Home » 2016 » February (Page 2)

Masyarakat Penyayang Membentuk Negara Sejahtera

Oleh Hamka Suhaimi

SETIAP insan mengimpikan keamanan. Kehidupan yang aman tanpa peperangan, penindasan dan kekejaman. Namun begitu, keamanan tidak akan datang jika manusia bersikap khianat, mementingkan diri sendiri dan menzalimi orang lain.

Masyarakat penyayang ialah kumpulan manusia yang hidup bersama-sama dan mengasihi antara satu dengan yang lain. Masyarakat penyayang penting dalam membentuk negara yang aman dan sejahtera. Lebih penting lagi, sifat penyayang dan kasih sayang ini akan membantu Malaysia menjadi negara maju secara holistik sejajar cabaran ketujuh Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang.

Kesejahteraan sesebuah masyarakat dapat dibentuk dengan lebih mudah dan berkesan melalui suasana yang sarat dengan nilai insani dan kekeluargaan. Asasnya ialah saling menyayangi.

Masyarakat penyayang dapat diwujudkan secara bersama-sama oelh semua individu dalam sesebuah komuniti. Cara paling mudah dan tidka memerlukan masa yang lama ialah dengan merancakkan lagi aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, saling menunjukkan sikap penyayang termasuklah tolong-menolong, baik hati dan mengambil tahu supaya boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Ancaman Budaya Hedonisme

Oleh Amirah Syazwani

SETIAP manusia yang bernyawa berkeinginan untuk berseronok dan berhibur. Keinginan sebegini tidak salah kerana itu merupakan fitrah manusia. Yang salahnya ialah apabila menjadikan budaya hedonisme sebagai tunjang atau prinsip dalam kehidupan. Budaya ini jika menular dan tidak ditangani dengan baik bukan sahaja boleh melunturkan semangat jati diri dan nilai murni seseorang bahkan boleh memesongkan pegangan agama individu tersebut.

Di Malaysia, budaya ini dibawa masuk oleh Barat yang berselindung di sebalik istilah pemodenan, kemajuan dan pembangunan. Budaya hedonisme ini menjadikan golongan muda yang merupakan bakal pelapis generasi masa hadapan negara sebagai sasaran. Hal ini dikatakan demikian kerana sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baharu menyebabkan golongan muda mudah menerima unsur negatif yang dibawa oleh media massa.

Globalisasi yang melanda dunia ini menjadikan komunikasi semakin mengembang dan dunia semakin mengecil kerana segala-galanya mudah dicapai. Globalisasi juga mempercepatkan pemindahan nilai dan cara berfikir. Kesempatan inilah digunakan sebaik-baiknya oleh Barat untuk memindahkan budaya dan cara hidup mereka termasuklah budaya hedonisme.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Memesrai Alam Sekitar

Oleh Tee Yi Ting

DALAM era globalisasi dan modenisasi ini, masalah pencemaran alam semakin serius di negara kita. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan untuk megatasi masalah ini daripada terus berlaku. Namun begitu, pelbagai inisiatif yang dijalankan ini tidak membawa impak yang besar sekali gus, malah masalah pencemaran terus menular. Oleh itu, satu wahana yang konkrit dan pragmatik perlu disusun dan digagaskan untk merungkai permasalahan yang kelihatan semakin serius ini.

Ibu bapa perlu memainkan peranan yang dominan dalam menerapkan cara hidup mesra alam dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menyalurkan pengetahuan tentang cara hidup mesra alam kepada ahli keluarga mereka. Dalam hal ini, ibu bapa dapat mengajar anak supaya tidak menggunakan beg plastik semasa membuat pembelian sebaliknya memasukkan barangan yang dibeli ke dalam beg kitar semula.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak supaya tidak melakukan tindakan yang mencemarkan alam sekitar termasuklah membuang sampah ke dalam sungai dan melakukan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik di hadapan anak supaya mereka menjadi individu yang mencintai suasana mesra alam pada masa hadapan.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Pelihara Hutan Rekreasi

Oleh Farah Alia Suraya Azman

MALAYSIA kaya dengan khazanah alam semula jadi dengan panorama indah alam ciptaan Ilahi. Hutan rekreasi yang masih terpelihara merupakan gambaran peri pentingnya flora dan fauna dipelihara supaya generasi akan datang dapat menikmati keunikan khazanah indah ini.

Masyarakat Malaysia sering mengalami pelbagai tekanan termasuklah di tempat kerja, pembelajaran di sekolah, krisis rumah tangga, dan masalah perniagaan. Lokasi damai yang menjadi pilihan dalam memotivasikan kehidupan ialah tempat yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Pada hujung minggu berpusu-pusu warga kota merehatkan diri dan minda dengan mengunjungi pelbagai tempat rekreasi di seluruh pelosok tanah air.

