tanah tinggi, tanah pamah, pinggiran pantai dan dataran. Kawasan tanah tinggi berpotensi dijadikan sebagai kawasan penanaman tumbuhan berhawa sejuk termasuklah yang dilakukan di Cameron Highlands, Pahang. Selain itu, terdapat juga kawasan yang dijadikan sebagai pusat peranginan dan hiburan seperti di Bukit Fraser dan Genting Highlands. Kawasan tanah pamah pula sesuai didirikan taman tema yang menjadi tarikan pelancong termasuklah Taman Tema Legoland yang telah menarik minat pelancong luar terutama dari Singapura.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat

PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Oleh Mohd. Adam Fazery, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

DALAM era globalisasi ini, pencemaran alam sekitar bukanlah isu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat. Pencemaran alam sekitar bukan sahaja dirasai oleh negara penrindustrian bahkan turut dirasai di seantero dunia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “pencemaran” bererti perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah-sarap dan sebagainya.

Pencemaran alam sekitar dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis, antaranya termasuklah pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah, pencemaran cahaya dan pencemaran bunyi.

Antara penyumbang kepada pencemaran alam sekitar ialah sikap sesetengah individu yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Segelintir individu mencemarkan alam sekitar dengan perbuatan membuang sampah sesuka hati. Contohnya membuang sampah semasa di jalan raya. Perbuatan seperti ini menyebabkan timbulnya rasa tidak selesa kepada pengguna yang lain dan menjejaskan kelestarian alam.

Selain itu, kenderaan bermotor turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kenderaan bermotor termasuklah motosikal, kereta, lori dan jentera sudah tentu menggunakan bahan bakar seperti petrol dan diesel untuk berfungsi. Secara tidak langsung, kenderaan ini membebaskan gas yang berbahaya ke ruang atmosfera bumi.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

Posted in: Cetusan Pendapat

CANAL CRUISE, MADAME TUSSAUD DAN WINDMILL DI KOTA AMSTERDAM

Oleh Mohamad Zuber bin Ismail

KETERUJAAN untuk menjelajah benua Eropah begitu membuak-buak. Memandangkan penulis sudah berada di Frankfurt, lantas penulis membuat keputusan untuk ke negara jirannya, iaitu Amsterdam. Perancangan dari Frankfurt ke Amsterdam berlaku pada saat-saat akhir apabila seorang sahabat dari Malaysia berkunjung ke Jerman. Haupbanhof Frankfurt merupakan perhentian bas utama yang akan dituju penulis untuk ke Amsterdam menggunakan pengangkutan bas kerana lebih murah berbanding kereta api laju. Jika dibandingkan terminal bas di Frankfurt, terminal bas di negara kita nampak lebih tersusun dan sistematik.

Tepat pukul 12.45 tengah hari, penulis bersama-sama rakan bertolak dari Terminal Utama Haupbanhof ke Amsterdam dengan menaiki Fernbus. Pemandu bas memaklumkan bahawa perjalanan dijangka mengambil masa lebih kurang lima jam untuk tiba ke destinasi. Yang menariknya bas dikendalikan oleh seorang pemandu wanita. Nampak tegas dan berprinsip orangnya. Sewaktu berada di dalam bas, penulis mengambil peluang untuk berbual-bual di samping melihat pemandangan di sekeliling. Pelbagai ragam dan gelagat manusia dapat diperhatikan. Selepas 30 minit perjalanan, bas yang dinaiki mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti di pinggir jalan. Penulis terpaksa bertanyakan penumpang lain apa-apa yang berlaku. Komunikasi tidak sukar di sini kerana rata-rata penduduk Jerman boleh berbahasa Inggeris. Walaupun pada peringkat awal, penulis difahamkan mereka agak kurang fasih atau tidak mahu berbahasa Inggeris kerana lebih mengagungkan bahasa ibunda mereka tetapi ternyata sangkaan ini meleset sama sekali.

