Home » 2016 » January

APA-APA, MANA-MANA, SIAPA-SIAPA

Oleh Munsi Dewan

APA, mana dan siapa ialah tiga kata ganti nama diri tanya (selepas ini kata tanya) bahasa Melayu. Apa merujuk benda atau perkara, mana merujuk benda atau orang, dan siapa merujuk orang. Kekadang ketiga-tiga perkataan ini boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud sesuatu rujukan. Apa menjadi apa-apa, mana menjadi mana-mana dan siapa menjadi siapa-siapa(sesiapa).

Semua kata tanya yang digandakan itu mempunyai satu persamaan antara sesamanya. Kata tanya yang digandakan itu membawa erti bahawa dalam kalangan objek yang dirujukkan oleh pengucap, tidak ada satu yang dikhususkan. Apabila objek yang dirujuk itu bukan benda atau orang, maka apa-apalah yang digunakan. Sebagai contoh, kita memberikan pilihan yang seluas-luasnya apabila kita berkata:

1. “Ambillah apa-apa yang kamu suka.”

2. “Apa-apa sahaja yang melintas di hadapannya akan musnah.”

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

KAMUS DEWAN – Kendong Kendung

Oleh Munsyi Dewan

KENDONG dan kendung, dua perkataan yang hampir sebunyi (homofon). Perbezaan bunyi kedua-duanya terletak pada kelainan huruf vokal yang menjadi penanda sebutan suku kata akhir tertutup perkataan yang berkenaan, iaitu perbezaan bunyi vokal “u” dengan vokal “o”, serta “e” taling dengan “e” pepet. Suku kata pertama dan kedua perkataan kendong ditandai oleh vokal “e” taling dan vokal “o”, manakala perkataan kendung pula bunyi suku katanya ditandai oleh huruf vokal “e” pepet dan vokal “u”.

Menurut sistem keselarasan vokal bahasa Melayu, jika huruf vokal dalam suku kata praakhir sesuatu perkataan itu vokal “e” taling, maka keselarasan vokal yang harus terjadi ialah vokal dalam suku kata akhirnya iaitu vokal “o”. Contohnya perkataan bengkok, lencong, serong, tekong, kelong, kelentong, telempong dan sebagainya.

Sebaliknya, jika suku kata praakhir sesuatu perkataan ditandai oleh vokal “e” pepet, maka huruf vokal dalam suku kata akhirnya ialah vokal “u”. Contohnya bendung, kendung, kembung, rentung, pekung, telekung dan seumpamanya.

Kedua-duanya (kendong dan kendung) juga daripada golongan kata yang berbeza, iaitu perkataan kendong daripada golongan kata kerja manakala perkataan kendung daripada golongan kata nama.

Apakah maksud kendong dan kendung? Kendong bererti membawa barang dengan dibungkus di dalam kain sarung atau sapu tangan. Kata nama kendung ialah nama sejenis pokok yang nama saintifiknya dikenal sebagai symplocos laurina. Kulit batang pokok ini sungguh baik digunakan untuk menguatkan warna merah pada kain supaya tahan lama warnanya.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

 

Membenih Pemikiran Mengimbangi Perasaan

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

Alhamdulillah, seorang daripada penulis muda yang kreatif dan beriltizam tinggi baru-baru ini mencipta sejarah sastera tanah air. Muzaf Ahmad yang sering berkarya di sini, terpilih sebagai seorang daripada lima orang pemenang utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014. Kumpulan puisi beliau “Jaulah Sampai Syurga” memperoleh RM10,000.00.

Sesungguhnya, kejayaan ini berupaya menggugah kreativiti serta mencabar semangat berdaya saing penulis muda yang lain.

Sajak-sajak untuk bulan pertama 2016 ini menampilkan mutu dan kreativiti yang memberangsangkan. Penulis bijak menyaring episod yang dekat dengan diri mereka, namun terbaik untuk menitipkan manfaat kepada pembaca.

Pengalaman peribadi diolah dalam puisi yang seni memang menggelodak perasaan, namun tetap berimbang.

Sajak “Dari Kota ke Desa” mentafsirkan kehidupan ini kian penuh dengan kerakusan. Di kota hingga ke desa manusia mementingkan keduniaan.

Kesimpulannya, penulis menitipkan fikiran waras agar kita tidak berputus harap malah tetap optimis. Katanya;

Berdoalah agar tumbuh subur

benih-benih kesedaran

biar rendang membuahi telunjuk

santapan akhir zaman.

(Rencana dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

Dalam Persaingan Ini

Oleh Aladin Mohamad

Dalam persaingan ini

pasti ada yang kecundang.