Aktiviti yang sering dilakukan di tempat sebegini termasuklah mandi-manda, berkayak, memanjat gunung, memancing, dan membina khemah. Mereka berehat sambil berbual-bual santai dengan anggota keluarga. Mereka juga menjalinkan silaturahim dengan keluarga yang lain sambil bertukar juadah yang dibawa. Aktiviti mingguan seperti ini sangat bagus dan merapatkan kemesraan antara ahli keluarga.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Al-Ghafiqi Pakar Oftalmologi dan Farmakologi

Oleh Irfan AS

RIWAYAT hidup Al-Ghafiqi secara lengkap tidak dapat diperoleh oleh para pengumpul maklumat Arab Islam. Oleh itu, tiada satu pun maklumat mengenai riwayat hidupnya ditemukan. Beliau dikatakan hidup pada abad ke-12 Masihi. Al-Ghafiqi atau nama sebenarnya Muhammad bin Qassum bin Aslam Al-Ghafiqi dikatakan lahir di Cordoba, Sepanyol. Masyarakat Cordoba sangat menghormati Al-Ghafiqi dan bagi mengenang jasa-jasa beliau, namanya diukir di rumah sakit di Cordoba.

Al-Ghafiqi terkenal sebagai pakar oftalmologi. Beliau dikatakan banyak merujuk karya oleh Ammar bin Ali Al-Mosuli, tetapi lebih memberikan penelitian terhadap jaringan otak yang berhubungan dengan mata. Kitab Al-Mursyid Fil Kuhl (Bimbingan Oftalmologi) ataupun The Oculist’s Guide karangan Al-Ghafiqi bermaksud panduan untuk ahli mistik. Karya beliau merupakan sebuah sinopsis daripada sebahagian besar ilmu kedoktoran mengenai mata. Kitab ini mengandungi enam bahagian, iaitu sebahagian dalam bab kelima dan keenam mengulas mengenai masalah kedoktoran dan kesihatan mata.

Kitab itu tidak hanya mengupas tentang penyakit mata sahaja, namun menjelaskan secara terperinci mengenai kepala dan penyakit otak. Secara keseluruhannya, Kitab Al-Mursyid mampu membuat andaian konsep moden dalam bidang patologi mata, khususnya yang berkait rapat dengan sebab-sebab yang ditunjukkan melalui seluruh organisma. Kitab ini dikatakan sangat sistematik, gaya bahasanya mudah untuk difahami. Kitab ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh Max Meyerhof, iaitu L’ophtal-mologie de Mohammad al-Ghafiqie pada tahun 1923.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Realiti Memantulkan Keinsafan Diri

Oleh Mahaya Mohd. Yassin

DI sekitar kita amat banyak petunjuk yang diwujudkan oleh Allah untuk dijadikan iktibar. Pengalaman ini turut memantulkan iktibar kepada para penulis muda. Melalui bahasa yang mudah dan bersahaja, mereka mengetengahkan keinsafan yang dapat diteladani oleh semua. Sajak “Dunia Itu” mengungkapkan pancaroba akibat perbuatan manusia.

      dunia yang penuh dengan puja manusia

      tetapi setiap kali aku ingin melangkah lebih jauh

      terhalang

      terhimpit

      Penulis menampakkan kematangannya dengan ungkapan

      Lihat dalam hati, mengalun doa buat-Mu, Allah

(Ulasan puisi ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)

Posted in: Ulasan Puisi

Beberapa Dimensi Pengkaryaan

Oleh Mawar Safei

MEMBACA cerpen bulan kedua ini, “Diari Dian” menemukan kita dengan beberapa perihal menukangi sesebuah cerpen. Diari yang menunjangi cerpen ini sebagai judul, diandaikan menguasai seluruh perjalanan cerpen hasil garapan Nur Izzati Che Ramli.

Begitulah sewajarnya peranan judul. Hal ini kelihatan benar apabila watak utamanya, Azhar, kanak-kanak berusia 10 tahun (daripada pernyataan penulis bahawa Azhar mendaftar dalam darjah empat di Sekolah Rendah Lembah Bintang), merupakan anak kepada Dian. Azhar membaca catatan harian arwah ibunya. Dian meninggal dunia sewaktu terlibat dalam “banjir kuning” di Kelantan ketika menyelidik spesies kelip-kelip. Walau bagaimanapun penulis tidaklah menggunakan teknik penulisan diari yang klise.

Kelip-kelip membawa kisah yang panjang dalam cerpen “Diari Dian.” Kelip-kelip yang membina cerpen ini sebenarnya. Garapannya melibatkan banyak pihak dari pelbagai watak iaitu Azhar, Dian, Cikgu Suria, Tok Su dan pekerja penebang pokok-pokok bakau untuk tujuan rancangan pembinaan sebuah resort mewah.

Cerpen ini dimulakan dengan latar Azhar yang menghalang pekerja menebang pokok-pokok berembang di kawasan paya. Azhar berdiam lama di atas pokok berembang sebagai tanda memprotes.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Februari 2016)