Hampir sejam penulis tersadai di tepi jalan di pinggir Frankfurt. Sejurus kemudian, penulis dimaklumkan bahawa bas tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan. Penulis dikehendaki kembali semula ke stesen bas utama. Penulis terpaksa berjalan kaki berpatah balik semula ke terminal dengan ditemani seoranag lelaki warga China yang bertugas di Jerman dan seorang pelajar wanita dari universiti di sana sambil berbual-bual kosong. Agak memenatkan. Namun begitu, keadaan cuaca yang agak sejuk sekurang-kurangnya dapat meredakan dan menenangkan perasaan yang berkecamuk ketika itu.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

AKU, KITA, KAMI

Oleh Munsyi Dewan

HARI ini, ada segelintir anak-anak membahasakan dirinya dengan kata ganti diri aku. Ada juga orang kebanyakan menggunakan saya apabila bercakap dengan golongan diraja. Demikian juga, halnya banyak orang menggunakan kata ganti diri kita untuk konteks kami ketika berbahasa.

Sehubungan dengan itu, ruangan ini, pada kali ini, akan membincangkan penggunaan kata ganti diri orang pertama. Ada tiga jenis kata ganti diri dalam bahasa Melayu, iaitu kata ganti diri pertama, kedua dan ketiga, misalnya saya, aku, patik, kami, kita (diri pertama), awak, engkau, kau (diri kedua), dan beliau, ia, dia, mereka (diri ketiga).

Penggunaan kata ganti diri ini berkait rapat dengan faktor sosial. Tiga perkara yang harus diingat dalam konteks penggunaan kata ganti diri ini ialah pertama, faktor status, iaitu orang biasa dengan golongan istana. Yang kedua ialah faktor umur, pangkat dan kekeluargaan; dan yang ketiga, faktor situasi, iaitu formal atau tidak formal.

Dalam bahasa Melayu, kata ganti diri orang pertama bagi orang kebanyakan ialah saya dan aku. Saya ialah bentuk halus atau hormat, sementara aku ialah bentuk kasar. Apabila orang kebanyakan berhubung dengan golongan diraja, dirinya dirujuk sebagai patik, dan golongan diraja dirujuk sebagai tuanku, tunku, tengku dan lain-lain. Golongan diraja pula merujuk dirinya sebagai beta. Namun demikian, pada masa ini, ada golongan diraja (selain raja memerintah) menggunakan kata ganti diri saya sahaja.

Selain itu, saya digunakan dalam situasi rasmi dan formal. Saya juga digunakan oleh orang yang lebih muda kepada orang yang lebih tua, oleh orang yang rendah pangkatnya kepada orang yang lebih tinggi pangkatnya, oleh orang yang hubungan kekeluargaan lebih rendah, misalnya anak kepada ibu bapa dan saudara mara yang lebih tua. Orang yang lebih tua boleh menggunakan aku. Kendatipun begitu, bentuk saya boleh digunakan bagi menggambarkan budi bahasa yang tinggi.

—-

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

FENOMENA HESSDALEN, BATERI BESAR SEMULA JADI

Oleh Azida Ishak

HESSDALEN ialah lembah yang cantik dan terpencil, terletak di selatan tenggara Trondheim di Norway. Kawasannya adalah sepanjang 12 kilometer dan menempatkan sekitar 200 orang penduduk sahaja. Yang menariknya di lembah Hessdalen ini ialah kemunculan cahaya aneh berwarna-warni yang terapung di udara dengan senyap sejak tahun 1940-an lagi. Hal ini menjadi bualan orang ramai bermula tahun 1981 apabila berlaku sesuatu yang luar biasa di Hessdalen.

