Home » 2016 » January (Page 2)

Sekolah Penyayang

Oleh Choo Pei Yee

“Sekolah Penyayang” bermaksud sekolah sebagai “rumah kedua” kepada pelajar. Sekolah merupakan tempat khas pelajar yang membolehkan mereka berasa diterima dan dilayan dengan baik. Bagaimanakah pihak sekolah dapat menzahirkan konsep “Sekolah Penyayang”?

Salah satu cara untuk menzahirkan sekolah penyayang ialah tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak sekolah termasuklah guru. Guru yang bertanggungjawab mestilah sentiasa memberikan nasihat kepada  pelajar terutama pelajar yang menghadapi masalah, terutamanya masalah pelajaran. Apabila seseorang pelajar yang bermasalah mendapat bimbingan yang baik daripada guru, perasaan kasih terhadap sekolah akan wujud dalam lubuk sanubarinya.

Selain itu, kurikulum di sekolah dapat memupuk perasaan penyayang dalam kalangan warga sekolah. Kurikulum sekolah perlu menekankan nilai masyarakat melalui mata pelajaran Pengetahuan Moral, Pendidikan Islam dan KOMSAS. Nilai kemanusiaan ataupun masyarakat seperti bantu-membantu, bertolak ansur dan bertimbang rasa dapat dipupuk.

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa 2016)

Posted in: Cetusan Pendapat

Azam Baharu

Oleh Amirah Syazwani Baderol Sham

Tahun baharu 2016 yang menjengah membawa bersama seribu harapan dan impian kepada setiap yang bergelar insan. Betapa pantasnya masa berlalu sehingga 2015 telah melabuhkan tirainya seperti mana kata pepatah “waktu umpama sayap, kalau tak ditangkap ia akan lesap”. Kedatangan tahun baharu seolah-olah tidak lengkap tanpa soalan “apakah azam tahun baharu anda”? Ibaratnya setiap orang harus atau wajib mempunyai azam setiap kali menyambut tahun baharu. Fenomena ini berlaku kerana dewasa ini manusia meletakkan tempoh atau jangka masa tertentu untuk mencapai sesuatu yang diimpikan dalam kehidupan mereka.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, azam ialah kemahuan (keinginan; cita-cita dan sebagainya) sangat kuat, tujuan (yang sesungguhnya). Perkataan azam ini juga turut digunakan dalam bahasa Arab. Kamus Bahasa Fiqh menyatakan azam bermaksud tetap dan teguh manakala Kamus Asas Bahasa Arab bererti niat dan bersungguh-sungguh. Kedua-dua definisi dalam bahasa Arab ini membawa maksud yang hampir sama seperti mana dalam bahasa Melayu yang menjelaskan lagi perkaitan yang erat antara kedua-dua bahasa tersebut.

Pakar motivasi terkenal, Dr. H.M Tuah Iskandar pula menyebut dalam Islam, azam dirujuk sebagai niat. Menurut beliau, niat yang kukuh akan meledakkan diri kita untuk mencapai azam dengan kesungguhan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Cetusan Pendapat

MANDI MENINGKATKAN SISTEM IMUNISASI BADAN

Oleh Salleh Hashim

Seorang lelaki dari Iran bernama Amou Haji tidak pernah mandi selama 60 tahun. Amou Haji berusia 80 tahun tinggal di sebuah gua di desa Dejgah, di wilayah selatan Iran. Dalam bahasa Parsi, “Amou” biasa digunakan anak-anak dan wanita untuk menunjukkan rasa sayang. Bukan hanya tidak pernah mandi, gaya hidup Amou sehari-hari juga boleh dikatakan aneh untuk kebanyakan orang. Dia menggunakan kotoran haiwan sebagai pengganti tembakau rokoknya dan tidak kekok memakan bangkai, khususnya landak. Demikian dilaporkan harian Tehran Times, Khamis (16/1/2014). Mengapakah Amou tidak pernah mandi? Menurut keyakinannya, mandi dan menjadi bersih akan membawa penyakit kepada tubuhnya. Suatu ketika sekumpulan pemuda setempat cuba memandikannya, namun Amou melarikan diri. Amou memiliki beberapa buah tempat tinggal, iaitu sebuah gua yang juga berfungsi sebagai sebuah makam. Tempat tinggal keduanya merupakan sebuah gubuk yang dibangunkan oleh mereka yang bersimpati kepada Amou. Meski tidak mandi, Amou sesekali terlihat merapikan janggut dan jambangnya. Dia juga memiliki sebuah cermin sisi kereta untuk keperluan ini. Keunikan Amou yang 60 tahun tidak mandi ini mengalahkan rekod tidak mandi yang sebelumnya dipegang seorang lelaki India, Kailash Singh. Lelaki berusia 66 tahun itu mengaku tidak mandi selama 38 tahun.

Apakah kepentingan mandi kepada tubuh? Bagaimanakah mandi membantu remaja membesar dengan baik? Mandi bermaksud mencuci (membasuh)) tubuh dengan air. Jika seseorang dipenuhi peluh disebut mandi peluh. Dalam bidang keagamaan pula mandi bermaksud menyiram dengan air suci (menurut ajaran agama Kristian), manakala memandikan jasad seseorang yang telah meninggal oleh mereka yangmasih hidup dalam aturan hidup umat Islam dikenali sebagai mandi jenazah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016).

