Home » 2016 » February

Menyemarakkan Bidang Kesenian Tanah Air

Oleh Samat Buang

SENI merupakan sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa, tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa. Malaysia tersohor dengan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat majmuk.

Kekayaan aspek kesenian negara kita merupakan aset penting dalam mempromosikan Malaysia ke mata dunia. Secara umum, seni termasuklah tarian, muzik, drama, rentak dan irama, seni visual, dan fotografi. Penghayatan terhadap seni, budaya dan warisan sentiasa diberi penekanan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11, pelbagai program kebudayaan, kesenian dan warisan dilaksanakan bagi meningkatkan minat orang ramai terhadap seni dan budaya negara. Dengan kata lain, usaha menyemarakkan seni dan budaya negara perlu digiatkan  bagi mengekalkan warisan seni turun-temurun, sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke negara kita.

Tarian dapat didefinisikan sebagai satu seni tari pergerakan badan, kaki dan tangan mengikut rentak muzik yang dimainkan dan dipersembahkan oleh setiap kaum mahupun etnik daripada asal usul mereka dengan tujuan tersendiri. Seni tari juga merupakan gerakan terangkai berirama sebagai ungkapan jiwa atau ekspresi manusia dan dalamnya terdapat unsur keindahan yang menggabungkan pergerakan badan, irama, dan penghayatan. Tarian rakyat merujuk kepada sesuatu seni tari yang telah diamalkan selama beberapa keturunan di sesuatu tempat oleh orang kebanyakan.

Setiap negeri mempunyai keseniannya tersendiri. Sebagai contoh, tarian zapin yang cukup sinonim dengan negeri Johor sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan negeri bagi memastikan seni tersebut terus kekal untuk tatapan generasi muda hingga kini. Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta setahun bagi program pembangunan tarian zapin untuk memperkasakan seni yang menjadi identiti negeri ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Isu Semasa

Dinamisme Sejarah-Memerlukan Sentuhan Perubahan Pemikiran

Oleh Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli

MENELUSURI aspek persejarahan adalah sesuatu yang menguja lagi mencabar sifatnya. Hal ini disebabkan sejarah bukan hanya memaparkan tarikh, fakta, bukti serta dokumentasi masa silam semata-mata. Perkara yang lebih utama ialah sejarah memberikan persediaan kepada manusia bagi menghadapi segala kemungkinan masa kini dan masa akan datang. Sejarah didasari oleh penemuan bahan artifak, manuskrip serta keupayaan menjawab persoalan persejarahan yang menjadi tanda tanya kepada banyak pihak. Keupayaan mempersembahkan sejarah menerusi komunikasi yang efektif sifatnya, menyimpan serta menguruskan bahan persejarahan serta daya interpretasi, mampu membawa kelompok masyarakat dan institusi yang bernaung dalam sesebuah negara ke satu tahap yang lebih tinggi. Aspek yang dimaksudkan itu melibatkan ilmu pengetahuan dan konservasi warisan negara.

Persepsi umum yang melihat sejarah sebagai tidak sesuai dalam dunia moden dan tidak lebih sebagai mata pelajaran pelengkap dalam sistem pelajaran merupakan satu pandangan pesimistik. Nilai yang dibawa oleh sejarah itu sebenarnya lebih besar dan tidak ternilai. Khususnya dalam peradaban manusia masa kini dan akan datang. Kehidupan manusia itu sebenarnya merupakan satu sejarah yang memiliki kronologinya, iaitu sejak saat kelahiran sehinggalah kepada saat kematian. Jika kelompok manusia dihimpunkan, akan mewujudkan ketamadunan yang menjadi petunjuk kepada kemajuan masa lampau. Hal ini dapat membantu manusia dalam memahami perubahan kehidupan. Ketamadunan yang ditinggalkan dalam bentuk komunikasi dan penulisan primitif, tulang belulang, reka bentuk bangunan dan arca, serta lukisan dan bahan tinggalan lain, kini menghuni muzium, perpustakaan, galeri dan arkib di seluruh dunia. Sistem ini membentuk kontur persejarahan dunia yang tidak mungkin dirungkai penjelasan serta interpretasinya dalam satu tempoh waktu yang singkat.