Yang mecundang

mestilah teruskan perjuangan

kemenangan pasti menjelang

masa-masa mendatang.

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Khas

Kertas Putih

Oleh Azril Yusof

Tika mata pena itu mula rapuh,

sutera dewangga mula bercorak,

simbahan dusta mula tempias.

Pena bulat,

pena runcing.

 Tika kesungguhan dicantas dipintas,

kadang kekhusyukan ditampar disergah,

lalu ketabahan dinodai dipersendakan,

namun jiwa tetap utuh menyalut raga.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Khas

Hargai Masa

Oleh Pena Mutiara

Cintai masa semasa belajar,

baru cita-cita dapat dikejar.

Manfaatkan masa ketika bekerja,

nanti berkat duit belanja.

Hargai masa semasa sihat,

sebelum sakit hendaklah ingat.

Manfaatkan masa sebelum susah, 

banyakkan usaha dan amalan ibadah.

Hargai masa ketika senang,

gigih bekerja pagi petang.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Khas

SEKOLAH SATU ALIRAN HARMONIKAN KAUM

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

Menyatukan ahli masyarakat dari pelbagai kaum agar mampu mempunyai nilai, cara hidup, budi dan rasa cinta pada negara yang sama adalah satu tugas yang mencabar. Sebagai sebuah negara yang didiami oleh ahli masyarakat dari pelbagai kaum, agama dan keturunan seperti Malaysia, amat memerlukan satu formula hebat dan berkesan untuk melahirkan satu kumpulan ahli masyarakat yang mempunyai rasa cinta yang tinggi kepada negara. Pihak yang berwajib seperti kerajaan dan ahli masyarakat keseluruhannya perlu mempunyai satu rangka dasar yang jelas bagi merealisasikan hasrat menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Salah satu cadangan yang sering diutarakan oleh pelbagai pihak adalah dengan mewujudkan sekolah satu aliran. Institusi pendidikan seperti sekolah dilihat sebagai salah satu tempat yang berkesan bagi semua pihak untuk memupuk nilai patriotisme kepada para pelajar. Para pelajar dari peringkat usia muda mampu diberi tunjuk ajar yang baik tentang nilai hidup kebersamaan dalam sebuah negara majmuk.

Ahli akademik seperti Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya merupakan salah seorang yang sering mencadangkan melalui tulisannya di surat khabar dan majalah berkaitan kepentingan sekolah satu aliran. Beliau tanpa jemu berkali-kali mencadangkan agar sistem pendidikan di Malaysia diseragamkan dalam erti kata yang sebenar. Iaitu satu konsep pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar, bahan pengajaran, sukatan mata pelajaran dan teknik pengajaran yang sama di semua sekolah di Malaysia. Konsep sekolah satu aliran perlu diterapkan kepada semua sekolah peringkat rendah dan menengah di Malaysia.

Satu-satunya tempat yang berupaya menerapkan pelbagai nilai positif kepada kumpulan sasaran ini ialah sekolah. Pada usia yang muda, pelajar akan lebih memahami nilai terbaik yang perlu ada dalam sanubari masing-masing terutama berkaitan perbezaan nilai yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Selaras dengan matlamat asas pendidikan di Malaysia yang dinyatakan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa sistem pendidikan di Malaysia bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita telah mempunyai hal tuju yang betul dalam proses pembentukan masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara harmoni. Perlaksanaan sistem ppendidikan yang diguna pakai sejak awal kemerdekaan hingga kini telah berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Fokus

Kawah Ijen-Gunung Berapi Biru

Oleh Nor Azida Ishak

Di perbatasan antara Kabupaten Banyuwangi dan Kabupaten Bondowoso di Pulau Jawa Timur Indonesia, terdapat sebuah gunung berapi aktif yang sangat unik iaitu Gunung Ijen. Gunung ini berketinggian 2,443 meter dan pernah meletus beberapa kali, kali terakhir pada tahun 1999. Salah satu fenomena alam yang paling terkenal di Gunung Ijen ialah kawah yang terletak di puncaknya. Kawah ini diberi nama Kawah Ijen, mempunyai kedalaman danau 200 meter dan merupakan danau terbesar di Pulau Jawa.

Kawah Ijen juga dikenali sebagai tempat takungan air terbesar di dunia yang mengandungi asid hidroklorik. Asid hidroklorik ini terhasil daripada tindak balas gas hidrogen klorida yang datang dari gunung berapi itu bersama-sama molekul air di dalam danau ini. Kandungan asid hidroklorik menjadikan air Kawah Ijen itu berwarna hijau firus dan mempunyai kepekatan asid hidroklorik yang sangat tinggi, iaitu pada pH menghampiri 0.

