Home » 2015 » December (Page 2)

Layu Mental Jejas Produktiviti Remaja

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

INDIVIDU yang memiliki mental yang sihat mampu melakukan apa-apa sahaja dengan baik, malah akan menjadi lebih baik apabila disokong oleh keadaan fizikal yang juga sihat. Kombinasi keadaan fizikal dan mental yang sihat dan tenang akan mampu membuahkan hasil dalam bentuk kejayaan yang menyeronokkan kepada diri sendiri dan juga orang lain yang dekat dengan kita. Kesihatan fizikal yang baik mampu merangsang keupayaan otak dan fikiran serta menjana kesihatan mental yang juga baik, hasilnya produktiviti seseorang itu akan meningkat dan seterusnya mencapai kejayaan yang diidamkan.

Hal ini menjelaskan bahawa, kesihatan mental amat penting dalam proses peningkatan produktiviti seseorang. Walau apa-apa sahaja bidang yang kita tekuni, sama ada sebagai seorang pelajar ataupun sebagai seorang yang berkerjaya, kesihatan mental perlu sentiasa dibelai sebaik-baiknya agar sentiasa mampu memberi idea dan buah fikiran yang bernas sesuai dengan bidang kita. Kepentingan kesihatan mental sering diperkatakan oleh pakar kesihatan dan pemakanan. Walau bagaimanapun tumpuan orang ramai terhadap penjagaan kesihatan mental sering dikesampingkan. Banyak antara kita lebih berminat untuk mengetahui rahsia menjaga kesihatan fizikal dan menjalankan aktiviti bercorak fizikal yang mampu menyerlahkan kemantapan saiz badan dan rupa paras yang baik daripada memberi perhatian kepada penjagaan emosi dan kesihatan mental.

Pada tahun 2010, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan bahawa berlaku peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia. Menurut laporan tersebut, sebanyak 400 227 orang pesakit mental telah dikenal pasti di Malaysia. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 15.6 peratus daripada tahun sebelumnya. Jika diteliti, statistik ini merupakan satu angka yang amat membimbangkan. Jumlah ini sebenarnya boleh dikurangkan jika pesakit atau keluarga terdekat dengan pesakit mendapatkan rawatan pesakit mental lebih awal. Kebanyakan pesakit yang termasuk dalam statistik ini merupakan kumpulan pesakit mental yang masih boleh diatasi dan diubati jika diberi perhatian lebih awal oleh doktor yang berkaitan.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Fokus

Sejambak Harapan Buat Sahabat

Oleh Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid

KAMU mematikan panggilan telefon itu dengan salam sebagai ucapan terakhir. Dalam setiap degup jantung Kamu, kencang dengan ucapan kesyukuran. Betapa murahnya rezeki Kamu. Kamu bagai bermimpi, sebenarnya realiti. Kamu benar-benar tidak sangka. Insan mentah seperti Kamu, berjaya dalam temu duga itu. Sedangkan ketika sesi temu duga tempoh hari, Kamulah yang paling muda. Kamulah yang tampak paling tidak berhak dengan tawaran syarikat itu.

Syarikat gergasi tersebut, menawarkan hadiah yang sangat lumayan. Sepuluh orang penulis muda akan dibawa mengembara di Kota Eropah. Ditanggung sepenuhnya oleh pihak mereka. Dengan syarat, segala saringan berjaya dilalui peserta. Penulisan sebagai tonggaknya. Peserta lain, jauh lebih hebat. Jauh lebih berbakat dan jauh lebih berpengalaman daripada Kamu. Kamu ada apa? Sekadar satu dua cerpen dan puisi picisan yang tidak seberapa, idea tidak matang dan tercungap-cungap mencari mutu dan kualiti untuk karya sendiri.

Kamu meneliti e-mel yang diterima. Semua maklumat tentang tarikh penerbangan, keperluan, dan syarat yang perlu Kamu patuhi tertera dalam e-mel itu. Kamu disuruh membawa pakaian yang bersesuaian dengan cuaca. Katanya, di sana sudah hampir memasuki musim bunga. Cuma suhu masih belum stabil. Sekitar satu angka sahaja. Kamu gembira, pertama kali Kamu akan berpeluang ke luar negara. Pertama kali, Kamu akan merasai cuaca sejuk yang tiada di negara khatulistiwa yang dicintai ini.

—-

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Pintu ke Neraka

Oleh Nor Azida Ishak

DI sebuah perkampungan kecil bernama Darvaza yang terletak lebih kurang 260 kilometer dari utara Ashgabat, ibu negeri Turkmenistan, terdapat sebuah fenomena menakjubkan yang digelar dalam kalangan penduduk tempatan sebagai “Pintu ke Neraka” (Door to Hell). Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sebuah kawah yang telah melahirkan api yang marak menyala bermula sejak 44 tahun yang lampau, dan menariknya, kawah ini masih lagi terbakar tanpa henti sehingga hari ini.