Proses perancangan, penyelidikan, pencarian, pengumpulan dan pengelasan bahan-bahan persejarahan dan interpretasi terhadapnya sendiri bakal memakan masa. Apatah lagi jika membabitkan peristiwa penting yang melakari sejarah perdaban dunia selama beberapa abad. Umpamanya peristiwa yang menyaksikan permulaan kepada sejarah peradaban manusia menerusi pengetahuan terhadap bidnag pertanian yang dikatakan bermula sejak 10,000 SM. Selari dengan itu juga, menyaksikan perkembangan tamadun manusia yang rata-ratanya berkembang berhampiran dengan sumber air, iaitu melibatkan Nil, Tigris, Euphrates dan Indus.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Isu Semasa

Pengenalan Kapal Wap dan Pas Haji Semasa

Oleh   Fauziah Abdullah, Arkib Negara Malaysia

SEMASA era pemerintahan kolonial British, kita dapat melihat bahawa usaha yang aktif telah digerakkan oleh British untuk membantu orang-orang Melayu pada masa dahulu untuk mengerjakan haji dengan lebih selesa. Usaha ini merupakan kesan daripada kecaman dan rungutan orang-orang Melayu dan juga pegawai British di Jeddah yang telah memaksa British bertindak bagi menjaga kewibawaan British.

British juga berusaha untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang bagi memberi keselesaan kepada orang Melayu ketika menunaikan haji berikutan keadaan orang Melayu yang terpaksa berdepan dengan masalah seperti kemudahan kapal dan juga kesukaran ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan haji.

Pengenalan kapal wap kepada orang Melayu untuk kemudahan mengerjakan haji pada tahun 1860 dianggap langkah yang baik untuk memastikan tempoh pelayaran haji ke Mekah mengambil masa yang lebih singkat berbanding menggunakan kapal layar pada tahun-tahun sebelumnya. Penggunaan kapal wap dapat memendekkan masa iaitu hanya tiga hingga empat minggu sahaja untuk belayar menuju ke Mekah berbanding dengan kapal layar yang mengambil masa tiga hingga empat bulan. Kemudahan  ini telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan orang Melayu untuk menunaikan haji.

Masalah masih timbul walaupun penggunaan kapal wap dijadikan pengangkutan utama. Sekitar tahun 1860 hingga 1909 memperlihatkan penumpang kapal wap ini masih lagi berasak dan penuh di dalam kapal. Keselesaan dan juga bekalan makanan yang tidak mencukupi, selain tahap kesihatan penumpang juga menjadi masalah bagi penumpang kapal haji. Keadaan ini telah mendorong pihak British untuk campur tangan dalam hal urusan haji orang Melayu. Isu kematian yang ramai dan juga sikap tamak pengurus kapal yang membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan telah diberi perhatian serius oleh pentadbiran British untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam membantu memudahkan orang Melayu mengerjakan haji dengan lebih selesa.

 Antara isu yang hangat diperkatakan ialah kes kematian jemaah haji seramai 83 orang dalam sebuah pelayaran kapal yang membawa seramai 520 orang bakal haji. Tindakan yang tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa untuk menghukum pihak yang bersalah pada masa itu. Hal ini telah mendorong British membincangkan isu ini melalui surat-surat yang dihantar dari Singapura ke Benggal pada tahun 1849 untuk membincangkan soal ini.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Arkib Negara

VAPE: Ancaman Baharu Negara

Oleh Nusaibah Kaab

VAPE! Satu lagi budaya baharu yang semakin digilai rakyat Malaysia khususnya golongan remaja. Fenomena ini semakin hari semakin rancak diperkatakan kerana kebiasaannya hanya kaum Adam sahaja yang menghisapnya, tetapi kali ini kaum Hawa turut terpalit dengan permasalahan ini.

Mengapakah penulis mengatakan fenomena ini sebagai masalah? Hal ini dikatakan demikian kerana, Vape atau Personal Vaporizers atau E-Cig sama sahaja bahananya seperti rokok, shisha atau ganja. Jika diamati dengan teliti, vape ini hanya popular dan dikenali di tanah air sahaja. Malah dikatakan vape yang kebanyakan diimport dari negara Tembok Besar ini tidak langsung mendapat tempat oleh penduduknya.

Persoalannya mengapakah hal ini boleh berlaku? Mengapakah berlakunya pertembungan kata putus daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang melabelkan vape sejenis rokok elektronik yang sama bahayanya dengan rokok biasa manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia bersetuju vape dikomersialkan?