Kawah Ijen mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana berlakunya fenomena api biru pada waktu malam setiap hari. Cahaya biru ini dapat dilihat mengalir keluar dari Gunung Ijen, sehingga ramai yang membuat tanggapan bahawa cahaya ini datangnya daripada lahar (lumpur panas yang mengalir keluar) dari gunung itu. Namun anggapan ini tidak benar kerana lahar atau leburan batuan dari Gunung Ijen tidak berbeza warnanya dengan lahar dari gunung berapi lain. Kesemua lahar akan mempunyai kandungan mineral yang berbeza, tetapi warnanya tetap merah terang atau jingga dalam keadaan lebur, dan ini juga berlaku terhadap Gunung Ijen.

Saintis mendapati bahawa fenomena api biru itu terhasil akibat pembakarangas sulfur di sekitar Kawah Ijen. Cahaya biru di kawasan gunung berapi sangat sukar untuk berlaku, tetapi fenomena ini berlaku di Kawah Ijen disebabkan kuantiti gas sulfur yang luar biasa banyaknya. Kehadiran molekul oksigen dalam udara berserta dengan cucuhan api dari lahar panas itu, membuatkan sulfur ini membakar dengan sempurna untuk menghasilkan api berwarna biru.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Perangi Sikap Individualistik

Oleh Farah Alia Suraya Azman

Proses mendidik sikap manusia dengan moral yang baik bermula dari kanak-kanak lagi. Pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat iaitu pengisian rohani, jasmani, emosi dan intelek. Seluruh tindak-tanduk mereka pasti memberi impak, sama ada positif atau negatif terhadap kehidupan manusia lainnya.

Bagaimanapun, untuk menjadi insan yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan negaranya kian terhakis akibat sikap individualistik dan kebendaan banyak peristiwa besar melanda negara boleh dijadikan iktibar. Kerakusan sebahagian kita terlalu mengejar harta, pangkat dan kedudukan menyebabkan nilai-nilai kemanusiaan sudah tidak bererti malah kebobrokan iman telah melanda umat Islam pada masa kini.

Tragedi melanda negara contohnya tragedi banjir lumpur yang melanda tanah tinggi Cameron Highlands. Peneroka-peneroka haram sesuka hati meneroka tanah untuk pertanian tanpa mengambil kira faktor keselamatan penghuni di sekitarnya. Tragedi ini berlaku kerana pihak penguat kuasa tidak bertugas malah bersekongkol asalkan mendapat keuntungan lumayan. Hal ini telah memusnahkan pasak-pasak bumi yang selama ini menjadi benteng penduduk daripada sebarang bencana. Sikap individualistik jelas tergambar hingga mengorbankan nyawa manusia lain selain merugikan masa depan generasi akan datang.

—-

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Cetusan Pendapat

Kemaslahatan Internet

Oleh Khalida Khalid

Umum mengetahui kemudahan internet meraih sambutan hangat daripada masyarakat di seantero dunia. Kenyataan ini diperkukuh lagi apabila terdapat 42 juta pengguna internet di Asia dan angka itu dijangka terus meningkat, malahan kemudahan tersebut dianggap antara penemuan paling agung dalam abad ini. Dalam pada itu, kemaraan dunia teknologi internet ini telah meninggalkan impak yang major kepada masyarakat sejagat tidak kira dari sudut pandangan negatif mahupun positif. Kelazimannya, generasi Y yang mempunyai mentaliti yang masih mentah itu sayogianya mengambil impak bersudut positif sahaja. Tetapi sejauh manakah penggunaan prasarana ini memberi manfaat kepada penggunanya? Tepuk dada tanya selera.

Internet merupakan faktor perdana untuk mewujudkan masyarakat berilmu. Selain itu, penggunaan internet yang pantas dan cepat juga menjadikan prasarana ini pilihan masyarakt untuk menjengah maklumat terkini secara global dengan menggunakan hujung jari sahaja. Hal ini demikian mendorong masyarakat menggunakan internet secara tunjang utama bagi mengintensifkan inisiatif untuk mempromosikan perniagaan mereka. Melalui internet ungkapan bagaikan “kata di bawah tempurung” tidak lagi relevan digunakan sebagai alasan bagi menggambarkan masyarakat yang kurang berilmu. Jelaslah internet merupakan faktor perdana untuk mewujudkan masyarakat berilmu, seperti ungkapan Plato yang berbunyi “… arah bermulanya pendidikan seseorang akan menjadi penentu masa hadapannya.”

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Cetusan Pendapat