Home » 2016 » March (Page 2)

JALAN KERETA API DI TANAH MELAYU

Oleh Wan Mohd Rahimi Rahim, Arkib Negara Malaysia

PERKEMBANGAN sosial telah lama berlaku di Tanah Melayu, seiring dengan perkembangan politik dan ekonomi dunia. Perkembangan ini termasuklah masyarakat, infrastruktur, pengangkutan dan hubungan kaum. Perkembangan ini semakin meluas apabila adanya campur tangan British di Tanah Melayu, sejak tahun 1874, yang bukan sahaja membawa perubahan dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga aspek sosial.

Sebelum British meluaskan kuasanya di Tanah Melayu, sistem pengangkutan sedia ada sangat mundur berbanding dengan keadaan selepas campur tangan British yang membawa perubahan sistem pengangkutan yang ketara. Hal ini dikatakan demikian kerana British telah memperkenalkan cara membina jalan raya dan kereta api, seperti yang telah dilakukan di Barat.

Pada abad ke-19, Semenanjung Tanah Melayu merupakan kawasan pengeluar bijih timah yang utama. Perusahaan bijih timah terus berkembang pesat semasa pemerintahan British di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jika dilihat aspek pengeluaran, usaha British menyediakan perkhidmatan bantuan, termasuklah pengangkutan dan perhubungan, telah menambahkan pengeluaran. Perkembangan ekonomi di kawasan pedalaman menyebabkan cara pengangkutan tradisi tidak lagi memainkan peranan yang penting, yang mampu memberikan kepuasan kepada penduduk tempatan, sebaliknya hanya menjaga kepentingan ekonomi British.

Sebelum campur tangan British, sungai memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi, sosial, dan politik di Tanah Melayu. Sungai menjadi jalan perdagangan utama bagi pengangkutan barangan berat dan jarak jauh. Pengangkutan laut pula menjadi jalan perhubungan di antara negeri atau tempat di kawasan pantai. Sungai merupakan cara yang praktikal untuk menerobos jaluran paya ke kawasan pedalaman.

Pada masa tersebut, pengangkutan darat tidak dimajukan dengan baiknya atas beberapa sebab. Antaranya termasuklah alam sekitar yang berpaya dan berair yang melambatkan pergerakan di darat; hutan tebal yang sukar ditembusi; dan pembawa barang, seperti gajah dan manusia, yang melalui jalan tersebut tidak mampu membawa muatan barang yang banyak. Perubahan daripada bentuk pengangkutan asal ini bermula dengan tertubuhnya pemerintahan British. Pada masa yang sama, sungai merupakan laluan yang dapat digunakan untuk tiba di kawasan longgokan bijih timah. Sungai digunakan sebagai laluan untuk mengangkut bijih yang dihasilkan dari pedalaman ke pantai sebelum dieksport. Usaha perlombongan yang berterusan ini telah mewujudkan pengangkutan baharu.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Arkib Negara

MEMBINA DAN MEMPERKASAKAN SIFAT POSITIF REMAJA

Oleh Lokman Ismail

REMAJA sentiasa dilihat dengan prejudis. Bertemu dengan teman sebagai dilabelkan melepak; apabila menyuarakan perasaan, dikatakan kurang ajar; menunggang motosikal dikatakan “merempit”; dan berambut panjang terus dikatakan muka penjenayah. Semua label ini ditujukan kepada remaja, kononnya berdasarkan perkara yang banyak berlaku sekarang.

Isunya ialah persepsi kita banyak menjurus kepada prejudis terhadap remaja. Berapakah jumlah bilangan remaja yang dikategorikan bermasalah dan gagal dididik? Adakah wajar dan adil untuk mereka menerima pandangan serong daripada khalayak yang terjerat dengan pendedahan statistik, yang sepatutnya tidak menggambarkan remaja secara keseluruhannya?

Memang benar wujud kelompok remaja yang bermasalah di negara kita. Mereka terlibat dengan pelbagai jenayah, termasuklah dadah, rogol, kongsi gelap dan merompak. Tahap jenayah mereka menyamai apa-apa yang dilakukan oleh orang dewasa sehingga kita sukar mempercayai perbuatan itu dilakukan oleh remaja.

Kejadian tersebut yang dilakukan oleh sebilangan kecil remaja tidak sepatutnya membuatkan kita merumuskan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh kebanyakan remaja. Kita kena menjadi individu yang realistik bahawa tuduhan yang melulu tidak akan mengubah keadaan. Kebencian dan pandangan negatif tidak akan mengubah apa-apa, bahkan dapat membawa keadaan lebih buruk.

Tanpa berhasrat untuk menafikan realiti bahawa wujudnya kalangan remaja yang tidak bermoral, kita perlu berlaku adil kepada remaja lain yang bukan dalam golongan ini. Kita mendefinisikan bermacam-macam perilaku buruk terhadap remaja dan mereka yang tidak mempunyai kuasa untuk membetulkan persepsi terhadap mereka ini. Lebih banyak pihak yang menyalahkan mereka daripada berusaha untuk membantu mereka ke arah lebih baik.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Remaja Cemerlang

ABU MAS’HAR AL-BALKHI

Oleh Irfan AS

SAINTIS Islam, Abu Ma’shar Al-Balkhi atau nama penuhnya, Abu Masyar Ja’far Ibnu Muhammad Ibnu Umar, lahir di Balkh, sebuah kota di timur Khurasan semasa pemerintahan Crayon Al-Kindi, pada separuh abad yang pertama ketiga Hijrah atau bersamaan 9 Masihi. Di Barat, dia dikenali sebagai Albumasar atau Albusar. Dia juga dikenali sebagai Al-Falaki atau Ibnu Balkhi pada zaman khalifah Abbasiyah.

