Home » 2016 » April (Page 2)

AWALAN SE-: KONSEP MASA

Oleh Mohamad Salehudin Aman

DALAM tulisan yang terdahulu telah dihuraikan awalan se- yang membawa maksud sama, dan maksud satu. Dalam tulisan kali ini, akan saya bicarakan maksud awalan se- yang lain pula.

Awalan se-, apabila digabungkan dengan Kata Nama (KN) abstrak tertentu, akan membawa maksud tempoh, yakni lama masa atau waktu. Jelaslah bahawa kata terbitan berawalan se- yang terhasil merujuk satu tempoh masa tertentu, yakni yang menandakan atau yang berkaitan dengan sifat masa atau waktu.

Contohnya perkataan sedetik bererti satu detik, yakni menunjukkan tempoh yang singkat, dan setahun (satu tahun) bagi menunjukkan waktu yang lama, yakni 12 bulan kiraan tahun masihi. Antara contoh lain termasuklah sehari (lama masa 24 jam), sebulan (lama tempoh 30 hari), seminggu (tujuh hari), sedekad (selama sepuluh tahun), seabad (tempoh 100 tahun), sealaf (lama masa 1000 tahun), sezaman (tempoh atau jangka masa tertentu), dan semusim (satu masa yang tetap setiap tahun mengikut perubahan iklim). Contoh penggunaan beberapa perkataan tersebut dalam ayat adalah seperti yang berikut:

        1. “Kerja tak sampai sehari, mahu gaji penuh,” rungut mandur sendirian.

         2. Sealaf bermakna satu milenium, iaitu seribu tahun.

         3. “Sezaman ialah satu zaman; zaman-berzaman bermakna dari suatu zaman ke suatu zaman,” kata cikgu sejarah.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

MENCARI HEMINGWAY DI CHICAGO

Oleh Nisah Haron

BAGI yang biasa membaca perihal penulis dan penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan tahun 1954, Ernest Hemingway sering kali dikaitkan dengan bandar besar, seperti Paris, Key West dan juga Havana. Memang tepat sekali, Hemingway penulis resah yang selalu mengembara dan berada di tempat tersebut dalam tempoh tertentu.

Walaupun mungkin banyak orang yang ke Paris untuk mencari imej yang ditinggalkan pada zaman dewasanya, tidak banyak orang yang berkesempatan menjejaki Hemingway pada zaman pembentukan peribadi dan sahsiahnya di Oak Park, pinggir bandar Chicago, Illinois, Amerika Syarikat.

Tahun-tahun awal Hemingway bermula di Oak Park, daerah yang tidak membenarkan penjualan minuman keras sehinggalah tahun 1973. Pada hakikatnya, Hemingway dibesarkan dalam sebuah keluarga Victorian tegar yang tidak merokok, tidak minum mminuman keras, dan kuat pegangan agama. Semua aklumat ini dikongsi oleh jurupandu pelancong yang bertugas di Rumah Kelahiran Hemingway yang terletak setentang dengan Muzium Hemingway.

Oleh sebab kedudukannya terletak agak jauh dari pusat bandar Chicago, pengunjung boleh menaiki kereta api (yang digelar “L” Train, singkatan kepada elevated) dari mana-mana arah sekalipun. Tidak sukar untuk memahami sistem perjalanan menggunakan kenderaan awam di sini. Terdahulu daripada itu, penulis telah ke kawasan Greektown Chicago kerana mengunjungi kedai buku terpakai Myopic Books.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

 

Posted in: Budaya, Khas

RAUMA-PEKAN LAMA YANG TERPELIHARA

Oleh Muzaf Ahmad

RAUMA, atau lebih popular dengan jolokan nama Old Rauma, merupakan pekan lama yang terletak di antara dua buah bandar, iaitu Turku dengan Pori, bahagian pantai barat Finland. Rauma yang terletak di Teluk Bothia merupakan kawaan pelabuhan tertua di Finland, satu daripada empat buah negara Scandinavia. Tiga buah negara lain ialah Norway, Denmark dan Sweden.

Penulis menjelajah Rauma dari Pori. Perjalanan menaiki bas mengambil masa lebih kurang satu jam. Oleh sebab sistem bas ekspresnya menepati jadual perjalanan, penulis tidak menghadapi masalah untuk meluangkan waktu seharian di Rauma.

Keunikan sistem pengangkutan di Finland ialah golongan pelajar berdaftar akan mendapat diskaun yang cukup banyak sehingga 50 peratus untuk tiket bas ekspres.

Penulis meneroka Rauma dengan berjalan kaki tanpa bertemankan peta. Sebenarnya penulis sudah serba sedikit mengkaji perihal Rauma di internet sebelum memulakan pengembaraan. Tiada masalah bagi penulis sebagai anak muda untuk mengembara di pekan kecil seperti Rauma dengan hanya berjalan kaki.