Posted in: Uncategorized

Tulis Azam Tahun Baharu dengan Jelas

Oleh Osman Affan

SYUKUR, tahun baharu bermula lagi. Apabila tahun baharu sudah bermula, topik paling hnagat yang sering diperkatakan ialah berkenaan azam tahun baharu. Bagaimana dengan anda? Sudah ada azam tahun baharu yang jelas? Jika azam tahun baharu sudah ada, soalan paling besar yang perlu anda fikirkan ialah bagaimana untuk benar-benar mencapainya tahun ini?

Kali ini kita akan melihat konsep azam tahun baharu daripada satu sudut yang sedikit berbeza. Mari kita lihat dan fikirkan tentang rahsia dalam menjadikan azam tahun baharu sebagai satu realiti. Maksudnya, jika anda merupakan seorang pelajar yang berazam untuk mendapat gred A dalam semua subjek pada tahun ini, apakah rahsia mencapai azam yang perlu anda tahu? Apakah yang perlu anda lakukan agar harapan ini benar-benar menjadi kenyataan?

Baiklah. Banyak buku psikologi dan rahsia kejayaan membincangkan mengenai rahsia dan perkara penting yang perlu dilakukan agar kita mampu menjadikan azam kita satu realiti. Di sini, dikongsi satu rahsia terbesar daripada perkara tersebut.

 Rahsia terbesar dalam mencapai azam tahun baharu ialah apa-apa sahaja azam yang mahu dicapai mestilah sangat jelas. Kebanyakan azam yang dimiliki oleh pelajar mahupun orang dewasa selalunya kurang jelas dan sukar dipastikan apakah maksud sebenar azam tahun baharu tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Uncategorized

Muzium, Masyarakat dan Kesedaran Sosial

Oleh Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli

Hollywood serta filem yang dihasilkan sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dari segenap lapisan melepasi batasan sempadan negara dan benua. Pendek kata dunia sebenarnya telah ditawan oleh Hollywood menerusi produk budaya yang dihasilkan menerusi koleksi filem yang rata-ratanya bertaraf “box office” atau “pecah panggung”. Salah satu daripada filem terbitan Hollywood yang turut menduduki kategori pecah panggung ialah filem fantasi komedi Night At The Museum lakonan Ben Stiller yang membawa pulangan untung kasar sebanyak RM574 juta hasil tayangannya di seluruh dunia.

Filem yang diadaptasi daripada komik keluaran tahun 1993 karya Milan Trenc itu sebenarnya telah memberikan satu pendekatan baru khususnya dalam melihat muzium dari aspek pembelajaran selain daripada hiburan. Jika diamati filem Night At The Museum sebenarnya telah membawa seluruh masyarakat dunia khususnya penonton mengenali Amerika Syarikat secara tidak langsung. Hal ini disebabkan penggambaran yang dilakukan dengan menggunakan set American Museum of Natural History yang terletak di New York itu telah memasukkan unsur-unsur yang membentuk Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang tertubuh sejak abad ke-17.

Menerusi paparan watak Presiden Amerika Syarikat ke-26 iaitu Theodore Roosevelt (1901-1909), Attila The Hun, flora dan fauna yang membentuk dewan pameran Afrika serta zaman awal Amerika Syarikat yang melibatkan pembangunan, penduduk, guna tanah dan pasaran serta kewujudan awal negeri-negeri di Amerika Syarikat di bawah label “Old West” merupakan pengisian yang ditonjolkan menerusi filem yang menjadikan muzium sebagai set utamanya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Isu Semasa

Gurindam Pelihara Alam

Oleh Has Alia Hasnan

Kalau hendak membuang sampah,

Jangan dibiarkan bersepah-sepah.

Kalau selalu menjulang api,

Kelak binasa hutan sepi.

Kalau hendak meneroka rimba,

Jangan dikaut khazanah murba.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Siswa

Gugus-gugus Pemikiran

Oleh Siti Nur Hidayah

Dalam arus modenisasi

semangat kian kekar

dipugar dari semasa ke semasa

biar dibadai gelombang emosi

dari destinasi ke satu destinasi

menjana transformasi

membentuk ummah

membangunkan generasi

sebagai bekalan watan

pada kehidupan masa hadapan.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Siswa

Duri Kehidupan

Oleh Nursuhada Md. Arifin

Berjalan seorang hamba

menyelak tirai kehidupan

penuh dengan tanda tanya

kaku seketika apabila diuji

memikir makna di sebalik jeriji hayat

tatkala ingin melepaskan bebanan

dia diuji lagi

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Siswa

Detik-detik yang Berlalu

Oleh Jasman Bandar

Detik-detik yang berlalu

bukanlah satu mimpi

namun realiti hidup manusia

yang menampakkan manusia dalam kerugian

pada setiap masa yang dibazirkan dengan perkara sia-sia.

***

(Puisi dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Siswa

Erti Manusia

Oleh Brethart Johnny

Kepada Tuhan dimintanya kasih

sengsaranya tulus tidak berganti

kerana dunia

dosa tidak dilali

kerana dengki

tiada lagi kasih.

***

(Puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Januari 2016)

Posted in: Puisi Siswa