Abu Ma’shar mengabdikan hampir seluruh hidupnya untuk mendalami dan mengembangkan ilmu astronomi dan astrologi. Karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan Parsi. Ilmu astrologi merujuk ilmu peramalan sesuatu berdasarkan kajian bintang, manakala ilmu astronomi merujuk pengetahuan mengenai bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan perkiraan serta tafsiran yang berkaitan dengan bintang.

Abu Ma’shar memberikan tumpuan yang terperinci dalam kajian astronomi dan astrologi selepas menamatkan pengajian dalam bidang tradisi Islam klasik di Baghdad. Sejak remaja, Abu Ma’shar belajar dan mengkaji tradisi kuno Arab. dia mengajarkan gambaran sumber yang muncul pada langit bersama-sama 36 “decans” (tanda ketiga daripada 12 zodiak) yang digelar “Parantellonta”, seperti yang telah digambarkan oleh Teucer bahawa orang Babylon sangat mempengaruhi para pelukis Reinaisans.

Di samping itu juga, Abu Ma’shar terus  menambahkan ilmu pengetahuannya dalam bidang astronomi. Pada ketika itu, tidak banyak pengkaji astrologi. Hal ini secara langsung menarik minatnya untuk mendalami ilmu tersebut. Pada waktu itu, ilmu astrologi belum dihubungkan dengan  ilmu ramalan atau nujum dan Abu Ma’shar menguasai astrologi yang berasaskan sains. Karya astrologinya banyak dipengaruhi oleh prinsip asas dan hukum astronomi yang diwarisi daripada para cendekiawan sebelumnya. Abu Ma’shar juga merupakan anak didik tokoh ilmuwan Muslim terhebat pada abad ke-8 Masihi, iaitu Al-Kindi.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

KEMEROSOTAN NILAI KEJIRANAN

Oleh Samat Buang

SEMANGAT kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Secara ringkas, jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Lazimnya jiran tetangga terdiri daripada kaum keluarga, rakan taulan, dan orang luar. Perbezaan bangsa, agama, adat dan budaya tidak seharusnya dijadikan sebagai sempadan untuk memisahkan atau membina benteng daripada amalan hidup sesama jiran tetangga.

Hubungan baik sesama jiran mesti dijaga bagi menjamin keharmonian dan keselamatan berkekalan.

Namun begitu, realiti masyarakat hari ini mengambil mudah berhubung dengan semangat kejiranan ini. Perkara ini mungkin tidak berlaku bagi masyarakat kampung, sebaliknya lebih ketara kepada masyarakat bandar. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti aur dengan tebing”. Kini, hubungan sesama jiran semakin renggang walaupun pada hakikatnya, rumah mereka sangat dekat, malah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa nilai tradisi kejiranan semakin merosot dan menggawatkan.

Secara umum, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dengan pelbagai adat resam serta latar belakang budaya merupakan masyarakat yang amat kuat dengan pegangan budaya dan adat resam kaum masing-masing. Dalam aspek budaya, kita tidak nafikan bahawasanya mereka, sama ada bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, orang asli ataupun ras dan suku kaum lain, sememangnya diajar dengan adab sopan dan susila, serta nilai kemasyarakatan yang baik sejak kecil lagi. Nilai murni, seperti menghormati tetamu, menghormati orang yang lebih tua, serta berbaik dengan jiran tetangga, merupakan nilai universal dalam skop adat resam serta amalan kebudayaan mahupun keagamaan setiap kaum. Pada keseluruhannya, nilai murni ini sememangnya menjadi amalan segenap masyarakat kita dan menjadi antara faktor utama yang menyebabkan negara kita, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang sosioekonomi, mampu hidup dalam keadaan yang aman dan makmur.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)

Posted in: Fokus

MALAM KUDA KEPANG

Oleh Adnie Bahiah

“MALAM ini majlis keramaian di padang terbuka Kampung Parit Sepat.” Engkau hanya tersenyum memandang skrin telefon. Mesej itu yang dihantar beberapa minit lalu lantas engkau padam daripada terus menyerabutkan ruang simpanan  mesej telefon.

Yang pasti, malam ini merupakan peluang untuk engkau menambahkan wang saku. Undangan daripada Mat Saman memang selalu engkau penuhi. Mat Saman memang terkenal sebagai danyang dalam permainan kuda kepang. Oleh sebab itu, engkau tidak pernah menolak jemputan Mat Saman untuk menjadi “tuk bomoh” dalam permainan kuda kepang.

Kuda kepang, dan biarlah kuda kepang menjadi sumber rezeki untuk engkau mencari sesuap rezeki halal di samping menawarkan perubatan tradisional kepada orang yang masih percaya kepada perubatan tradisional. Memang tugas sebagai tuk bomoh sangat mencabar pada zaman ini. Banyak perubatan moden dan canggih yang mampu menutup sebahagian pintu rezeki engkau.

Engkau bomoh di kawasan Parit Sepat, iaitu salah sebuah kampung di daerah Pontian, Johor. Masih bujang walaupun banyak yang sedia maklum bahawa pada tahun ini, umur engkau akan berganjak ke angka 50. Engkau memang banyak pengalaman, terutama perihal menjampi orang.

Namun begitu, meraih rezeki dalam permainan kuda kepang memberi engkau pendapatan yang lumayan. Lebih kurang sama juga dengan merawat pesakit biasa, tetapi merawat penari kuda kepang memang memberi engkau pengalaman yang luar biasa.

***
(Rencana dipetik daripada majalah Dewan Siswa Mac 2016)