Pada awal Disember yang lalu, sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah dengan mengharamkan penjualan vape di semua daerah taklukannya. Hal ini merupakan satu langkah yang cukup baik. Pihak istana melihat kesan budaya vape ini mampu merosakkan akhlak, sahsiah dan kehidupan masyarakat khususnya remaja. Jika dilihat dari segi statistik, menunjukkan jumlah perokok dan penggemar vape merupakan mereka yang berada dalam kelompok remaja iaitu daripada usia 15 tahun hingga 25 tahun.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

Kalendar Merah dan Si Penenun Cinta

Oleh Mohd Helmi Ahmad

TIBA tahun monyet nanti, aku datang melamar engkau. Jangan pula masa itu engkau menolak atau lari.” Mengenangkan kata-kata Goh Leng itu ada berasa lucunya. Lelaki Cina kacukan Bidayuh, Sarawak itu selalu menyakatku. Jadi kata-katanya itu kuanggapkan sekadar gurauannya sahaja. Memang dalam kalendar Qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan, antaranya tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir. Lelaki yang pelat berbahasa Melayu itu sungguh yakin akan melamarku sebagai isterinya.

Namun, peristiwa itu sudah lama berlalu. Maafkan aku, Goh Leng, aku bukannya sengaja menghilangkan diri apatah lagi menjauhkan diri daripada engkau, tetapi aku terpaksa lakukannya demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Kita tidak mungkin dapat disatukan. Perbezaannya melebihi persamaan yang bakal menyisih persengketaan antara kita.

“Kenapa engkau bawa balik perempuan Melayu ni?” Aku yang baru sahaja hendak melabuhkan punggung di sofa, tersentak. Kata-kata daripada papa Goh Leng itu tercampak ke ruang tamu. Mataku mengiringi pergerakan turun papa Goh Leng dari tangga yang menghubungkan tingkat atas dan bawah. Tangga kayu itu nampak antik.

“Saya nak memperkenalkan kepada papa dan mama.” Perempuan yang berkaca mata tebal itu mengiringi papa Goh Leng. Jadi, mama yang dirujuk oleh Goh Leng itu barangkali perempuan itu. Lantas aku berkira-kira hendak bangun menuju ke arah mama Goh Leng untuk bersalaman. Bukankah budaya Melayu itu selalu berjabat salam untuk mengeratkan silaturahim?

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Manusia Cyborg

Oleh Nor Azida Ishak

BAGAIMANAKAH rasanya menjadi manusia cyborg pertama dunia? Inilah yang dialami oleh Profesor Kevin Warwick, seorang saintis British yang pakar dalam bidang sibernetik, yakni kajian berkaitan dengan kawalan dan komunikasi pada sistem elektronik yang kompleks, serta pada sistem saraf dan otak, khususnya manusia. Saintis dari University of Reading di Britain ini sangat berminat dengan dunia robotik sehingga menetapkan azam untuk meletakkan dirinya sebagai manusia cyborg pertama dunia.

Pada tahun 1998, Profesor Warwick menjalankan fasa pertama untuk menjadikan dirinya robot melalui sebuah eksperimen yang dinamakan “Project Cyborg”. Dia menanam sebuah cip pemancar yang mempunyai frekuensi radio ke dalam kulit tangannya. Cip tanpa wayar itu mengandungi transponder, iaitu alat yang berupaya menerima isyarat dan memancarkannya semula pada frekuensi berbeza. Menariknya, Profesor Warwick boleh menggunakan cip itu untuk membuka pintu, menyalakan lampu, menghidupkan sistem pemanas serta tugas lain yang berasaskan peranti komputer.

Bagi mengaplikasikan ciptaannya itu, Profesor Warwick menetapkan komputer di bangunan pejabatnya untuk mengumpul maklumat dan melakukan tugas yang diarahkan. Dengan itu, sebaik-baik sahaja dia menghampiri bangunan pejabatnya, komputer akan mengesan kehadirannya dan menghantar arahan. Maka, secara automatik pintu akan terbuka, lampu akan menyala, sistem pemanas atau penyaman udara akan terpasang, dan sistem pembesar suara akan mengumumkan selamat datang kepadanya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

REMAJA DAN KARYA PICISAN

Oleh Zuridah Hanim Md. Akhir

KAU yang Demam Aku yang Panas, Suamiku Gangster Idaman, Suamiku Mr Four Flat dan Kekasihmu bukan Kekasihku. Tajuk novel sebegini berkemungkinan akan diterbitkan tidak lama lagi. Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah sudah sinonim dalam kehidupan kita hari ini. Lambakan novel cinta dalam pasaran telah berjaya menumbuhkan bibit kegilaan terhadap dunia buku.

Apakah yang dimaksudkan dengan karya picisan? Picisan bermaksud sesuatu yang tidak berharga dan rendah mutunya. Dalam konteks perbincangan ini, bahan picisan bolehlah ditakrifkan sebagai bahan bacaan yang rendah mutunya, tidak memberikan sebarang faedah, tidak bersifat keilmuan dan lebih bertujuan untuk memberikan hiburan semata-mata.