Rauma popular dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara. Bandar ini merupakan bandar tertua di Finland. Tarikan utama Rauma ialah Old Rauma, pekan kecil yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia. Rupa-rupanya tapak warisan dunia ini terletak berhampiran dengan stesen bas. Hal ini memudahkan perjalanan pelancong untuk menikmati keindahan warisan tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

TUMBANGNYA PERGERAKAN BERSENJATA PARTI KOMUNIS MALAYA

Oleh Aliza Minai Rajab, Arkib Negara Malaysia

GERAKAN komunis mula dikesan di Tanah Melayu pada sekitar awal tahun 1920-an. Pergerakan komuniss menjadi lebih rancak dan tersusun dengan pembentukan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 20 April 1930 yang bermatlamatkan penubuhan kerajaan komunis di Tanah Melayu.

Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 memberi peluang kepada PKM untuk memperkuat organisasinya. PKM bekerjasama dengan British untuk mementang Jepun melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Disember 1940. Selepas Jepun menyerah kalah, PKM mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila MPAJA bagi merealisasikan matlamat penubuhannya.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1949 merupakan detik bermulanya kekalahan PKM kerana mereka dipinggirkan oleh British. Maka PKM menimbulkan beberapa siri kekacauan, keganasan, dan kekerasan yang membawa pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak. Insiden ini telah meletakkan Tanah Melayu di bawah undang-undang darurat yang diisytiharkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Edward Gent, pad atahun 1948. PKM dan beberapa buah parti berhaluan kiri yang lain telah diharamkan mulai 23 Julai 1948.

Pengisytiharan undang-undang darurat telah memberikan beberapa kuasa khas kepada kerajaan dalam pelbagai aspek untuk mengatasi dan menyelesaikan gerakan bersenjata komunis. Kuasa yang luas ini termasuklah membolehkan kerajaan menjalankan penangkapan dan pemeriksaan tanpa waran, penahanan tanpa perbicaraan, pengawalan pergerakan pendudukan, dan pengawalan pengedaran makanan.

Pesuruhjaya Tinggi British, Jeneral Sir Gerald Templer, telah melaksanakan pelbagai strategi, termasuklah memindahkan kaum Cina yang tinggal di pinggiran kampung ke petempatan baharu bagi menyekat bantuan diberikan kepada PKM. Kerajaan turut memperkenalkan kawasan hitam dan putih serta mengambil langkah menambah kekuatan pasukan keselamatan, menguatkuasakan peraturan pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan, serta menubuhkan pasukan pengawal kampung dalam usaha melumpuhkan kekuatan PKM.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)

 

Posted in: Arkib Negara

PERENUNGAN DALAM CERPEN

Oleh Mawar Safei

CERPEN kali ini oleh Fauzan Zain berjudul “Dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur”. Kisah bermula dengan watak Dia yang mendapat berita kemenangan dalam penulisan yang disertai. Khabar itu membawa Dia mengimbas kembali pengalaman yang dilalui dalam penghasilan karya berkenaan; pembikinan dan penyertaannya dalam bengkel penulisan. Di hujung imbas kembali itu, dinyatakan antara lain latar Dia berada sekarang adalah dalam satu perhimpunan ahli pengakap.

Kemudian plot beralih terhadap perjalanan Dia ke Kuala Lumpur. Berdasarkan judul cerpen, dimaklumi bahawa watak Dia berada di Kuala Lipis. Ya, latar ini seperti merujuk judul cerpen “Dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur”. Latar juga dibayangkan mewakili keseluruhan cerpen, bertepatan dengan judul yang berperanan sebagai wakil cerita, bayangan cerita, tumpuan cerita atau rumusan cerita. Beberapa latar lain dibawakan Fauzan Zain seperti kisah teman yang menghantarnya ke hentian bas dan kelewatan mereka. Sering pula latar begini menjadi tanda tanya. Misalnya adakah latar Dia mengejutkan kawannya, Piq, daripada tidur diterima sebagai satu babak yang signifikan, ada makna yang khas.

Mengikut rentak gerak masa, penulis seterusnya memberitahu ketibaan Dia di Kuala Lumpur. Masih membawakan nada lama, penulis mewarnakan Dia sebagai watak orang muda yang pertama kali sampai di bandar raya Kuala Lumpur dengan tanggapan yang skeptikal dan penuh curiga. Dia malah sangat berhati-hati terhadap sekitarnya dengan membawa pisau lipat sebagai alat keselamatan dan perlindungan diri. Dia juga cemas. Lakaran tentang watak Dia, lebih banyak dilakukan penulis menerusi kebimbangannya. Dia tidak mahu tidur, takut kesiangan untuk acara yang harus dihadirinya (penyampaian hadiah).

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa April 2016)