Bagaimanakah kejadian ini berlaku? Pada tahun 1971, sekumpulan ahli geologi Soviet telah menjelajah ke sekitar Gurun Karakum untuk emncari kawasan yang mempunyai takungan minyak di bawah tanah. Kerja penggerudian bermula apabila mereka menemui sebuah kawasan medan minyak yang luas. Malang sekali, tapak itu berkedudukan di atas lohong gas asli bawah tanah yang sangat dalam, dan tanah di situ tidak mampu untuk menampung berat peralatan mereka. Tapak itu runtuh dan menelan bersama-sama kesemua peralatan penggalian mereka, dan pada masa yang sama turut mencetuskan runtuhan kecil di kawasan berdekatan.

Maka, terciptalah kawah-kawah baharu di Gurun Karakum akibat kejadian itu. Kawah Darvaza atau dikenali “Pintu ke Neraka” itu bersaiz paling besar dengan ukuran sekitar 225 kaki (69 meter) lebar dan 65 kaki (30 meter) dalam. Tiada sesiapa yang cedera semasa kejadian itu berlaku. Namun begitu, bahaya bermula apabila gas asli terbebas dari lohong itu. Gas asli mengandungi unsur bahan metana yang tdiak toksik, namun gas asli ini mudah menggantikan oksigen dalam udara sehingga menyebabkan manusia dna ahiwan berdekatan Gurun Karakum sukar bernafas, malah boleh menyebabkan kematian. Gas asli juga sangat berbahaya kerana keupayaan boleh bakarnya dengan kehadiran metana sebanyak 5 peratus dalam udara boleh menyebabkan letupan besar berlaku.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Tenang Menghadapi Peperiksaan

Oleh Farah Alia Suraya Azman

PEPERIKSAAN merupakan suatu kaedah paling berkesan untuk menilai prestasi, tahap kecerdasan berfikir juga hasil yang dapat dirumuskan setelah pelajar melalui pembelajaran yang panjang. Keputusan peperiksaan dinilai berdasarkan banyaknya usaha dan daya juang pelajar dalam mendalami ilmu, memahami seterusnya mengadaptasi ilmu tersebut. Kebanyakan pelajar yang cemerlang terserlah kerana hasil usaha dan kerajinan mereka sendiri, juga sokongan orang di sekeliling sebagai pemangkin semangat.

Setiap kali musim peperiksaan besar biasanya pelajar akan menghadapi stres, begitu juga para ibu bapa. Ibu bapa digalakkan mengambil langkah awal dengan memberikan sokongan dan nasihat serta menghantar anak-anak ke pusat tuisyen supaya mereka boleh memahami pelajaran yang sukar difahami.

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan dalam menangani stres ketika menghadapi peperiksaan. Sebenarnya getaran minda ibu bapa dapat dirasai anak-anak. Ibu bapa disarankan tidak mengangkong pergerakan mereka sebaliknya memberi ruang agar mereka mengulang kaji pada waktu yang sesuai dengan cara yang mereka gemari. Doa ibu bapa amatlah mustajab, mengerjakan solat hajat dan membaca al-Quran dapat menenangkan jiwa anak. Ibu bapa perlu memperbanyakkan amalan bersedekah dan membuat kerja kebajikan kerana mpaknya akan dirasai oleh anak-anak.

Jika kita sering berdampingan dengan anak sewaktu di rumah, mereka dapat mengulang kaji dengan baik kerana ada sokongan ibu bapa. Perkataan dan nasihat positif seperti jangan lalai, jangan kelam kabut, berdoa dahulu, jawab dengan tenang dan cermat serta berselawat kepada nabi adalah kata-kata yang mendamaikan si anak malah mendorongnya membuat yang terbaik. Restu ibu bapa dan para guru merupakan motivasi pencetus kejayaan mereka.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

 

Posted in: Cetusan Pendapat

Aku tak Bisa Terbang

Oleh Jasman Bandar

Aku tak bisa terbang

aku tak punya sayap untuk terbang

aku tak punya daya upaya untuk terbang

aku hanya mampu berbuat sesuatu pada jalan realiti

bergerak dengan usahaku sendiri

berjalan di kaki kenyataan

bukan pada sayap fantasi

yang membuatkan jiwa dan jasad manusia seperti terbang

melayang-layang di udara dan terbang hingga tersesat sendiri.

(Petikan puisi daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Puisi Siswa

Wadah Perjuangan Prinsip

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

KITA amati kembali makna dua perkara ini. Pertama makna puisi yang merujuk karangan yang indah, ditulis menggunakan kata yang indah, bermaksud indah serta memberi kebaikan kepada pembaca.