Perkembangan karya picisan di negara kita jelas memperlihatkan suntikan terhadap fantasi sosial yang lebih mementingkan unsur materialisme berbanding dengan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang biasa diangkat oleh karya penulis besar. Penulis besar berjuang menerusi pena dengan mengangkat tema kemasyarakatan yang hebat supaya khalayak pembacanya dapat berfikir, berbicara sehingga ada karya ini berjaya mencetuskan anjakan pemikiran yang cukup hebat dalam kalangan remaja.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Fokus

KEGILAAN YANG MENGHANCURKAN

TIADA salahnya sesebuah karya picisan dihasilkan. Yang kurang manisnya hanya jika hasil pembacaan karya tersebut memberikan impak kurang baik buat generasi muda. Karya picisan kini dilihat mempunyai lebih banyak khalayak berbanding dengan karya lain. Kegilaan kepada karya picisan ini dilihat melalui pencapaian jualan tertinggi semasa pada setiap kali pesta buku diadakan. Ditambah pula dengan fenomena kecenderungan pengkarya filem dan drama menghasilkan karya adaptasi daripada karya popular, hal ini telah mencetuskan kegilaan yang luar biasa, terutamanya kepada golongan remaja.

Karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan sudah diterima kewujudannya oleh sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera hari ini. Pernah juga penulis karya picisan diangkat sebagai sasterawan setelah menghasilkan karya serius.

Hal yang berlaku dalam usaha menulis dan menerbitkan karya popular ini ialah ketandusan idea bernas yang mendorong pembaca untuk berfikir. Berlandaskan kepercayaan, pembaca tidak perlu dibebankan dengan idea yang berat dan mengutamakan karya yang dapat menarik minat membaca daripada memberikan idea yang membebankan pembaca sehingga lupus minat untuk membaca. Maka, dari situlah penulis mula bercerita, bukan lagi mengarang.

Persoalannya, adakah kegilaan ini menjadi pengukur kepada momentum gerakan minat membaca dalam kalangan remaja? Adakah wajar kegilaan ini diangkat sebagai gerakan yang positif sedangkan bahan bacaan yang menjadi pilihan boleh dikategorikan sebagai karya yang mampu mencetuskan krisis intelektual yang kronik kepada golongan muda hari ini?

Dalam konteks ini, biarpun terdapat pandangan yang menyatakan karya picisan bersifat ringan dan hiburan mampu mengatasi kelesuan budaya membaca dalam kalangan remaja, namun pembacaan karya picisan secara berterusan bukanlah perkembangan yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana karya picisan hanya sekadar berkisar kepada kisah percintaan lelaki kacak, gadis cantik, kehidupan keluarga ternama, dan pelbagai aspek material lagi yang ternyata sekadar mampu membawa remaja ke alam fantasi yang penuh dengan keseronokan. Tema dan persoalan yang diangkat pula merupakan tema mudah yang pastinya tidak mencabar minda. Plot cerita, yang jelas memaparkan corak kehidupan yang mewah dan penuh kesenangan, akan memberikan racun kepada pemikiran para remaja hari ini, seolah-olah segalanya mudah dan indah, sedangkan para remaja sepatutnya membuat persiapan mental dan fizikal kerana banyak cabaran yang akan ditempuhi apabila usia menginjak ke alam dewasa.

Sesebuah karya yang baik akan menjadi wadah pendidikan apabila wujudnya komunikasi yang baik antara pengarang dengan pembacanya. Hasil karya sastera bersifat bentuk. Sebagai bentuk, maka selayaknya karya tersebut memiliki keteraturan dan pola serta berfungsi sebagai alat penghibur yang bermanfaat kepada pembaca. Ketaasuban dalam mempromosikan karya picisan dalam pelbagai bentuk media, secara tidak langsung, telah mengubah landskap pemikiran masyarakat dalam menilai mutu sesebuah hasil karya sastera. Semua pihak perlu saling bertanggungjawab untuk memilih bahan bacaan yang bermutu tinggi kepada generasi remaja hari ini kerana bahan bacaan tersebut mampu memberikan nilai tambah kepada pembentukan peribadi mereka. Pilihan kita hari ini akan menentukan wajah budaya generasi akan datang.