Pada masa itu, bebola cahaya besar dan cerah akan muncul di atas lembah itu dengan lebih kerap dalam kadar 15 hingga 20 kali seminggu. Ada cahaya akan bergerak di dada langit sehingga dua jam, dan ada yang sekadar memancarkan cahaya putih atau biru yang berjalur dan hilang dalam masa beberapa saat. Kadangkala bebola cahaya itu akan kaku di udara, adakalanya bebola cahaya itu akan bergerak secara terapung-apung, dan kadang-kadang akan melayah dengan laju sekali seperti sedang terbang. Pada waktu siang, bebola cahaya ini akan kelihatan seperti sebuah objek logam di udara, dan ada ketikanya bebola api itu boleh mencecah saiz sebuah kereta. Keadaan ini berlaku setiap malam. Hal ini menjadikan Hessdalen sebagai tempat tumpuan para pelancong yang tertarik untuk menyaksikannya.

Misteri bebola cahaya yang terapung di lembah Norway ini dikenali sebagai Fenomena Hessdalen dan keanehannya telah menarik minat para saintis untuk mengkajinya. Mereka mengkaji sifat bebola cahaya ini dan mendapati bahawa bebola cahaya tidak menghasilkan bunyi atau haba panas, dan tidak meninggalkan kesan bakar pada tanah seperti bebola api. Bebola api akan mensteril kawasan yang didudukinya, menyebabkan bakteria pada tanah mati selepas terkena bebola itu.

Terdapat hipotesis yang mengatakan bahawa bebola cahaya di Hessdalen ini tercipta kerana percikan api yang tercucuh apabila adanya skandium, sejenis unsur yang jarang-jarang ditemui di bumi. Teori ini didapati tidak benar kerana pada kawasan yang mempunyai kandungan skandium yang lebih tinggi, tidak terdapat fenomena bebola cahaya ini. Ada pakar berpendapat bahawa plasma, iaitu kumpulan gas neutral makroskop yang terion sepenuhnya dan memberi kesan fizik secara kolektif, bersifat konduksi, peka kepada medan elektrik dan magnet, serta digunakan sebagai sumber tenaga dan sinaran telah terbentuk dan menghasilkan cahaya itu. Keadaan ini berlaku apabila gas mengion ini membentuk awan yang terdiri daripada ion dan elektron atau plasma yang akan menghasilkan cahaya. Sifat cahaya daripada plasma bersamaan dengan bebola cahaya itu, iaitu tidak panas, boleh disentuh dengan tangan dan akan membunuh mikrob. Walau bagaimanapun teori ini ditolak kerana penghasilan plasma memerlukan suhu yang sangat tinggi dan tenaga yang banyak, manakala bebola cahaya di lembah Hessdalen tidak memerlukannya.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)

PENYUNTINGAN DALAM PENGHASILAN CERPEN

Oleh Mawar Safei

SETIAP kali membincangkan isu pengulangan atau kelewahan dalam penulisan cerpen, pengalaman Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, selalu dibawakan sebagai contoh terbaik. Kecenderungannya mengulang-ulang perkataan, ayat atau frasa, dianggap sebagai gaya bahasa, gaya penyampaian malah akhirnya diterima sebagai idiosinkrasi Shahnon Ahmad.

Namun begitu, membaca cerpen yang dihasilkan penulis muda dengan banyaknya pengulangan, dilihat sebagai hasil kerja yang kurang dirapikan. Membaca cerpen kali ini berjudul “Patih dalam Lumpur” oleh Ramilah Rahim, menemukan banyak pengulangan dan pengulangan. Hal ini dipercayai akibat daripada kurangnya ruang yang diberikan kepada cerpen ini untuk diperhalusi dengan lebih teliti.

Perenggan pertama cerpen ini sejak awal menunjukkan banyaknya pengulangan kata “rumput”. Begitu juga dengan pengulangan “aku” atau “ku” yang bertimpa-timpa dalam cerpen ini. Misalnya, Aku merintih, badanku sangat sarat dengan lumpur paya, sementara itu temanku meninggalkan aku sendirian dalam paya itu.

(Rencana ini dipetik daripada Dewan Siswa Oktober 2015)