Kedua makna prinsip. Prinsip dengan kata mudah “ialah nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang”. Saranan untuk membuat kebaikan atau berusaha untuk berubah, antara perjuangan yang dititipkan oleh penulis.

Sebagai wadah yang memberi manfaat, sajak kerap menyalurkan prinsip penulisnya. Tujuannya adalah untuk membimbing serta menyuntikkan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pembaca.

Selaras dengan itu, amat tepat apabila penulis memperjuangkan prinsipnya untuk diteladani oleh penikmat sastera.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Ulasan Puisi

Cinta atau Rindu

Oleh Wan Nurliyana Irmanisa Wan Rustam

Jiwa ini

getarnya makin kencang

cintakah

rindukah

getaran itu seakan laju

sesak dadaku

biarkan saja.

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Puisi Siswa

Angka

Oleh Amirul Ariffi Hamzah

Dengan angka menjadi fobia

satu, dua, tiga sehingga beribu-ribu

beribu-ribu menjadi satu

dan satunya pula setengah cuma.

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Puisi Siswa

Perkembangan dan Kemajuan Awal Kuala Lumpur

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim

KUALA LUMPUR asalnya merupakan sebuah tapak yang berhutan paya, yang akhirnya berkembang menjadi sebuah bandar yang maju dari pelbagai sektor. Era kegemilangannya Kuala Lumpur hanya pada tahun 1880-an, apabila muncul sebagai ibu negeri Selangor, iaitu apabila British memindahkan pusat pentadbirannya dari Kelang pada Mac 1880.

“Kuala berlumpur” merupakan nama atau maksudnya bagi Kuala Lumpur yang terletak di antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Sejarah asal kepada terbentuknya Kuala Lumpur bermula apabila sebuah kawasan perlombongan bijih timah di Lembah Klang dibuka oleh Raja Abdullah. Beliau dibantu oleh Raja Jumaat dari Lukut dan pelombong Cina. Sejak itu Kuala Lumpur berkembang. Lombong banyak dibuka disebabkan hasil buminya. Lombong ini kemudiannya berkembang menjadi sebuah kawasan perdagangan yang semakin diterima sebagai bandar sempadan.

Kuala Lumpur yang pada asalnya merupakan sebuah kawasan yang kecil telah berkembang menjadi sebuah bandar yang pesat. Hal ini berlaku kerana jumlah penduduknya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pertambahan jumlah penduduk ini membawa kepada bertambahnya juga jumlah rumah dan petempatan yang dibina secara berdekatan. Keadaan ini dinamakan kawasan setinggan. Migrasi penduduk ke Kuala Lumpur ini disebabkan aktiviti mencari pekerjaan yang banyak terdapat di kawasan ini yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi mereka. Perkembangan penduduk yang menekan dan padat ini dianggarkan seramai 2272 orang untuk satu batu persegi pada tahun 1895 dan jumlah ini seterusnya meningkat kepada 2909 orang untuk satu batu persegi pada tahun 1901.

Menjelang Perang Dunia Pertama, penduduk di Kuala Lumpur telah mencecah seramai 58 000 orang. Pertambahan penduduk yang pesat ini membawa kepada perkembangan bandar Kuala Lumpur. Kepadatan penduduk yang tinggi ini menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap keperluan bekalan makanan. Hal ini mendorong pembukaan kawasan pertanian di lembah Ampang dan Setapak.

Pada mulanya Kuala Lumpur tidak berkembang pesat disebabkan beberapa faktor seperti bentuk muka bumi yang tidak rata dan berpaya. Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila Perang Saudara yang tercetus akibat daripada persengketaan putera Selangor ke atas keuntungan perlombongan bijih timah yang telah meragut banyak nyawa. Namun begitu, keadaan ini tidak menghalang kepada perkembangan pesatnya apabila Yap Ah Loy pada ketika itu diberi tanggungjawab oleh British untuk membangunkan Kuala Lumpur yang telah musnah akibat Perang Saudara tersebut. Yap Ah Loy merupakan kapitan Cina berketurunan Hakka ketiga dan berada di Kuala Lumpur antara tahun 1868 hingga 1885. Beliau yang datang ke Tanah Melayu dari China mula mengusahakan kegiatan ekonomi perlombongan di Kuala Lumpur.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Arkib Negara

Topeng Diri

Oleh Nurul Ain Rosmi

Adakah kamu menutup dirimu

dengan topeng mukamu?

Hanya untuk mencari perhatian?

Menyembunyi dirimu yang sebenar

daripada dunia?

Menukar personaliti dirimu hanya

menyangka yang kamu akan

mendapat kelebihan?

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Disember 2015)

Posted in: Puisi Siswa