Haziah Che Husin

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

 

 

Posted in: Nota Editor

Diari Dian

Oleh Nur Izzati Che Ramli

“TIDAK, aku tak mahu turun!” bentak anak kecil itu. Dia sememangnya berkeras untuk tidak turun dari pohon berembang tu. Entah mengapa anak sekecil itu berani berbuat sedemikian, sememangnya menimbulkan kemusykilan orang kampung.

Berdekatan pohon itu juga sudah tibanya pembalak yang sudah lama menunggu untuk mula menebang kawasan paya bakau itu. Namun begitu, semuanya tergendala dek  anak kecil itu tetap berdegil untuk tidak turun dan membantah agar pohon itu tidak ditebang. Katanya pokok ibunya maka tidak seharusnya ditebang.

Astagfirullah, semua ini tidak akan terjadi jika Azhar tidak menjumpai diari Dian”, bisik Cikgu Suria kepada dirinya. Guru kelas Azhar seolah-olah mati akal untuk membawa turun anak kecil itu dari atas pokok berembang yang cukup besar untuk menampung anak kecil itu.

Tidak lama selepas itu, datuk Azhar sendiri yang datang setelah berita itu disampaikan oleh penduduk kampung. Lelaki yang berusia lewat 60-an itu kelihatan begitu cemas mendengar satu-satunya cucu kesayangannya menggegarkan orang kampung dengan memprotes di atas pokok. Cikgu Suria yang menyedari kehadiran ayah kepada arwah Dian, terus mendapatkannya. Cikgu Suria menyatakan bahawa dialah yang sebenarnya yang memberitahu Azhar tentang lokasi pohon yang menjadi tempat tinggal “malaikat kecil”. Terkesima hati tua Tok Su, sememangnya cucunya itu merindui arwah ibunya dan “rumah” malaikat kecil itu menjadi sesuatu yang sentimental buatnya. Tok Su terdiam mengenang kembali sebelum semua ini terjadi.

Di perkarangan rumahnya, Tok Su duduk menghadap kanvas putih, dengan tenang dia mengangkat tangannya yang memegang berus leper dan ditekankan ke atas permukaan kain putih itu mencalitkan warna untuk membentuk suatu lakaran. Dipilihnya warna terang termasuklah hijau dan kuning untuk memberi cahaya kepada lukisannya.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Masih Segar di Relung Ingatan

Oleh Muzaf Ahmad

Penulis mula “berkenalan” dengan majalah Dewan Siswa sejak tahun 2007. Pada ketika itu, penulis hanyalah seorang pembaca. Majalah Dewan Siswa banyak diletakkan di perpustakaan sekolah. Di situlah minat untuk terus membaca majalah Dewan Siswa berputik. Malah, majalah Dewan Siswa juga mudah didapati di beberapa buah kedai di sekitar daerah tempat tinggal penulis. Penulis akan membeli hampir setiap keluaran majalah ini.

Sekian lama, penulis hanya menjadi pembaca yang menikmati artikel dan karya-karya yang disiarkan setiap keluaran. Lama-kelamaan, timbul hasrat untuk menyumbangkan hasil penulisan penulis di majalah Dewan Siswa. Hal ini bermula dengan niat penulis untuk cuba menghantar karya di majalah Dewan Siswa.

Masih segar di relung ingatan, puisi pertama penulis berjudul Penjaja di Kerinduan, merupakan sebuah puisi yang ditulis ketika penulis berusia 16 tahun. Penulis begitu teruja apabila puisi ini disiarkan di ruangan Puisi Daripada Siswa dalam majalah Dewan Siswa. Puisi tersebut sebenarnya bertemakan perasaan duka seorang ibu yang kehilangan anaknya kerana diculik. Namun, puisi tersebut begitu sukar difahami kerana terdapat banyak kelemahan di dalamnya. Sejujurnya, setelah hampir lebih tujuh tahun menulis, penulis boleh tergelak sendiri apabila membaca semula karya pertama ini. Memang tidak dapat dinafikan, itulah kali pertama penulis mula menulis dan menghantarnya ke penerbitan bercetak.

Ketika itu, ruangan Puisi Daripada Siswa dikelolakan oleh Faisal Tehrani, seorang penulis yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan tanah air. Beliau akan mengulas dan memberi komen untuk setiap puisi yang disiarkan. Penulis masih mengingati komen yang dititipkan oleh beliau dalam kolum itu. Kritikan beliau terhadap puisi tersebut membuatkan penulis tersedar bahawa puisi sebenarnya bukanlah medan kata-kata untuk penulis meluahkan perasaannya. Puisi yang baik ialah puisi yang menyampaikan amanat dan membawa satu gagasan pemikiran yang besar untuk manfaat pembaca.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Isu Semasa, Khas